MENGURUS ekonomi sesebuah negara tidak semudah yang
disangka. Jalan populis melampau, menempah sengsara generasi akan datang. Harus
diakui, majoriti rakyat sangat terbelenggu dengan beban kos sara hidup yang
semakin meninggi.
Kelmarin, penulis menghabiskan masa yang agak lama mendengar
rungutan, keluhan, kerisauan rakyat terbanyak mengenai kenaikan kos sara hidup
mereka seharian. Mereka yang selesa untuk berkongsi keluhan, tidak segan silu
menceritakan mengenai kesan kos sara hidup kepada diri mereka dan keluarga.
Masing-masing mempunyai cerita dan keluh kesah sendiri. Anak
yang ada di institusi pengajian tinggi memerlukan belanja tambahan. Anak kurang
upaya memerlukan perhatian. Seorang anak remaja yang berminat mendaftar di
Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) juga perlukan tindakan dan respons.
Semua ini perlu didengari dengan rasa yang cukup rendah diri, bahawa besarnya
amanah seorang wakil rakyat untuk mengisi kehendak rakyat.
Itu hanya tugasan sebagai pemimpin kecil di kawasan Kepala
Batas. Bagaimana agaknya dengan Perdana Menteri yang terpaksa memikirkan
kepentingan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Sudah tentu bebannya jauh
lebih besar dan menguji.
Gema Politik 2013. Dalam menelusuri suasana politik sepanjang 2013, penulis
boleh membuat kesimpulan bahawa pilihan raya umum adalah kemuncak kepada
segala-galanya. Persaingan populariti kepimpinan, pertandingan keutuhan parti,
perseteruan mendapat mandat dan kepercayaan rakyat menjadi latar belakang yang
sangat menduga. Media sosial menjadi saksi, bagaimana fitnah menjadi
modus-operandi politik yang bersifat lepas bebas.
Segalanya dijual dan dihidangkan kepada rakyat. Atas nama kesejahteraan rakyat kononnya,
janji-janji manis dibiarkan bertebaran. Harga minyak, elektrik dan kereta
turun. Pendidikan diberikan percuma. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional (PTPTN) dihapuskan. Ironinya, dengan janji yang semuluk itupun, mereka
tidak mampu mendapat mandat dan kepercayaan rakyat.
Sudah barang tentu, ada angkubah lain yang menjadi impian dan
kemahuan rakyat. Nyata, secara strategik dan bulat tekad, rakyat mahukan
kepimpinan yang lebih dipercayai.
Rakyat mahukan kenderaan politik yang lebih berhemah dalam mengimbangi cabaran ekonomi dan politik semasa. Rakyat
menghargai barisan yang mampu menyediakan polisi tuntas dan khusus, sekali gus
menyedia Malaysia ke pentas ekonomi yang lebih meyakinkan.
Hari ini, mereka kembali menyalakan amarah rakyat dengan
menggunakan alasan yang sama. Kos sara hidup dijadikan alasan mereka untuk
melakukan usaha menggugat kestabilan politik. Suara minoriti mahu dibangkitkan
untuk mendapat tarikan politik. Rakyat pastinya boleh melihat trend politik
sama mahu dibangkitkan dalam banyak siri politik jalanan sebelum ini.
Apakah pembangkang sudah hilang keyakinan untuk bersaing
membentang hujah di dalam Parlimen? Apakah ini sahaja jalan pintas politik yang
mereka mahukan? Apakah tiada noktah kepada usaha merosak fabrik perpaduan dan
kestabilan politik negara? Mungkin pembangkang cukup naik angin apabila melihat
laporan Economist Intelligence Unit: Risk of
Social Unrest in 2014', yang meletakkan Malaysia di dalam kumpulan low risk seperti yang dibahaskan oleh
artikel, Ripe for rebellion?: Where protests is
likeliest to break out yang dibentangkan The Economist
baru-baru ini.
Malaysia diletakkan dalam kalangan 31 buah negara yang
berada di dalam kategori risiko sangat rendah/berisiko rendah (very low
risk/low risk) di dalam kajian tersebut. Ini sekali gus memberi makna, bahawa
ada kebijakan pengurusan ekonomi dan politik yang dilaksanakan kerajaan yang
mendapat pengiktirafan media antarabangsa.
2014: Masih Dengan Gendang Perang? Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan rentak politik pasca
PRU13 dengan keperluan kita menjejak jalan national
reconciliation yang disambut dingin oleh
pembangkang. Berdasarkan untung-rugi politik, mereka merasakan ia tindakan yang
mungkin merugikan. Politik mesti diatur dengan kaedah ugut, dendam, protes,
ketidakstabilan dan huru hara. Ini agaknya jenama politik yang mereka mahukan.
Gerak politik yang lebih non-partisan di peringkat domestik
diperlukan dalam mengurus ekonomi dunia yang semakin mencengkam. Persaingan
antara negara jadi lebih kompetitif. Kehilangan niche dan kelebihan boleh berlaku dalam sekelip mata.
Menurut banyak kajian ekonomi antarabangsa, antara negara
yang dijangka mencatat peratusan pertumbuhan ekonomi luar biasa adalah: Sudan
Selatan (35.0 %), Macau (13.5 %), Sierra Leone (11.2 %), Turkmenistan (9.2 %),
Bhutan (8.8 %) dan Libya (8.8 %). Ini di atas kertas. Apa yang berlaku di Sudan
Selatan pada ketika ini, mungkin menjadikan peratusan pertumbuhan kembali
merosot.
Kita harus menerima hakikat, bahawa kita sudah melangkaui
zaman pembangunan yang sedemikian sifatnya. Cabaran kita adalah mencari rentak
pertumbuhan ekonomi baru yang lebih tinggi rantaian nilainya. Tanpa sabotaj
pihak tertentu, sudah pasti pelaburan berbilion ringgit dapat kita realisasika.
Malangnya, di atas jalur kepentingan politik, ia disabotaj kumpulan yang
berkepentingan.
Rakyat perlu tahu bahawa dosa
mensabotaj ekonomi negara sendiri ini hanya boleh
dilakukan kumpulan yang tidak bertanggungjawab - dan tidak wajar kita ampunkan
sampai bila-bila. Apabila kepentingan politik mendahului rasional dan hemah
yang sewajarnya, kita kembali kepada amalan politik jahiliyah dan jahat
sifatnya.
Menangani Kesenjangan Ekonomi-Politik. Dalam sidang Parlimen yang lalu, sewaktu bangkit berbahas di
Parlimen, seringkali penulis mengingatkan bahawa kita perlu sama-sama melihat
sempadan ekonomi yang lebih menjanjikan pertumbuhan kepada negara secara
keseluruhannya. Beban ini tidak seharusnya menjadi beban kerajaan semata-mata.
Pembangkang juga perlu memainkan peranan. Pada pandangan
penulis, ada empat (4) jurang yang perlu kita utamakan dalam pada kita menyusun
langkah pemerkasaan ekonomi tahun 2014 dan seterusnya.
1. Kesenjangan pendapatan Bumiputera
berbanding kaum lain;
2. Kesenjangan pendapatan
intra-etnik (menangani jurang antara Bumiputera kaya dan miskin);
3. Kesenjangan pendapatan
bandar-luar bandar;
4. Kesenjangan pendapatan kumpulan
berpendapatan sederhana dan berpendapatan tinggi (tanpa mengira kaum);
Kerajaan pada hakikatnya sedang melihat kepada garis-garis
besar kesenjangan ekonomi-politik yang dinyatakan di atas. Yang menjadi
masalah, adalah kelemahan pelaksanaan dan elemen pertanggungjawaban semua pihak
dalam memastikan ia dapat dilaksana secara berkesan dan tuntas.
Dalam menyusun ritma ekonomi yang tepat, sudah pasti kita
perlu melakukan beberapa usaha koreksi yang agak menyakitkan. Namun, sebagai
sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, Barisan Nasional (BN) juga tidak akan
berhenti memikirkan inisiatif untuk membantu rakyat. Komitmen akujanji perlu dilihat dalam konteks satu
penggal/5 tahun - dan bukannya beberapa bulan selepas PRU.
Selamat tahun baru 2014 - dan semoga kita mampu menjadi ahli
politik dan rakyat yang lebih bertanggungjawab. – Dato Seri Reezal Merican
Naina Merican
No comments:
Post a Comment