Khabarnya lebih sejuta rakyat Malaysia duduk di depan televisyen untuk mengikuti siaran lansung TV3 mengenai wawancara Perdana Menteri yang bersedia menjawab pelbagai isu nasional termasuk isu berkaitan 1MDB dan pembunuhan wanita cantik Mongolia.
Selepas puas melihat reaksi umum menerusi pertanyaan, kritikan, ramalan, telahan, analisa dan temberang, akhirnya Datuk Seri Najib Tun Razak muncul di kaca televisyen bagi menjawab beberapa persoalan utama yang terbuku di hati seluruh rakyat Malaysia.
Selepas puas melihat reaksi umum menerusi pertanyaan, kritikan, ramalan, telahan, analisa dan temberang, akhirnya Datuk Seri Najib Tun Razak muncul di kaca televisyen bagi menjawab beberapa persoalan utama yang terbuku di hati seluruh rakyat Malaysia.
Beliau menjawab
pelbagai soalan mengenai beberapa isu yang diutarakan oleh pelbagai pihak
termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sambil menegaskan bahawa keutamaan beliau ialah kepada
rakyat dan negara, Najib menjawab
segenap aspek persoalan dan kritikan terhadap pentadbiran beliau, meliputi isu
pengurusan 1MDB, pelaksanaan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan), BRIM (Bantuan
Rakyat 1Malaysia), kes pembunuhan Altantuya, Akta Hasutan, POTA (Rang
Undang-Undang Pencegahan Keganasan) dan prospek ekonomi negara.
Beliau mengupas segala isu itu ketika diwawancara Hamdan
Ahmir dalam program Soal Jawab TV3 Edisi Khas. Berikut adalah transkrip penuh
wawancara itu:
HAMDAN: Sejak kebelakangan ini, ada beberapa pihak yang
mengkritik Yang Amat Berhormat Perdana Menteri berkaitan beberapa isu
pengurusan kewangan dan pentadbiran. Malah ada pihak yang meminta supaya
Perdana Menteri melepaskan jawatan kerana mereka berpendapat UMNO dan Barisan
Nasional akan tewas dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya Yang Amat
Berhormat terus memimpin. Untuk menjawab persoalan-persoalan ini, saya
alu-alukan kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
SOALAN: Saya ingin mulakan sesi kita dengan menyampaikan
rasa simpati kami kepada Datuk Seri dan juga warga kerja Pejabat Perdana
Menteri atas kehilangan sahabat Datuk Seri yang cukup rapat, Tan Sri Jamaluddin
Jarjis, dan juga dua pegawai kanan yang paling rapat dengan Datuk Seri, Datuk
Azlin Alias dan Datuk Mohd Poad (Jelani). Bagaimana Datuk Seri menangani
kesukaran dalam saat-saat yang berdukacita ini?
NAJIB: Tentu sekali kehilangan mereka bertiga merupakan
tragedi bagi Pejabat Perdana Menteri, lebih-lebih lagi bagi diri saya sendiri,
tentu sekali bagi keluarga mereka, sahabat handai. Dalam konteks pentadbiran
negara, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis telah memberi sumbangan yang
besar dalam pelbagai kapasiti di dalam dan luar negara.
Allahyarham Datuk Azlin dalam pentadbiran pejabat saya telah
menjalankan tugasnya dengan efisien, dengan amanah. Begitu juga dengan Datuk
Poad sebagai setiausaha sulit saya, telah jalankan tugasnya dengan baik.
Namun, walaupun saya tetap dalam kesedihan tetapi kehilangan
mereka itu menguatkan iltizam saya untuk menjalankan tugas-tugas saya memimpin
negara dengan sebaik mungkin untuk mencapai segala impian, segala cita-cita dan
wawasan negara.
SOALAN: Kita dapati Datuk Seri, kerajaan membuat penilaian
semula dari segi perkembangan ekonomi negara akibat tekanan-tekanan yang kita
hadapi secara global. Dari segi ekonomi, bagaimana Datuk Seri melihat
usaha-usaha yang dijalankan setakat ini dalam memantapkan ekonomi negara ke
tahap yang lebih tinggi?
NAJIB: Memang penilaian semula itu sangat kena pada masa
berikutan kejatuhan harga minyak yang agak begitu drastik, merudum jatuh hingga
ke paras separuh daripada masa-masa sebelum ini. Sudah tentu mana-mana negara
pengeluar minyak terpaksa membuat penyesuaian/adjustment kepada kedudukan
fiskal negara, supaya langkah-langkah yang lebih proaktif kita dapat menjamin
bahawa fundamental ekonomi negara kita masih kukuh.
Ini yang nak saya tekankan. Meskipun harga minyak jatuh
tetapi fundamental ekonomi negara kita tetap utuh dan kita masih boleh mencapai
kadar pertumbuhan yang sederhana tinggi. Kita masih boleh menarik pelaburan, kita masih boleh
melaksanakan pembaharuan transformasi negara dan kita boleh terus memastikan
rakyat Malaysia terbela.
SOALAN: Kita dapati banyak pihak yang menyambut baik
usaha-usaha yang dibuat kerajaan dari segi memantapkan ekonomi negara. Dalam
pada itu, Datuk Seri, ada pihak-pihak tertentu yang nampaknya tidak berpuas
hati dengan cara pentadbiran Datuk Seri sendiri sebagai Perdana Menteri.
Saya ingin khususkan kepada kritikan-kritikan yang dibuat
sejak akhir-akhir ini oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
terhadap kepimpinan Datuk Seri sendiri. Bagaimana Datuk Seri melihat kritikan
yang datang ini?
NAJIB: Saya tetap hormati Tun Dr Mahathir seperti mana saya
hormati rakyat Malaysia. Saya terbuka sekiranya mana-mana pihak yang mengkritik
kepimpinan saya, pentadbiran saya. Saya harap kritikan itu dibuat dengan penuh berhemah dan
cara bertanggungjawab. Saya meneliti, saya menimbang kewajaran setiap kritikan
itu. Tetapi saya perlu tegaskan pada kesudahannya, saya perlu membuat keputusan
sebagai Perdana Menteri dan sebagai Presiden UMNO, dan saya bertanggungjawab
kepada rakyat Malaysia dan kepada parti. Itu saya nak tegaskan. Apapun pendapat individu, pada kesudahannya, saya akan
bertanggungjawab kepada rakyat dan kepada parti.
SOALAN: Kita ambil contoh misal kata pengenalan GST pada 1
April. Ada pihak yang beranggapan bahawa dari segi timing GST diperkenal itu
kurang sesuai di kala rakyat merasakan kesan ekonomi dunia yang memberi kesan
kepada Malaysia itu juga menghimpit mereka. Apa komen Datuk Seri?
NAJIB: Sebenarnya, tiada masa yang dikatakan sesuai untuk
memperkenalkan GST. Kalau kita lihat pada keseluruhannya, antara faktor yang
boleh dikatakan menyebelahi langkah kerajaan untuk memperkenalkan GST; harga
minyak dah jatuh.
Bila harga minyak jatuh, maknanya harga petrol dan diesel
lebih rendah dari masa-masa sebelumnya. Itu satu...rakyat mendapat faedah daripada
penurunan harga minyak dunia. Yang kedua, kerajaan telah membuat persediaan
yang begitu lama.
Soal GST ini sejak tahun 80-an lagi. Bukan perkara baharu.
Jadi kita laksanakan daripada makronya sesuai masanya sebab kerajaan perlu
kepada punca kewangan tambahan sebab hasil dividen daripada Petronas akan
berkurangan kerana harga minyak dah jatuh.
Jadi amat sesuai kita perkenal sekarang dan kita juga telah
membuat satu bentuk di mana banyak produk perkhidmatan keperluan rakyat yang
di-zero rated atau dikecualikan. Lebih daripada 4,000. Tak pernah mana-mana
negara yang membuat cara sedemikian dan ini bukan cukai tambahan.
Ini penggantian kepada cukai perkhidmatan dan jualan (SST)
yang selain daripada itu, kita tambah BR1M, Bantuan Rakyat 1Malaysia, kita bagi
pengurangan cukai peribadi antara satu hingga tiga per cent. Dan kita kurangkan
juga cukai korporat, juga satu per cent. Jadi pakej, jika kita lihat
keseluruhannya, adalah pakej yang tidak membebankan rakyat.
Kerana kita nak pastikan pelaksanaannya, ini pokok,
pelaksanaannya dari segi penguatkuasaan. Kalau ada pihak komplen, dia bukan
pengenalan GST sebenarnya, tetapi pihak peniaga yang mengambil kesempatan.
Peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab, bukan semua.
Ada yang telah mengiklankan harga tak naik, ada yang kata
harga akan dikurangkan. Misalnya, harga kereta dikurangkan. Ada rangkaian
supermarket seperti Mydin yang kata kekalkan harga, ada yang kedai kain cakap
mereka akan absorb GST dan sebagainya. Jadi (apa yang) kita nak pihak penguatkuasaan ambil tindakan
ialah peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab.
SOALAN: Kita faham bahawa barangan harian yang menjadi
keutamaan rakyat Malaysia dikecualikan GST. Tapi ada juga dalam kalangan rakyat
yang membangkitkan soal apabila mereka pergi kedai makan, makanan orang
Malaysia seperti nasi lemak atau roti canai dengan teh tarik juga dikenakan
GST.
Kalau nak beli kicap tomato, sos Maggi misalnya pun
dikenakan GST. Jadi mereka bertanya bagaimana GST ini tidak membebankan mereka.
Keluar hari-hari makan di kedai kopi pun dikenakan GST.
NAJIB: Kalau pihak itu tidak sepatutnya kenakan GST, tolong
lapor kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (Koperasi dan
Kepenggunaan). Di sini letaknya kuasa pengguna. Kita mesti tahu kita ada kuasa.
Kuasa pertama kita boleh pilih mana-mana kedai yang kita nak beli barangan
ataupun kedai-kedai makan, kita boleh pilih. Jadi kedai-kedai yang tak
bertanggungjawab yang sengaja menaikkan harga, lepas itu menyalahkan pihak
kerajaan.
Kita janganlah pergi ke kedai itu. Banyak kedai lain. Kedai
alternatif lain. Yang kedua kita mesti lapor kepada kementerian dan pihak kastam.
Jadi gunakan kuasa sebagai pengguna. Lambat laun, mereka yang
mengeksploitasikan keadaan ini, mereka akan kehilangan pembeli.
SOALAN: Saya nak kaitkan kembali antara BR1M dan GST seperti
yang disuarakan Tun Mahathir juga bahawa masa yang tidak sesuai mengikut
pandangan beliau, tidak semestinya betul. Tidak sesuai untuk dilaksanakan GST
dan handout BR1M bukan langkah yang berkesan untuk diambil oleh kerajaan.
NAJIB: BR1M bukan handout. Sebenarkan BR1M merupakan social
safety net yang telah dicadangkan Jawatankuasa Fiskal, bukan saya sendiri.
Jawatankuasa Fiskal terdiri daripada jabatan-jabatan kerajaan termasuk Bank
Negara, EPU, Kementerian Kewangan dan sebagainya. Bila mereka bincang, pada
mulanya kerana kita nak kurangkan subsidi pukal.
Maknanya subsidi daripada minyak kita nak kurangkan kerana
banyak ketirisan. Banyak pembaziran. Banyak pihak yang tak layak dapat subsidi
mendapat faedah subsidi. Jadi kita kata, kita kurangkan. Tapi kita kena
kurangkan berperingkat-peringkat.
Kalau kita kurangkan, kita jimat perbelanjaan kerajaan. Bila
jimat perbelanjaan kerajaan, sebahagian daripada penjimatan itu kita salurkan
balik kepada rakyat. Jadi jika rakyat terpaksa membayar harga minyak lebih,
mereka adalah, orang kata timbal balas dalam BR1M bagi mereka yang
berpendapatan RM3,000 ke bawah. Sekarang kita tambah sikit kepada RM4,000, tapi
RM3,000 ke bawah ada timbal balas. Jadi itulah falsafahnya sebenarnya. Soal social safety net yang bukan saja Malaysia, tapi banyak
negara lain mengamalkan sistem social safety net dalam pelbagai kaedah.
SOALAN: Berbalik kepada kritikan Tun Mahathir, beliau ada
sebut kes Altantuya Shaariibuu. Kita semua sedia akur bahawa mahkamah telah
buat keputusan kes ini...sudahpun berlalu. Tapi ada pula timbul kritikan
daripada Tun Mahathir yang kata siapa yang beri arahan kepada pegawai polis
terbabit untuk membunuh Altantuya. Terasa perkara ini pelik sebab kes itu sudah
berlalu. Apakah Datuk Seri ada terbabit dalam perkara ini?
NAJIB: Ini cerita 2008...dah lama dah. Sebenarnya saya dah
lafazkan sumpah Wallahi Wabillahi Watallahi, tiga kali termasuk di sebuah
masjid di Permatang Pauh pada 2008...bahawa saya tidak mengenali Altantuya dan
saya tidak terlibat sama sekali sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Dan pihak polis telah jalankan siasatan. Dan pada masa itu Pak Lah (Tun
Abdullah Ahmad Badawi) sebagai Perdana Menteri dah laporkan, dan Ketua Polis
Negara dah buat kenyataan bahawa saya tak terlibat.
Dan tak ada bukti sama sekali yang timbul bahawa saya kenal
Altantuya. Tak ada langsung...tak ada gambar, tak ada tulisan, tak ada saksi
dan sebagainya. Mahkamah telah tentukan prosesnya sampai ke Federal Court.
Apakah kita nak persoal integriti mahkamah kita yang kita pertahankan sebelum
ini?
SOALAN: Difahamkan Datuk Seri sebenarnya sebelum ini pernah
bertemu Tun Mahathir sendiri mengenai beberapa isu. Adakah beliau bertanyakan
Datuk Seri kes Altantuya ini?
NAJIB: Tak secara langsung tapi kita pernah sekali
berbincang. Dalam perbincangan itu saya lihat beliau tak persoalkan penglibatan
saya dalam (kes) Altantuya. Dan saya anggap perkara ini tak berbangkit sama
sekali. Bila saya bincang dengan Tun Mahathir, saya tunjuk bahawa saya tetap
hormat dia misalnya, walaupun saya sebagai perdana menteri. Tapi saya pergi ke
rumah dia, saya tak benarkan dia datang rumah saya. Tapi macam mana pun bila
kita bincang saya perlu buat keputusan sebagai perdana menteri.
SOALAN: Dia (Tun Mahathir) faham bila (Datuk Seri) jumpa dan
memberi penerangan tetapi kenapa ditimbulkan lagi perkara ini?
NAJIB: Dia ada satu dua perkara dia nak saya buat. Tapi saya
dah beri pandangan atas perkara ini. Misalnya dia tak setuju BR1M, dia minta
saya buat jambatan bengkok ganti Tambak Johor. Saya dah bagi pandangan atas
perkara ini. Saya anggap ini sebagai perbincangan antara dua individu...agak
sihat kalau ada perbezaan pendapat tapi macam mana pun akhirnya saya kena
bertanggungjawab kepada rakyat dan parti. Dan kebanyakan perkara ini saya bawa
dalam Kabinet dan Kabinet akan putuskan perkara ini.
SOALAN: Datuk Seri, saya nak beralih kepada soal 1MDB. Ada
pihak-pihak yang mendakwa urus niaga 1MDB dengan didalangi beberapa personaliti
tertentu amatlah meragukan sekali. Apa komen Datuk Seri?
NAJIB: Saya nak jelaskan bahawa 1MDB merupakan sebuah badan
yang kita sifatkan sebuah investment company. Bermula dengan capital hanya RM1
juta saja berbanding dengan PNB, Khazanah dan badan-badan lain kita beri
macam-macam suntikan modal. Tapi untuk 1MDB cuma RM1 juta saja.
Bila 1MDB nak kembangkan perniagaan, dia terpaksa meminjam
tapi aset-aset yang telah pun diperoleh oleh 1MDB melebihi liabiliti. Ini saya
nak tekankan... melebihi liabiliti. Kita perlu beri lebih masa kepada 1MDB
untuk membangunkan atau mencairkan aset-aset ini supaya dia dapat melunaskan
hutang-hutangnya. Kita boleh pertikai business model, saya sedia dengar
pandangan-pandangan berbeza tapi apa saya nak tegaskan di sini, saya tak
condone, tak boleh terima kalau ada apa-apa salah guna kuasa dalam 1MDB.
Misalnya duit dilesapkan...dan sebagainya.
Sebab itu bila Deloitte sebagai auditor telah sahkan
auditnya, saya masih tak puas hati. Saya dah bawa cadangan dalam Kabinet supaya
Ketua Audit Negara menyemak balik secara
terperinci. Dan setelah Ketua Audit Negara menyemak, saya minta PAC
(Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) teliti pula. Dalam PAC ada pembangkang,
mereka boleh bincang laporan audit.
Apa saya nak katakan, biarlah proses ini berjalan...bagi
tempoh. Sebab kalau kita dakwa, ada banyak beza kalau kata duit dilesap atau
pinjam, rizab. Saya juga minta Ketua Audit sahkan adakah tidak duit 1MDB diguna
untuk buat filem umpamanya. Saya nak tahu dan ini antara perkara-perkara yang
mesti ditentukan laporan ketua audit dan mesti disahkan atau sebaliknya oleh
PAC.
SOALAN: Ada tempoh masa yang diberi?
NAJIB: Kita tak beri tempoh tapi mereka mesti buat seberapa
segera yang boleh. Siasatan yang rapi seberapa segera yang boleh sebab saya nak
rakyat tahu sebab saya telah beri jaminan bahawa dalam urusan 1MDB ini, kalau
ada salah guna kuasa, maka kita takkan pertahankan sesiapa.
SOALAN: Ada juga pihak yang bertanya wang yang dipindah dari
Cayman Island ke Singapura tapi tak dibawa balik ke Malaysia. Mengapa Datuk
Seri?
NAJIB: Pertamanya duit itu tidak di Cayman Island. Cayman
Island ini merupakan pendaftaran saja...Banyak syarikat, ada 200 syarikat
Malaysia ada Cayman Island account. Tak ada salahnya ada Cayman Island account.
Mereka simpan duit ini di luar sebab mereka ada hutang luar. Daripada mereka
bawa balik ke Malaysia elok mereka simpan di luar sebab boleh dapat keuntungan
daripada Forex dan sebagainya. Masa akan menentukan tapi dalam masa tertentu
duit itu akan dibawa balik ke Malaysia.
SOALAN: Jadi tak ada kaitan dengan syarat-syarat Bank Negara
untuk dibawa balik wang itu ke Malaysia?
NAJIB: Sistem kita bebas. Apa-apa kita nak buat pun dia
dengan pengesahan daripada Bank Negara. Jadi Bank Negara tahu movement of fund
dan sebagainya.
SOALAN: Adakah Datuk Seri pernah jelaskan perkara 1MDB
kepada Tun Mahathir?
NAJIB: Saya secara langsung tidak (ada) sebab dia tak
bangkit secara terus dengan saya. Tapi saya tahu Lembaga Pengarah 1MDB dan
ketua eksekutif 1MDB ada jumpa dengan beliau terangkan keadaaan.
SOALAN: Adakah Datuk Seri pohon pengurusaan 1MDB agar lebih
transparent dalam urus niaga akan datang supaya rakyat dapat maklumat
secukupnya?
NAJIB: Ya, begitulah dengan penyusunan semula pengurusan
1MDB saya harap sedemikian. Begitu juga kita umumkan program
rationalisation...kita sekarang dalam langkah pelaksanaan rationalisation 1MDB.
Kita perlu tempoh masa sikit tetapi pelannya sudah disediakan dan kita dalam
peringkat pelaksanaan.
SOALAN: Tadi Datuk Seri sebut pembikinan filem yang dituduh
daripada 1MDB. Kenapa Datuk Seri bangkitkan soal pembikinan itu. Apa
implikasinya?
NAJIB: Sebab ada dakwaan-dakwaan sedemikian. Saya tidak mahu
mempertahankan apa-apa sebab ia melibatkan ahli keluarga tapi saya nak Ketua
Audit mengesahkan perkara ini.
SOALAN: Saya nak beralih kepada Akta Hasutan. Pada satu
ketika dahulu Datuk Seri sendiri menyatakan kemungkinan Akta Hasutan ini akan
dikaji semula. Tapi baru-baru ini keputusan telah dibuat bahawa Akta Hasutan
akan kekal. Jadi banyak pihak yang mengkritik Datuk Seri atas keputusan yang
berubah-ubah ini. Apa komen Datuk Seri?
NAJIB: Sebenarnya bila saya kata Akta Hasutan akan dikaji
semula ia tidak bererti bahawa peruntukan-peruntukan yang menjadikan sesuatu
bentuk dakwaan yang boleh disifatkan sebagai hasutan tidak kita masukkan dalam
akta baharu. Cuma nama Akta Hasutan, Sedition Act itu boleh dianggap sebagai
controversial sebab asal usul 'sedition' itu dikaitkan dengan
peristiwa-peristiwa yang dahulu. Jadi kita nak melihat dalam sudut lebih
positif.
Ia misalnya air dalam gelas. Separuh kosong kah separuh penuh. Itu
sahaja. Tapi saya sedar dalam negara kita ini negara yang berbilang kaum dan
berbilang agama kita mesti ada undang-undang yang menyekat dan membanteras
sesiapa yang boleh membuat dakwaan, kenyataan dan apa-apa berita dalam majalah,
tulisan dan sebagainya yang boleh menghasut rakyat, membenci rakyat,
sehinggakan timbul rusuhan. Perbalahan dan rusuhan.
Dan ini mempertahankan semua kaum, semua kepercayaan bukan
sahaja orang Islam, orang Melayu tetapi yang bukan Islam, yang bukan Melayu
juga dipertahankan. Supaya negara kita ini aman. Kalau kita tidak sentuh soal
agama, tidak menghina agama orang lain, tidak menidakkan soal kewarganegaraan orang
lain, tidak mengatakan orang itu pendatang dan sebagainya, amanlah negara kita.
Ini tidak bererti bahawa kita tidak boleh mengkritik
kerajaan. Sebab dalam pindaan akta ini kita kata peruntukan mengkritik kerajaan
itu kita mansuhkan. Kalau dulu misalnya kita boleh dakwa mana-mana pihak yang
mengkritik kerajaan sebab ada peruntukan dalam Sedition Act yang sedia ada.
Kita dalam pindaan Sedition Act kita mansuhkan. Mereka boleh kritik kerajaan.
Tetapi kritik kerajaan bukan bererti mereka boleh menghasut rakyat menjatuhkan
kerajaan melalui tunjuk perasaan umpamanya. Itu salah. Tapi kalau dia kata
tukar kerajaan waktu pilihan raya itu tidak salah.
Jadi inilah yang nak diamalkan dalam negara kita bahawa
sistem demokrasi yang sihat dan bertanggungjawab. Sebab saya sebagai perdana
menteri, tanggungjawab saya adalah menjaga keamaman dan keselamatan negara
kita. Kalau tiada keamanan, keselamatan negara, tiada apa guna bagi kita semua.
SOALAN: Ada juga kalangan parti pembangkang yang beranggapan
bahawa Akta Hasutan ini sebenarnya ialah untuk memerangkap mereka. Adakah ini
benar?
NAJIB: Tidak benar. Mereka pembangkang mereka boleh kata,
mereka boleh kritik kerajaan, mereka boleh kata kerajaan tidak bagus, mahu
tukar kerajaan waktu pilihan raya, mereka boleh kata. Tentu sekali ini amalan
demokorasi. Yang kita tidak mahu kalau mereka mengeksploit soal-soal agama,
soal-soal kaum yang menghasut rakyat. Kalau mereka menghasut rakyat, rakyat
marah, timbul perbalahan, kesudahannya berlaku rusuhan kaum, antara agama dan
sebagainya. Siapa yang akan menderita? Rakyat yang akan menderita. Negara
rosak. Jadi inilah yang kita mahu elakkan.
SOALAN: Akta Hasutan mungkin terguna pakai untuk masalah
yang wujud di dalam negara. Tetapi sekarang ini muncul pula ancaman terbaharu
kepada negara iaitu ancaman pengikut-pengikut IS. Jadi bagaimanakah Datuk Seri
melihat kerajaan akan menangani perkara ini daripada berlarutan?
NAJIB: Itu sebab kita memperkenalkan akta baharu ini. Supaya
kita boleh bertindak dengan kekuasaan baharu. Tetapi ia dikhususkan kepada soal
violence extremism. Pengganas-pengganas menggunakan kekerasan, bakal
menggunakan kekerasan. Saya tahu yang dipertikaikan ia merupakan preventive
detention, ada element preventive detention. Tetapi ia tidak boleh disamakan
dengan ISA sebab kuasa menahan ini kuasa badan khas yang terdiri daripada
mungkin hakim atau bekas hakim, orang yang ada kredibiliti. Bukan kuasa yang
diberikan kepada badan eksekutif.
Jadi kalau kita nak tahan orang pun, kita mesti memberi
bukti yang boleh meyakinkan badan khas ini dan mereka boleh membuat keputusan.
Kalau kita tunggu sesuatu kejadian berlaku, katalah sebuah bom telah
diletupkan, tentu kesan yang cukup dahsyat, implikasinya cukup buruk. Jadi
sebelum sesuatu itu berlaku, kita ambil tindakan di bawah akta yang baharu ini
tetapi kita mesti ada bukti yang cukup. Misalnya kita sudah tahu dia sudah ada
bom, nak buat bom, tunggu masa sahaja nak bergerak, nak bertindak, masa itu
kita boleh ambil tindakan di bawah akta yang baharu.
SOALAN: Dalam Datuk Seri menangani isu-isu panas
kebelakangan ini, banyak yang menyentuh kerajaan, mengkritik kerajaan dan
sebagainya. Bagaimanakah sokongan daripada anggota Kabinet dan juga parti
komponen Barisan Nasional dan UMNO sendiri?
NAJIB: Alhamdulillah setakat ini sokongannya sangat baik.
Banyak pihak telah membuat kenyataan secara terbuka dari kalangan anggota
Kabinet, parti-parti komponen, ketua-ketua bahagian, ahli-ahli Yang Berhormat
dan sebagainya. Yang sebelum tadi, yang petang tadi Wanita UMNO buat kenyataan
dan sebagainya. Jadi saya melihat parti ada bersama-sama saya, di belakang saya
untuk terus memimpin parti dan negara. Tapi seperti mana yang saya kata, bahawa
saya boleh menerima kritikan. Tetapi kesudahannya saya bukan bertanggungjawab
kepada mana-mana individu, saya bertanggungjawab untuk rakyat Malaysia dan
parti.
SOALAN: Bagaimana pula dengan pandangan Tun Dr Mahathir yang
mengatakan bahawa sekiranya Datuk Seri terus memimpin negara, UMNO dan Barisan
Nasional akan tewas pada pilihan raya umum akan datang.
NAJIB: Itu pendapat peribadi Tun Dr Mahathir. Apa yang kita
dalam parti merasakan, bahawa soal kejayaan kepada UMNO dan BN bergantung
kepada kekuatan kita. Kekuatan kita hanya akan menjadi suatu kejayaan kalau
kita padu dalam parti. Kalau kita padu dan tidak bercanggah sesama kita, tiada
unsur-unsur sabotaj dan sebagainya, saya yakin kita boleh menang dalam PRU
ke-14 yang akan datang.
SOALAN: Tapi kritikan-kritikan ini nampaknya berterusan
Datuk Seri. Bagaimana Datuk Seri keep on moving forward dengan
kritikan-kritikan yang tidak pernah sunyi ini dan mungkin tidak akan berakhir?
NAJIB: Kritikan pada kali ini lebih daripada biasa. Lebih
sengit daripada biasa, tapi saya kena terimalah ini asam garam politk yang mana
bukan semua keadaan, wujud keadaan yang tenang dan selesa sepanjang masa.
Sebaliknya kritikan ini saya terima walaupun pedih. Tetapi pokok pangkalnya
saya bertanggungjawab kepada rakyat dan parti. Selagi rakyat dan parti memberi
mandat kepada saya, meletakkan amanah, saya tetap akan teruskan kepimpinan
negara dan parti.
SOALAN: Ada juga
kalangan berpendapat perkara yang dibuat nampak jelas oleh kerajaan ialah dari
segi pemberian BRIM. Itu nampak ada kalangan yang berpendapat sebenarnya tidak
ada perkara projek-projek lain yang benar-benar
bagi manfaat kepada kepada rakyat. Adakah dakwaan ini benar?
NAJIB: Tidak. Kalau kita lihat pencapaian negara kita
pertamanya kita mulakan dengan data-data mikro misalnya kalau kita lihat kadar
pertumbuhan tahun sudah, kita capai kadar pertumbuhan enam peratus, antara yang
tertinggi di Asia Tenggara.
Kedua, kalau kita lihat dari segi pertambahan kekayaan GNI
sejak 2009 sampai 2014 bertambah 47 peratus. Itu merupakan satu kadar
peningkatan GNI yang begitu tinggi. Kadar apa nama, kemiskinan misalnya,
sekarang ini tahapnya satu peratus sahaja.
Kita telah mewujudkan 1.5 juta pekerjaan misalnya dan kita
telah beri peluang untuk ramai pihak mencapai kelulusan dan dah menjadi middle
class dan sebagainya dan kalau kita lihat dari segi on the ground dan keadaan
sebenarnya, bekalan api, elektrik, jalan
asas terutama sekali untuk Sabah dan Sarawak,banyak yang telah kita tunaikan dan program-program yang
kita jalankan misalnya di bawah 1Azam, latihan-latihan keusahawanan, bantuan
kepada SME (perusahaan kecil dan sederhana) dan sebagainya untuk
peniaga-peniaga dan sebagainya.
Banyak yang telah kita lakukan. Ini semua kita telah
rakamkan dalam buku-buku, yang telah kita maktubkan dalam risalah-risalah dan
sebagainya, dalam surat khabar. Jadi nak kata kita tak buat banyak itu, tidak
benar.
Sebenarnya kita dah buat terlalu banyak termasuk projek
seperti MRT dan sebagainya. Yang terbaharu saya melancarkan Pan Borneo Highway
yang ditunggu-tunggu 50 tahun oleh rakyat Sarawak. Hari ini mula
pelaksanaannya.
Jadi kalau kita lihat segala-galanya kita boleh tengok di
Malaysia ini memang banyak perubahan dilakukan.
SOALAN: Projek perumahan rakyat?
NAJIB: Banyak ya, termasuk projek perumahan rakyat. Semalam
saya lancarkan projek perumahan untuk penjawat-penjawat awam. 1,500 penjawat
awam akan menerima rumah mampu dimiliki oleh mereka.
Kita dah janji nak buat satu juta rumah mampu dimiliki dalam
tempoh lima tahun. Jadi ini semua komitmen kerajaan yang kita sedang
laksanakan.
SOALAN: Adakah Datuk Seri berpuas hati dengan kerja-kerja
untuk membangunkan semula kediaman mangsa-mangsa banjir di Kelantan?
NAJIB: Setakat ini saya fikir banyak yang boleh kita lakukan
lagi. Saya tidak begitu puas hati sebenarnya. Saya ingat, saya rasa perlu lagi
ditingkatkan.
Saya harap kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan
negeri inilah dapat diperkukuhkan lagi terutama sekali nak beri tanah. Sebab
tanah di bawah kerajaan negeri. Kalau kita ada tanah, peruntukan kewangan dah
bersedia, dan kita boleh serahkan untuk dibina rumah-rumah baharu.
SOALAN: Kita dapati tahun ini tahun ke-6 Datuk Seri sebagai
PM, apakah agaknya perancangan Datuk Seri seterusnya, the way forward for
Malaysia?
NAJIB: Langkah ke hadapan, the way forward kita telah
jelaskan dan paparkan kepada rakyat. Sampai kepada tahun 2020 ini kita nak
Malaysia menjelma sebagai advanced economy, sebagai negara maju. Dalam pada
itu, kita tahu bila kita isytihar Malaysia sebagai negara maju, Insya-Allah,
bukan semua rakyat akan merasakan mereka sebahagian daripada ekonomi maju sebab
kita gunakan penilaian atau kriteria average income.
Ada yang merasakan
kedudukan mereka tidak begitu besar perubahannya. Tambah-tambah lagi kalau harga
komoditi getah masih pada paras rendah, harga sawit dan sebagainya. Kelompok
ini kita perlu lihat bagaimana kita boleh beri tumpuan untuk meningkatkan
pendapatan mereka. Saya akan melihat pada Rancangan Malaysia ke-11, apa yang
boleh kita masukkan sebagai program-program tambahan, misalnya latihan
kemahiran, latihan teknikal, keusahawanan. Ini kita mesti beri tumpuan sebab
boleh beri perubahan besar kepada pendapatan rakyat. Selepas tahun 2020 kita
akan lihat semula. Tapi our immediate goal dalam masa terdekat ini, dalam masa
lima tahun akan datang semestinya untuk jayakan wawasan negara.
SOALAN: Apakah Datuk Seri berpuas hati dengan langkah yang
kita ambil agar idea Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh Tun Dr Mahathir itu
terus kita capai?
NAJIB: Saya yakin kalau kadar pertumbuhan dapat kita
pastikan dalam lingkungan lima peratus setahun. Kalau kita lihat dari segi per
kapita income, Insya-Allah boleh kita dimartabatkan sebuah negara maju
Insya-Allah menjelang 2020. Tetapi saya juga sedar bahawa ini average income.
Kita mesti sedar ada kelompok yang mana pendapatan bawah average yang merasakan
mungkin kedudukan mereka tidak sebahagian daripada negara maju. Inilah yang
mesti kita beri tumpuan, supaya pendapatan kelompok yang bawah 40 peratus
average ini mesti kita beri tumpuan yang lebih.
SOALAN: Ada juga pihak yang berpendapat kritikan-kritikan
yang datang daripada pihak, terutama sekali daripada Tun Dr Mahathir tidak akan
berhenti. Bagaimana Datuk Seri bercadang menangani perkara-perkara ini dalam
perjalanan kita menuju Wawasan 2020. Adakah ia memberi kesan kepada Datuk Seri
sebagai pemimpin negara?
NAJIB: Saya merasakan bahawa apa yang patut saya lakukan
adalah teruskan sikap saya. Maknanya saya terbuka. Setiap kritikan itu saya
pertimbang dan saya lihat kalau ada apa-apa kekurangan dalam pentadbiran saya.
Saya tak pernah kata bahawa saya tak buat kesilapan. Saya akui bahawa setiap
manusia itu bukanlah perfect.
Tak ada manusia yang tak buat kesilapan. Jadi
maknanya saya bersedia dan serius lakukan penambahbaikan. Tetapi kalaulah saya
merasakan bahawa apa yang saya lakukan itu dapat sokongan parti dan rakyat maka
saya akan teruskan dasar-dasar saya dan keputusan saya. Sebab pada hakikatnya,
penentuan hala tuju negara ini bukanlah ditentukan oleh mana-mana individu,
tapi ditentukan rakyat dan parti.
SOALAN: Jadi, kedudukan Datuk Seri sebagai pemimpin parti,
ditentukan oleh ahli-ahli parti sendiri?
NAJIB: Ahli parti dan kesudahan pada rakyat. Dia ada dua
proses. Maknanya antara pilihan raya, parti akan tentukan. Tetapi waktu pilihan
raya, rakyat akan membuat kata putus.
SOALAN: Saya nak tanya Datuk Seri, bagaimana Datuk Seri
membahagikan masa dari segi weightage, wajaran antara hal-hal keluarga, dengan
hal-hal negara. Bagaimana Datuk Seri mengimbangi perkara ini?
NAJIB: Setiap individu ada caranya. Tetapi bila sudah jadi
Perdana Menteri ini, masa untuk keluarga dan masa untuk diri sendiri, orang
kata private time itu memang amat terbatas. Tetapi saya cubalah untuk
mengimbangi antara kerja-kerja untuk parti, untuk rakyat, untuk kerajaan. Di
samping itu kalau ada masa terluang, saya cuba bersama-sama dengan keluarga,
dan juga membuat latihan riadah umpamanya, exercise itu mustahak. Dan kewajipan
kita kepada Allah kita mesti tunaikan.
SOALAN: Pada pandangan Datuk Seri, apakah faktor-faktor yang
menyumbang kepada perpecahan dan kejatuhan sama ada dari segi parti atau
sesuatu kerajaan?
NAJIB: Kalau berlaku sesuatu krisis dalaman parti, kalau ada
parti itu berpecah misalnya kepada dua tiga kumpulan dan kita hilang kepercayaan
sepenuhnya kepada kepimpinan negara dan parti, maka parti akan lemah. Bila
parti lemah dari dalam, parti boleh tewas. Saya selalu mengingatkan ahli-ahli
parti bahawa tak mungkin parti kalah kerana ancaman asakan dari luar tetapi
parti boleh kalah kerana perpecahan dari dalam.
SOALAN: Bagaimana pula peringkat negara, untuk keseluruhan
rakyat Malaysia?
NAJIB: Saya kena hadapi. Zaman sekarang zaman persepsi
sebenarnya, bukan realiti. Dengan pengaruh sosial media yang begitu berleluasa
hari ini. Zaman Tun Mahathir tak ada sosial media. Zaman sekarang ini sosial
media berperanan besar. Jadi inilah satu yang terpaksa kita buat pengubahsuaian
dari segi pendekatan supaya menangani persepsi. Persepsi ini jika tidak
ditangani boleh menjadi realiti. Inilah mungkin cabaran paling besar bagi saya dan rakan-rakan saya
ialah untuk menangani persepsi.
SOALAN: Kita semua tahu bahawa keluarga Datuk Seri, daripada
Allayarham Tun Abdul Razak mempunyai perhubungan cukup erat dengan Tun Dr
Mahathir. Ini pertalian yang cukup lama. Walaupun dengan kritikan daripada Tun
Dr Mahathir, bagaimanakah Datuk Seri melihat Tun Dr Mahathir. Adakah pandangan
Datuk Seri sudah berubah? Kalau dulu Datuk Seri melihat beliau seperti seorang
bapa, dan Datuk Seri sendiri merupakan anak didik beliau. Adakah pandangan
seumpama itu sudah berubah kerana timbul kritikan terbaharu Dr Mahathir.
NAJIB: Saya akan tidak apa-apa dengan kritikan Tun Mahathir.
Tetapi saya ingin menyatakan bahawa, hakikatnya saya bertanggungjawab kepada
rakyat dan parti. Sama ada hubungan kita ini macam dulu atau tidak, masa akan
tentukan. Tapi bagi saya, saya beriltizam untuk menyerahkan kedudukan saya
kepada rakyat dan parti. Bukan bererti saya tak hormat mana-mana individu. Tapi
itu soal individu. Dari segi hakikatnya saya mesti serahkan kedudukan saya
kepada rakyat dan parti.
SOALAN: Apakah hasrat Datuk Seri kepada ahli-ahli parti dan
rakyat keseluruhan supaya kita dapat keluar daripada kemelut ini dan bawa ke
tahap lebih baik?
NAJIB: Pada saya kita mesti lihat yang pentingnya apa? Pada
saya yang pentingnya the big picture. Yang penting adalah soal masa depan kita,
hala tuju kita. Kita jangan benarkan sesuatu isu yang digembar-gemburkan
seolah-olah negara kita ini ekonominya sudah hancur, atau pun kita sudah
bermasalah sampai tidak boleh ditangani. Itu tidak benar sama sekali. Kita
mesti yakin kita menuju hala tuju yang benar dan positif. Dan dalam pada itu
kalau ada kelemahan kita perbaiki, kita perbetulkan. Mana-mana kerajaan di
dunia pun tak ada yang perfect, mesti ada kelemahan. Zaman Tun Dr Mahathir pun
tak perfect juga, zaman saya pun tak perfect. Tetapi kita mesti sedar bahawa
kita ini mempunyai sikap yang terbuka, kita betulkan keadaan, supaya hari esok
lebih baik daripada hari ini.
SOALAN: Apakah harapan Datuk Seri yang seterusnya, sebagai
yang terakhir?
NAJIB: Harapan saya rakyat akan terus bersama-sama dengan
kerajaan yang ada sekarang ini. Mungkin tak semua, tapi biar sebahagian besar.
Sebab kita mewarisi sebuah negara yang mempunyai masa depan yang begitu cerah
sekali. Mana-mana luar negara yang saya pergi, mereka melihat Malaysia sebagai
sebuah negara contoh, model. Janganlah kita mempolitikkan keadaaan ini terlalu
sangat sehinggakan menghancurkan kepentingan negara. Politik tidak boleh
mengatasi kepentingan negara.
Kalau semua rakyat sedar, Insya-Allah kita punyai masa depan
yang begitu baik sekali. Kita boleh berbeza pendapat, tak jadi masalah, asalkan
kita gunakan cara yang baik, cara berhemah, cara penuh bertanggungjawab. Masa
depan Malaysia, Insya-Allah tetap terjamin.
No comments:
Post a Comment