The Star melaporkan, Pengerusi
Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad
berkata, walaupun kerajaan belum mengumumkan kenaikan kadar tol, mereka harus
memenuhi janji pada PRU-13 yang lalu.
"Perkara penting di sini
adalah manifesto kita menyatakan bahawa kadar tol akan dikurangkan secara
berperingkat dan oleh itu, BNBBC berharap tidak akan ada sebarang
kenaikan," kata Shahrir.
Manifesto itu turut menyatakan
antara perkara lain yang ditekankan Barisan Nasional (BN) adalah untuk
mengurangkan tol antara bandar secara berperingkat-peringkat' dalam tempoh lima
tahun akan datang.
Shahrir yang juga Ahli Parlimen
Johor Baharu berkata, tiada sebarang rancangan oleh BNBBC untuk membantah
kenaikan tersebut kerana kerajaan masih belum mengesahkan mengenai perkara itu.
"Isu itu masih dibincangkan
oleh kerajaan, pemimpin-pemimpin BN yang terdiri daripada Ahli Parlimen di
pelbagai kawasan tidak mempunyai pendapat yang sama mengenai perkara ini kerana
tidak semua di kalangan kami mempunyai tol di kawasan masing-masing,"
katanya.
Walaupun pemimpin-pemimpin BN
dari Sabah dan Sarawak tidak perlu bimbang mengenai kenaikan kadar tol itu
kerana kawasan mereka tidak terlibat, Ahli Parlimen lain, terutamanya mereka
yang tinggal di Lembah Klang dan beberapa bandar utama amat bimbang mengenai
perkara ini.
Shahrir berkata,
pemimpin-pemimpin BN yang menentang kenaikan kadar tol terkesan mengenai isu
ini kerana pengurangan kadar tol, terkandung dalam manifesto parti itu ketika
menarik pengundi.
"Namun, kita juga menyedari
bahawa tidak menaikkan kadar tol akan bermaksud, mungkin ada kos yang perlu
ditanggung oleh kerajaan," katanya.
Sinar Harian melaporkan, Ahli
Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengingatkan
semula kerajaan BN agar mengkaji semula cadangan kenaikan kadar tol.
Menurutnya, ia adalah kerana BN
pada PRU13 lalu telah berjanji secara spesifik melalui akujanji pilihan raya
bahawa akan mengurangkan tol secara berperingkat.
"Dalam konteks tol, di bawah
tajuk 'Pembangunan Infrastruktur Bertaraf Dunia dan Pembangunan Luar Bandar',
untuk 'mengurangkan tol antara bandar secara berperingkat. Saya menaruh keyakinan
bahawa Perdana Menteri akan melihat perkara ini dengan lebih komprehensif.
Apabila Perdana Menteri umum 'kos sara hidup' sebagai agenda utama akujanji,
ianya pasti diberi perhatian oleh kerajaan," katanya, semalam.
Selangorkini melaporkan, Kerajaan
Negeri Selangor sudah mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)
yang memiliki pegangan minoriti saham dalam beberapa syarikat konsesi tol
menentang kenaikan kadar tol tahun depan.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim berkata, melalui anak syarikat itu, kerajaan negeri memiliki
tidak lebih 30 peratus saham dalam setiap syarikat.
Beliau juga telah mengarahkan
Ahli Lembaga Pengarah yang mewakili PKNS membuat beberapa cadangan supaya
kenaikan kadar tol tidak berlaku demi kepentingan rakyat.
“Kita berharap perkara ini dapat
dibincangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah. Kita rasa pulangan diperoleh
PKNS melalui pelaburan dalam syarikat konsesi adalah baik. Maka tidak perlu
dinaikkan kadar tol walaupun (dalam) perjanjian syarikat itu termaktub boleh
menaikkannya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Kerajaan Negeri, di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas kenyataan
Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang bersetuju
mengeluarkan arahan kepada wakil kerajaan dalam syarikat konsesi untuk tidak
menyokong kenaikan kadar tol.
Abdul Khalid berkata, beliau
difahamkan PKNS menerima pulangan keuntungan 35 peratus melalui pelaburan di
dalam syarikat konsesi.
“Majoriti pemegang saham mungkin
memikirkan mengenai soal aliran wang tetapi kerajaan negeri ada tanggungjawab
dengan rakyat dan kita minta PKNS suarakan pandangan jangan kenakan kadar
tinggi kepada rakyat.
Khalid bagaimanapun mengaku keputusan terakhir akan
dibuat lembaga pengarah lebuh raya berkenaan dan bukan keputusan kerajaan
negeri.
Harakah melaporkan, jika kerajaan
boleh mengambilalih pengendalian Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), mengapa
kerajaan tidak boleh mengambilalih syarikat-syarikat konsesi tol, kata Ketua
Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar.
"Jika kerajaan Barisan
Nasional (BN) benar-benar serius mahu membantu rakyat daripada tekanan kenaikan
tol, mengapa tidak ambilalih pengendalian tol dari syarikat-syarikat yang
diberikan konsesi seperti yang dilakukan ke atas pengendalian AES?
"Jika kerajaan ambil alih,
tidak timbul lagi soal perjanjian atau apa sahaja yang menjadi alasan kerajaan
untuk membenarkan kenaikan tol," kata beliau.
Bagi Mahfuz, badan-badan kerajaan
seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP) adalah pemegang saham utama hampir kesemua syarikat konsesi tol.
"Dengan pegangan sedemikian
besar, kerajaan boleh mencari jalan untuk mengelakkan kenaikan tol. Perjanjian
itu bukannya al-Quran sehingga tidak boleh disemak semula kewajarannya," kata
beliau.
Mahfuz juga menolak alasan
kononnya tindakan menghalang kenaikan tol akan mengurangkan jumlah dividen yang
bakal diterima pencarum KWSP yang mempunyai pegangan besar dalam
syarikat-syarikat tol
"Alasan itu tidak boleh
digunakan untuk mewajarkan tekanan syarikat-syarikat konsesi tol ke atas
rakyat. Bukan semua rakyat menjadi pencarum KWSP. Malah bagi rakyat yang
menjadi pencarum KWSP pun, tol yang mereka bayar jauh lebih banyak dari dividen
yang mereka terima," kata beliau.
Jabatan Perdana Menteri baru-baru
ini berkata pengguna jalan raya boleh memilih untuk menggunakan jalan biasa lain
sekiranya mengganggap kenaikan tol terlalu tinggi, sedangkan bagi kerajaan
kenaikan tol pada tahun hadapan adalah munasabah.
No comments:
Post a Comment