Wednesday, 11 December 2013

Penyertaan menyeluruh semua pihak jayakan sifar rasuah

Rasuah pemusnah tamadun manusia
  • TAHUN ini genap satu dekad Hari Antirasuah Antarabangsa dihayati masyarakat dunia bagi menyemai semangat dan kesedaran pentingnya gejala rasuah diperangi habis-habisan.
  • Malaysia juga tidak ketinggalan menjadikan Hari Antirasuah Antarabangsa sebagai hari yang bermakna bagi menyebar luas mesej memerangi rasuah dan menarik sokongan rakyat pelbagai lapisan.
  • Sokongan setiap individu sangat penting memandangkan usaha memerangi rasuah memerlukan kerjasama holistik dari semua sudut. Saya mendapati aspek ini mula memperlihatkan petanda-petanda positif. Justeru, selaku pemimpin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya yakin arah aliran sokongan rakyat dan pemimpin masyarakat akan terus meningkat untuk mencapai sasaran memerangi rasuah dengan berkesan.
  • Awal minggu lalu, pandangan pelbagai pihak menjurus ke arah pembentangan laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2013. Skor Malaysia meningkat berbanding kedudukan 2012. Walaupun peningkatan itu tidak sebesar diharapkan, pencapaian dirakamkan adalah positif. Laporan keseluruhan juga menunjukkan beberapa negara yang berada di kedudukan teratas, ada yang mengalami perubahan positif, dan ada yang memperlihatkan penurunan.
  • Beberapa hari sebelum laporan CPI diumumkan, peranan Malaysia mendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM sebagai Naib Presiden Pertubuhan Pihak Berkuasa Antirasuah Antarabangsa (IAACA) pada persidangan dan mesyuarat tahunannya di Panama.Pada 1 Oktober lalu, genap 46 tahun kelahiran badan pencegahan rasuah secara formal di Malaysia. SPRM juga kini berusia lima tahun dan pada tanggal 1 Januari 2014 ini, SPRM akan masuk tahun keenam kelahirannya sebuah suruhanjaya bebas.
  • Sejak lima tahun lalu, kita lebih dikenali sebagai SPRM, malah ada yang memanggil kami sebagai "MACC". Tidak kira sama ada kami dipanggil sebagai SPRM ataupun MACC, matlamat tetap sama iaitu memerangi rasuah dengan tiga teras iaitu "Bebas, Telus dan Profesionalisme".
  • Bagi menangani cabaran yang ada di depan, SPRM mula melaksanakan program transformasi sejak 2011. Walaupun program transformasi menyeluruh dilaksanakan sejak dua tahun lalu, sebenarnya usaha membawa penambahbaikan bermula sebelum 2009. Selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM, saya gembira dengan pelaksanaan dan pencapaian program transformasi setakat ini. Sudah dapat merasai kesan dan impak inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan di bawah program transformasi.
  • Antara impak yang sudah jelas termasuklah peningkatan kadar sabitan rasuah daripada 54 peratus pada tahun 2009 kepada 85 peratus tahun lalu, penurunan aduan kes dakwaan kekerasan ketika sesi ambil keterangan, keberkesanan penggunaan Bilik Temu Bual Bervideo (VIR) di semua pejabat SPRM, yang dapat membantu meningkatkan tahap profesionalisme kerja-kerja siasatan dan siasatan secara berpasukan mengurangkan tempoh masa yang diambil untuk menjalankan siasatan.
  • Adakah SPRM berpuas hati dengan pencapaian yang digariskan tadi? Jawapannya, sudah pasti tidak. Banyak lagi inisiatif perlu dilaksanakan dan akan dilaksanakan. Objektif utama SPRM ialah meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap SPRM. Tidak dapat dinafikan keyakinan masyarakat terhadap SPRM sepanjang lima tahun lalu meningkat sekali ganda iaitu daripada sekitar 30 peratus kepada 64 peratus. SPRM akan meningkatkan usaha menaikkan kadar ini ke paras yang lebih tinggi.
  • Sementara beberapa kajian antarabangsa menunjukkan keyakinan ke atas usaha menangani gejala rasuah masih belum mencapai tahap diharapkan, kajian bersiri berkenaan persepsi, kendalian bersama Universiti Putra Malaysia menunjukkan bahawa majoriti rakyat sedia menyokong usaha SPRM. Mereka yakin dengan usaha SPRM. Keyakinan ini penting bagi SPRM dalam melaksanakan fungsinya dengan efektif.
  • SPRM satu-satunya agensi atau suruhanjaya di Malaysia yang mempunyai badan bebas, yang bertindak sebagai 'check and balance mechanisme'. Lima badan bebas ini ialah Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah. Keanggotaan kelima-lima badan bebas ini, yang mewakili suara rakyat, membantu meningkatkan keyakinan masyarakat ke atas SPRM.
  • Ketika SPRM masuk tahun ke-46, SPRM juga gembira dengan pengiktirafan antarabangsa yang diterima hasil penilaian Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkenaan Dadah dan Jenayah (UNODC). Hasil penilaian ke atas Bab III dan IV, sebanyak 23 perkara dan amalan baik SPRM termasuk Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA). Antaranya:
  • Iktiraf peruntukan-peruntukan khusus dalam Akta SPRM 2009 iaitu Seksyen 25 dan Seksyen 50 serta Seksyen 57
  • Peranan Panel Penilaian Operasi
  • Kewujudan sebanyak 14 Mahkamah Sesyen Rasuah Khas yang perlu mendengar sesuatu kes dalam tempoh setahun
  • Kerjasama antara agensi di pelbagai peringkat, contohnya National Coordinating Committee to Counter Money Laundering (NACC), yang bertanggungjawab terhadap pembangunan dasar dan pelan tindakan pencegahan penggubahan wang haram
  • SPRM dan MACA diiktiraf sebagai pusat latihan antarabangsa berdasarkan sumbangan dalam peranan melatih dan menerima pegawai-pegawai sandaran dari agensi pencegahan rasuah luar
  • Program pertukaran kepakaran, penempatan pegawai SPRM di Interpol, pewujudan Cawangan Mutual Legal Assistance di SPRM
  • Penggunaan kaedah siasatan khas yang digunakan iaitu Kerja Siasatan Berasaskan Pasukan, yang dilihat sebagai contoh yang baik dalam menjalankan siasatan kes dalam dan luar negara
  • SPRM turut mendapat pengiktirafan atas kerjasama teknikal yang diberikan kepada negara rantau dan luar rantau ASEAN. SPRM turut diberi kepercayaan menganggotai badan pentadbir Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa. Ia merupakan satu pengiktirafan yang akan membantu SPRM mencapai Aspirasi SPRM. MACA kini dalam proses mengendalikan salah satu modul Program Sarjana Pencegahan Rasuah kendalian Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa. Proses ke arah itu kini di peringkat akhir dan MACA dijangka mengendalikan program ini pertengahan tahun depan. MACA juga dalam proses menaikkan taraf Kursus Asas Pegawai Siasatan menjadi program diploma. Jika kedua-dua perkara ini menjadi realiti ia akan membawa satu lagi anjakan baru bagi SPRM.
  • Sejak 1967, kita telah menguatkuasakan lima peraturan dan undang-undang penting dalam usaha pencegahan rasuah iaitu Akta Pencegah Rasuah 1961, Akta Badan Pencegah Rasuah 1982, Ordinan (Kuasa-kuasa Perlu) Dharurat No 22 1970, Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan yang terbaru Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Setiap akta dan ordinan yang digubal telah membawa penambahbaikkan bagi mencegah rasuah. Bagaimanapun harapan dan keperluan semasa, negara memerlukan peraturan dan undang-undang yang lebih ketat.
  • SPRM sedang mengkaji untuk meminda beberapa peruntukan dalam Akta SPRM 2009. Ini termasuklah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 bagi mengekang pemberian projek atau tender oleh anggota jemaah menteri atau exco kepada anggota keluarga terdekat masing-masing. Perkara ini turut ditekankan oleh kedua-dua Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah dan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dalam laporan terbaru masing-masing.
  • Selain itu, kajian sedang dibuat bagi memperkenalkan peruntukan liabiliti korporat. SPRM juga telah mencadangkan pentingnya kerajaan meminda undang-undang bagi menjadikan salah laku penjawat awam sebagai perbuatan jenayah.
  • Tema sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa 2013 bertemakan "Sifar Rasuah - Pembangunan 100%" yang telah dilancarkan oleh Program Pembangunan PBB (UNDP) dan UNODC di Panama City akhir bulan lalu menunjukkan persekitaran sifar rasuah boleh dicapai menerusi inisiatif menyeluruh secara berperingkat. Pemilihan tema ini menunjukkan misi mencapai sifar rasuah dengan tidak berkompromi kepada gejala rasuah menunjukkan komponen itu penting bagi pembangunan seratus peratus.
  • SPRM sedang memikul tanggungjawab itu. Peruntukan perundangan dan penguatkuasaan sahaja tidak cukup. Kami memerlukan sokongan semua pihak - rakyat kita sendiri dan masyarakat antarabangsa. -- TAN SRI ABU KASSIM MOHAMED

No comments:

Post a Comment