- Ramai rakyat termiskin yang kebanyakannya bangsa Melayu gelisah apabila mendapati program 1Azam dikatakan gagal. Puluhan ribu peserta mendaftar dengan E-Kasih dan sebahagian besar masih belum menerima bantuan yang disediakan untuk mereka keluar dari kepompong kemiskinan.
- Kini mereka dikejutkan pula dengan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mendapati program yang diperkenalkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia (KPWKM) itu bermasalah berikutan kelemahan pelaksanaan.
- Kata PAC, antara kelemahan projek yang sepatutnya menawarkan peluang kerja kepada golongan miskin itu adalah 1Azam tidak menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan melanggar peraturan perolehan.
- Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed juga mendedahkan beberapa masalah lain seperti ketiadaan semakan dibuat terhadap kelayakan peserta, yang mana pemilihan peserta 1Azam yang tidak melalui E-Kasih, dan bukan kumpulan sasar.
- Nur Jazlan turut menyentuh tentang ketiadaan justifikasi pembelian barangan selain peserta program sendiri yang tidak mempunyai komitmen dengan peralatan yang dibekalkan.
- Jelas beliau, tempoh jaminan jangka pendek bagi peralatan seperti mesin jahit, ketuhar dan peti sejuk yang diberikan kepada peserta program juga menyebabkan masalah kerana barangan yang rosak tidak dapat dituntut semula di bawah jaminan tersebut.
- Kita tahu Nur Jazlan sememangnya `banyak mulut’ dan cakap `ikut lepas’ namun dalam hal program 1Azam untuk rakyat miskin, kita tidak boleh tutup telinga. Kritikan terhadap program ini tidak boleh dianggap sambil lewa kerana cukup ramai rakyat miskin di negara ini perlukan bantuan.
- 1Azam merupakan usahasama KPWKM, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dan Amanah Ikhtiar Malaysia bertujuan untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi golongan berpendapatan rendah.
- Bagi mengatasi masalah itu, PAC mahu memanggil Ketua Setiausaha KPWKM pada tahun 2012, Datuk Seri Norul Ainul Mohd Nor selain Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Datuk Syed Abd Rahman Syed Mohamad bagi memberi penjelasan berhubung program itu.
- Projek 1AZAM bermula pada Jun 2008 bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat miskin tegar dan miskin, menambah pendapatan sehingga melebihi had garis kemiskinan yang ditetapkan iaitu RM830 sebulan bagi miskin dan di bawah RM2,300 sebulan bagi golongan berpendapatan rendah.
- Mengikut laman sesawang KPWKM, sebanyak empat peluang menambah pendapatan dikenalpasti iaitu penempatan pekerjaan, perniagaan kecil-kecilan, penyediaan perkhidmatan dan pertanian.
- Semestinya program ini berfaedah antaranya menyediakan peluang kepada rakyat berpendapatan rendah menjana pendapatan, memperkasakan ekonomi rakyat berpendapatan rendah dan menggalakkan rakyat berpendapatan rendah untuk berdikari.
- Program 1AZAM telah dijalankan ke seluruh negara secara berperingkat-peringkat. Program perintis telah dimulakan di Iskandar Regional Development Authority (IRDA) atau Iskandar Malaysia, Johor, pada akhir bulan Januari 2010.
- Inisiatif itu diteruskan ke negeri-negeri lain melalui kerjasama dengan kawasan-kawasan koridor ekonomi utara, timur, Sabah dan Sarawak yang dilancarkan oleh kerajaan terdahulu daripada pembentukan Bidang Keberhasilan Utama Negara atau dikenali sebagai National Key Results Area (NKRA).
- Secara keseluruhannya, inisiatif 1AZAM akan menumpukan usaha untuk membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia melalui penempatan semula pekerjaan yang diisi oleh pekerja asing.
- Melalui progam yang dipanggil Azam Kerja, warga miskin diberi latihan kemahiran seperti jurujual produk, pengurusan rumahtangga, pekerja restoran makanan segera, pelayan restoran dan pekerja hotel.
- Selain itu rakyat miskin juga berpeluang menjana pendapatan kecil-kecilan seperti tukang jahit, perniagaan sejuk beku dan Mat Salai.
- Di sektor pertanian (Azam Tani), mereka juga berpeluang menjana pendapatan melalui kegiatan seperti pertanian berkelompok, tanaman yang mempunyai pulangan cepat dan ternakan.
- Bagi projek hiliran hasil pertanian, rakyat termiskin berpeuang menjana pendapatan melalui perniagaan kecil-kecilan dengan kemudahan latihan dan kredit mikro seperti perniagaan makanan dan minuman, kiosks, perniagaan runcit dan industri kraftangan.
- Melalui Azam Khidmat, mereka berpeluang menjana pendapatan melalui bidang perkhidmatan seperti rawatan penjagaan diri, andaman pengantin Spa dan refleksologi.
- Betapa indahnya semua peluang ini jika semua rakyat termiskin di Malaysia dapat menikmatinya. Namun bak kata pepatah, indah khabar dari rupa.
- Hanya segelintir golongan sasar mendapat kemudahan yang disediakan itu, manakala selebihnya terlepas ke tangan pihak yang tidak ketahuan status kemiskinan mereka.
- Lalu PAC mendedahkan kelemahan pengurusan sebagai aras tanda bahawa tindakan penyelesaian perlu diambil secara drastik bagi mengatasi kemelut yang berlangsung sejak beberapa tahun lalu.
- Mungkin ada pihak tidak puashati dengan pendedahan sebegini sebaliknya mahu semua pihak yang terlibat duduk semeja untuk berbinang dan menyelesaikan apa jua isu yang berkaitan.
- Kaedah seumpama itu sudah dilakukan banyak kali. Setiap kali kepincangan dikesan, semua pihak dipanggil untuk memberi penjelasan dan ketika itu masing-masing datang membawa bukti bahawa mereka menjalankan tugas mengikut peraturan.
- Penyudahnya tiada penyelesaian terhasil dari mesyuarat itu. Jika ada, perlaksanaannya lambat kerana tidak ada penyukat masa terbuka untuk orang ramai mengetahui sejauh mana tindakan penyelesaian itu dilakukan.
- Untuk itu, tindakan PAC mendedahkan kelemahan pengurusan 1Azam kepada umum dilihat sesuai bagi memastikan pihak yang berkaitan dapat menanganinya secepat mungkin tanpa emosi atas pendedahan itu.
Wednesday, 25 March 2015
Sedih projek bantu rakyat miskin 1Azam gagal
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment