Thursday, 6 March 2014

The Herald mahu guna kalimah Allah, pemerintah Malaysia wajib pertahan hak eksklusif kalimah Allah

     
  1. Samada berhak atau tidak majalah The Herald mengemukakan rayuan terhadap keputusan Menteri Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu, akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.
  2. Keputusan menteri pada 7 Januari 2009  tidak membenarkannya, ternyata bebas daripada sebarang unsur mala fide (niat jahat).
  3. Menteri Dalam Negeri juga tidak tersalah arah ketika mengeluarkan perintah melarang gereja itu menggunakan kalimah. Ketika mengeluarkan perintah larangan itu, Menteri berkenaan telah mempertimbangkan sedalam-dalamnya faktor keselamatan negara dan ketenteraman awam. Justeru itu, tiada sebarang kecacatan dalam perintah itu kerana mematuhi segala peraturan tanpa sebarang unsur yang tidak rasional.
  4. Untuk itu Mahkamah Persekutuan perlu  menolak permohonan Gereja Roman Katolik untuk mendapatkan kebenaran merayu. Pihak gereja memfailkan permohonan tersebut di Mahkamah Persekutuan pada 11 November tahun lalu dengan mengemukakan 26 persoalan mengenai Perlembagaan Persekutuan, undang-undang pentadbiran dan kuasa mahkamah melarnag mereka mengunakan kalimah Allah.
  5. Isu menjadi persoalan bukannya mengenai pertembungan agama dan bukan juga isu Islam mencampuri urusan agama Kristian. Sebaliknya ia sebenarnya berhubung persoalan terjemahan dan salah terjemah kalimah Allah.
  6. Kalimah Allah berasal daripada perkataan Arab dan dalam terjemahan bahasa Melayu juga mengandungi kalimah Allah. Pemerintah mempunyai kuasa mutlak untuk membuat pindaan ke atas perkataan tersebut.
  7. Malangnya The Herald gagal membuktikan bagaimana perintah menteri dikatakan salah di sisi undang-undang. Oleh itu, mahkamah tidak sepatutnya membuang masa untuk menjawab semua persoalan majalah itu.
  8. Pihak gereja yang diwakili peguam Tan Sri Dr. Cyrus Dass menyifatkan, Menteri Dalam Negeri telah membuat kenyataan sewenang-wenangnya tanpa disokong dengan sebarang bukti.
  9. Dakwanya, menteri gagal menjelaskan bagaimana penggunaan kalimah Allah dalam The Herald versi bahasa Melayu mampu mengancam keselamatan negara dan boleh menyebabkan kekeliruan agama.
  10. Hak golongan minoriti menurut Dass, telah terjejas disebabkan keputusan Mahkamah Rayuan itu kerana hak tersebut bukan diatur oleh kuasa eksekutif sebaliknya ditentukan oleh mahkamah.
  11. Bagi umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia, apabila kita berbicara tentang isu kalimah Allah, sebenarnya ia merupakan isu besar.
  12. Ustaz Fathul Bari Mat Jahya menjelaskan, isu yang pertama sekarang ini adalah isu hukum boleh atau tidak orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.
  13. Berdasarkan perkataan para ulama tafsir yang menjelaskan beberapa ayat di dalam Al-Quran yang terdapat padanya penyebutan kalimah Allah di atas lisan orang bukan Islam, hukum penggunaan kalimah Allah di atas lisan orang bukan Islam adalah harus pada asalnya. Contoh beberapa firman Allah,
  14. “Dan pasti jika kamu bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?”, nescaya mereka menjawab: “Allah”.” (Surah Az-Zumar: 38)
  15. Allah tidak marah mereka menggunakan perkataan Allah. Dalam ayat yang lain, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,
  16. Sesungguhnya telah kafir orang-orang yang mengatakan bahawa Allah itu tiga dalam satu (trinity), padahal sekali-kali tidak ada Tuhan kecuali hanya Tuhan Yang Satu.” (Surah Al Maidah, 5: 73)
  17. Mereka menggunakan juga kalimah Allah, tetapi Allah tidak melarangnya. Maka dari ayat-ayat Al-Quran ini dan ayat-ayat lain yang menampakkan penggunaan kalimah Allah di atas lisan orang kafir maka para ulama mengatakan hukum asal penggunaan kalimah Allah di atas lisan orang bukan Islam adalah harus.
  18. Isu kedua, kita harus melihat isu penggunaan kalimah Allah dari sudut budaya dan sensitiviti. Di Tanah Arab, penggunaan kalimah Allah digunakan oleh orang Islam dan orang bukan Islam. Orang Arab Jahiliyah, orang Nasrani (Kristian) menggunakan kalimah Allah dalam ucapan-ucapan seharian juga di dalam sumpah-sumpah mereka; MasyaAllah, Wallah, Wabillah, Watallah.
  19. Dalam Bible yang dikeluarkan di Lubnan menggunakan kalimah Allah bagi menggantikan kalimah Rabb (Tuhan). Itu telah menjadi budaya mereka. Namun budaya kita berbeza. Orang bukan Islam dalam negara kita tidak biasa menggunakan kalimah Allah. Islam dalam keadaan tertentu meletakkan budaya dan adat menjadi pendesak kepada terbentuknya sesuatu hukum. Sebab itu ada kaedah Fiqh yang menyebut, “Adat kebiasaan itu boleh dijadikan sandaran hukum.”
  20. Dalil yang menjadi sandaran kepada kaedah ini adalah perkataan dan tindakan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tentang sejarah pembinaan Ka’bah. Ka’bah dibina oleh Nabi Ibrahim ‘alaihissalam. Firman Allah di dalam Al-Quran,
  21. Dan (ingatlah) ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Isma’il (lalu berdoa), ‘Ya Rabb kami, terimalah dari kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui’.” (Surah Al-Baqarah, 2: 127)
  22. Struktur yakni binaan asal Ka’bah bukan seperti yang kita lihat pada hari ini, petak. Binaan asalnya separuh petak dan separuh bulat. Nabi Ibrahim ketika membina Ka’bah, dia memasukkan Hijr Ismail di dalam Ka’bah. Itu binaan asalnya.
  23. Tetapi apabila berlaku banjir dan Ka’bah roboh beberapa kali, masyarakat Arab membina semula Ka’bah beberapa kali sampai di zaman Nabi, apabila Ka’bah dibina semula, mereka mengeluarkan Hijr Ismail dari Ka’bah. Sebab itu siapa yang hendak solat di dalam Kabah, dia boleh solat di Hijr Ismail, sama pahala seperti solat di dalam Ka’bah.
  24. Aisyah radhiyallahu ‘anha isteri Nabi bertanya kepada Nabi, mengatakan bahawa beliau teringin masuk dan solat di dalam Ka’bah. Baginda menyuruhnya solat di dalam Hijr Ismail, sama seperti solat di dalam Ka’bah. Aisyah bertanya mengapa Baginda tidak merobohkan Ka’bah dan bina semula seperti mana binaan Nabi Ibrahim. Jawab Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,
  25. “Wahai ‘Aisyah, kalaulah bukan kerana kaummu masih dekat masanya dengan kesyirikan (baru memeluk Islam),- dan bukan kerana aku tidak memiliki biaya untuk membangunnya, nescaya aku akan infakkan perbendaharaan Ka’bah di jalan Allah- dan aku akan runtuhkan Ka’bah dan ratakan dengan tanah, kemudian aku akan membinanya semula di atas asas binaan Ibrahim.” (Riwayat Bukhari)
  26. Nabi tidak meroboh Ka’bah, Baginda membiarkan sampai Baginda wafat. Sahabat-sahabat Nabi, semuanya tidak merobohkan Ka’bah. Mereka membiarkan Ka’bah sampai ke hari ini kerana menjaga sensitiviti dan adat masyarakat Arab.
  27. Sebab itu adat dan budaya menjadi dalil dalam keadaan-keadaan tertentu, sama seperti negara kita. Adakah menjadi adat orang bukan Islam di negara ini menggunakan kalimah Allah di dalam tempat ibadat mereka? Tidak, mereka tidak menggunakannya.
  28. Maka mengapa dalam isu seperti ini, puluhan tahun kita hidup dalam keadaan aman tanpa pergaduhan, tiba-tiba dibangkitkan oleh pihak tertentu yang berkepentingan. Yang membangkitkan isu ini adalah orang bukan Islam, tetapi yang bergaduh sampai ke hari ini adalah orang Islam.
  29. Isu yang sepatutnya kita sepakat dan bersatu, tetapi kita berpecah semata-mata kerana kepentingan pihak tertentu. Maka saya mengatakan dalam konteks negara kita, kalimah Allah tidak boleh kita benarkan penggunaannya kepada orang selain dari kaum Muslimin.
  30. Isu Ketiga, kita melihat isu kalimah Allah dari sudut agenda dan gerakan Kristianisasi. Adakah kita mahu apa yang terjadi di Indonesia terjadi di negara kita? Di Batu Tulis, Jakarta, dalam jarak 500 meter hingga 1 kilometer ada dua buah masjid dan satu gereja. Satu masjid Ahli Sunnah, satu masjid Syiah, dan satu gereja.
  31. Ketika masuk waktu solat Jumaat, pada mulanya masjid Ahli Sunnah berkumandang azan, seperti mana kita biasa dengar. Kedua, masjid Syiah berkumandang azan dengan menambah “Asyhadu anna ‘Aliyyu waliyyullah”. Ketiga, gereja juga melaungkan azan! Nama gereja itu ialah “Gereja Sidang Jemaat Allah”.
  32. Siapa yang boleh membantah? Adakah kita mahu hal seperti ini berlaku di kampung-kampung kita, di kawasan kediaman kita? Sebab itu kita katakan ada satu agenda gerakan Kristianisasi untuk mengkristiankan orang Islam.
  33. Apabila mereka menuntut untuk menggunakan kalimah Allah, ada orang “cerdik” bertanya apa masalahnya jika orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, mustahil orang Islam tidak boleh membezakan antara Bible dengan Al-Quran.
  34. Jawapannya, kalau semua orang boleh bezakan, tidak akan berlakulah adanya orang yang mengikut ajaran Ayah Pin. Ustazah yang balik dari Mesir pun ada yang mengikut ajaran Ayah Pin. Kalau ajaran seperti ini orang ikut, tidak mustahil ada orang yang akan terpesong dan terkeliru dalam membezakan yang mana satu ayat Al-Quran dan yang mana satu ayat dalam Bible, khususnya apabila dipaparkan dan disebarkan di dalam risalah-risalah dengan menulis “Firman Allah” lalu mereka menceritakan kisah Nabi Adam yang terkandung di dalam Bible. Berapa ramai yang dapat membezakan apakah ianya ayat Al-Quran ataupun ayat di dalam Bible?
  35. Di dalam Al-Quran ada menceritakan kisah Adam, begitu juga di dalam Bible ada menceritakan kisah Adam. Dalam Al-Quran ada cerita kisah Musa, begitu juga di dalam Bible. Begitu juga kisah-kisah Nabi yang lain. Apabila mereka menulis “Firman Allah” lalu membawakan kisah-kisah di dalam Bible, siapa yang dapat membezakannya? Adakah anak-anak kita mampu membezakannya?
  36. Oleh kerana itu hal ini perlu dikawal dan perlu dipandang dengan lebih serius. Kita perlu ingat bahawa di dalam perlembagaan telah menetapkan bahawa Islam adalah agama persekutuan. Perlembagaan juga menetapkan bahawa Islam adalah agama yang boleh kita dakwahkan kepada orang ramai, tetapi agama-agama lain tidak boleh disebarkan kepada orang Islam. Itu perjanjian kita dengan mereka untuk mencapai kemerdekaan, dan selama ini kita hidup dalam keadaan aman damai kerana masing-masing menghormati perjanjian ini.
  37.  

No comments:

Post a Comment