Wednesday, 3 December 2014

Umno didakwa rasis, DAP bagaimana

  • Ketika Umno berusaha keras memahatkan pengaruh di hati pengundi Melayu dengan melakar gerak kerja politik yang lebih tersusun dan berkesan, DAP pula gigih mencuri kesempatan dengan melancarkan pelbagai cabaran tersusun bagi meruntuhkan Umno dan parti Melayu yang lain.
  • Sebagai pembuka tirai, veteran DAP, Lim Kit Siang mewar-warkan betapa Umno sedang melalui fasa paling mencabar dalam sejarahnya. Malah beliau menyifatkan Perhimpunan kali ini sebagai “peluang terakhir” bagi Umno membuktikan ia sebuah parti moderat dan bukan ekstremis.
  • Sesungguhnya strategi pembangkang memang mahu mengkalungkan Umno dengan istilah negatif seperti ekstremis dan rasis.
  • Veteran DAP itu berkata, setelah memerintah Malaysia hampir 60 tahun, Umno kini semakin bersikap ekslusif (untuk Melayu sahaja?) dan tidak memperjuangkan hak semua golongan rakyat.
  • Lim menggunakan seruan mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamed supaya para perwakilan tampil menegur pimpinan parti demi memastikan parti sentiasa di atas landasan perjuangan yang betul, sebagai dalil hujahnya.
  • Beliau cuba menampilkan isu seperti kontroversi pelaburan 1MDB, kemerosotan sistem pendidikan dan jurang pendapatan rakyat supaya dibawa oleh para perwakilan ke dalam perhimpunan.
  • Sifirnya mudah. Jika banyak suara perwakilan menjurus kepada debat isu-isu yang sebenarnya menjadi modal pembangkang, lebih kuat tergoncangnya pasak kekuatan Umno. Justeru semakin lunturlah wibawa Umno kerana dipersoalkan oleh para perwakilan.
  • “Isu yang akan mendominasi perhimpunan agung kali ini ialah soal perkauman dan retorik agama,” Lim dilaporkan berkata.
  • “Bilakah kali terakhir Perhimpunan Agung Umno membawa khabar gembira bagi rakyat bukan Melayu? Adakah ia sesuatu berita baik jika Perhimpunan Umno tidak merumuskan sesuatu yang negatif bagi kaum bukan Melayu?” sindir Lim.
  • Strategi DAP mahu mensudutkan Umno sebagai sebuah parti rasis memang jelas. Sebaik sahaja perhimpunan bermula, anak Kit Siang, Lim Guan Eng sudah menunggu dengan data-data betapa Umno tidak amanah dan rasis.
  • Beliau menyerang Umno dengan menebarkan rasa kecewa terhadap salah seorang pemimpin muda Umno, Khairy Jamaluddin yang dianggapnya berpendirian “sederhana” tetapi kini terikut-ikut dengan amalan rasis Umno.
  • Beliau membuat komen berkenaan apabila Khairy mengingatkan rakyat bukan Melayu supaya jangan mempertikaikan “hak istimewa” orang Melayu seperti yang sudah termaktub dalam Perlembagaan negara.
  • “Khairy memilih jalan gelap yang diambil oleh ekstremis seperti Perkasa dan Ibrahim Ali apabila beliau menyalahkan rakyat bukan Melayu mempersoalkan kedudukan Raja-Raja, hak istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.
  • “Tuduhan Khairy ini tidak adil dan politik serong kerana ia adalah palsu sebab tiada bukan Melayu yang mempertikaikan perkara-perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
  •  
  • Malah sebaliknya, Guan Eng berkata, Khairy seharusnya menumpukan perhatian memperbaiki kedudukan orang Melayu sendiri yang ternyata mundur di segi ekonomi.
  • Laporan Pembangunan Sumber Manusia Malaysia 2013 menunjukkan 53 peratus isi rumah Malaysia tidak memiliki aset kewangan dan hanya seorang daripada tiga rakyat Malaysia memiliki akaun kewangan.
  • Menurut Guan Eng, laporan itu menyebut 63 peratus penduduk luar bandar tidak memiliki aset kewangan berbanding 45 peratus penduduk bandar.
  • Sementara menurut golongan etnik pula, kira-kira 57 peratus Bumiputera bukan Melayu dan 55 peratus Melayu; Cina 45 peratus, dan India 54 peratus tidak memilik aset kewangan.
  • Beliau memetik Laporan Kajian Pendapatan Isi Rumah (HIS) yang menyebut hampir 90 peratus penduduk luar bandar dan 86 peratus penduduk bandar tidak mempunyai sebarang simpanan kewangan.
  • Beliau menyelar Khairy kerana tidak berusaha merungkai masalah hasil kajian  HIS yang disokong Jabatan Perdana Menteri walhal ia mempunyai kesan langsung terhadap masa depan ekonomi rakyat Malaysia, terutama belia Melayu dan Bumiputera.
  • “Adalah jelas bahawa Khairy mengambil jalan mudah dengan memainkan isu perkauman kerana beliau tiada jawapannya. Ini kerana Khairy sendiri tahu bahawa Umno bukan sebahagian daripada penyelesaian isu tetapi ia adalah sebahagian daripada masalah,” kata Guan Eng.
  • Dengan menuduh Khairy dan Umno gagal memperjuangkan soal nasib ekonomi Melayu Guan Eng nampaknya mahu “lempar batu sorok tangan” demi menghindar kemungkinan DAP sendiri dituduh mempermainkan isu perkauman.
  • Selepas itu Umno akan diasak dengan label ia parti rasis yang tidak henti-henti bercakap soal kepentingan ekonomi walhal pelbagai skim, kempen dan dasar pro-Melayu sudah dirangka dan dilaksanakan.
  • Semua itu dituduh adalah kerana kelemahan dan kegagalan Umno sendiri. Agenda Melayu akan disinonimkan sebagai agenda pemimpin Umno. Ini mungkin ada kebenarannya.
  • Bagaimanapun mengapakah ekonomi bukan Melayu semakin mencanak meningkat? Bagaimana ini boleh berlaku? Tidakkah ini menunjukkan bahawa dasar pro-Melayu Umno juga memberi manfaat besar kepada bukan Melayu?
  • Jerangkapnya ialah untuk meletakkan Umno dalam dilema bagaimana mahu memperjuangkan nasib dan kepentingan Melayu jika awal-awal lagi dipasung tangannya dengan tuduhan ia bersikap rasis.
  • "Sudah sampai satu tahap kita sudah tidak boleh cakap apa pun mengenai agenda Melayu. Bila kita cakap mengenai agenda Melayu, kita dituduh rasis.
  • "Saya tidak pernah minta supaya sekolah vernakular ditutup, kami terima sekolah vernakular, tetapi kita hanya minta komitmen semua pihak mengenai simbol perpaduan," ujar Khairy Jamaludin, Ketua Pemuda Umno.
  • Begitu jerangkap politik DAP. Matlamatnya ialah supaya Umno sendiri lemas dan berasa rendah diri dalam membicarakan isu agenda Melayu. Senjata yang digunakan ialah dasar-dasar Umno bercanggah dengan soal hak asasi rakyat bersuara dan beragama.
  • Jika Umno masih enggan bersikap lunak dalam memperjuangkan isu-isu agenda Melayu maka natijahnya ialah ia akan dituduh menginjak hak orang bukan Melayu.
  • Akhirnya serangan halus ini terdorong menjadi isu kehakiman sepertimana berlaku terhadap pendirian Islam sendiri dalam isu transgender hingga diheret dan dibicarakan dalam mahkamah sivil.
  • Jika Umno tidak menentang gerakan ini, ada tukang karut Melayu dan Islam di kalangan pembangkang menuduh Umno tidak dayus. Bagaimanapun jika Umno bersuara, ia dilabel ekstremis dan rasis.


No comments:

Post a Comment