Tuesday, 21 April 2015

Fatwa GST ikut sedap mulut ulama atau pengkritik

  1. Semakin ramai manusia tidak berilmu tampil di laman sesawang untuk mencemuh dan menghina `ikut sedap mulut' terhadap golongan ulama kerana tiada siapa mampu menghalang nafsu mereka daripada melemparkan kritikan.
  2. Kritik di media sosial tidak memerlukan asas pendidikan tertentu kecuali mereka yang mahu berhati-hati bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang. Selebihnya orang ramai dilihat `gila' mencaci, menghina, menyindir sesiapa saja yang mereka suka atas nama kritikan tanpa perlu disokong dengan cadangan membina.
  3. Hampir 100 peratus kritikan yang dilemparkan di laman sosial dilihat mengikut nafsu tanpa mengira mangsa, tempat dan masa. Golongan ulama Malaysia juga tidak terkecuali daripada menerima kritikan awam termasuk budak-budak nakal.
  4. Kebelakangan ini golongan ulama telah dipersenda kerana merumus fatwa yang mengharuskan GST. Pada awalnya kritikan itu datang dari sekelumit cendikiawan Islam yang membuat penilaian berdasarkan pengamatan mata dan perasaan lalu menggunakan al Quran untuk mengesahkan GST itu haram. Tanpa segan silu mereka berceramah dan mengkritik Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang disifatkan membuat fatwa secara sambil lewa dan main ikut sedap.
  5. Lalu orang awam yang mendengar ceramah itu pun merakamkannya menerusi telefon bimbit dan menyebarkan di laman sosial. Dalam tempoh beberapa jam saja ia menjadi viral dan digilai umat Islam yang kurang ilmu.
  6. Apabila Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan membuat penjelasan panjang lebar mengenai hukum GST melalui laman rasmi kerajaan, kelompok umat Islam yang cetek ilmu ini malas nak membacanya dan terus bersandar kepada ilmu video klip pendek yang diviralkan oleh orang yang tidak berilmu juga.
  7. Paling tidak mereka akan berkata: “Jika persepsi aku salah mengenai GST, maka sudah tentu ustaz yang menyampaikan ceramah dalam video itu yang patut dipersalahkan dan wajib tanggung dosa.”
  8. Semudah itu umat Islam membuat tanggapan mengenai hukum tanpa mahu merujuk kepada institusi yang menggubal perundangan.
  9. Atas rasa sedih dengan tanggapan buruk di kalangan majoriti umat Islam di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah tampil untuk memberitahu bahawa keputusan mereka untuk memutuskan hukum GST sebagai harus adalah berdasarkan kajian dan penyelidikan.
  10. Fatwa itu bukannya dibuat 'ikut sedap' dan 'sambil lewa' sepertimana kritikan segelintir pihak yang mungkin cetek ilmu.
  11. Pengerusi jawatankuasa itu Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin berkata, keputusan menjatuhkan hukum GST sebagai ‎harus telah dilakukan secara terperinci dan telah mengambil kira semua pandangan ulamak muktabar.
  12. "Sebelum keputusan harus ini dibuat, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah mengarahkan satu kajian terperinci dijalankan dan kajian telah  dilaksanakan secara insentif oleh kumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terdiri daripada pakar-pakar syariah dan ekonomi.
  13. "Oleh itu hasil kajian kami mendapati kerajaan dibenarkan untuk mengutip cukai demi untuk memenuhi maslahah umum pentadbiran negara dan rakyat. Sehubungan itu, adalah tidak tepat sekiranya dakwaan yang mengatakan bahawa keputusan yang telah dibuat oleh muzakarah terhadap isu GST ini adalah berdasarkan hujah yang longgar dan tidak menepati kaedah hukum syarak kerana bersandarkan kepada maslahah.
  14. “Istilah maslahah dalam konteks keharusan GST ini perlu difahami dalam konteks yang luas dalam hukum fiqh iaitu maslahah dharuriyat dan hajiyat.
  15. "Muzakarah juga ingin menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu yang mengatakan bahawa keputusan yang diputuskan oleh muzakarah bercanggah dengan Islam kerana berdasarkan kepada maslahah dan tidak membezakan golongan kaya dan miskin adalah amat tidak tepat," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Jakim, Putrajaya.
  16. Jelasnya, sekiranya mereka meneliti keputusan Muzakarah tersebut secara positif dan dengan hati terbuka, maka akan jelas difahami bahawa keputusan Muzakarah mengharuskan GST telah diikat dengan syarat parameter syarak.
  17. Mengulas lanjut, katanya  hukum harus  itu juga diputuskan berdasarkan keadaan semasa yang berlaku sekarang.
  18. "Muzakarah dalam membuat keputusan mengharuskan GST dengan diikat dengan beberapa syarat, telah meneliti secara mendalam semua pandangan dan  penghujahan yang dibawa oleh semua ulama dan pakar-pakar ekonomi Islam dan konvensional.
  19. "Rumusan yang dibuat adalah berdasarkan suasana ekonomi negara ini dan juga dunia selaras dengan kaedah fiqh "Perbuatan Pemerintah Terhadap Rakyatnya  Adalah Bergantung Kepada Maslahat".
  20. “GST adalah sebahagian ijtihad ekonomi pada sekadar memenuhi maslahat umum pentadbiran negara dan rakyat.
  21. "Oleh itu pertimbangan hukum yang telah dibuat ini tidak dilakukan secara sembrono dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik,‎" jelasnya.


No comments:

Post a Comment