Monday, 16 December 2013

Indoktrinasi ideologi masih berterusan

 
berhati-hati dengan ideologi intoktrinasi
 
  • Baru-baru ini Kunta Kinte dijemput bercakap kepada kakitangan Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICU), Jabatan Perdana Menteri. Antara yang mereka tanya Kunta Kinte adalah berkenaan perang ideologi dan indoktrinasi.
  • Kunta Kinte kata, cerita Siti Aishah Abdul Wahab, wanita berasal dari Malaysia dan berusia 69 tahun yang jadi hamba ideologi di London selama 30 tahun adalah contoh terbaik kesan perang ideologi dan indoktrinasi.
  • Kesan indoktrinasi ideologi Marxis atau dalam bahasa basahan, ideologi komunis begitu mendalam ke atas wanita Melayu itu sampai dia tak berasa dia dipenjarakan. Selepas dilawati oleh kakak dia sendiri pun, dia masih tak mahu balik.
  • Dalam bahasa yang mudah, indoktrinasi lebih kurang macam pukau. Cuma, ikut cerita, orang yang kena pukau hilang akal atau tak sedar sementara saja. Indoktrinasi lebih saintifik dan kesan psikologinya lebih mendalam.
  • Kunta Kinte tak hairan sangat dengan cerita Aishah. Bila Kunta Kinte dilahirkan, Perang Dingin baru bermula dan Kunta Kinte dewasa waktu Perang Dingin memuncak. Sedikit sebanyak, Kunta Kinte pun diindoktrinasikan juga.
  • Kalau Aishah diindoktrinasikan dengan ideologi komunis, Kunta Kinte diindoktrinasikan supaya benci kepada komunis. Cuma indoktrinasi Kunta Kinte tidaklah macam Aishah sampai dikurung dan diasingkan daripada masyarakat.
  • Satu perkara lagi, Kunta Kinte tak berapa hairan dengan kesan indoktrinasi yang berlaku kepada Aishah sebab Kunta Kinte baca banyak buku dan rencana berkenaan ideologi dan indoktrinasi. Ada yang curi-curi baca sebab masa itu haram. Boleh kena tangkap kalau pihak berkuasa tahu.
  • Proses indoktrinasi lebih akademik
  • Proses indoktrinasi jadi lebih jelas dan akademik bila Kunta Kinte dibagi biasiswa ke Berlin Barat, Jerman pada 1977. Secara tersirat, sebahagian kurikulum di Internationales Institut für Journalismus (Institut Kewartawanan Antarabangsa) Berlin adalah indoktrinasi ideologi kapitalisme.
  • Kunta Kinte baca juga macam mana Parti Komunis Malaya mengindoktrinasikan muda mudi, khasnya daripada masyarakat Cina, untuk taat setia dan berani mati kerana komunisme.
  • Kunta Kinte baca berkenaan Mao Zedong mengindoktrinasikan belia China supaya sokong dia dalam Revolusi Budaya 1966 dan 1971. Antara dua hingga tujuh juta rakyat China mati akibat revolusi dalam revolusi Mao itu.
  • Contoh semasa indoktrinasi politik dan ideologi adalah Korea Utara yang mana rakyatnya sangat taksub kepada kepemimpinan Dinasti Kim sampai sanggup mati kebuluran.
  • Jadi kita janganlah sangka bila Perang Dingin tamat pada 1991, dunia dah selamat. Sebaliknya, dunia lebih tak selamat. Yang paling teruk deritai kesan pasca-Perang Dingin adalah dunia Islam.
  • Dalam banyak perkara, dunia Islam wujud hanya pada nama. Dunia Islam pecah-belah, meletup dan meledak. Diletupkan musuh dan diledakkan oleh pergaduhan sama sendiri.
  • Tengok saja di Syria, Iraq, Mesir, Yaman, Afghanistan, Pakistan dan Somalia. Nak pergi sembahyang Jumaat pun tak selamat lagi. Bukan ditembak dan dibom oleh orang kafir, tapi oleh orang Islam sendiri.
  • Jangan mudah cetuskan isu
  • Kunta Kinte minta kita di Malaysia janganlah mudah sangat cetuskan isu, tak kira kerana akidah atau politik.
  • Kunta Kinte tak setuju kita tuduh atau kita haramkan pihak itu dan ini, melainkan ajaran sesat macam Al-Arqam, Tuhan Harun, Al-Ma’unah dan Kerajaan Langit.
  • Dulu masa Kunta Kinte kecil, ada satu ajaran sesat di utara yang dipanggil Taslim atau agama Ahmad Matahari yang diasaskan pada akhir abad ke-17 di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
  • Kunta Kinte rasa cara yang lebih berkesan untuk sekat ajaran lain adalah dengan kita mengisytiharkan bahawa di Malaysia Perlembagaan hanya iktiraf dan benarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
  • Tetapi kalau ada pengamal mazhab lain, kita janganlah bertindak keras dan kasar sampai jadi macam di Pakistan, Iraq dan banyak lagi negara di Asia Barat.
  • Kita kena ingat, negara kita amal dasar terbuka. Kita benarkan orang masuk keluar untuk berbagai-bagai tujuan. Jadi tentulah bukan semua yang masuk keluar itu ikut Ahli Sunnah Wal Jamaah.
  • Janganlah cakap pasal persaudaraan Islam untuk sedapkan rasa saja. Ingat, inilah yang musuh Islam mahu. Mereka mahu umat Islam berpecah-belah. Wallahua’klam. -- BH

No comments:

Post a Comment