Thursday, 19 December 2013

Anak muda perlu kenal dan peduli dengan Yassin Salleh

Yassin Salleh dibadai derita
 
  • Penyair, dramatis, pengarah filem Yassin Salleh mungkin percaya dia memang dilahirkan untuk menderita. Hidupnya tidak pernah senang. Selama 30 tahun dia menjaga isterinya yang sakit. Kini setelah kematian isterinya, dia pula menghidap strok dan anak perempuannya pula sakit.
  • Ramai yang mengenal Yassin sebagai pengarah filem Dia Ibuku, filem yang memecahkan rekod kerana pencalonan paling banyak bagi sesebuah filem (17). Filem itu menang 10 anugerah dalam Festival Filem Malaysia 1981, rekod yang belum pernah dipecahkan dalam sejarah filem tanah air.
  • Tetapi Yassin mahu diingat sebagai penyair. Wajarlah dia menjadi Bapa Puisi Siber Malaysia. Teknologi SMS membawakan rahmat kepada orang-orang sepertinya. Yassin di antara penyair awal yang menerima teknologi baharu ini. Dia menggunakan SMS sebagai wahana berkarya. Dia mengaku sukar untuk mendapat tempat di media arus perdana.
  • Dia menulis puisi melalui internet – menghantarnya melalui e-mel dan selalunya melalui SMS. Ruang itu tanpa batas. Tiada siapa yang memilikinya. Itu alam bebas lepas, tanpa undang-undang dan peraturan, ruang koboi yang terbuka luas. Itu ruang baharu sastera yang tidak bertepi.
  • Yassin menghantar mungkin ribuan sajak melalui e-mel. Dan dengan apliksai baharu seperti Facebook, beliau mengambil kesempatan dalam ruang sosial networking itu untuk berkarya, bebas dan tanpa sekatan. Tanpa editor. Tanpa perlu menunggu lama untuk melihat karyanya disiarkan.
  • Yassin berkomunikasi terus dengan pembacanya. Dia menggunakan Facebook untuk berkarya, mencari teman dan menggoda kekasih. Dia menggunakan SMS untuk berpuisi. Dia menghantar puisi melalui e-mel. Yassin penyair media sosial nombor wahid.
  • Yassin berpuisi tentang dirinya. Tentang alamnya. Tentang kehidupannya. Tentang isterinya, Mummy yang pergi. Tentang anak-anaknya. Dia menghantar entah ribuan puisi SMS. Dan selalunya saya dan teman-temannya menerima puisi SMS jam 3.00 pagi kerana Yassin burung hantu yang berkarya sewaktu manusia lain tidur.
  • SMS memberikan rupa baru pada puisi. Ringkas, padat, cepat. Brevity ialah kuncinya. Sajak pendek bukan baharu. Sitor Situmorang mencipta sejarah sebagai penulis puisi paling pendek dalam sejarah manusia. Judulnya Malam Lebaran. Puisinya, Bulan di Atas Kuburan.
  • Yassin mengambil semangat Sitor Situmorang untuk berkarya. Sajak SMSnya ringkas, padat dan tepat. Dia menghabiskan pre-paid untuk itu. Dia menghantar puisi SMS pada siapa sahaja. Bukan satu, banyak – kepada teman, kekasih, siapa sahaja.
  • Yassin penggoda siber yang hebat. Facebooknya penuh dengan pengagum, peminat dan pencintanya. Dia menulis puisi untuk kekasih. Setiap orang kekasihnya. Setiap kekasih diulit oleh Yassin dengan cara yang berbeza. Itulah keistimewaan seniman penggoda yang bernama Yassin.
  • Saya mendapat ribuan sajak Salleh melalui e-mel dan SMS. Malah, apabila saya menulis tentang beliau dalam kolum saya di New Straits Times (‘No Room for the Grand Old Man of Cinema?’, 6 Mac 2010), saya memulakan dengan menyebutkan tentang puisi sibernya. Rencana itu merupakan tribute atau penghormatan saya pada beliau – sebagai penyair, penulis, pembikin filem dan lebih penting lagi, sebagai kawan.
  • Saya percaya Yassin tidak pernah dinilai secara adil dan saksama. Bukanlah maknanya Yassin mahu pengiktirafan daripada sarjana dan pengkaji, Yassin tidak perlukan semua itu, tetapi dunia keilmuan dan kesarjanaan sepatutnya berlaku lebih adil pada Yassin.
  • Dalam rencana itu saya menyebutkan bagaimana nampaknya dunia filem semasa tidak punya tempat untuk Yassin, si Grand Old Man of Cinema. Tulis saya, “…Yassin will go indie if he has to….He has gone indie with his cyber-poems, why not films?”
  • Saya cadangkan pada beliau, bukukan sajak-sajak sibernya. Pilih 300 yang terbaik – atau yang paling dekat dengannya – dan mencari penerbit. Maka lahirlah buku Simfoni Sepi. Asalnya Nyanyi Sunyi Simfoni Sepi. Tapi Nyanyi Sunyi itu judul puisi sasterawan Indonesia tersohor, Amir Hamzah. Saya cadangkan lupakan saja Nyanyi Sunyi. Gunakan Simfoni Sepi. Lagi pula banyak sajak ini ditulis selepas pemergian Mummy. Banyak sajaknya tentang kerinduan Yassin terhadap Mummy.
  • Saya percaya puisi-puisi siber Yassin ini ada tempatnya di persada sastera tanah air yang selalunya meminggirkan sasterawan seperti beliau. Mungkin dalam mencari Yassin sebenar, puisi-puisi dalam koleksi ini akan sedikit sebanyak membantu. Mungkin akan terungkai siapa Yassin Salleh yang sebenar – keluarbiasaan, keunikan, kegilaan – enigma seorang seniman yang benar-benar mengabdi dirinya pada kesenimanannya. Atau sekurang-kurangnya memahami makna kesusahan yang deritai. – Dato Johan Jaafar

1 comment:

  1. Salam Dato,

    Terima kasih atas nukilan ini. Memang benar. Sasterawan bernama Yassin Salleh ini memang terpinggir dan dipinggirkan olah anak muda Malaysia yang tidak kenal akan dirinya dan karya besarnya suatu ketika dahulu.
    Mengapa terjadi demikian? Mungkin kandungan pendidikan di sekolah tidak terdapat silibus berkaitan Yassin Salleh dan mungkin juga ramai lagi karyawan dan budayawan tersohor yang terus dikuburkan sebelum masanya. Mungkin - Dj Mansor 0196622585

    ReplyDelete