Friday, 14 December 2012

Tabung Budi belanja RM300,000 bantu rakyat Selangor


Tabung Budi bantu rakyat Selangor
  • SABAK BERNAM: `Tabung Budi’ Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka) membelanjakan hampir RM300,000 bagi membantu menyalurkan air kepada golongan kurang berkemampuan.
  • Pengurus Tabung Budi Peka Hashimah Che Mat Din berkata sebanyak RM297,021 dibelanjakan dari dana yang diterima tabung berkenaan bagi membiayai pembayaran tunggakan bil air, caj penyambungan, kos membaik pulih sistem perpaipan dalaman kepada penerima yang layak.
  • "Kos berkenaan turut meliputi pemasangan sistem bekalan air kepada penerima yang tidak mempunyai akuan bil air termasuk wang cagaran dan caj pemasangan," katanya.
  • Beliau berkata kos berkenaan dibelanjakan sejak 2010 untuk menyambung bekalan air kepada 370 keluarga berpendapatan rendah, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) yang mempunyai tunggakan bil sehingga menyebabkan bekalan air mereka dipotong.
  • Hashimah berkata Tabung Budi Peka akan menanggung bayaran bil selama enam bulan dan memantau penggunaan air penerima tabung itu bagi memastikan mereka tidak membazir atau menyalah guna kemudahan berkenaan.
  • Sehingga kini, Tabung Budi Peka mempunyai dana terkumpul hampir RM312,000 yang diterima daripada anggota Peka, petugas Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Puncak Niaga, anggota korporat dan individu, katanya.
  • Beliau berkata orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghantar e-mel keshimapr@syabas.com.my.
  • "Bantuan tabung ini akan diteruskan selagi menerima dana dan kita mengalu-alukan semua pihak untuk sama-sama membantu mereka yang memerlukan," katanya.
  • Sementara itu, seramai tiga keluarga di Sabak Bernam menerima bantuan dari tabung berkenaan hari ini  iaitu Wasilah Sahari dari Parit Baru, Nor Asmah Ahmad Keliwan dari Sungai Air Tawar dan Suhaimi Abbas dari Bagan Terap, Sungai Besar.
  • Wasilah, 33, yang sarat mengandung, melahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diterima terutamanya menjelang kelahiran anak ketiganya pada bila-bila masa.
  • "Syukur dan terima kasih banyak-banyak, saya risau memikirkan perlu berpantang tanpa bekalan air, tetapi hari ini segalanya telah selesai," katanya yang bergantung kepada air hujan selepas bekalan air di rumahnya dipotong sejak dua bulan lepas. -- BERNAMA

1 comment:

  1. Zulfahmi Khairulhisham17 December 2012 at 10:31

    Alangkah bagusnya kalau Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Selangor dapat ikut jejak langkah PEKA dalam beri bantuan air. Lbih ramai rakyat kurang berkemampuan dapat dibantu sekaligus kurangkan beban kos sara hidup mereka. Barulah rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

    ReplyDelete