Friday, 7 March 2014

Siti Zabedah contoh muslimah yang celaru minda

  1. Ya Allah. Ku mohon pada Mu, berilah hidayah dan keinsafan kepada manusia yang bernama Siti Zabedah Kassim dan rakan-rakannya agar kembali ke pangkal jalan dan bersama-sama mempertahankan kalimah Allah untuk umat Islam sejagat.
  2. Sesungguhnya Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sudah bertitah bahawa kalimah Allah merupakan hak eksklusif umat Islam dan dilarang penggunaannya oleh penganut agama lain.
  3. Seri Paduka bertitah, ketetapan itu sudah jelas dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1986 dan ia perlu dihormati. Semua penduduk Malaysia faham dengan titah baginda.
  4. Namun Siti Zabedah dan rakan sekongkolnya tidak peduli semua itu. Beliau hadir di Mahkamah Persekutuan baru-baru ini untuk memberitahu Yang di-Pertuan Agong dan rakyat Malaysia bahawa beliau sesungguhnya percaya kalimah Allah bukan milik eksklusif umat Islam.
  5. Justeru itu, beliau menentang umat Islam dari bangsanya sendiri, sebaliknya memberi sokongan kepada gereja Katholik supaya meneruskan perjuangan menuntut penggunaan kalimah Allah dalam agama mereka.
  6. Itu mesej yang Zabedah nak sampaikan tanpa mempeduli titah Yang di-Pertuan Agong. Yang penting dia dilihat berani. Lihat saja kenyataan Siti Zabedah ini: “Masyarakat Melayu kena berani untuk berdepan dan bercakap. Saya tahu mereka takut digelar murtad atau ditangkap oleh pihak berkuasa atau dituduh bukan-bukan.
  7. "Seperti saya katakan, jika mereka berani bercakap, ini negara kita. Tidak ada sesiapa patut takut, terutamanya orang Melayu. Jika kita bersuara kerana benar, jadi jangan takut. Dan jangan fikir Islam yang mereka pamerkan adalah Islam yang sebenarnya.
  8. "Kalau nak tahu apa itu Islam, kita baca Al-Quran dan cari apa yang kita tak puas hati. Jangan dengar apa yang mereka cakap. Jangan seperti lembu dicucuk hidung, mana ditarik kita ikut. Ini masalah orang Melayu.
  9. "Siapa yang nak hakimi kita sudah terkeluar Islam atau akidah? Itu terpulang kepada Tuhan. Tuhan sahaja yang boleh menghakimi," katanya lagi.
  10. Bila ditanya mengenai kenyataannya berbentuk provokasi, dia menjawab “Kakak berhak menjaga hati dan perasaan hati orang lain (gereja Katholik). Bukan memprovok. Kakak tahu tak berapa ramai yang awak cuba provok sekarang ini?
  11. Siti Zabedah membawa sejambak bunga Kekwa sebagai simbol keamanan sambil berkata beliau hanya mahu menyatakan pegangannya bersabit penggunaan kalimah Allah.
  12. "Jika saya provok awak, saya minta maaf. Saya tidak berniat sedemikian. Saya datang pada hari ini hanya untuk menyatakan bahawa anda di sini bukan mencerminkan diri saya.
  13. "Kami ingin buktikan ini bukan ajaran Islam dan ucapan yang dikeluarkan pagi ini tidak melambangkan semangat Malaysia.
  14. "Lihat kepada baju-T saya hari ini, menunjukkan Allah adalah Tuhan sekalian alam dan bukan eksklusif kepada umat Islam sahaja," katanya.
  15. "Saya datang demi keamanan. Saya mahu beri jambangan bunga ini kepada mereka yang menganjurkan perhimpunan ini, kepada anda (media) juga. Kita tak bawa pembesar suara, kain rentang tetapi kami datang untuk tunjukkan sebahagian lain tentang Malaysia.
  16. “Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, saya merasa bimbang dengan keadaan yang berlaku sekarang, bagaimana kita lalui semua ini.
  17. Pandangan dan pegangan hidup Siti Zabedah didakwanya bersandarkan al Quran, namun sepanjang berlegar-legar di Mahkamah Persekutuan, wanita moden yang tidak menutup aurat itu tidak memetik sedikitpun mana-mana ayat yang boleh menyokong falsafahnya.
  18. Dalam bahasa lebih mudah, Siti Zabedah bercakap main hentam keromo atau merapu terutama soal hukum mempertahankan kalimah Allah. Bila dihujani pertanyaan, dia menyebut tengoklah dalam al Quran, tapi tidak membantu mendekatkan kita di mana kedudukan firman Allah yang menyokong pegangan hidupnya.
  19. Mari kita tinggalkan dunia fantasi Siti Zabedah dan kembali kepada realiti. Sesungguhnya kita perlu mempertahankan kalimah Allah sebagai milik eksklusif umat Islam. Jika kita tidak pertahankannya, siapa lagi yang akan berbuat demikian? Siti Zabedah? Jauh sekali. 
  20. Bukankah setiap kali berzikir sesudah solat, ada pada tempatnya kita menyebut ‘Innaddina indallahil Islam’? Maksudnya “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi ALLAH ialah Islam” Surah Al Imran, al-Quran 3:19. Jadi bukankah itu bermakna ALLAH tidak menerima agama-agama lain di sisi-Nya selain Islam?
  21. Tuhan bagi umat Islam ialah ALLAH. Tuhan bagi agama lain disebut ‘God’, ertinya tuhan tanpa nama khas. Benar, ALLAH itu nama Tuhan dalam bahasa Arab, tetapi kalimah ini tidak bermaksud kepada semua agama. ALLAH itu Tuhan khusus untuk Muslim yakni manusia yang bersyahadat bahawa ‘Tiada Tuhan disembah selain ALLAH, Muhammad itu Rasulullah”.
  22. Firman ALLAH dalam Surah al-Ikhlas, al-Quran:112, maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad); ‘(Tuhanku) ialah ALLAH Yang Maha Esa (1). ALLAH yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat (2).
  23. Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan (3). Dan tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya (4)”. Pada penulis 4 ayat itu sudah cukup membuktikan bahawa kalimah ALLAH itu hak eksklusif penganut agama Islam.
  24. Agama Kristian meyakini Tuhan, Isa dan Maryam itu dengan konsep triniti. Di sini letaknya persoalan akidah. Bagi orang Islam Nabi Isa a.s itu antara 25 Rasul yang diimani (Rukun Iman), walaupun Nabi Muhammad SAW tidak tergolong dalam keyakinan Kristian dan Yahudi.
  25. Islam itu telah lengkap sempurna tetapi kenapa pula tidak dianuti sesetengah manusia yang juga beragama langit?. Maksud firman ALLAH dalam Surah al-Maidah (al-Quran, 5:3): “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah reda akan Islam itu menjadi agama untuk kamu”. Junjungan besar Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai Rasul untuk seluruh manusia. Sesiapa yang menolak Muhammad, maknanya menolak akan Islam.
  26. Apakah beza ‘God’ dengan ALLAH? Kamus Dwibahasa (DBP: 2001) memaknakan ‘God’ itu benda atau semangat yang disembah dan dianggap mempunyai kuasa atas alam dan urusan manusia: tuhan, dewa, betara, dewata. ‘God’ juga dimaknakan kepada Pencipta Alam, Yang Maha Berkuasa yakni Tuhan ALLAH dalam Islam. Ada simpulan bahasa ‘God willing’ jika diizinkan Tuhan, dalam Islam InsyaAllah; ‘Thank God’ yakni syukurlah atau ‘Alhamdulillah’ dalam Islam. Itulah beza antara berhajatnya umat Islam kepada ALLAH dengan berhajatnya penganut agama lain kepada tuhan mereka.
  27. Dalam kes kecelaruan Siti Zabedah dan konco-konconya, Kerajaan dan umat Islam jangan sekali-kali memandang ringan isu kalimah ‘ALLAH’ ini, lebih-lebih lagi dalam konteks Malaysia.
  28. Memang tindakan tegas boleh diambil terhadap sesiapa yang mencabar kalimah Allah yang sekaligus mencabar status Islam sebagai agama negara Persekutuan Malaysia dan kuat kuasanya di bawah beberapa enakmen negeri. Status Islam di Malaysia berbeza kedudukannya dengan Islam di negara lain.
  29. Orang bukan Islam tidak boleh mencampuri urusan agama Islam. Junjungi Perlembagaan dan hormatilah beberapa enakmen negeri yang sekian lama melindungi Islam sebagai agama negara.
  30. Umat Islam mesti fahami implikasi penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam itu akan mempengaruhi akidah, tradisi ilmu dan kecelaruan terhadap tamadun Islam.
  31. Mendekati contoh kecelaruan terhadap tamadun Islam, ia sudah berlaku di Indonesia apabila kalimah Allah digunapakai oleh Kristian dalam semua aspek termasuk terjemahan FIRMAN ALLAH.
  32. Ada orang “cerdik” bertanya apa masalahnya jika orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, mustahil orang Islam tidak boleh membezakan antara Bible dengan Al-Quran.
  33. Di dalam Al-Quran an Bible, masing-masing ada menceritakan kisah Nabi Adam, Nabi Musa dan kisah-kisah beberapa Nabi lain. Apabila mereka menulis “Firman Allah” lalu membawakan kisah-kisah di dalam Bible, siapa yang dapat membezakannya? Adakah anak-anak kita mampu membezakannya?
  34. Ada banyak lagi contoh kecelaruan yang boleh berlaku jika kalimah Allah diberikan kepada gereja Katholik. Peliknya agama-agama lain seperti Buddha dan Hindu tidak pula teruja mahu berkongsi penggunaan nama Allah dalam terjemahan dan bukan terjemahan. Fikir-fikirkanlah.
  35.  

Perebutan kerusi MB Selangor – Episod 6 dan 7

     
     
     
    Episod 6
     
  • Kuasa boleh mengubah segalanya. Hanya itu harapan yang Anwar Ibrahim ada. Beliau berharap apabila dapat berkuasa sebagai Menteri Besar Selangor, segala masalah perpaduan dalam parti akan selesai.
  • Sesungguhnya yang menyatukan ahli mana-mana parti politik, termasuk PKR, ialah kuasa. Melalui kuasa segala perubahan atau reformasi yang didambakan akan dapat dicapai. Demi kuasa juga setiap pemimpin harus berkorban. Tidak mengapa jika yang harus dikorbankan ialah sahabat dan ahli parti sendiri.
  • Kini Anwar telah terlalu hampir dengan kerusi kuasa. Beliau berharapkan kemenangan yang besar tanpa menghadapi cabaran yang getir untuk menjadi ketua eksekutif negeri paling kaya di Malaysia.
  • Jika ikut perancangan, jalan itu tidaklah sebegitu sukar. Lee Chin Cheh sudahpun memberi laluan dengan mengosongkan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang. Khalid Ibrahim pula sudah dengan takzimnya mengumumkan beliau menjadi calon ganti.
  • Keakraban yang diharapkan oleh Anwar untuk membuktikan kepada rakyat betapa kentalnya perpaduan dalam PKR yang wujud untuk menumbangkan Barisan Nasional yang dijadikan simbol rasuah, salahguna kuasa dan kronisme dapat dipamerkan kepada umum.
  • Malangnya, pertunjukan itu tidak kekal lama. Lantaran gelojoh mahu mencipta rekod kemenangan yang besar sekaligus dapat meyakinkan semua pihak, termasuk istana, betapa meluapnya kehendak rakyat mahu reformasi termasuk mengganti Menteri Besar, keretakan perpaduan PKR mula ketara.
  • Sebenarnya, bukan begitu mudah untuk Khalid Ibrahim melepaskan kuasa. Sebelum ini beliau ialah seorang panglima korporat terbilang. Soal untung rugi adalah panduan hidupnya. Namun lima tahun lalu beliau dimandikan dengan kuasa politik pula.
  • Kedudukan sebagai menteri besar memberinya kuasa lebih besar daripada amanah yang perlu digalas seorang ketua sesebuah badan korporat. Kejayaan yang dicapainya dari kerusi seorang menteri besar adalah berganda nikmatnya daripada memimpin entiti korporat.
  • Apabila melihat begitu gesit dan pantasnya juak-juak Anwar menyusun langkah untuk “menekan dan memujuknya” melepaskan kerusi kuasanya itu, Khalid berasa tersinggung beliau dianggap pemimpin “pakai-buang”. Ini mencabar maruahnya.
  • Tidak sukar bagi Khalid mengenalpasti punca konspirasi menjatuhkannya. Sasarannya tentu Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali. Lantas pada 28 Februari lalu, Khalid pun mengumumkan bahawa beliau akan mencabar Azmin untuk jawatan kedua tertinggi dalam parti.
  • Jika Azmin dapat ditewaskan, Khalid menambah satu lagi aura kuasa untuk dirinya – kali ini berkuasa dalam PKR pula. Di medan korporat seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Azmin sudah dapat ditundukkannya. Begitu juga dalam majlis-majlis kerajaan tempatan.
  • Saingan Khalid bukan lagi Azmin tetapi Anwar. Kini dalam parti pula, pengaruh politik Azmin dapat dikembirikan. Namun Khalid sedar apabila beliau mengorak langkah politik ini, saingan sebenarnya bukan lagi Azmin. Kini beliau berhadapan dengan mentor Azmin – Anwar Ibrahim.
  • Khalid insaf bahawa memang sudah sekian lama Anwar cuba menguasainya. Kebolehannya hanya dikotakkan Anwar sebagai masuk dalam kategori ekonomi dan kewangan sahaja.
  • Namun memandangkan Anwar ialah penguasa mutlak dalam PKR, Khalid turutkan juga walaupun Anwar sudah lama menginjak halaman “kuasa”nya apabila beliau mengangkat dirinya sebagai Penasihat Ekonomi Selangor. Walhal Khalid yakin ilmu ekonominya lebih tinggi daripada Anwar.
  • Khalid kini dapat membaca bahawa Anwar sudah masuk ke dalam zon kelemahannya. Apabila secara kurang “waras” Anwar tiba-tiba mahu mengambil alih kerusi Menteri Besar yang didudukinya, Khalid tahu bahawa Anwar terdesak.
  • Duta kuasa Anwar, Azmin Ali, ternyata bukan tandingannya. Lantas Khalid mencongak kini adalah masa terbaik untuk mengadu kepintaran siasah dengan Anwar.
  • Langkah pertama pisahkan Azmin daripada Anwar. Azmin mesti disibukkan dengan memasang strategi untuk mempertahankan kedudukannya. Oleh kerana beliau ialah pengarah PRK Kajang, Khalid boleh menentukan sampai tahap mana pembabitan Azmin dalam pilihanraya 23 Mac nanti.
  • Khalid kini atur langkah politik licik sendiri. Khalid sudah menunjukkan tekad tidak mahu berada di bawah telunjuk Anwar. Isu air, beliau selesaikan sendiri. Desakan Anwar dan juak-juaknya supaya beliau menandatangani surat peletakan jawatan menteri besar tanpa tarikh tidak dihiraukannya.
  • Kini mengatur program politiknya sendiri. Lebih 1,000 penyokong yang berhimpun di kediaman rasminya malam Sabtu lalu, pulang ke Cabang masing-masing untuk membisikkan bahawa Khalid sudah bersedia memimpin parti setelah berjaya mentadbir Selangor dengan cemerlang hingga kemenangan besar PRU ke 13.
  • Perpaduan dan keharmonian PKR kini mula berkocak. Anwar tidak mampu menandatangani borang pencalonan PRK Kajang dalam keadaan partinya kucar kacir.
  • Kali ini Anwar kena berbaik dengan Khalid. Sekurang-kurangnya Anwar kena bersetuju tidak menyebelahi Azmin seperti pemilihan PKR 2010.
  • Kata pepatah “Jong pecah, yu kenyang”. Jika PKR pecah yang tentu kenyang ialah Khalid. Sebelum PRK Kajang lagi beliau sudah menerima perakuan PAS akan terus menyokongnya menjadi Menteri Besar.
  • Begitu juga Umno. Khabarnya sudah ada wakil Umno yang mula mengenyit mata pada Khalid. Dengan sokongan PAS dan Umno, Khalid sudah pasti menjadi hero
  • Melayu di Selangor. Aura ini sudah pasti akan semerbak ke seluruh Malaysia. Anwar perlu berhati-hati kali ini. Khalid kini bukan hanya seorang tokoh korporat. Ilmu siasahnya sudah meningkat berlipat ganda. Memang benar kuasa boleh menyatukan.
  • Bagaimana penyatuan dan perpaduan hanya boleh berkisar pada paksi kuasa yang ada di tangan Khalid bukan Anwar.
  •  
  • Episod 7
  •  
  • Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah ibarat harimau yang terluka. Beliau perlu bertindak ganas dan tegas untuk memastikan kepentingan politiknya terpelihara. Reputasi dan maruah dirinya kini tercabar dan beliau perlu segera mengatur strategi balas.
  • Beberapa pihak dalam PKR sering mentohmahnya tidak mesra parti sendiri. Beliau dikatakan sering membuat keputusan yang mempunyai implikasi politik tanpa merujuk kepada parti. Pihak berkenaan menganggap beliau tidak menghormati kedaulatan pimpinan parti.
  • Khalid selama ini tidak mempedulikan pandangan-pandangan sinis begini. Bagi beliau sebagai menteri besar beliau hanya bertanggungjawab kepada sultan dan rakyat. Beliau mahu memberi khidmat terbaik dan yakin ini sudah dilaksanakan dengan berkesan.
  • Di segi pengurusan negeri, Khalid percaya beliau telah berjaya mengurangkan beban rakyat dengan memberi subsidi bayaran air dan pelbagai insentif sosial.
  • Malah di segi politik pun Khalid percaya beliau dapat menangani cabaran dengan cemerlang. Sifir Khalid ialah apabila secara bersama DAP, PAS dan PKR menawan Selangor pada 2008, beliau diberi amanah untuk memelihara dan melebarkan pengaruh Pakatan Rakyat di Selangor.
  • Khalid rasa beliau sudah langsaikan amanah yang diberikan. Amanah ini telah beliau langsaikan. Dalilnya, ketika menjadi menteri besar kali pertama pada 2008, Barisan Nasional mempunyai 20 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Selangor. Bagaimanapun selepas lima tahun memimpin negeri paling kaya di Malaysia, kerusi BN hanya tinggal dua belas sahaja.
  • Bagi Khalid jika itu tidak membuktikan keberkesanan cara beliau memimpin, apakah ada lagi ukuran lain yang boleh digunakan?
  • Bagaimanapun yang membuat Khalid terluka ialah walaupun sudah membuktikan kecemerlangan politik yang begitu ketara, ada pihak dalam PKR yang masih mempertikaikan kemampuannya berpolitik.
  • Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli tanpa berselindung mengatakan bahawa walaupun rekod pengurusannya cemerlang, Khalid masih memerlukan bantuan untuk menghadapi terjahan politik BN yang banyak menggunakan isu emosi seperti agama dan perkauman.
  • Atas dasar itu, PKR dan Pakatan Rakyat dikatakan perlu meletakkan Ketua Pembangkang merangkap Ketua Umum PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai pengalaman politik luas untuk menggantikan Khalid menghadapi serangan BN itu.
  • Maka dicetuskan idea untuk diadakan pilihan raya Kecil di Kajang supaya Anwar boleh bertanding untuk menjadi ADUN dan kemudian diangkat menjadi menteri besar menggantikan Khalid.
  • Maruah Khalid terluka, tercalar akibat perbezaan idealogi. Agak sukar untuk umum memahami perit luka maruah Khalid apabila mahu dikuis ketepi begitu sahaja hanya untuk meletakkan Anwar di tempatnya.
  • Khalid juga tahu membaca bahawa inisiatif meletakkannya sebagai Pengarah PRK Kajang hanya satu cara untuk “memujuknya” dan mungkin juga untuk “memperbodohkannya” supaya “mendandan bakal madu sendiri”.
  • Selama ini di segi politik yang agak merimaskan tumpuan pengurusan Khalid hanya Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor.
  • Sindiran dan bidasan Azmin mampu ditangani dengan baik oleh Khalid. Paling tidak Azmin dapat digugurkan daripada menganggotai Lembaga Pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) walaupun tindakan itu diselaputi kesamaran sama ada ia atas arahan Khalid atau tidak.
  • Bagaimanapun bila “abang besar” bernama Anwar Ibrahim mencampuri perbalahannya dengan Azmin dan cuba pula “mengambil kesempatan” untuk menyingkirkannya dari kerusi menteri besar, Khalid berasa tercabar untuk mempertahankan haknya.
  • Bagi Khalid cukuplah lebih lima tahun musuh politik dalam PKR mentohmahnya sebagai tidak bijak berpolitik. Malah beliau lebih senang dikenali sebagai tokoh korporat daripada ikon politik.
  • Bagaimanapun bila ada tindakan sengaja untuk meremehkan maruahnya dengan memetik kajian yang melaporkan bahawa 59 peratus pengundi Kajang mahu Anwar menjadi Menteri Besar dan sekaligus mengisyaratkan majoriti rakyat Kajang “menolaknya”, Khalid pastinya tersinggung.
  • Anwar semberono mahu libatkan bekas MB Selangor dalam urustadbir negeri itu, tanpa rujuk Khalid
  • Ini ditambah pula dengan hakikat Anwar langsung tidak merundinginya mengenai pelan beliau (Anwar) mahu membawa masuk mantan Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Mohd Taib untuk menangani cabaran pembangunan luar bandar di Selangor, Khalid menjadi lebih hiba.
  • Bukankah Anwar dahulu yang memutuskan supaya Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, patut menjadi Ketua Staf di pejabatnya dan membantunya merancang dan melaksanakan rancangan pembangunan desa?
  • Mengapa tiba-tiba nama Muhammad Taib yang disebut dalam kempennya? Anwar juga menambah duka Khalid apabila secara wewenang berjanji akan mengkaji kemunasabahan Enakmen Agama Bukan Islam (Penyebaran Kepada Orang Islam) Selangor 1988 sedangkan Sultan sudah bertitah mengingatkan jangan ada usaha mana-mana pihak cuba mengubah ketetapan itu.
  • Bukankah tindakan semberono Anwar ini akan menyebabkan Khalid dipersalahkan mengingkari titah Sultan? Bukankah Khalid masih menteri besar dan perlu berurusan dengan pihak istana? “Penentangan” parti PKR terhadap titah Sultan pasti akan menyulitkan lagi hubungannya dengan istana.
  • Luka Khalid agak dalam. Mengapa hanya beliau yang mesti mengikut protokol parti sedangkan puak-puak tertentu yang tidak berpengalaman mengurus negeri semaju Selangor tidak pernah mahu belajar menghormati tradisi dan protokol sebuah kerajaan?
  • Sabar Khalid ada batasnya. Sudah sampai masanya bagi beliau mempamerkan sisi dan kemahiran politiknya. Persefahaman dengan kerajaan pusat berhubung isu air ditandatanganinya.
  • Kali ini tahulah Anwar dan pihak “pembencinya” dalam PKR bahawa Anwar tidak boleh menggunakan inisiatif “damainya” dengan kerajaan pusat itu sebagai modal kempen dalam PRK Kajang. Kali ini biar rakyat tahu bahawa wira yang menyelesaikan isu air di Selangor dan Kuala Lumpur ialah Khalid bin Ibrahim bukan Anwar Ibrahim.
  • Khalid buat kejutan, umum akan cabar Azmin pada pemilihan akan datang. Meskipun Khalid mengumumkan malam Sabtu lalu di majlis makan malam Kasih Bertaut di kediaman rasminya bahawa tumpuannya kini ialah PRK Kajang yang membabitkan Anwar sebagai calon, namun pada masa yang sama Khalid mengisytiharkan bahawa beliau akan mencabar Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, Mei nanti.
  • “Saya selaku Pengarah Pilihan Raya (Kajang) akan berjumpa dengan pemimpin cabang dan bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya ini,” kata Khalid di majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 penyokongnya.
  • Jika benar demikian apa perlunya beliau mengumumkan mahu menjadi Timbalan Presiden parti di peringkat ini? Untuk siapakah mesej itu sebenarnya mahu disampaikan? Azmin Ali atau Anwar Ibrahim?
  • Khalid Ibrahim sudah bangkit, Anwar Ibrahim mulai tersepit. Khalid sudah mengorak langkah politik dan melontarkan cabaran, beranikah Azmin menyahutnya? Atau, mampukah Anwar menjinakkan harimau korporat yang terluka dan tidak segan mengaum di halaman politik Ketua Umum PKR itu sendiri.
  •  

Thursday, 6 March 2014

The Herald mahu guna kalimah Allah, pemerintah Malaysia wajib pertahan hak eksklusif kalimah Allah

     
  1. Samada berhak atau tidak majalah The Herald mengemukakan rayuan terhadap keputusan Menteri Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu, akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.
  2. Keputusan menteri pada 7 Januari 2009  tidak membenarkannya, ternyata bebas daripada sebarang unsur mala fide (niat jahat).
  3. Menteri Dalam Negeri juga tidak tersalah arah ketika mengeluarkan perintah melarang gereja itu menggunakan kalimah. Ketika mengeluarkan perintah larangan itu, Menteri berkenaan telah mempertimbangkan sedalam-dalamnya faktor keselamatan negara dan ketenteraman awam. Justeru itu, tiada sebarang kecacatan dalam perintah itu kerana mematuhi segala peraturan tanpa sebarang unsur yang tidak rasional.
  4. Untuk itu Mahkamah Persekutuan perlu  menolak permohonan Gereja Roman Katolik untuk mendapatkan kebenaran merayu. Pihak gereja memfailkan permohonan tersebut di Mahkamah Persekutuan pada 11 November tahun lalu dengan mengemukakan 26 persoalan mengenai Perlembagaan Persekutuan, undang-undang pentadbiran dan kuasa mahkamah melarnag mereka mengunakan kalimah Allah.
  5. Isu menjadi persoalan bukannya mengenai pertembungan agama dan bukan juga isu Islam mencampuri urusan agama Kristian. Sebaliknya ia sebenarnya berhubung persoalan terjemahan dan salah terjemah kalimah Allah.
  6. Kalimah Allah berasal daripada perkataan Arab dan dalam terjemahan bahasa Melayu juga mengandungi kalimah Allah. Pemerintah mempunyai kuasa mutlak untuk membuat pindaan ke atas perkataan tersebut.
  7. Malangnya The Herald gagal membuktikan bagaimana perintah menteri dikatakan salah di sisi undang-undang. Oleh itu, mahkamah tidak sepatutnya membuang masa untuk menjawab semua persoalan majalah itu.
  8. Pihak gereja yang diwakili peguam Tan Sri Dr. Cyrus Dass menyifatkan, Menteri Dalam Negeri telah membuat kenyataan sewenang-wenangnya tanpa disokong dengan sebarang bukti.
  9. Dakwanya, menteri gagal menjelaskan bagaimana penggunaan kalimah Allah dalam The Herald versi bahasa Melayu mampu mengancam keselamatan negara dan boleh menyebabkan kekeliruan agama.
  10. Hak golongan minoriti menurut Dass, telah terjejas disebabkan keputusan Mahkamah Rayuan itu kerana hak tersebut bukan diatur oleh kuasa eksekutif sebaliknya ditentukan oleh mahkamah.
  11. Bagi umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia, apabila kita berbicara tentang isu kalimah Allah, sebenarnya ia merupakan isu besar.
  12. Ustaz Fathul Bari Mat Jahya menjelaskan, isu yang pertama sekarang ini adalah isu hukum boleh atau tidak orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.
  13. Berdasarkan perkataan para ulama tafsir yang menjelaskan beberapa ayat di dalam Al-Quran yang terdapat padanya penyebutan kalimah Allah di atas lisan orang bukan Islam, hukum penggunaan kalimah Allah di atas lisan orang bukan Islam adalah harus pada asalnya. Contoh beberapa firman Allah,
  14. “Dan pasti jika kamu bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?”, nescaya mereka menjawab: “Allah”.” (Surah Az-Zumar: 38)
  15. Allah tidak marah mereka menggunakan perkataan Allah. Dalam ayat yang lain, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,
  16. Sesungguhnya telah kafir orang-orang yang mengatakan bahawa Allah itu tiga dalam satu (trinity), padahal sekali-kali tidak ada Tuhan kecuali hanya Tuhan Yang Satu.” (Surah Al Maidah, 5: 73)
  17. Mereka menggunakan juga kalimah Allah, tetapi Allah tidak melarangnya. Maka dari ayat-ayat Al-Quran ini dan ayat-ayat lain yang menampakkan penggunaan kalimah Allah di atas lisan orang kafir maka para ulama mengatakan hukum asal penggunaan kalimah Allah di atas lisan orang bukan Islam adalah harus.
  18. Isu kedua, kita harus melihat isu penggunaan kalimah Allah dari sudut budaya dan sensitiviti. Di Tanah Arab, penggunaan kalimah Allah digunakan oleh orang Islam dan orang bukan Islam. Orang Arab Jahiliyah, orang Nasrani (Kristian) menggunakan kalimah Allah dalam ucapan-ucapan seharian juga di dalam sumpah-sumpah mereka; MasyaAllah, Wallah, Wabillah, Watallah.
  19. Dalam Bible yang dikeluarkan di Lubnan menggunakan kalimah Allah bagi menggantikan kalimah Rabb (Tuhan). Itu telah menjadi budaya mereka. Namun budaya kita berbeza. Orang bukan Islam dalam negara kita tidak biasa menggunakan kalimah Allah. Islam dalam keadaan tertentu meletakkan budaya dan adat menjadi pendesak kepada terbentuknya sesuatu hukum. Sebab itu ada kaedah Fiqh yang menyebut, “Adat kebiasaan itu boleh dijadikan sandaran hukum.”
  20. Dalil yang menjadi sandaran kepada kaedah ini adalah perkataan dan tindakan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tentang sejarah pembinaan Ka’bah. Ka’bah dibina oleh Nabi Ibrahim ‘alaihissalam. Firman Allah di dalam Al-Quran,
  21. Dan (ingatlah) ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Isma’il (lalu berdoa), ‘Ya Rabb kami, terimalah dari kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui’.” (Surah Al-Baqarah, 2: 127)
  22. Struktur yakni binaan asal Ka’bah bukan seperti yang kita lihat pada hari ini, petak. Binaan asalnya separuh petak dan separuh bulat. Nabi Ibrahim ketika membina Ka’bah, dia memasukkan Hijr Ismail di dalam Ka’bah. Itu binaan asalnya.
  23. Tetapi apabila berlaku banjir dan Ka’bah roboh beberapa kali, masyarakat Arab membina semula Ka’bah beberapa kali sampai di zaman Nabi, apabila Ka’bah dibina semula, mereka mengeluarkan Hijr Ismail dari Ka’bah. Sebab itu siapa yang hendak solat di dalam Kabah, dia boleh solat di Hijr Ismail, sama pahala seperti solat di dalam Ka’bah.
  24. Aisyah radhiyallahu ‘anha isteri Nabi bertanya kepada Nabi, mengatakan bahawa beliau teringin masuk dan solat di dalam Ka’bah. Baginda menyuruhnya solat di dalam Hijr Ismail, sama seperti solat di dalam Ka’bah. Aisyah bertanya mengapa Baginda tidak merobohkan Ka’bah dan bina semula seperti mana binaan Nabi Ibrahim. Jawab Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,
  25. “Wahai ‘Aisyah, kalaulah bukan kerana kaummu masih dekat masanya dengan kesyirikan (baru memeluk Islam),- dan bukan kerana aku tidak memiliki biaya untuk membangunnya, nescaya aku akan infakkan perbendaharaan Ka’bah di jalan Allah- dan aku akan runtuhkan Ka’bah dan ratakan dengan tanah, kemudian aku akan membinanya semula di atas asas binaan Ibrahim.” (Riwayat Bukhari)
  26. Nabi tidak meroboh Ka’bah, Baginda membiarkan sampai Baginda wafat. Sahabat-sahabat Nabi, semuanya tidak merobohkan Ka’bah. Mereka membiarkan Ka’bah sampai ke hari ini kerana menjaga sensitiviti dan adat masyarakat Arab.
  27. Sebab itu adat dan budaya menjadi dalil dalam keadaan-keadaan tertentu, sama seperti negara kita. Adakah menjadi adat orang bukan Islam di negara ini menggunakan kalimah Allah di dalam tempat ibadat mereka? Tidak, mereka tidak menggunakannya.
  28. Maka mengapa dalam isu seperti ini, puluhan tahun kita hidup dalam keadaan aman tanpa pergaduhan, tiba-tiba dibangkitkan oleh pihak tertentu yang berkepentingan. Yang membangkitkan isu ini adalah orang bukan Islam, tetapi yang bergaduh sampai ke hari ini adalah orang Islam.
  29. Isu yang sepatutnya kita sepakat dan bersatu, tetapi kita berpecah semata-mata kerana kepentingan pihak tertentu. Maka saya mengatakan dalam konteks negara kita, kalimah Allah tidak boleh kita benarkan penggunaannya kepada orang selain dari kaum Muslimin.
  30. Isu Ketiga, kita melihat isu kalimah Allah dari sudut agenda dan gerakan Kristianisasi. Adakah kita mahu apa yang terjadi di Indonesia terjadi di negara kita? Di Batu Tulis, Jakarta, dalam jarak 500 meter hingga 1 kilometer ada dua buah masjid dan satu gereja. Satu masjid Ahli Sunnah, satu masjid Syiah, dan satu gereja.
  31. Ketika masuk waktu solat Jumaat, pada mulanya masjid Ahli Sunnah berkumandang azan, seperti mana kita biasa dengar. Kedua, masjid Syiah berkumandang azan dengan menambah “Asyhadu anna ‘Aliyyu waliyyullah”. Ketiga, gereja juga melaungkan azan! Nama gereja itu ialah “Gereja Sidang Jemaat Allah”.
  32. Siapa yang boleh membantah? Adakah kita mahu hal seperti ini berlaku di kampung-kampung kita, di kawasan kediaman kita? Sebab itu kita katakan ada satu agenda gerakan Kristianisasi untuk mengkristiankan orang Islam.
  33. Apabila mereka menuntut untuk menggunakan kalimah Allah, ada orang “cerdik” bertanya apa masalahnya jika orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, mustahil orang Islam tidak boleh membezakan antara Bible dengan Al-Quran.
  34. Jawapannya, kalau semua orang boleh bezakan, tidak akan berlakulah adanya orang yang mengikut ajaran Ayah Pin. Ustazah yang balik dari Mesir pun ada yang mengikut ajaran Ayah Pin. Kalau ajaran seperti ini orang ikut, tidak mustahil ada orang yang akan terpesong dan terkeliru dalam membezakan yang mana satu ayat Al-Quran dan yang mana satu ayat dalam Bible, khususnya apabila dipaparkan dan disebarkan di dalam risalah-risalah dengan menulis “Firman Allah” lalu mereka menceritakan kisah Nabi Adam yang terkandung di dalam Bible. Berapa ramai yang dapat membezakan apakah ianya ayat Al-Quran ataupun ayat di dalam Bible?
  35. Di dalam Al-Quran ada menceritakan kisah Adam, begitu juga di dalam Bible ada menceritakan kisah Adam. Dalam Al-Quran ada cerita kisah Musa, begitu juga di dalam Bible. Begitu juga kisah-kisah Nabi yang lain. Apabila mereka menulis “Firman Allah” lalu membawakan kisah-kisah di dalam Bible, siapa yang dapat membezakannya? Adakah anak-anak kita mampu membezakannya?
  36. Oleh kerana itu hal ini perlu dikawal dan perlu dipandang dengan lebih serius. Kita perlu ingat bahawa di dalam perlembagaan telah menetapkan bahawa Islam adalah agama persekutuan. Perlembagaan juga menetapkan bahawa Islam adalah agama yang boleh kita dakwahkan kepada orang ramai, tetapi agama-agama lain tidak boleh disebarkan kepada orang Islam. Itu perjanjian kita dengan mereka untuk mencapai kemerdekaan, dan selama ini kita hidup dalam keadaan aman damai kerana masing-masing menghormati perjanjian ini.
  37.  

Air Oh Air

 

 
  1. PR dan BN sudah mula menghormati antara satu sama lain demi kepentingan rakyat sekaligus menunjukkan keterbukaan mereka. Dalam kes terbaru, kerajaan Selangor telah menunjukkan perubahan positif dengan mengenepikan ideologi politik dalam menerima projek yang diwujudkan oleh kerajaan Persekutuan.
  2. Perubahan itu ditunjukkan menerusi satu perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan kelulusan projek pembinaan loji rawatan Air Langat 2 telah ditandatangai oleh kerajaan Selangor dan Persekutuan.
  3. Dalam perjanjian itu, kerajaan Persekutuan bersetuju membenarkan kerajaan negeri mengambil alih empat syarikat konsesi air, Syarikat Bekalan Air Selangor Bhd (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash) dengan pampasan RM9.65 bilion.
  4. Namun masih ada pihak tidak puashati dengan kerjasama itu dan masih sanggup berkokok atas nama rakyat, sedangkan rakyat sebenarnya tidak mahu dengar perbalahan politik antara pemimpin. Rakyat mahu krisis air selesai. Titik.
  5. Apa kata MB Selangor dalam hal ini? Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pada 26 Februari lepas, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor menandatangani MoU untuk penstrukturan semula industri air di negeri itu yang berlanjutan sejak 2008.
  6. Beliau tidak memaklumkan MoU itu kepada pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana beliau terikat dengan undang-undang. Syarikat yang mengendalikan air di Selangor tersenarai di pasaran saham dan tidak boleh dibincang secara terbuka kepada umum.
  7. Dokumen MoU itu akan didedahkan kepada umum dalam masa seminggu, selepas berbincang dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berhubung perlunya orang ramai mendapatkan salinan memorandum itu.
  8. MoU memang mempunyai kepentingan umum dan tidak menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara oleh itu boleh didedah kepada umum.
  9. Apa kata Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hal ini? Beliau tiba-tiba mahu MB Selangor tangguhkan dahulu perjanjian berhubung pembinaan loji rawatan air Langat2 selagi kepimpinan negeri dan PR tidak diberi penjelasan sepenuhnya.
  10. Dia mahu Khalid berbincang terlebih dahulu dengan kepimpinan PR dan mengambil kira pandangan konsensus sebelum membuat keputusan terutamanya membabitkan soal kepentingan rakyat.
  11. Katanya, adalah penting untuk mengambil kira semua faktor termasuk dari segi perundangan sebelum sebarang perkara diputuskan di dalam MoU itu.
  12. Apa pula kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli? Beliau pula membuktikan PKR memang banyak masalah, sambil mendakwa MB Selangor tidak berbincang dengan ahli Exco sebelum menandatangani MoU.
  13. “Saya tanya Exco sendiri dan dia sendiri kata sampai hari ini beritahu belum melihat MoU yang ditandatangani," katanya, tetapi tidak mendedahkan nama Exco terbabit.
  14. "Kalau MoU yang belum ditandatangani belum dilihat Exco, macam mana dikatakan sudah bawa ke mesyuarat dan semua dimaklumkan," dakwa Rafizi mempersoal kesahihan MoU yang ditandatangani sama ada ia dibuat menerusi kelulusan exco atau tidak.
  15. Dakwanya lagi, tanpa kelulusan Mesyuarat Exco, kesahihan MoU ini boleh dipersoalkan. Menurutnya, keputusan menandatangani MoU tidak melalui proses yang betul kerana tidak dibentangkan kepada Exco, yang hanya dimaklumkan satu jam sebelum ditandatangani.
  16. Rafizi desak Khalid menjelaskan tuduhan bahawa wujud campur tangan pihak tertentu daripada dalam parti PKR sendiri. "Ini beliau kena jelaskan, kalau benar mestilah buat penerangan," dakwanya.
  17. Apa pula kata setiausaha politik MB, Faekah Husin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI)? Beliau memaklumkan exco dan pegawai penting kerajaan negeri termasuk pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (Upens) mengenai MoU tersebut.
  18. Faekah antara arkitek MoU tersebut berkata, perjanjian itu dirahsiakan dan dibuat secara mengejut bagi mengelakkan rancangan tersebut diganggu oleh anasir luar.
  19. Kesimpulannya: Rakyat lega dengan usaha meneruskan projek Langat 2 kerana ia akan membantu menambah bekalan air bersih bagi keperluan semasa yang meningkat dengan pantas. Soal perbalahan politik, rakyat sebenarnya tidak mahu dengar. Titik.
  20.  

Monday, 3 March 2014

Perebutan kerusi MB Selangor - Episode 5

 
  1. PADA mulanya segala sandiwara politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) nampak sempurna dalam usaha menamatkan perbalahan politik antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
  2. Justeru perancangan politik ini disusun iaitu Lee Chin Cheh meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang. Kerusi itu akan ditandingi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apabila Penasihat PKR tersebut menang dalam pilihan raya kecil yang sengaja dirancang itu, beliau akan menggantikan Abdul Khalid.
  3. Anwar yang dianggap ahli politik paling strategik di negara ini melantik Abdul Khalid sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR bagi DUN Kajang. Malah Anwar sudah terbayang-bayang laluan beliau untuk menjadi Menteri Besar tidak akan menjadi masalah kerana Abdul Khalid akur dengan segala perancangan termasuklah meletakkan jawatan.
  4. Azmin pula banyak mendiamkan diri sama ada merajuk atau mungkin merasakan perancangan politik yang dilakukan oleh Anwar akan berjalan lancar.
  5. Namun bagaikan air yang tenang jangan disangka tiada buaya, diam-diam ubi berisi, itulah yang dilakukan oleh Abdul Khalid. Bermula dengan tersebarnya berita beliau menolak untuk menandatangani surat peletakan jawatan bertarikh 23 Mac hinggalah keputusan untuk mencabar Azmin dalam pemilihan PKR April nanti, ia membuktikan Abdul Khalid tidak mahu menjadi pak angguk kepada semua perancangan politik Anwar.
  6. Tindak balas yang dilakukan oleh Abdul Khalid itu dikatakan mengejutkan banyak pihak dalam PKR, malah beberapa Ahli Parlimen parti tersebut yang sebelum ini lantang mengkritik Menteri Besar Selangor itu mulai bimbang dengan situasi tersebut.
  7. Ia memandangkan sebelum ini di dalam PKR belum ada sesiapa yang dilihat berani untuk menyanggah perancangan politik Anwar, tetapi apa yang dilakukan oleh Abdul Khalid cukup luar biasa dan tidak diduga sama sekali.
  8. Bukan kata pemimpin-pemimpin PKR lain, malah Anwar sendiri terkejut dengan tindak balas politik Abdul Khalid, ini memandangkan sebelum ini Abdul Khalid dilihat seolah-olah akur dengan perancangan politik Anwar.
  9. Dan paling mengejut apabila beliau menandatangani memorandum persefahaman dengan Kerajaan pusat berhubung loji air Langat 2," kata sumber parti itu kepada penulis ketika dihubungi kelmarin.
  10. Berdasarkan tindak tanduk yang dilakukan oleh Abdul Khalid, beliau seolah-olah mahu memberi isyarat kepada Anwar siapa paling berkuasa di Selangor dan beliau sama sekali tidak akan beralah dalam perbalahan politik dengan Azmin.
  11. Walaupun Abdul Khalid tahu apa yang dilakukan meletakkan kedudukan politik beliau dalam bahaya tetapi Abdul Khalid juga memahami beliau mempunyai kekuatan untuk tidak tunduk dengan apa sahaja kata Anwar.
  12. Abdul Khalid bukannya mengingkari arahan parti atau menentang parti tetapi beliau melakukan apa yang dirasakan betul. Ramai percaya beliau juga tidak bersetuju dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang kerana tiada sebab ia diadakan.
  13. PRK itu wujud hanya semata-mata perancangan Anwar untuk menjadi Menteri Besar dan secara halus mahu menyingkirkan Abdul Khalid yang berbalah dengan orang kesayangannya, Azmin.
  14. Kini saham Abdul Khalid dikatakan meningkat bukan sahaja di Selangor tetapi juga seluruh negara. Ahli-ahli PKR yang semakin bosan dengan percaturan politik yang segala-galanya ditentukan oleh penghuni Bukit Segambut menganggap Abdul Khalid membawa cahaya baru kepada parti tersebut.
  15. Sekurang-kurangnya mereka melihat ada dalam kalangan pemimpin PKR yang berani untuk menggugat percaturan politik Anwar seperti mana dilakukan oleh Abdul Khalid.
  16. Selama ini mereka hanya menonton bagaimana pemimpin-pemimpin PKR lebih banyak menjadi pengampu dan pembodek untuk Anwar. Apa sahaja tindak tanduk dan perancangan Anwar akan disokong, tetapi kali ini Abdul Khalid melakukan tindakan sebaliknya.
  17. Keberanian Abdul Khalid itu kerana merasakan tiada apa yang perlu beliau takutkan termasuklah dalam mencabar orang kesayangan Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, Mei ini.
  18. Abdul Khalid tahu sama ada sebagai Ahli Parlimen, ADUN mahupun Menteri Besar tidak ada apa-apa kepincangan yang beliau lakukan sehingga ia boleh menjadi peluru kepada musuh politiknya sama ada di dalam atau di luar parti.
  19. Sebab itulah Abdul Khalid yakin beliau mampu mengatasi Azmin dan menegaskan selain menerima sokongan menggalakkan daripada rakan-rakannya dalam PKR, beliau turut menjangkakan kedudukannya lebih selesa berbanding Azmin kerana mempunyai kelebihan dari segi pengalaman serta prestasi dalam pelbagai bidang.
  20. "Semua pendekar masuk gelanggang, kalau rasa tidak menang, tak masuk. Saya ada kelebihan dari segi track record dalam semua bidang, saya juga jujur dan sangat berdedikasi. Yang lebih penting ialah saya bekerja untuk agenda reformasi dan saya tidak ada agenda peribadi."
  21. Itulah kata-kata yang menunjukkan keyakinan Abdul Khalid untuk terus mengharungi cabaran politik dalam PKR biar pun perlu melawan arus dengan perancangan politik Anwar.
  22. Dan Abdul Khalid juga memberi isyarat bahawa selain akan cuba menamatkan penguasaan Azmin di kerusi nombor dua PKR, beliau juga akan terus kekal menerajui Selangor, biarpun ketika ini bossnya Anwar ke hulu ke hilir, siang dan malam, subuh dan senja, malam dan dinihari di Kajang untuk menang kerusi DUN tersebut bagi membolehkan beliau menjadi Menteri Besar menggantikan Abdul Khalid.
  23. Apakah mungkin Anwar akan membatalkan hasratnya untuk bertanding kerusi itu pada saat-saat akhir apabila melihat tindak balas politik Abdul Khalid?
  24. Sukar untuk diramalkan kerana dalam PKR segalanya berkemungkinan tetapi apa yang pasti Abdul Khalid sudah menegaskan, ‘‘Mereka menyatakan bahawa perlu seorang Menteri Besar yang bukan hanya mentadbir negeri tetapi juga berkhidmat kepada parti. Maka atas sebab itu, saya membuat pengumuman awal (tanding Timbalan Presiden)."
  25. Namun apa yang lebih menarik Abdul Khalid dilihat membawa angin perubahan dalam corak politik PKR, ia berani menyatakan yang benar biar pun pahit dan berani melakukan tindakan yang betul biar pun ada risiko politiknya.
  26. Walaupun Abdul Khalid bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan PKR di Kajang tetapi ia tidak bermakna beliau akan mengikut perancangan politik Anwar.
  27. Difahamkan, Abdul Khalid mendapat sokongan padu ramai pemimpin PKR termasuk di peringkat akar umbi. Mereka juga sependapat sesuatu perlu dilakukan bagi membawa perubahan politik dalam PKR.
  28. Tindakan Abdul Khalid biar pun bukanlah dirancang tetapi beliau melakukan tindakan yang betul dan selari dengan harapan pemimpin serta ahli PKR bagi tujuan tersebut.
  29. Tetapi jika semua ini hanyalah sekadar sandiwara PKR, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana itulah PKR - yang dulu, kini dan selamanya penuh drama politiknya – Zulkiflee Bakar

Wednesday, 26 February 2014

Episod catuan air di Selangor 2014 bermula

 
  1. PELAN catuan bekalan air di beberapa kawasan di Selangor akhirnya menjadi kenyataan. Kawasan Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang berdepan dengan catuan air hingga 31 Mac depan.
  2. Pelan itu dilaksanakan kerana Loji Rawatan Air (LRA) di Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi masih ditutup akibat pencemaran amonia di Sungai Langat sejak 28 Januari lepas.
  3. Usaha itu telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 24 Februari. Kawasan Hulu Langat akan mendapatkan bekalan air daripada Loji Langat, Kuala Langat dari Loji Semenyih dan Loji Sungai Labu manakala Sepang dari Loji Sungai Labu.
  4. Bagaimanapun tempoh catuan air tertakluk kepada pindaan kerajaan negeri semasa ke semasa bergantung kepada faktor cuaca dan sebagainya. Kawasan terlibat dibahagikan kepada dua zon melibatkan 60,185 unit rumah iaitu kira-kira 300,00 pengguna.
  5. Konsep akan dilaksanakan di kawasan tersebut adalah dua hari disalurkan air manakala dua hari tiada air.
  6. Untuk zon yang dijadualkan ada bekalan air, pengguna dijangka  mendapatnya bermula jam 4 petang selama 41 jam berikutnya sehingga jam 9 pagi dua hari selepas itu.
  7. Untuk zon yang dijadualkan tiada air, bekalan tersebut akan dihentikan bermula jam 9 pagi selama 55 jam sehingga jam 4 petang dua hari selepas itu.
  8. Waktu pengguna dapat menikmati bekalan air juga berbeza bergantung kepada lokasi kolam air dengan kawasan pengguna serta paras ketinggian.
  9. Bagi kawasan yang berlaku kecemasan sebagainya walaupun dijadualkan tiada air ketika itu, Syabas akan menghantar lori tangki untuk membantu.
  10. Bagi kawasan mempunyai hospital seperti di Bukit Tampoi dan Cheras,  Syabas menempatkan lori dalam keadaan berjaga-jaga untuk membantu.
  11. Pada masa yang sama, kerajaan negeri dikatakan mahu mengurangkan bekalan air berskala besar sehingga 500 juta liter sehari (JLH). Bahayanya, jika rancangan itu dilakukan, ia memberi implikasi ke atas 3 juta pengguna, mengakibatkan lebih satu pertiga kawasan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terjejas.
  12. Cadangan kerajaan negeri itu juga tidak mengambil kira pengguna-pengguna sensitif seperti hospital, pusat dialisis, pejabat pentadbiran kerajaan negeri, premis perniagaan dan kilang.
  13. Berikut adalah kawasan yang terjejas
WILAYAH HULU LANGAT
Zon 1 - Taman Juara Jaya, Taman Bukit Belimbing, Taman Sungai Besi Indah 1,2 & 3, Taman Harmoni Indah, Taman Puncak Utama, Seri Kembangan, Taman Putra Budiman, Taman Balakong Jaya, Taman Seri Timah, Taman Tanming Jaya, Kawasan perindustrian Balakong, Taman Industri Selesa Jaya Seri Kembangan, Taman Industri Balakong, Taman Tanming Permai, Taman Industri Lifong, Taman Tanming Ria, Taman Sungai Besi Indah Zon 1, Juta Mines Kondominium Seri Kembangan,
Zon 2 - Kawasan Perindustrian Cheras Jaya, Taman Impian Ehsan Seri Kembangan, Taman Desa Karunmas Seri Kembangan, Kampung Baru Balakong, Taman Kasturi Cheras, Taman Sri Indah Cheras, Taman Bukit Emas, Taman Cheras Jaya, Taman Impian Indah, Taman Taming Indah, Taman Sejati, Taman Seri Sungai Long, Taman Bukit Sungai Long, Rumah Kenangan Cheras, Taman Dutamas, Taman Setia Kasturi Cheras, AEON Cheras Selatan, Taman Industri Balakong Jaya, Taman Setia Balakong, Taman Sinaran, Kawasan Perniagaan Desaria Seri Kembangan, Dataran C180 Balakong.
 
WILAYAH KUALA LANGAT & SEPANG
Zon 1 - Kampung Olak Lempit, Kampung Bukit Changgang, Kampung Labohan Dagang, Selangor Dredging, Taman Changgang Jaya, Kompleks Perabut Olak Lempit, RTB Bukit Changgang, Bandar Sri Ehsan, Bandar Mahkota, Bandar Sungai Emas, Taman Arked, Taman Ambar, Taman Sri Dagang, Taman Langat Murni, Taman Langat Utama, Taman Murnimas, Taman Seri Telok Datok, Taman Sri Cheding, Sekolah Tamil Sungai Sedu,
Zon 2 - Kota Warisan, Warisan Bestari, Taman Bunga Raya, Taman KLIA Indah, Tiara Heights, Taman Ixora, Taman Dahlia, Taman Seroja, Taman Mawar (Mawar 1, Mawar 2, Mawar Perdana, Emas Villa), Taman Kenanga, Taman Desa Vista, Taman Desa Bestari, Salak Permai.
 

Monday, 24 February 2014

Jom tolak Kassim Ahmad dan geng liberalnya

     
  1. MALAYSIA dikejutkan dengan kemunculan semula Kassim Ahmad setelah menyepi hampir 30 tahun lamanya. Pandangan murtadnya berkenaan hadis yang membawa kepada pengharaman bukunya pada tahun 1986 kembali disuarakan apabila beliau diberi ruang untuk bercakap pada hari Sabtu lepas, 15 Februari 2014 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Selepas itu beliau mula mendapat ruang lagi di dalam media-media dan kemungkinan akan terus mendapat ruang berita.
  2. Saya tidak berniat untuk mengulas tentang pandangan sang ‘idealis’ Kassim Ahmad itu kerana sudah ramai yang menyelar pandangannya. Penolakan terhadap hadis adalah penolakan terhadap al-Quran itu sendiri kerana arahan untuk berpegang dengan hadis datangnya dari al-Quran.  Di sudut lain, arahan untuk berpegang dengan al-Quran itu disuarakan oleh Nabi Muhammad SAW di atas lisannya kerana al-Quran itu dibunyikan kali pertama di atas lisan Nabi Muhammd SAW. Jika hadis ditolak kerana lisan Muhammad boleh tersilap periwayatannya, maka apa jaminan bahawa periwayatan al-Quran adalah betul? Idea idealis yang celaru.
  3. Akan tetapi persoalan sebenar yang patut ingin saya bincangkan, kenapa dengan mudah Kassim Ahmad sekarang mendapat pentas kembali?
  4. Pada pandangan saya, Kassim Ahmad hanya menjadi tamu di pentas yang memang sudah wujud untuk golongan liberal di Malaysia. Kemunculannya bukan mencipta pentas baru. Pentas itu sudah pun wujud lama. Ada pentas dicipta oleh golongan liberal juga. Malangnya ada juga pentas yang disediakan oleh golongan yang menanggap idea Islam Liberal.
  5. Pentas diberikan kepada Khalid Jaafar, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar. Khalid ini pernah sedekah al-Fatihah kepada orang bukan Islam yang mati, pernah mengeluarkan pandangan bahawa Syiah perlu dipertahankan dan pelbagai lagi kelakuan peliknya. Apa bezanya dengan Kassim Ahmad?
  6. Pentas juga diberikan kepada Khalid Ismath yang pernah menyindir mengenai peristiwa Israk dan menyindir bahawa Ustaz Harun Taib adalah seorang nabi. Apa juga bezanya dengan Kassim Ahmad?
  7. Pentas juga masih diberikan kepada Ahmad Farouq Musa dan Fuad Rahmat dari IRF. Mereka secara halus mempromosikan penafsiran al-Quran secara hermenutika. Mereka menafsirkan secara salah pemikiran al-Maududi, Sayid Qutb dan ramai lagi ulama Islam demi menjual idea mereka.  Mereka menolak negara Islam dan mempromosikan negara sekular. Malangnya, buku Wacana Pemikiran Reformis mereka diberikan prakatanya oleh Dr Zulkifli Ahmad, Pas dan tidak habis-habis dipuji oleh Dr Mujahid, Pas. Apa beza mereka ini dengan Kassim Ahmad sebenarnya?
  8. Bagaimana pula dengan Zainah Anwar dari Sister in Islam? Beliau pernah menolak hudud secara terang-terangan. Pernah juga memberikan pandangan bahawa fatwa dan undang-undang adalah terpisah dengan ertikata jika Majlis Fatwa mana-mana negeri mengeluarkan fatwa umum ke atas satu-satu masalah, itu tidak akan terkena perlaksanaannya kepada semua orang. Apa beza kata-kata dan pandangannya terhadap Islam dengan Kassim Ahmad?
  9. Cuba lihat pula Marina Mahathir. Secara terang-terangan menyokong segala tuntutan Comango yang liberal, tetapi masih diberikan ruang istimewa dilantik menjadi Ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional. Telitilah pemikirannya di dalam pelbagai isu dan nilai dengan neraca Islam. Jauh sangatkah bezanya dengan Kassim Ahmad?
  10. Satu lagi tokoh yang saya nak sebut di sini, mungkin sedikit tidak bersetuju, tetapi saya yakin majoriti umat Islam akan bersetuju. Apa pula pandangan kita terhadap Anwar Ibrahim? Bagaimana ucapannya berkenaan Religion and Pluralisme in a Divided World (Agama dan Pluralisme Dalam Dua Dunia), pada 18 Mac 2010, di London School of Economic (LSE)? Begitu juga ucapan-ucapannya selepas itu yang mengulangi konsep yang sama dengan lafaz yang berlainan? Tidakkah itu juga pandangan liberal yang bercanggah dengan Islam?
  11. Dan banyak lagi yang boleh dikongsikan di sini. Ada tokoh yang memang liberal. Ada tokoh yang membawa idea liberal tapi kerana dia membacakan sikit-sikit ayat al-Quran dan Hadis (tapi secara salah), masyarakat rasa idea mereka boleh diterima di sisi Islam.
  12. Penentangan terhadap tokoh-tokoh liberal ini mesti dilakukan secara menyeluruh. Golongan ini berbahaya dan idea yang mereka bawa jika meresap ke dalam masyarakat boleh meruntuhkan terus baki struktur Islam di dalam masyarakat. Mereka wujud di dalam pelbagai pertubuhan samada dalam BN atau PR atau badan-badan berjenama Islam yang lain.
  13. Saya memuji pihak yang mengecam Kassim Ahmad dan ideanya. Tetapi jangan lupa juga untuk mengecam sama idea dari tokoh-tokoh liberal yang lain termasuklah Anwar Ibrahim. Tanpa menuduh niat, saya juga mengingatkan agar kecaman terhadap Kassim Ahmad memang benar-benar kerana idea liberalnya dan bukan kerana ingin menjatuhkan blok politiknya semata-mata.
  14. Bagi yang mungkin menganggap penutup artikel ini sebagai bias, saya menegaskan bahawa Isma telah pun mengeluarkan kenyataan tentang Kassim Ahmad pada 17 Februari lepas. Tanpa mengira blok kepartiannya, kami menganggapnya idealis sesat dan menyokong fatwa 1986 yang menjatuhkan beliau sebagai murtad dan wajib dibunuh jika mengikut undang-undang Islam.-- Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni