Monday, 14 September 2015

Kian dekat sinar kerjasama PAS-UMNO




  1. Pelbagai usaha sedang dilakukan bagi menyatu dan memperkukuh semula umat Islam Malaysia yang berpecah puluhan tahun akibat perbezaan fahaman politik dalam PAS dan UMNO.
  2. Setiap detik yang ditempuh oleh kedua-dua parti itu sejak merdeka merupakan pengalaman yang merugikan buat umat Islam yang mewakili 65 peratus penduduk Malaysia.
  3. PAS gagal menawan hati seluruh masyarakat Melayu Malaysia selepas berjuang puluhan tahun, manakala Melayu dalam UMNO pula semakin lama semakin terhakis.
  4. Ironinya bangsa bukan Melayu semakin bersatu di bawah pelbagai sepanduk dan pertubuhan dan akhirnya menyuarakan penyatuan yang padu pada PRU13.
  5. Dalam beberapa siri pilihan raya umum, PAS cuba bereksperimen dengan mengadakan kerjasama dengan parti kafir dengan harapan dapat memperjuangkan syiar Islam tanpa gangguan.
  6. Malangnya PAS telah berkali-kali diperdaya parti kafir dengan pelbagai muslihat kelas satu sehingga mengakibatkan PAS kini menjadi tunggang langgang.
  7. Sukar bagi PAS menawan Putrajaya secara bersendirian, melainkan kembali bersama UMNO yang selama ini tidak pernah menghalang azan dilaungkan melalui pembesar suara masjid.
  8. Kini PAS diberi peluang terbuka untuk bersama UMNO untuk meneggakan syiar Islam pada tahap yang lebih baik.
  9. Khabarnya penyatuan itu akan berlaku selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak  mengundurkan diri pada 2016.
  10. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikatakan akan menjadi PM yang baru, manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin dilantik semula sebagai TPM.
  11. Ia disusul dengan pengumuman mengejut mengenai kerjasama politik antara UMNO (BN) dan PAS akan dibuat secara rasmi.
  12. Maka strategi DAP dan PKR yang mahu memperalatkan PAN untuk menakluk Putrajaya pada PRU14 akan terkandas sekali lagi.
  13. Kerjasama UMNO-PAS yang ditunggu sekian lama oleh majoriti pengundi dan menjadi aspirasi baru rakyat Malaysia bukan sahaja bakal menguasai semula DUN Selangor malahan mampu menggugat parti pembangkang di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
  14. BN dalam wawasan untuk menguasai lebih dari 2/3 kerusi Parlimen tidak dapat mengelak dari merangka kerjasama yang sangat bermakna ini.
  15. PAS pula yang perjuangannya telah diperlekehkan oleh kerjasama PR sebelum ini akan menerima pelawaan ini dengan beberapa syarat bagi memastikan matlamat perjuangan akan direalisasikan.
  16. Bagi PAS, jika berjuang sendirian, hasrat menguasai Parlimen bagi menggubal perundangan mungkin sukar dicapai.
  17. Rasionalnya jika PAS bersama UMNO BN, mungkin hasrat untuk menggubal beberapa perundangan yang mereka impikan semakin cerah.
  18. Tambahan pula majoriti Ahli Parlimen BN dan PAS lebih mudah sepakat berbanding gabungan dengan parti lain.
  19. Dijangka keputusan pilihanraya umum pada 2018 akan berpihak kepada gabungan BN dan PAS. Kerusi Parlimen DAP akan merosot menjadi 25 kerusi sahaja.
  20. PKR pula akan merudum jatuh ke sekitar 18 kerusi, manakala PAS mungkin akan diberi kerusi tambahan oleh BN sekitar 30 kerusi.
  21. PAS juga bakal dihadiahkan tiga jawatan dalam kabinet samada jawatan menteri penuh ataupun timbalan menteri.
  22. Bukan kerusi dan jawatan kabinet yang menjadi perjuangan PAS. Matlamat parti itu ialah untuk merealisasikan sebahagian dari usaha yang sekian lama diperjuangkan.
  23. Perjuangan PAS untuk membawa perubahan semakin nyata. Ini juga masa bagi PAS membuktikan kerjasama dengan DAP, PKR, PAN adalah satu kekhilafan.
  24. Sejarah kesultanan Melaka turut menjadi rujukan PAS di mana ulama pada masa dahulu tidak mensasarkan untuk mengambilalih tampuk pemerintahan.
  25. Mereka berkerjasama dengan pihak istana dengan memberi nasihat dan mendorong sultan-sultan Melaka mentadbir dengan lebih baik.
  26. Maka dengan dekatnya PAS dan BN menjalin kerjasama, tidak mustahil kerajaan gabungan ini juga akan menghasilkan pentadbiran yang lebih baik dan efisyen.
  27. Banyak lagi kebaikan yg boleh dicapai hasil kerjasama ini terutama dalam pembangunan luar bandar, pertanian, IKS luar bandar dan perekonomian desa.
  28. Hasil keputusan PAS berkerjasama dengan BN akan menjadikan PAS 'pemenang sebenar' dalam pilihanraya akan datang. Semoga umat Islam beroleh hidayah dari Allah.

Thursday, 3 September 2015

Sanusi bercerita soal Bersih 4


  • Ramai bertanya kenapa Tun Dr Mahathir Mohamed melibatkan diri dalam perhimpunan Bersih 4 dan seterusnya tidak hadir  pada sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini.
  • Saya (Sanusi) berada bersama Mahathir di waktu beliau di Dewan Pasir Gudang, Johor pada 29 Ogos, 2015.
  • Setelah Mahathir berucap ada pihak bertanya mengenai Bersih 4. Beliau menjawab, walaupun tidak setuju dengan Bersih 1, 2 dan 3 tetapi ada perbezaan dengan Bersih 4 yang menyebabkan ia patut disokong.
  • Matlamat utama Bersih 4 ialah untuk menuntut supaya Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak meletak jawatan. Tun Dr. Mahathir bersetuju dengan matlamat ini.
  • Malahan orang yang pertama meminta Dato' Seri Najib meletak jawatan ialah Tun Dr. Mahathir. Sebelum Tun Dr. Mahathir meminta Dato' Seri Najib meletak jawatan, ATAU merobah dasar dan caranya, tidak ada seorang pun yang berani berbuat demikian.
  • Boleh dikatakan, dengan menuntut Dato' Seri Najib meletak jawatan, Bersih 4 ini telah MEMINJAM temanya dari Tun Dr. Mahathir.
  • Tanpa karenah Dato' Seri Najib, Bersih 4 tidak mungkin diadakan. Oleh itu Dato' Seri Najib bertanggungjawab atas wujudnya program BERSIH 4 yang temanya dipinjam dari Tun Dr. Mahathir.
  • Sejak Tun Dr. Mahathir meminta Dato' Seri Najib meletak jawatan isu skandal 1MDB sudah menjadi lebih tersebar dan bersemarak ke seluruh dunia.
  • Tersebarnya kisah skandal 1MDB ini bermula apabila Menteri Luar Negeri menulis surat bantahan kepada New York Times atas berita mengenai 1MDB, sedangkan siaran akhbar luar negara sebelumnya, mengenai Malaysia sebagai sebuah negara yang amalan rasuahnya terhebat di dunia, tidak dipandang berat oleh Menteri Luar Negeri.
  • Inilah yang memberi gambaran skandal 1MDB lebih serius dari masalah RASUAH yang melanda negara.
  • Berikutan itu Malaysia juga menjadi bertambah terkenal di seluruh dunia apabila kita meminta INTERPOL untuk menangkap Clare Brown sebagai editor Sarawak Report, sebuah penerbitan yang beribu pejabat di United Kingdom.
  • Dosa Clare Brown ialah kerana membuat laporan mengenai penyelewengan dalam 1MDB. Permintaan kerajaan Malaysia telah ditolak oleh INTERPOL dan telah dihebahkan kepada 190 Negara anggota.
  • Apa yang patut dilakukan ialah menyaman Clare Brown atas penulisannya yang dikatakan tidak betul dan mencemar nama negara. Kenapakah kita tidak berani membawa Clare Brown ke Mahkamah?
  • Sekaligus dengan itu Timbalan Presiden UMNO, yang dipilih secara demokratik di dalam Perhimpunan Agong UMNO telah dipecat dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana BERTANYA mengenai 1MDB di dalam satu majlis UMNO Bahagian Cheras.
  • Walaupun Timbalan Presiden UMNO yang dipilih secara demokratik telah dipecat dari jawatannya rakyat Malaysia pula tidak dibenarkan mengkritik, dengan niat menjatuhkan Perdana Menteri atas sebab beliau dipilih dengan cara demokratik.
  • Berertilah tafsiran demokrasi itu bergantung kepada nafsu pentafsir. Di satu pihak yang dipilih secara demokratik oleh UMNO boleh dipecat tetapi yang dipilih dalam pilihanraya, walaupun dengan undi popular yang minority tidak boleh dikritik langsung. Siapakah yang akan akur kepada pandangan sedemikian?
  • Setakat yang kita tahu kegawatan 1MDB di peringkat ini melibatkan hanya Dato' Seri Najib, Jho Low, Arul Kanda, Deepak dan dua orang Arab sahabat karib Jho Low.
  • Dunia mengetahui mengenai kewujudan PASUKAN PETUGAS KHAS untuk mengkaji kedudukan 1MDB sebenarnya. Antara anggota pasukan petugas ini ialah Peguam Negara sebagai Pengerusi, Ketua Pengarah SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia), Gabenor Bank Negara dan Ketua Polis Negara.
  • Harapan rakyat Malaysia yang menunggu, dengan sabar dan gelisah, terhadap hasil penyiasatan pasukan petugas ini begitu besar dan rakyat tidak sabar untuk menunggu hasil penyiasatan yang memakan masa begitu lama.
  • Jangka waktu penyiasatan dijalankan sudah tentu selama masa yang diperlukan untuk pihak pengurusan 1MDB dengan gopoh gapah mencari cara untuk menimbus segala bangkai yang hendak ditanam, menutup segala lobang yang luas yang telah tergali, akibat penyelewengan yang telah berlaku.
  • Di kalangan ahli politik pula mereka menaruh harapan besar kepada Jawatankuasa Kewangan Negara (PAC) yang terdiri dari wakil parti kerajaan dan pihak pembangkang dari berbilang parti, membuat penyelidikan yang diharapkan.
  • Setelah beberapa waktu pihak Bank Negara telah mengeluarkan perintah untuk menangkap dua orang untuk membantu penyelidikan sementara pihak SPRM pula telah mengeluarkan waran tangkap untuk dua eksekutif kanan yang terlibat dalam kes 1MDB.
  • Malangnya waran tangkap itu keluar setelah keempat orang tersangka itu telah terlebih dahulu selamat berangkat ke destinasi yang tidak diketahui di luar negara.
  • Timbul tanda-tanya bagaimanakah mereka mengetahui terlebih dahulu bahawa mereka akan ditangkap sehingga mereka sempat keluar negara sebelum waran tangkap dikeluarkan.
  • Pihak PAC pula telah meminta supaya Jho Low dan Arul Kanda untuk tampil ke hadapan untuk disoal-siasat mengenai 1MDB.
  • Jho Low dan Arul Kanda enggan hadir pada tarikh yang ditetapkan sedangkan panggilan PAC sebagai sebuah jawatankuasa terpenting dalam Parlimen tidak pernah dipandang ringan oleh pihak kerajaan.
  • Dalam suasana tegang beginilah tindakan berikut berlaku:
  1. Pemecatan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dari jawatan Timbalan Perdana Menteri.
  2. Pemecatan Naib Presiden UMNO Dato' Shafie Afdal, yang berasal dari Sabah, dari jawatan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar.
  3. Pemecatan (dinamakan pemberhentian kerana kesihatan) Peguam Negara Tan Sri Abd. Ghani Patail dari jawatannya merangkap pengerusi PASUKAN PETUGA KHAS.
  4. Ketua SB Dato' Seri Akil Bulat telah dipercepatkan persaraannya.
  5. Timbalan Ketua SB Datuk Abdul Hamid Bador telah ditukar ke Jabatan Perdana Menteri. (SB ialah Special Branch = Unit Khas yang menjalankan penyelidikan ke atas yang dicurigai bersalah)
  6. Ketua Pesuruhjaya SPRM (Tan Sri Abu Kassim bin Mohamad) telah diarah untuk bercuti.
  7. Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM (Datuk Bahari Mohammad Zin) telah dipindah ke Jabatan Perdana Menteri. Setelah diprotes beliau dipindah balik ke SPRM.
  8. Pengarah Stratejik Komunikasi SPRM (Datuk Rohaizad Yaakob) telah dipindah ke Jabatan Perdana Menteri. Setelah diprotes dipindah balik ke SPRM.
  9. Pengerusi dan 3 ahli jawatankuasa PAC (Nur Jazlan Mohamed (Timbalan Menteri), Mas Ermieyati Samsudin (Timbalan Menteri), Reezal Merican Naina Merican (Timbalan Menteri) dan Datuk Wilfred Madius Tangau (Menteri) telah dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Menteri dan Menteri dan dengan itu terhentilah penyelidikan sehingga beberapa bulan lagi untuk melantik ahli baru sebagai pengganti anggota PAC yang telah dinaikkan pangkat.
  • Sedang suhu politik di dalam Negara menjadi bertambah panas, beban GST dideritai rakyat, nilai ringgit terus menurun, bursa saham juga menjunam turun nilai sahamnya, pelabur asing berangkat pergi, rakyat yang kaya memindahkan wang mereka ke mata wang asing, pekerja banyak dihentikan, beliawan dan beliawanis sukar mendapat kerja, tiba-tiba berita RM2.6 bilion telah dimasukkan dalam akaun peribadi Dato' Seri Najib.
  • Kononnya wang ini untuk UMNO menghadapi PRU ke 13 yang didermakan oleh kerabat di raja Arab Saudi dan orang kaya di sana. Berita sumbangan ini dibocorkan oleh seorang Ketua UMNO Bahagian yang hadir dalam banyak perjumpaan tertutup.
  • Katanya 'derma' ini  ialah kerana amalan Islam yang baik di Malaysia dan kejayaan Malaysia menentang gerakan IS.
  • Perlu diketahui bahawa Pengerusi Aabar Investment, Khadem al Qubaisi telah ditamatkan khidmatnya pada bulan April, 2015 oleh pemegang saham kerana terlibat dalam skandal 1MDB.
  • Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aaabar Investment Mohamed Badawi al Husseiny juga telah ditamatkan khidmatnya pada 24 Ogos, 2015.
  • Dari lapuran akhbar the Gulf Times di Timur Tengah, saya difahamkan adanya tajuk tajuk berita 'The Saudis Are Not Amused With their involvement with 1MDB.'
  • Dalam PERJUMPAAN TERTUTUP begini jugalah diberitahu bahawa 'derma' dari Arab ini ialah untuk membantu UMNO melawan DAP yang didukung oleh pihak Yahudi.
  • Adalah jelas bahawa dalam siri PERJUMPAAN TERTUTUP beginilah segala pembohongan dapat disampaikan dengan penuh keghairahan.
  • Adakah mungkin Yahudi menyokong DAP untuk menjatuhkan UMNO sedangkan pemimpin UMNO sekarang adalah sahabat baik Yahudi sehingga mendapat kesempatan bank milik Yahudi Goldman Sachs dapat komisyen 10% atau RM4.2 ribu juta atau billion, kerana menguruskan pinjaman RM42 ribu juta dengan faedah 6.6%.
  • Jika pinjaman begini diuruskan oleh Bank Negara Malaysia maka tidak perlulah bayar kepada rakan Yahudi begitu banyak wang dan jika pinjaman biasa dengan jaminan kerajaan faedah yang pernah dikenakan ialah serendah di bawah 1%. 
  • Dari dokumen yang diketahui wang yang dikatakan 'derma' dari Arab sejumlah RM2.6 bilion ini berpunca dari 1MDB.
  • Derma sebanyak itu susah untuk dipercayai kecuali oleh mereka yang taksub dan telah banyak terhutang budi. Derma Arab kepada Palestin, yang sebangsa dan seugama dengan mereka tidak sebesar itu.
  • Indonesia, Mesir dan Pakistan mempunyai lebih ramai umat Islam, malahan berlipat kali ganda, dari penduduk Islam di Malaysia. Ekonomi Malaysia juga tidak memerlukan 'derma' begitu banyak dari pihak mana jua.
  • Apakah habuan yang diperolehi oleh yang menderma? Dermakah namanya jika dapat habuan sebelum memberi derma?
  • Undang-undang Negara kita juga tidak membolehkan 'derma' atau apa jua sumbangan dari luar negara yang ingin mempengaruhi politik kita.
  • Kita telah membuat peratuan ini supaya parti pembangkang di Malaysia tidak dibiayai oleh negara luar seperti pihak-pihak dari Singapura, Taiwan dan China atau Negara mana juga. Inikan pula kita yang menerima 'derma?'
  • Adanya pengakuan Menteri dan juga Ketua Bahagian atas penerimaan peruntukan yang tertinggi dalam PRU ke 13 ialah RM2 juta ringgit. Jika semua 180 UMNO Bahagian menerima RM2 juta bagi setiap bahagian maka jumlah wang yang telah diberi ialah lebih kurang RM360 juta. Kemana perginya sisa RM2.240 bilion lagi.
  • Katanya dipindahkan ke akaun peribadi Dato' Seri Najib di Singapura. Kenapa begitu? Kenapa wang untuk UMNO diperlakukan demikian. Bagaimana dengan IS yang telah kita kalahkan pada tahun 2013, waktu Dato' Seri Najib menerima 'derma' sedangkan pada waktu itu IS BELUM WUJUD untuk kita perangi?
  • Tiba-tiba terdengar Ce' Anina Saaduddin, seorang pemimpin Wanita UMNO dari Langkawi telah menggunakan bahasa yang dikatakan 'kasar' oleh pihak atasan. Anina bangga dengan bahasanya kerana dengan cara itu beliau nampak ada perhatian.
  • Jika Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sopan bahasanya boleh dipecat apa perlunya Anina bersopan jika suaranya tidak mungkin dipedulikan. Begitu penjelasan Anina. Yang jelas ialah Pemimpin Utama UMNO sudah terhakis rasa hormat rakyat terhadapnya. Lojikkah undang-undang yang menghukum seseorang ahli yang memperjuangkan hak UMNO?
  • Dalam keadaan sekarang adalah mustahil 3 juta ahli UMNO menyokong pemimpin UMNO. Dengan penglibatan Tun Dr. Mahathir dalam BERSIH 4 Menteri Pertahanan merasakan 'Tun M has crossed the line' dan peluang untuk mereka popular dengan menghentam Tun M akan membara semula.
  • Harapan ini adalah palsu belaka kerana ramai pemimpin UMNO sudah 'cross the line' begitu lama dengan mengenepikan undang-undang, tata-cara dan adat memerintah negara dengan adil dan saksama. Tun Mahathir mengambil tindakan yang 'unconventional' untuk membetulkan sikap pemimpin negara.
  • Kini Anina sudah bergerak setapak lagi dengan mengambil dayausaha untuk mendapatkan kembali, melalui mahkamah, baki wang yang dikatakan derma untuk UMNO itu dikembalikan kepada UMNO dan tidak disimpan di Singapura dalam akaun peribadi Dato' Seri Najib.
  • Anina berbuat demikian kerana tokoh UMNO, yang segak dan tampan, tidak berani walaupun untuk bertanya kerana telah melihat apa yang berlaku kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
  • Sudah tentu Anina akan dipecat kerana ada peruntukan di dalam perlembagaan UMNO di mana keahlian gugur jika seseorang ahli membawa UMNO ke pengadilan. Tetapi apa pilihan Anina jika yang diadu mengambil wang UMNO itu dikatakan pemimpin UMNO sendiri. Sudah tentu undang-undang UMNO tidak bertujuan untuk melindungi mereka yang merampas hak UMNO.
  • Setelah itu kita dengar pula Dato' Paduka Khairuddin Abu Hassan melaporkan kepada pihak polis di London, Paris, Bern, Singapura dan Hong Kong mengenai kes 1MDB. Apakah salah Dato' Paduka berbuat demikian jika hanya untuk menyelamatkan wang pinjaman 1MDB yang dijamin sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan yang didukung oleh cukai-cukai yang dibayar oleh rakyat Malaysia, seperti cukai GST.
  • Dato' Paduka Khairuddin telah diselidik dan dihukum apabila beliau membuat lapuran mengenai 1MDB di dalam negara. Tidak salahlah jika beliau mencari jalan lain di luar negara kerana dosa 'money laundering' adalah lebih besar dan jelas di dunia antarabangsa.
  • Dengan membuat laporan di luar negara terselamatlah pegawai polis tempatan dari dipaksa bercuti, ditukar tempat kerja ataupun dihentikan kerana membuat penyelidikan.
  • Kerana kasihan kepada pegawai polis tempatan maka Dato' Khairudin mencari jalan lain di luar negara. Usaha Datuk Paduka Khairuddin menunjukkan bahawa beliau tidak percaya lagi kepada institusi tempatan, yang pernah dihormati dunia di satu masa dulu.
  • Agak mudah bagi manusia berakal di luar negara untuk membezakan antara 'derma' dan 'rasuah' jika ianya dibuat secara sulit, melibatkan wang begitu banyak.
  • Kita juga terkesan dengan tindakan kakitangan SPRM yang mengerjakan solat hajat untuk mendo'akan bagi pegawai mereka yang dianggap telah teraniaya dalam menjalankan tugas yang dianggap oleh mereka sebagai ibadat atau 'jihad'.
  • Berertilah mereka sudah menaruh harapan hanya kepada Allah swt. apabila kepercayaan kepada pemimpin untuk melakukan keadilan sudah terhakis.
  • Baru-baru ini Tuanku Sultan Johor pula telah menitahkan supaya solat hajat dilakukan di seluruh negeri Johor pada setiap minggu.
  • Mudah-mudahan solat hajat ini akan dikerjakan di seluruh negara supaya pemimpin kita pulih dari rasa takut dan hasutan iblis dan syaitan, menyandarkan keyakinan kepada janji bomoh, dukun, kiai dan sami, dalam mengendalikan urusan negara.
  • Kini Tun Dr. Mahathir sendiri sudah turun padang dengan menyeru kepada ribuan penyokong parti pembangkang supaya menyokong Barisan Nasional untuk terus memerintah apabila Dato' Seri Najib sudah diamankan, yang menyalahgunakan wang 1MDB mengembalikan wang kepada yang berhak dan segala kecurangan yang telah berlaku diadili dengan seadil-adilnya.
  • Tidak mungkin ada peluang lain kepada Tun Dr. Mahathir untuk meminta penyokong pembangkang untuk turut menyokong UMNO dan Barisan Nasional.
  • Dengan berhentinya Dato' Seri Najib, sebagai punca segala masalah ekonomi negara maka UMNO dan Barisan Nasional dapat terus memerintah dan menyiapkan diri untuk berdepan dan memenangi PRU ke 14.
  • Tun Dr. Mahathir tidak menyokong PRU ke 13 diisytiharkan haram kerana ada penggunakan wang 'derma' yang tidak keruan dan bertentangan dengan undang-undang.
  • Tun Dr. Mahathir menyertai BERSIH 4 kerana mereka MEMINJAM TEMA yang beliau perkenalkan, supaya 'NAJIB SEGERA DITURUNKAN'.
  • Sebagai seorang doktor perubatan Tun Dr Mahathir ingin mengeluarkan tumor untuk menyelamatkan nyawa manusia. - Sanusi Junid

Benarkah YB UMNO hanya untuk orang berduit


  1. Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pemimpin parti berhenti meneruskan budaya menabur kemewahan kepada pengikut.
  2. Beliau menyifatkan budaya tersebut yang dibawa oleh "kepala perang" (warlord) dalam Umno tersebut menyebabkan kos politik terlalu mahal.
  3. "Kita perlu buktikan ‘warlord’ bukan sebahagian daripada budaya Umno. Kita menolak sikap sekalangan yang cuba untuk kekal berkuasa dengan menabur kemewahan kepada pengikut.
  4. "Sehinggakan ada yang kata tak payah buat kerja dalam Umno. Yang perlu dibuat ialah kumpul kekayaan untuk tabur kemewahan kepada pengikut supaya mereka sentiasa setia. Keadaan ini menyebabkan kos politik menjadi semakin mahal," kata Muhyiddin.
  5. Muhyiddin mengakui terdapat ramai 'warlord' dalam Umno yang beranggapan mereka berkuasa dan mampu mengugut pemimpin atasan parti dalam pilihan raya.
  6. "Mereka ini amat berkuasa kerana mempunyai ramai pengikut setia yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mereka.
  7. "Dengan sokongan pengikut, 'warlord' akan menggugut pemimpin atasan parti untuk berikan apa sahaja yang mereka minta. Jika tak diberi, mereka akan sabo parti dalam pilihan raya," katanya.
  8. Sekiranya budaya tersebut tidak dihalang, Muhyiddin bimbang Umno kelak dipenuhi pemimpin tidak berbolehan dan berkelulusan tetapi mereka yang memiliki wang sahaja.
  9. "Yang tiada wang tidak boleh masuk politik. Walaupun ada bakat, ada kelulusan, ada kebolehan, mereka tak mampu untuk bergerak aktif dalam parti jika tiada wang.
  10. "Saya bimbang, akhirnya nanti yang naik dalam parti adalah orang yang ada wang, bukan orang yang ada kebolehan. Orang kata 'money is everything in politics'. No money, no talk. Seolahnya, wang adalah kuasa, wang adalah segala-galanya," katanya.
  11. Muhyiddin juga berkata perkara itu sebagai punca barah politik wang dalam Umno akan semakin membesar.
  12. "Budaya ini akan menyebabkan politik wang berleluasa di dalam parti. Apabila berlaku keadaan begitu, Umno akan hilang kepercayaan daripada rakyat dan akhirnya menolak parti.
  13. "Rakyat akan mula menuduh bermacam perkara yang tidak baik terhadap parti kita. Inilah punca masalah trust deficit atau defisit kepercayaan terhadap Umno.
  14. "Jadi, ingatlah. Apa guna kita naik dalam hiraki parti, tetapi rakyat menolak parti kita kerana mereka tidak suka dengan imej dan sikap kita," katanya.
  15. Dalam ucapannya lagi, Muhyiddin menggesa supaya budaya itu dihentikan segera sekiranya mahu melihat kelompok anak muda berminat untuk bersama Umno, jika tidak mereka bakal berdepan kehilangan sokongan hampir 60% pengundi yang terdiri daripada Gen Y itu.
  16. "Untuk itu, kita perlu mempersiapkan Umno untuk menjadi parti masa hadapan, parti harapan umat Melayu, parti idaman generasi muda Melayu dan parti yang sesuai dengan dinamika politik nasional," katanya.
  17. Muhyiddin berkata, penghalang antara Umno dan rakyat perlu dikurangkan dan dipecah melalui kerja sukarela, yang akan membawa mereka lebih dekat dengan akar umbi.
  18. Komen YBN: Budaya sebegini sudah menyelinap dalan Umno cukup lama dan amat sukar bagi parti itu mengubahnya melainkan ada kesungguhan daripada pucuk pimpinan itu sendiri.
  19. Muhyiddin sendiri sudah begitu lama dalam Umno dan sepatutnya masak dengan budaya sebegini. Menyeru Umno supaya menghentikan budaya itu boleh dikatakan sudah `hampir terlambat’ kerana beliau tidak memiliki apa-apa lagi di dalam kerajaan.
  20. Dan besar kemungkian beliau akan dipecat daripada Umno sedikit masa lagi kerana dikatakan tidak sehaluan dengan Presiden Umno.
  21. Blogger-blogger politik sudah mula meramalkan hari-hari terahir beliau dalam Umno pada sekitar September ini juga bersama beberapa pemimpin lain yang disingkirkan daripada kabinet baru-baru ini.
  22. Beberapa Menteri Besar juga dijangka terlibat dalam rombakan parti dan kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri yang berketurunan bugis Sulawesi.
  23. Pada masa yang sama pengikut Muhyiddin juga meramalkan Presiden parti itu sendiri akan tersingkir selewat-lewatnya tahun depan apabila Sultan Johor menjadi Yang Dipertuan Agong bagi mengisi giliran.
  24. Penyudahnya rakyat Malaysia terus pening kepala dengan pertelingkahan dalan kerajaan dan parti UMNO.
  25. Semua pemimpin dan juak-juak menyatakan kebenaran masing-masing sehingga rakyat terkeliru pemimpin mana yang mempertahankan kebenaran dan pemimpin mana yang dizalimi.
  26. Hanya kuasa rakyat bakal menentukan segalanya dan itu hanya berlaku pada pilihan raya umum, bukannya di jalan raya.
  27. PRU14 menjadi pertaruhan paling berisiko pada UMNO kerana ia bakal menentukan samada parti itu masih mampu bertahan atau jatuh tersembam ke buminya sendiri.
  28. Persoalannya, ramai yang tidak sanggup menunggu kekalahan UMNO pada PRU14 sementelahan dengan pelbagai skandal yang membabitkan Perdana Menteri dan isteri.
  29. Tanpa UMNO, Melayu akan menjadi bangsat kata Perdana Menteri. Namun tanpa Perdana Menteri yang ada sekarang, Melayu dijamin tidak akan menjadi bangsat, kata bekas Perdana Menteri. Pening. Pening.

Monday, 31 August 2015

Siapa sangka Mahathir mempromosi BN pada Bersih 4


  1. Ramai Melayu marah pabila melihat Tun Mahathir Mohamed berada dalam kelompok Bersih 4 yang didominasi Cina DAP.
  2. Namun tidak ramai faham muslihat veteran UMNO itu yang juga antara ahli politik terbijak di dunia.
  3. Cuba kita perhatikan setiap butir bicara Mahathir ketika diasak pertanyaan media pro pembangkang di tengah-tengah kegilaan kaum Cina yang marah dengan Perdana Menteri dan kerajaan.
  4. Di hadapan peserta Bersih 4, Mahathir berulang kali berkata BN perlu kekal sebagai kerajaan kerana perikatan politik itu mewakili majoriti rakyat Malaysia.
  5. Majoriti rakyat Malaysia masih mahu BN tapi menolak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Itu mesej Mahathir dalam kelompok penyokong tegar DAP.
  6. BN seharusnya menghargai keberanian Mahathir berkempen untuk BN di depan lautan penyokong DAP.
  7. Kehadiran Mahathir bukan memberi sokongan kepada Bersih 4, tetapi menghargai majoriti rakyat yang mahu Najib segera berundur.
  8. Malangnya kalangan pemimpin UMNO yang kurang matang seperti Lokman Nor Adam mengambil kesempatan menyerang Tun.
  9. Isu ini sebenarnya telah mendesak kita (Melayu) supaya berfikir di luar dari kotak pemikiran biasa.
  10. Twitter Datuk Seri Samy Vellu menyatakan Tun M adalah `master of public relations’. Ini dapat kita lihat pada Bersih 4, betapa orang ramai besorak gembira melihat kemunculan Tun M dan isterinya.
  11. Kehadiran Lim Kit Siang pun tidak disambut sebegini meriah. Ini satu lagi bukti bahawa Mahathir mempunyai pengaruh yang sangat besar ke atas seluruh rakyat Malaysia khususnya generasi muda.
  12. Umum mengetahui bahawa Bersih 4 ditaja DAP dan PKR walaupun ia dinafikan. Tiba-tiba Mahathir muncul di situ dan meng "hijack" kempen Bersih sehingga membuatkan Lim Kit Siang, Wan Azizah dan Mat Sabu terkedu.
  13. Peserta Bersih 4 tiba-tiba hilang arah dan keliru samada nak sokong atau kritik Mahathir. Begitulah cerdiknya Mahathir mengambil kesempatan ke atas demonstrasi itu.
  14. Jika Mahathir tidak hadir di situ, pemimpin DAP dan PKR akan menggunakan pentas tersebut untuk menghasut rakyat menggulingkan kerajaan di jalan raya.
  15. Hasrat untuk mendesak Najib berundur sangat jelas, maka Mahathir menjadikan platform Bersih 4 untuk menyelamatkan BN setelah segala saluran yang digunakan oleh beliau telah dihalang oleh kem Najib.
  16. Inilah muslihat Mahathir, walaupun usianya telah mencecah 90 tahun tetapi kepintaran politiknya tidak terjangkau oleh segelintir golongan muda yang mengaku bijak pandai.
  17. Kalangan pemerhati politik yang bijaksana berpesan kepada pemimpin UMNO yang separuh masak dan blogger mentah mengenai TIGA perkara sebelum menghina Mahathir di media dan laman sosial.
  18. Pertama, rakyat perlu sentiasa bertenang dan jangan melatah apabila melihat Mahathir ke jalan raya dan melakukan sesuatu yang di luar jangkaan mereka.
  19. Kedua, Mahathir nampak `mood’ pengundi Cina selepas sebahagian besar Melayu dalam PAS telah menjauhkan diri dari gagasan pembangkang.
  20. Ketiga, sebenarnya ahli-ahli perniagaan Cina yang telah berjaya sekian lama di bawah BN amat tidak senang dengan corak "pentadbiran" Perdana Menteri sekarang ini.
  21. Permerhati politik merumuskan seperti berikut. Mahathir mengetahui `mood’ pengundi Cina yang tidak berpihak kepada BN.
  22. Apabila DAP berjaya mendaftarkan lebih dari 150,000 orang pengundi baru, maka Mahathir cukup khuatir akan kejatuhan BN.
  23. Walaubagaimanapun., bangsa Cina yang terdiri daripada berbagai keturunan khususnya yang sudah berjaya amat risau akan trend ini.
  24. Apa yang berlaku pada Bersih 4 ialah Mahathir ingin menarik kembali kepercayaan kaum Cina agar bersama dengan BN.
  25. Jika Najib letak jawatan atau disingkirkan, Mahathir akan menagih janji bangsa Cina supaya terus menyokong BN kerana beliau sudah membantu Cina dalam kempen gemilang kali ini. Bijak kan?
  26. Sementelahan pula majoriti persatuan Cina, tokong, ketua kaum Cina di Malaysia amat berhutang budi dengan ahli-ahli perniagaan bangsa mereka yangg menyumbang atau menanggung sekolah pendidikan Cina.
  27. Mereka masih mendengar kata-kata Ting Pek Khing, Robert Kuok, Vincent Tan, Yeoh Tio Lay serta puluhan yg lain. Mereka ada menyebut yang Jho Low tidak ada sumbangan untuk bangsa Cina.
  28. Maka dengan itu Mahathir cuba dengan sedaya upaya kuderat yang ada (pada usia lebih 90 tahun) untuk kembalikan keharmonian serta perpaduan kaum di Malaysia.
  29. Dikelilingi ribuan bangsa Cina yang sedang marah, Mahathir berkata dia tidak menyokong Bersih 4. Di mana kita nak cari keberanian seperti itu.
  30. Jika Datuk Hishamuddin turun ke Pasar Seni dan berkata seperti itu, sudah pasti beliau akan dipukul oleh bangsa Cina berbaju kuning.
  31. Siapa yang berani melaungkan sokongan terhadap BN di tengah-tengah lautan bangsa Cina pro DAP? Pemimpin Cina seperti Datuk Seri Liow Tiong Lai dan konco juga tidak berani melaungkan sokongan BN di situ, apatah lagi pemmpin Melayu UMNO yang lain.
  32. Mahathir melihat tiada siapa menjadi juara kepada masyarakat Cina khususnya generasi muda. Lalu beliau sendiri bangun dan memperbetulkan kesilapan yang telah dilakukan oleh Najib.
  33. Mahathir juga menyuntik semangat kepada semua pemimpin UMNO yang takut dengan bayang-bayang Najib dan isterinya Rosmah Mansor.
  34. Najib sendiri sering berkata dalam ceramah bahawa bangsa Cina bersikap praktikal. Jika kerajaan yang ada mantap, mereka akan terus sokong.
  35. Buktinya sewaktu PRU 1999, undi masyarakat Cina `solid’ diberikan kepada BN walaupun undi Melayu berpecah setelah tertubuhnya PKR.
  36. Iroinya hari ini, tiada di kalangan pemimpin kerajaan samada daripada bangsa Melayu mahupun Cina yang mampu menjuarai semua bangsa terutama Cina yang menguasai ekonomi Malaysia.
  37. Sebab itulah Mahathir menggagahkan diri untuk menyelamatkan BN daripada dirobek DAP dan PKR sehingga sanggup `melalak’ di tengah kelompok masyarakat Cina yang sedang berkempen Bersih 4.
  38. Mengenai Bersih 4 ini juga, ramai tertanya-tanya kenapa bangsa Cina mendominasi perhimpunan itu. Apakah mereka 100 peratus DAP? Rupa2nya bukan.
  39. Ada hujah lain berserta bukti namun tak perlulah dikemukakan di sini. Pihak keselamatan khususnya Cawangan Khas lebih maklum serta mengetahuinya.
  40. Sebab itu tiada sebarang pertumpahan darah atau pergaduhan. Mereka sekadar beri mesej secara halus kepada Perdana Menteri Malaysia.
  41. Pada PRU 13 bangsa Cina cuba menukar kerajaan melalui kertas undi tetapi gagal. Kini bangsa Melayu sendiri mahu mengajar BN di atas kertas undi pada PRU 14.
  42. Orang Melayu sudah malas nak mengamuk lagi seperti beberapa demonstrasi Bersih sebelum ini. Orang Melayu akan selesaikan dengan lebih harmorni pada PRU 14.
  43. Jadi bagaimanakah hendak menyelamatkan UMNO dan BN? Tepuk dada tanya selera. Itulah sebabnya Mahathir terpaksa `bersilat’ di Pasar Seni baru-baru ini dengan mempromosi BN di tengah lautan kaum Cina yang menyertai Bersih 4.

Sunday, 23 August 2015

Wakli rakyat PAS tajaan DAP enggan kosongkan kerusi

Wakil Rakyat PAS enggan kosongkan kerusi apabila menyertai GHB

  1. AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen PAS yang mahu melompat parti tidak mahu mengosongkan kawasan yang mereka wakili.
  2. Mereka mendakwa mengikut perundangan dan perlembagaan tidak mengkehendaki seseorang wakil rakyat untuk bertindak sedemikian.
  3. Setiausaha Gerakan Harapan Baru (GHB), Dr Dzulkefly Ahmad mengeluarkan kenyataan itu susulan gesaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya wakil rakyat PAS melepaskan kedudukan mereka seandainya ingin keluar parti.
  4. Ujar Dr Dzulkefly, ia dilihat tidak wajar kerana seandainya cadangan tersebut dituruti, maka secara automatiknya mereka tidak boleh bertanding selama lima tahun.
  5. Memetik kenyataannya menerusi laporan The Malaysian Insider, “Mungkin ada kewajaran untuk meneliti dan menimbang kembali perkara ini.
  6. “Buat masa ini, sistem politik dan pilihan raya adalah tidak adil buat Adun dan ahli Parlimen yang meletak jawatan kerana mereka tidak dapat bertanding semula selama 5 tahun.”
  7. Selain itu, bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu turut berkata, kemenangan seseorang individu juga bukanlah bergantung kepada parti semata-mata, tetapi faktor-faktor lain seperti ketokohan calon, sokongan rakyat, isu serta gelombang semasa.
  8. Kucar-kacir dalam PAS makin memburuk setelah beberapa bahagian kepimpinan di Selangor mulai meletak jawatannya, antara yang terlibat adalah Shah Alam, Kota Raja dan Kelana Jaya.
  9. Setakat ini, Khalid Abdul Samad (Shah Alam), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) dan Hanipa Maidin (Sepang) antara MP terawal dijangka meninggalkan PAS dan menyertai parti baru yang bakal diwujudkan secara rasmi pada 31 Ogos.
  10. Ramai pihak melihat situasi ini sebagai sesuatu yang memalukan buat individu-individu yang bertindak meninggalkan PAS kerana jelasnya mereka telah melanggar baiah ataupun ikrar yang dilakukan sebelum ini ketika masih setia dan sayangkan parti Islam itu.
  11. OMN: Ironinya geng PAS yang mahu menyertai GHB sebelum ini cukup lantang menempelak wakil rakyat lompat parti tetapi apabila mereka berdepan dengan situasi yang sama, tiba-tiba mereka enggan kosongkan kerusi. Hairan tapi biasan untuk mereka.

Tuesday, 11 August 2015

Bila Utusan Malaysia berbunyi…

  1. Apabila media sosial mengkritik kerajaan mengenai 1MDB, pasti sekali kesahihannya diragui atas banyak sebab yang tak perlu dihuraikan.
  2. Tetapi apabila Utusan Malaysia menulis mengenainya, semua mata tertumpu kepada penulis dan maklumat yang disampaikannya.
  3. Pada 9 Ogos lepas, pengarang veteran Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Husin menguatkan semangat untuk mengkritik isu nasional yang Perdana Menteri paling tidak suka mendengarnya iaitu 1MDB, derma RM2.6 bilion dan siasatan SPRM.
  4. Diakui bahawa isu-isu itu sudah basi sebab banyak diperkatakan di tepi jalan, warung, restoran dan hotel.
  5. Ku Seman bertanya apakah UMNO mampu berhadapan dengan rakyat dalam kempen Pilihan Raya Umum 14. Kalau isu ini tidak diurus dengan bijak, UMNO akan habis modal bercakap soal integriti.
  6. Semasa Anwar Ibrahim dipecat, tercetus gelombang penentangan yang besar. Namun UMNO bijak dan bertanggungjawab untuk tidak menyekutukan parti dengan masalah moral pemimpin.
  7. Hari ini UMNO tidak boleh melibatkan diri dalam isu derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi.
  8. Ketika media sosial dedahkan isu itu, UMNO segera menafikan tetapi apabila SPRM mengesahkan, barulah UMNO mengaku duit derma itu adalah dana politik.
  9. Kalau UMNO mahu dilihat umum sebagai menjunjung integriti, jelaskan kepada rakyat bahawa duit itu bukan untuk UMNO.
  10. Jangan kelirukan rakyat antara derma dan dana politik. Jangan anggap duit itu hak parti sedangkan pemimpin parti tidak tahu menahu kewujudannya.
  11. Rakyat marhaen yang dunia mereka sebesar tempurung pun faham benar perbezaan antara kedua-duanya.
  12. Tan Sri Shahrir Samad (BNBBC) mengesahkan selama beliau dalam UMNO, soal derma tidak pernah didedahkan kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi dan perhubungan negeri. Ini jelas menunjukkan derma itu bukan kepada UMNO.
  13. Akibat kritikan itu, Ku Seman `diserang’ beberapa wakil Perdana Menteri seperti Datuk Dr Puad Zakarshi dan Datuk Seri Salleh Said Keruak.
  14. Bagaimanapun wakil Perdana Menteri itu tidak menyentuh isu yang beliau bangkitkan iaitu derma RM2.6 bilion bukan milik UMNO.
  15. Bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga tidak tahu tentang kewujudan derma itu yang secara tiba-tiba diisytihar milik UMNO.
  16. Lalu Ku Seman mendakwa bahawa UMNO kelihatan bersedia memikul biawak hidup. Memikul liabiliti Perdana Menteri yang akibatnya boleh meruntuhkan keyakinan rakyat termasuk ahli UMNO kepada UMNO.
  17. Puad dan Salleh dikatakan `spin' kenyataan Ku Seman seolah-olah pengarang itu menuduh derma RM2.6 bilion itu sebagai rasuah. Mereka menjawab seolah-olah Ku Seman mempertikaikan status derma itu.
  18. “Mereka ini kaki spin, sebab itulah cybertrooper yang diketuai Puad hanya layak dibaca oleh pengampu-pengampu UMNO sahaja.
  19. “Cuba cari dalam tulisan saya adakah ayat yang membawa maksud saya mempertikaikan derma itu sebagai rasuah? Saya hanya mengatakan derma itu sebagai hak peribadi.
  20. “Puad juga mahu mengajar saya menulis. Dia berkata sepatutnya saya tanya adakah dana politik salah di sisi undang-undang. Apakah Najib mencuri duit 1MDB dan apakah salah akaun peribadi digunakan untuk menerima derma.
  21. “Untuk pengetahuan Puad, saya sangat faham bahawa dana politik tidak salah di sisi undang-undang. Sebab itu saya tidak membangkitkan isu dana politik. Saya juga tidak kata Najib mencuri duit 1MDB kerana belum terbukti dan tidak mungkin dapat dibuktikan.
  22. “Saya juga tidak membangkitkan kesalahan menggunakan akaun peribadi untuk menerima derma kerana memang tidak salah.
  23. “Yang saya bangkitkan adalah derma itu kepunyaan Najib. Kalau dana politik UMNO, sudah tentu UMNO tahu sejak awal lagi.
  24. “Sebenarnya jawapan kedua-dua panglima Najib ini membuatkan rakyat melihat pemimpin kanan UMNO terlalu dungu hingga tidak tahu apa yang ada dalam akaun parti. Derma disalurkan dalam akaun peribadi memang tidak salah, sebab itulah saya tidak membangkitkannya.
  25. “Sepatutnya mereka menjawab soalan cepu emas anak Menteri Besar Johor dulu sebelum menjawab tulisan saya. Sebenarnya apabila membaca kenyataan mereka di Utusan Malaysia hari ini yang cuba memperendahkan hujah saya, tiba-tiba saya hilang hormat kepada mereka.
  26. “Mereka cuba menonjolkan diri sebagai pembela Najib tetapi pada masa yang sama tidak mempunyai kecerdikan yang tinggi. Maka akhirnya Puad dan Salleh hanya boleh disamakan dengan juak-juak UMNO yang telah disihirkan supaya menjadi tukang angguk.
  27. “Sama ada mereka mahu menjadi pembela buta dan tuli, itu soal mereka tetapi jangan menggunakan kuasa untuk menafikan hak rakyat mendapatkan maklumat yang betul,” cantas Ku Seman.
  28. Sudut pandang Ku Seman mengenai hak menikmati maklumat yang betul sememangnya tidak boleh dinafikan, sementelahan beliau merupakan pengarang media arus perdana yang dilengkapi dengan etika dan kemahiran.
  29. Namun kemahiran beliau itu dilihat segelintir UMNO sebagai petanda bahawa nyawanya dalam Utusan Malaysia akan dipendekkan.