Friday, 14 December 2012

Air, satu sumber yang perlu bagi kehidupan


Air Nadi Kehidupan.
KUALA LUMPUR - Dalam filem 'Sahara', yang berkisar mengenai Perang Dunia Kedua, sepasukan tentera Jerman menyerang sekumpulan kecil tentera Perikatan yang sedang berkubu di sebuah ‘wadi’ terletak di Gurun Sahara.

‘Wadi’, dalam Bahasa Arab bermaksud ‘lembah’. Ia juga merujuk kepada sebuah anak sungai atau dasar sungai yang kering dan biasanya digenangi air terutama selepas hujan lebat.

Namun kesudahan cerita itu, tentera Jerman yang begitu ramai menyerah kalah kepada tentera Perikatan semata-mata kerana inginkan air dari perigi yang berada di wadi itu.

Sementara itu dalam filem James Bond bertajuk 'Quantum of Solace', ceritanya adalah mengenai rancangan pihak tertentu mengugut bagi mendapatkan wang dari kerajaan sebuah negara Amerika Selatan dengan memotong bekalan air ke negara itu.

Adakah konflik mengenai bekalan air seperti yang digambarkan dalam filem-filem di atas boleh menjadi satu realiti satu hari nanti?

Ini menunjukkan betapa pentingnya sumber bekalan air sebagai satu dari keperluan asas manusia.


Kurang bekalan air

Menurut pensyarah sebuah universiti di sini, G. Desmond, bekalan air berada dalam kedudukan ‘tidak stabil’ di beberapa kawasan di negara ini terutama Lembah Klang.

“Di kawasan seperti Lembah Klang,, pembangunan dan perkembangan penduduk berlaku dengan rancaknya dan pada masa kini pun kita agak kerap mengalami masalah kekurangan bekalan air yang boleh menjadi runcing pada dekad akan datang," kata beliau.

Menurut Desmond, jumlah penduduk dunia berkembang dengan pesat seiring dengan permintaan untuk bekalan air turut meningkat dan berkembang dengan lebih pantas.

"Pada lima dekad yang lepas, jumlah populasi manusia meningkat hampir dua kali ganda daripada 3.9 bilion ke 6.5 bilion tetapi keperluan air meningkat tiga kali ganda, melebihi dengan ketara peningkatan jumlah penduduk.

"Jumlah penduduk dunia dijangka meningkat kepada 9.0 bilion menjelang tahun 2050 dan keperluan bekalan air menjelang tahun itu adalah dijangka tersangat tinggi,” katanya kepada penulis di sini baru-baru ini.

Kata Desmond, pola pengguna utama air di negara ini adalah sektor pertanian, perbandaran dan perindustrian.

"Bagaimanapun hari ini penggunaan air di sektor pertanian di negara ini telah berkurangan jika dibandingkan dengan penggunaan sektor perbandaran dan perindustrian yang semakin meningkat dengan rancaknya dari hari ke hari," jelas beliau.


Keperluan asas manusia

Menurut Desmond, air adalah satu komoditi dan yang paling penting ia satu keperluan asasi manusia.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu, keperluan air dunia meningkat dua kali ganda lebih cepat dari peningkatan penduduk dan menjelang tahun 2025, dianggarkan 1.8 bilion penduduk akan mengalami ‘kekurangan air yang meruncing' manakala dua pertiga dari bumi ini akan mengalami 'stres' yang timbul daripada masalah ini.

Menjelang tahun 2050, dianggarkan 45 peratus penduduk dunia tinggal di negara yang mengalami kekurangan air secara kronik.

Menuru Desmond lagi, manusia menggunakan air bagi pelbagai urusan seperti untuk minum dan membersih.

"Air digunakan bagi penyejukkan, ia diguna juga bagi tujuan rekreasi seperti wujudnya taman tema air. Air diperlukan di kedai makan dan restoran, kilang dan pada upacara tertentu majlis keagamaan.


Kemungkinan krisis air

Awal tahun ini, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd atau Syabas memberi amaran bahawa Lembah Klang akan mengalami masalah bekalan air yang serius jika pihak yang berwajib gagal melaksanakan tiga projek bekalan air menjelang tahun 2014.

Projek itu ialah loji Rawatan Air Sungai Langat 2 , Terowong Air Mentah Pahang-Selangor dan Empangan Salak Tinggi. Projek-projek tersebut dibelenggu oleh masalah yang timbul antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri terutama tentang kos pengambilalihan tanah dan harga air.

Menurut Syabas, projek-projek itu perlu disegerakan bagi memenuhi peningkatan permintaan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, yang berkembang sebanyak 3.5 peratus setahun.

Ketika ini kapasiti pengeluaran air bersih di loji rawatan yang ada tidak mencukupi berikutan peningkatan dalam permintaan di mana paras maksimum sudah tidak dapat dipertingkatkan lagi.

Menurut Syabas permintaan terhadap bekalan air dijangka meningkat kepada 4,354 juta liter sehari akhir tahun ini dibandingkan dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 4,326 juta liter sehari.

Masalah bekalan air terputus seperti yang berlaku pada 5 Jan lalu di empat kawasan di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Sepang dan Kuala Langat boleh berlaku lagi pada masa akan datang.

Baru-baru ini, Persatuan Air Malaysia (MWA) turut membangkitkan isu yang sama dengan menyebut bahawa tanpa tindakan yang konkrit, penduduk di Lembah Klang akan mengalami masalah bekalan air yang serius pada tahun-tahun akan datang.- Bernama

No comments:

Post a Comment