Wednesday, 11 December 2013

Industri Kewangan Islam Dunia Berkembang US$2 Trilion Tahun Depan, Kata Ahmad Maslan

Bank Islam semakin digemari
  • KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Industri Kewangan Islam global dijangka berkembang kepada US$2 trilion tahun depan berbanding US$1.3 trilion pada masa ini, didorong oleh permintaan yang semakin meningkat dari negara bukan konservatif, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.
  • Beliau berkata penerimaan dunia terhadap kewangan Islam semakin meningkat seperti yang dibuktikan menerusi terbitan sukuk (bon Islam) di negara bukan konservatif seperti United Kingdom (UK).
  • "Kita sudah lihat kerajaan United Kingdom sudah mula menerbitkan sukuk. Ini sesuatu yang mengejutkan memandangkan kita tidak terfikir ia akan berlaku.
  • "Inilah contoh bagaimana kita wajar meneroka ke negara asing untuk mempromosi instrumen kewangan Islam dan memastikan produk kewangan Islam sentiasa berkembang," katanya selepas melancarkan majalah "Islamic Banker Asia" di sini hari ini.
  • Ahmad berkata industri kewangan Islam akan terus berkembang berikutan semakin banyak negara menerima sistem kewangan itu sebagai alternatif yang lebih kompeten kepada sistem konvensional.
  • "Industri kewangan Islam pastinya akan berkembang apabila pihak berkuasa kewangan di luar sana memahami betapa stabilnya sistem kewangan Islam.
  • "Sistem itu tidak tergugat akibat kelembapan ekonomi di mana-mana sahaja di dunia," katanya.
  • Tambahan pula, sistem kewangan Islam juga lebih adil seperti dari segi pengagihan keuntungan, kata Ahmad.
  • Di Malaysia, pertumbuhan kewangan Islam akan memberi manfaat kepada pelanggan Islam dan bukan Islam, katanya.
  • "Berikutan rangka kerja perundangan dan kawal aturan yang ketat, selain tahap kesedaran yang tinggi, industri kewangan Islam kita bukan sahaja kukuh, malah ia turut memberi perkhidmatan kepada pelanggan bukan Islam yang membentuk separuh daripada pasaran," katanya.
  • Malaysia kini merupakan penerbit sukuk terbesar di dunia, pasaran Insurans Islam, Takaful, kedua terbesar, pasaran perbankan Islam ketiga terbesar.
  • Sementara itu, Pegawai Eksekutif Islamica Money Group, penerbit Islamic Banker Asia, Muhammad Fadzil berkata majalah itu disasarkan untuk peserta industri kewangan Islam seperti bank Islam, profesional kewangan, pembuat dasar, pengawal selia, dana Islam dan pengurus kekayaan.
  • Beliau berkata majalah itu akan menampilkan liputan eksklusif, berita dan perkembangan terkini dalam perbankan Islam global dan industri kewangan.
  • "Kami percaya penerbitan Islamic Banker Islam Asia akan menyediakan bahan yang membina dan mengukuhkan industri yang sudah berkembang pesat ini dan pada masa yang sama membantu negara untuk memahami prinsip-prinsip dan amalan kewangan berlandaskan Syariah," katanya.
  • Turut hadir pada majlis pelancaran majalah itu ialah Ketua Eksekutif CIMB Islamic Bank Pegawai Badlisyah Abdul Ghani, Pengarah Eksekutif Persatuan Institut Perbankan Islam Malaysia Addellan Jusop dan Ketua Pegawai Eksekutif Islamica Money Group Muhammad Fadzil Abdullah. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment