PAKATAN pembangkang didakwa
sedang merancang satu perhimpunan bagi menolak pelaksanaan cukai barangan dan
perkhidmatan (GST) minggu ini bagi mengambil kesempatan menanam rasa benci
kepada kerajaan dalam kalangan rakyat yang masih keliru dengan sistem baharu
itu.
Bagi mereka yang peka dan cuba
memahami perkembangan GST, demonstrasi yang didakwa akan diketuai Datuk Seri
Anwar Ibrahim itu umpama menjilat ludah sendiri sedangkan beliau dikatakan yang
pertama membawa GST ke Parlimen pada 1993 selaku Menteri Kewangan di samping
beberapa kali menyatakan 'sokongan' terhadap sistem tersebut.
Umum memahami, mereka yang tidak
faham GST akan menyertai demonstrasi tersebut tetapi jika golongan yang
sememangnya faham dan menyokong pelaksanaan sistem cukai itu terlibat berdemonstrasi,
ia menunjukkan amalan politik tidak matang pembangkang dan berpaksikan
kepentingan peribadi semata-mata.
Bukannya kali pertama tetapi
sudah berulang kali golongan ini menggunakan kekeliruan rakyat untuk memupuk
kebencian terhadap pemerintah, menolak semua dasar dan program yang diadakan
sama ada baik atau buruk asalkan dapat mengurangkan sokongan politik kepada
kerajaan.
Tindakan yang hanya akan
mengganggu rutin harian rakyat itu, 16 bulan sebelum GST mungkin dilaksanakan,
dilihat tidak lebih daripada usaha memupuk budaya demonstrasi jalanan dan
perhimpunan haram yang sememangnya 'wajib' diadakan pembangkang sepanjang
tahun.
Maka, tidak pelik apabila ada
yang mengatakan pembangkang negara ini tidak berkualiti dalam kapasiti mereka
sebagai 'pengimbang' pentadbiran negara kerana lebih taksub mengejar kuasa
pemerintahan daripada mengutamakan keputusan terbaik untuk masa hadapan rakyat
dan negara.
Bagi Ketua Kluster Politik,
Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed
Mustafa Ishak, langkah mengajak rakyat ke jalan raya selepas diri sendiri
bersetuju dengan GST menunjukkan pihak terbabit tidak konsisten dan tidak
matang berpolitik.
"Sudah sokong tapi nak
berdemonstrasi juga, cakap tidak serupa bikin. Jika mereka memerintah pun saya
yakin mereka akan laksana GST juga.
"Seperti bila Selangor
naikkan gaji tetapi menguntung segelintir exco sahaja, mereka tidak konsisten.
Tetapi jika mahu buat demonstrasi juga itu hak demokrasi mereka, asalkan ikut
peraturan," katanya.
Beliau kesal melihatkan
pembangkang masih tidak dapat membezakan antara isu politik dan isu negara
sedangkan perlu juga melihat kewajaran mempolitikkan sesuatu perkara agar tidak
menjejaskan negara kelak.
Tambahnya, semua perkara boleh
dipolitikkan jika mahu mengejar keuntungan peribadi atau kumpulan tertentu,
tetapi isu seperti GST melibatkan polisi negara dan lebih wajar didebatkan di
Parlimen.
"Sekarang ada ramai ahli
pembangkang di Parlimen, kenapa tidak debatkan isu ini di sana, kemukakan hujah-hujah
dan bukannya membuat demonstrasi, heret rakyat ke jalan raya.
"Jika terus begini, negara
tidak akan berkembang. Kita kena tahu had-had berpolitik, biar bijak dan
rasional. Ada Parlimen gunakanlah untuk bincang isu polisi. Pembangkang tidak
patut heret rakyat ke jalan raya, ini menunjukkan mereka tiada kematangan berpolitik,"
ujarnya.
Pemerhati antarabangsa dan
keselamatan, Mohamad Faisol Keling pula melihat masalah sebenar lebih besar
daripada demonstrasi dan perhimpunan haram kerana pembangkang sebenarnya
mengambil kesempatan atas kelemahan rakyat untuk berfikir sendiri.
"Demonstrasi bukan masalah
utama kita, sama ada dalam isu GST, blackout, 40,000 pengundi Bangladesh
mahupun isu Syiah. Masalah utama adalah ramai kalangan kita yang lemah kuasa
berfikir dan lebih selesa menerima bulat-bulat apa dikatakan orang tanpa usul
periksa.
"Ramai yang tidak berfikir
secara kreatif, tidak boleh buat analisis sendiri, taksub dan terima apa saja
orang kata. Ambil contoh isu Syiah, perkara yang nyata lagi jelas bertentangan
dengan Islam tetapi ada yang sokong selepas pemimpin atau 'ulama' mereka
nyatakan sokongan," tegasnya.
Tambahnya, tanpa kematangan dan
kuasa berfikir sendiri, mana-mana pihak boleh mencipta apa jua isu pada
bila-bila masa termasuk benda tidak masuk akal tetapi tetap diterima masyarakat
dan menjadi ikutan ahli-ahli yang taksub.
Beliau mencadangkan kerajaan
memberi tumpuan kepada punca masalah kurangnya daya fikir rakyat daripada
melayan demonstrasi pembangkang yang hanya mengambil kesempatan di atas
kelemahan anggota masyarakat.
"Untuk tangani masalah
demonstrasi, bukan sahaja dalam isu GST atau Syiah, kerajaan perlu tingkat
kemampuan rakyat untuk berfikir sendiri secara matang dan kreatif. Tingkatkan
mutu pendididkan, berikan penerangan melalui media massa secara berterusan dan
pupuk pemikiran secara kritis.
"Lihat sahaja kesan masalah
ini, orang tuduh ada 40,000 pengundi Bangladesh pun pengikutnya percaya
bulat-bulat. Bila orang yang sama nafi pernah buat tuduhan itu, pengikutnya
percaya juga. Terima bulat-bulat dan tidak berfikir sendiri," jelas Mohamad
Faisol.
Dalam isu GST katanya,
seolah-olah ia agenda peribadi atau agenda parti dalam kerajaan sedangkan
setiap dasar melalui proses penilaian dari peringkat paling rendah ke jabatan
dan kementerian sebelum dibawa untuk perbahasan dan undian di Parlimen untuk
dilaksanakan.
Beliau melihat rakyat yang tidak
nampak aturan proses itu mudah dimanipulasi dan percaya momokan pihak lain
sedangkan pihak itu juga mempunyai ahli yang ramai di Parlimen untuk berhujah
mahupun menghalang pelaksanaannya.
"Lebih malang lagi bila
golongan yang boleh berfikir juga turut serta dalam demonstrasi sebegini demi
kepentingan peribadi individu ataupun parti kesayangan mereka.
"Ini sindrom pemikiran lemah
sehingga mudah dimanipulasi orang lain, sampaikan sanggup menyokong benda yang jelas
salah seperti dalam isu Syiah. Agama, bangsa dan negara boleh terancam jika
rakyat tidak boleh berfikir sendiri," ujarnya.
Mohamad Faisol bagaimanapun tidak
meletakkan tanggungjawab membuka akal fikiran rakyat di bahu kerajaan sahaja
kerana setiap individu perlu ada keazaman sendiri untuk meluaskan pemikiran
daripada hanya mengikut telunjuk orang lain.
Beliau merasakan proses
mempengaruhi rakyat masih berlaku selepas pilihan raya lalu, dari demonstrasi
blackout sehingga kini ke isu GST tetapi berharap kerajaan tidak fokus kepada
satu-satu isu dimainkan pembangkang sebaliknya menyelesaikan punca utama
masalah tersebut.
"Jika rakyat boleh berfikir
sendiri, tahu menilai isu dibangkitkan dan tindakan pihak terbabit, mereka
dapat bezakan mana yang betul, salah dan terutama sekali mana yang tipu daya.
Demonstrasi GST belum tentu berjaya jika rakyat dapat menilai dan berfikir sendiri,"
katanya. -- anuar.kari@utusan.com.my
-
No comments:
Post a Comment