Friday, 31 July 2015

Kabinet Najib dihantui auta bercampur fakta


Media sosial dihujani pelbagai maklumat baru yang pelik-pelik sebaik saja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membariskan kabinetnya.

Antara yang terpelik ialah laporan blog pembangkang The Sarawak Report yang menunjukkan draf pertuduhan ke atas Perdana Menteri dan tertuduh kedua atas dakwaan menerima suapan sejumlah wang tertentu.

Maka draf kertas pertuduhan itu dipaparkan di dada media sosial. Sudah tentu rakyat kelam kabut dan kecoh apabila menyaksikan pendedahan terbaru ini lalu menggandakan persepsi negatif ke atas Najib.

Terdahulu Najib dicemuh umum kerana memecat rakan baiknya  Tan Sri Muhyiddin Yassin semata-mata kerana lantangan bersuara soal 1MDB yang kini menjadi bualan di desa, kota dan luar negara termasuk London, Paris dan New York.

Ironinya draf kertas pertuduhan ke atas Najib dan tertuduh kedua tidak disertakan nombor waran tangkap dan tiada nombor kad pengenalan mereka. Lalu sahlah draf pertuduhan itu palsu tanpa perlu soal balas.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Ketika rakyat berdepan dengan `sindrom persepi’ beliau menjelaskan laporan Sarawak Report itu bertujuan mengelirukan rakyat dan mengundangkan lebih banyak implikasi buruk kepada negara.

Lalu beliau meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis untuk mengambil tindakan terhadap The Sarawak Report dan Clare Rewcastle Brown.

PDRM pula berjanji akan mengheret Clare ke pengadilan di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan, iaitu apa juga tindakan yang boleh mengancam demokrasi berparlimen.

Tan Sri Mohamed Apandi Ali

Sebagai Peguam Negara yang baru beliau menjelaskan bahawa pertuduhan yang dikeluarkan oleh Clare di dalam blognya adalah tuduhan palsu.

Kertas pertuduhan itu tidak pernah dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara. Tambahan pula, format pada kertas pertuduhan berkenaan adalah tidak tepat atau ianya ditulis dari Pejabat Peguam Negara.

Pasukan Penyiasat Khas masih belum menyiapkan siasatan berhubung tuduhan sebelum ini. Jadi adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan mustahil kertas pertuduhan berkenaan direka lebih awal.

Kertas pertuduhan yang disiarkan ini mengandungi niat konspirasi yang mahu menjatuhkan Perdana Menteri terhadap tuduhan jenayah yang direka dan pada masa yang sama, ianya menunjukkan siasatan berkenaan telah dibocorkan.

Plot ini menunjukkan ancaman terhadap sistem demokrasi di Malaysia dan saya telah mengarahkan siasatan terperinci dilakukan. Semua tindakan undang-undang akan digunakan tanpa ada pengecualian jika pihak kami mendapati terdapat sebarang kesalahan telah dilakukan.

Bagaimana Clare membuat fitnah

Portal yang berpangkalan dari London itu memaparkan cerita palsu tentang waran tangkap Perdana Menteri.

Format waran tangkap yang disiarkan oleh Clare palsu kerana waran tangkap mesti ada nombor rujukan laporan daerah Ibu Pejabat Polis Daerah yang terbabit. Waran tangkap juga mesti menyebut maklumat penuh tertuduh yang lengkap dengan nombor kad pengenalan.

MB Negeri Sembilan kena jerat

Serentak dengan laporan palsu Sarawak Report, rakyat Malaysia juga dikejutkan dengan klip audio mirip suara Menteri Besar Negeri Sembilan dan disebarkan di internet dan sosial media.

Susulan itu, dua pemimpin kanan UMNO menafikan mereka adalah individu yang mempertikaikan proses siasatan isu 1MDB dalam rakaman audio yang disebarkan melalui media sosial.

Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Mohamad Aziz berkata, beliau tidak pernah merakamkan sebarang kenyataan tentang isu 1MDB.

“Malah, saya tidak tahu-menahu langsung tentang rakaman audio yang disebarkan itu,” katanya. Dalam rakaman audio selama seminit 54 saat tersebut, seorang lelaki yang tidak diketahui identiti membangkitkan beberapa persoalan berkaitan isu 1MDB termasuk tangkapan yang dibuat sebelum ini bagi membantu siasatan pihak berkuasa.

Sementara itu, di SEREMBAN, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan desas-desus yang mengaitkan beliau dengan suara lelaki dalam rakaman audio berkenaan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga menggesa semua pihak agar tidak mudah percaya dengan pembohongan dan fitnah yang bertujuan melaga-lagakan beliau dengan para pemimpin lain.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak ada kena mengena langsung dengan rakaman audio itu apatah lagi dengan pengakuan individu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.



Gurkha Najib tuduh Muhyiddin menipu

Sudah diduga `gurkha’ Najib membalas viral video Muhyiddin dengan menuduh bekas timbalan perdana menteri itu telah menipu rakyat Malaysia.

Dengan gumbira, gurkha itu mendakwa Muhyiddin merupakan orang yang memberi maklumat palsu kepada Tun Mahathir mengenai dakwaan wang 1MDB sebanyak USD 700 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri untuk kegunaan pilihan raya.



Mukhriz pasrah dengan hukuman Najib

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sedia berdepan dengan kemungkinan dikenakan tindakan ekoran penyebaran video rakaman perbualan Muhyiddin yang menjadi viral di Internet.

Bagaimanapun, Mukhriz berpendapat, lawatan beliau ke rumah Muhyiddin bukan satu kesalahan kerana tujuan berbuat demikian adalah sebagai mewakili rakyat Kedah untuk mengucapkan terima kasih kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

“Adakah patut tindakan diambil terhadap saya kerana saya melawat seorang bekas pemimpin untuk ucapkan terima kasih pada dia? Saya ingat tak salah. Lepas tu (itu) keluar dalam video pula, apa salahnya kita selalu (rakam) dalam video, walaupun begitu saya bersedia untuk hadapi apa sahaja kemungkinan pun,” katanya.

Kabinet baru belum dapat yakini rakyat

"Itu hak Perdana Menteri untuk gugurkan Muhyiddin. Dia nak gugur, dia gugurlah," katanya dalam sidang media.

Menurut beliau, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan individu paling tepat untuk menggantikan Muhyiddin.

"Zahid yang paling layak. Dia menang undi paling banyak untuk naib presiden (Umno). Paling tepat untuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kabinet baru masih belum mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara seperti didakwa Najib.

"Saya baca blog dan komen di Facebook, tak nampak lagi pertukaran (kembalikan keyakinan rakyat). Jika baca apa di Facebook, kita tahu apa yang rakyat fikir sebab mereka luahkan pendapat mereka di internet," katanya.

Penamatan khidmat Abdul Gani ikut Perlembagaan

Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, penamatan khidmat Tan Sri Abdul Gani Patail dilakukan mengikut   Perlembagaan Persekutuan yang tidak memerlukan sebuah tribunal bagi menentukan perkhidmatannya.  

Dalam satu kenyataan hari ini, Mohamed Apandi berkata, artikel dalam perlembagaan yang memerlukan tribunal bagi penamatan khidmat AG telah digantikan dengan klausa baharu di bawah Akta (Pindaan) Perlembagaan dan berkuatkuasa pada 16 September 1963.     

"Di bawah Fasal (5) Perkara 145 sedia ada, peguam negara memegang jawatan selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong," kata Apandi.    

"Oleh itu cara penyingkiran yang dirujuk dalam klausa 6 Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan tidak terpakai kepada peguam negara yang dilantik selepas 16 September 1963.  

Gani Patail berhak diberi pendengaran awam

Selama ini Gani Patail dicemuh pembangkang sampai ke longkang terutama DAP dan PKR, gara-gara pendakwaannya ke atas ramai puak Pakatan termasuk Anwar Ibrahim yang kini terpaksa meringkuk di penjara.

Tak semena-mena DAP menghantar Dr Aziz Bari untuk membela Gani Patail. Hairan bin Ajaib dengan berpandangan Gani Patail berhak mendapatkan pendengaran awam tentang pemecatannya sebagai Peguam Negara kerana jawatannya itu tertakluk kepada perkhidmatan awam.

Sejak Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri pada 1981, penjawatan Peguam Negara telah diletakkan di bawah Perkhidmatan Awam.

"Dalam kes Abdul Gani, dia bukan ahli kabinet...dia juga bukan ahli Parlimen, jadi dia tidak boleh dipecat begitu sahaja, dia mesti diberikan pendengaran awam.

"Masalah yang timbul dengan memecat dia ialah artikel 145 (6) yang memerlukan menubuhkan satu tribunal," katanya.

TPPA bakal ditandatangani

Dalam pada itu rayat sedang memberontak mahu kerajaan jangan menandatangani Perjanjian Trans Pasifik (TPPA) dengan Amerika Syarikat kerana ia akan merungikan Malaysia.

Apa yang dapat disimpulkan oleh Datuk Seri Mustapha Mohamed ialah selepas lima tahun rundingan TPP diadakan, kini rundingan TPP telah memasuki fasa terakhir.

Pada peringkat ini, semua negara TPP perlu membuat keputusan yang sukar. Seperti dalam rundingan-rundingan yang lain, terdapat konsesi yang perlu dibuat.

Kerajaan telah mengambil pendirian yang tegas dalam rundingan TPP: untuk memastikan Perlembagaan, kedaulatan dan dasar-dasar utama seperti perolehan kerajaan, syarikat milik kerajaan dan agenda Bumiputera terus terpelihara.

Semua rakyat Malaysia perlu berfikiran terbuka mengenai Perjanjian TPP. Kerajaan mengambil maklum bahawa walaupun rundingan ini mempunyai kos tetapi lebih memberi manfaat kepada Malaysia.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, maklum balas dari pelbagai pihak telah membentuk pendirian Malaysia dalam rundingan TPP.

Apa yang penting di sini, dokumen akhir perjanjian bersama dua kajian kos-faedah akan dibentangkan di Parlimen dan dikongsi bersama rakyat Malaysia.

Keputusan sama ada menyertai Perjanjian TPP atau sebaliknya akan menjadi keputusan bersama rakyat Malaysia.


Pening. Pening. Pening

Thursday, 30 July 2015

Kabinet Najib bergegar, Zahid menyinga, Bukit Aman terbakar

Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman terbakar

Kabinet baru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diharapkan mampu menerajui pentadbiran negara dengan lebih telus dan jujur kerana rakyat Malaysia sudah mula peduli.

Rakyat akan terus memerhati gerak laku pemimpin di peringkat nasional, negeri dan wilayah. Sementelahan pula media sosial berfungsi sebagai mata dan telinga mereka biarpun media arus perdana cuba menyembunyikannya.

Keutuhan kabinetnya juga dapat diukur melalui reaksi umum mengenai hal ehwal semasa yang berlaku di sekeliling bagi memudahkan rakyat membuat kesimpulan, telahan, ramalan, jangkaan dan tafsiran.

Samada kerajaan peduli atau tidak dengan reaksi rakyat, hanya pilihan raya umum saja yang akan menjadi penentu segalanya. Tatkala itu perayu undi akan melutut menjanjikan bulan dan bintang.

Maka reaksi awam selepas ini akan menjadi aras kemampuan Perdana Menteri dan `kabinetnya’ dalam mengekalkan kekuasaan kerajaan Melayu yang telah dipertahan dengan cemerlang sejak merdeka.

Timbalan Perdana Menteri `menyinga' soal judi

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memulakan hari pertamanya dengan mengarahkan Ketua-Ketua Polis Negeri di seluruh negara membanteras sepenuhnya kegiatan judi haram sehingga dihapuskan 100 peratus.

Arahan yang turut ditujukan kepada pegawai dan anggota polis di setiap peringkat itu perlu dipatuhi sepenuhnya kerana kegiatan judi haram membawa kemudaratan, merosakkan institusi keluarga dan pihak yang mendapat untung hanya tauke-tauke judi.

Hakikatnya sudah ada Ops Cantas Khas dan beberapa operasi lain tetapi malangnya kedai judi tumbuh semula.

Lalu TPM memberi amaran kepada pegawai atau individu atau NGO yang melindungi rumah judi. “Anda tidak akan terlepas daripada tindakan KDN (Kementerian Dalam Negeri).”

Garang juga langkah permulaan Ahmad Zahid yang berani berdepan dengan gangster Cina dan India yang berkeluyuran di seluruh Malaysia.

JSJ Bukit Aman terbakar

Malangnya, sebaik saja Ahmad Zahid melontarkan amaran kepada gangster judi dan polis yang bersuhabat, satu kebakaran berlaku di tingkat 10, Bukit Aman yang menempatkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Khabarnya tiada dokumen penting diletakkan di tingkat berkenaan dan punca kebakaran mungkin disebabkan `short circuit' atau litar pintas.

Namun apakah simbolik yang dapat dilihat daripada insiden yang berlaku di JSJ? Apakah ia merupakan amaran awal dari gangster judi kepada PDRM dan KDN? Atau ia ada kaitan dengan maklumat berkaitan siasatan 1MDB?

Ajaib bin hairan. Semuanya berlaku hanya beberapa jam selepas kabinet baru Najib mengangkat sumpah di Istana Negara.

Kita akan lihat apa lagi peristiwa hebat yang akan berlaku selepas ini dan yang paling penting apakah ia sekadar satu kebetulan atau direncanakan.

Wednesday, 29 July 2015

Cerita benar Muhyiddin soal US$700 juta dalam akaun Najib

Muhyiddin bercerita kerpada rakan selepas pemecatannya

Sebaik saja Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat dari kabinet, ramai rakan dan kenalan datang ke rumahnya Bukit Damansara bagi menyatakan simpati di atas berita sedih itu.

Ketika bersembang di ruang tamu, bekas timbalan perdana menteri itu berkongsi cerita dengan rakan terdekat antaranya berkaitan wang USD$700 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri.

Cerita itu sulit dan tidak didedahkan pada sidang akhbar tengahari tadi. Malangnya rakan terdekat Muhyiddin yang berada dalam rumah itu telah merakamkan cerita itu dan menyebarkannya kepada umum lalu disiarkan oleh media pembangkang KiniTV.

Kini cerita sulit tu telah menjadi viral paling ganas di laman sosial hari ini bagi menjawab dan mengesahkan bahawa Perdana Menteri mengaku di hadapan timbalannya yang dia (Najib) menerima sejumlah USD$700 juta dari pihak tertentu.

Penulis tidak fikir Muhyiddin mahu mem`viral'kan ceritanya walaupun ia kisah benar. Kebocoran maklumat seumpama ini pernah berlaku pada perjumpaan beliau dengan pemimpin UMNO di Janda Baik, Pahang baru-baru ini yang diisytihar tertutup tapi terbocor juga.

Ketika cerita Muhyiddin mengenai Najib menjadi viral pada masa sekarang ini, orang ramai tertanya-tanya apakah bekas timbalan perdana menteri itu membuat fitnah atau Najib sememangnya mahu menutup isu berkenaan dengan memecat timbalannya.

Video klip berikut menjelaskan kisah sebenar Muhyiddn berkongsi cerita dengan beberapa rakan seperjuangan termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Kebenaran sudah tersungkit biarpun tiada dokumen menyokongnya. Bagi Najib dan kabinetnya, Muhyiddin menyimpan terlalu banyak maklumat dan apakah wajar bekas timbalan perdana menteri itu dipecat dari parti?

Apa yang jelas ialah beliau diancam akan diheret ke mahkamah atas projek 1BestariNet kerana ada pihak sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jika lebih banyak maklumat keluar dari Muhyiddin, maka Najib terpaksa menggunakan mahkamah untuk melondehkan bekas timbalannya.

Ternyata sebesar mana pun maklumat yang ada pada Muhyiddin, beliau kini sudah berada di luar kabinet dan secara lojiknya beliau tidak ada kuku yang tajam untuk melukakan Najib lagi. Hanya pemilihan UMNO 2018 akan menentukan masa depan kedua-dua pemimpin itu.

Namun apakah UMNO masih mampu mentadbir negara selepas PRU14 nanti? Dengan situasi yang ada sekarang, tidak salah kalau dikatakan bahawa UMNO bakal `dikhafan' tidak lama lagi gara-gara isu Najib dan 1MDB.  


Menteri dan timbalan menteri baru angkat sumpah jawatan


  1. KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainudin hari ini mendahului barisan menteri dan timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini.
  2. Upacara itu berlangsung di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara pada 10 pagi. Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
  3. Selepas Hamzah, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid pula mengangkat sumpah jawatan dan taat setia masing-masing.
  4. Mereka kemudian melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
  5. Upacara itu diteruskan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Senator Datuk Seri Panglima Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan.
  6. Bagaimanapun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Wilfred Madius Tangau tidak hadir pada istiadat itu. Beliau dilaporkan berada di Itali.
  7. Upacara penyerahan surat cara pelantikan serta melafaz sumpah jawatan dan taat setia bagi timbalan menteri menyusul dengan didahului Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Johari Baharom, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.
  8. Turut mengangkat sumpah ialah Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Asyraf Wadjdi Dusuki, Timbalan Menteri Pendidikan Senator Chong Sin Woon dan Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
  9. Ini disusuli olehh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Anak Kujat dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani.
  10. Semalam, Najib mengumumkan anggota jemaah menteri dan timbalan menteri baharu bagi mewujudkan pasukan Kabinet yang jitu.
  11. Perdana Menteri berkata beliau yakin Kabinet baharu itu dapat meneruskan hasrat kerajaan untuk menjayakan segala perancangan yang telah dijanjikan, meningkatkan keyakinan serta sokongan rakyat kepada Barisan Nasional. -- BERNAMA


Gerobok Perdana Menteri 2015

  • Pada tarikh 28 Julai 2015 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan rombakan kabinetnya yang pertama sejak 2009.
  • Namun ramai menyifatkan rombakan itu ada kaitan dengan skandal 1MDB. Padahnya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dipecat bersama beberapa menteri kanan yang lain.
  • Beberapa peristiwa lain berlaku serentak pada hari rombakan kabinet seolah-olah ia sudah ditentukan dalam satu konspirasi terancang oleh Perdana Menteri.
  • Kesannya, Najib dicemuh sehingga ada yang menganggap kabinetnya saling tak tumpah seperti sebuah kabinet dapur atau gerobok atau almari kayu.
  • Ketika negara dijerut isu 1MDB yang mana ramai pemimpin UMNO turut mempersoalkannya, Najib membuat kejutan besar. Beliau memecat beberapa menteri kanan, termasuk Timbalan Perdana Menteri berkuatkuasa 24 jam.
  • Peliknya ia berlaku hampir serentak dengan beberapa peristiwa lain yang diandaikan ada kaitan antara satu sama lain.
  • Ia telah membawa kepada persepsi rakyat bahawa kerajaan pimpinan Najib sedang berusaha membina benteng kebal untuk diri dan keluarganya.
1. Pemecatan Muhyiddin yang dikaitkan dengan isu 1MDB
  • Mula menduduki kerusi TPM pada 10 April 2009, semua orang tahu Muhyiddin dibesarkan dalam keluarga yang kuat berpegang kepada Islam, malah bapanya yang juga seorang ulama, tidak takut untuk mempertahankan kebenaran.
  • Muhyiddin yang sebelum ini pernah dilaporkan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai TPM tetapi ditolak oleh Najib, mula menyuarakan pandangannya sebagai pemimpin yang bertanggungjawab terhadap Umno dan negara.
  • Muhyiddin sebenarnya mengetahui mengenai isu dan masalah yang menimpa 1MDB sebelum ini, namun demi menjaga Najib sebagai boss dan rakan, beliau dipercayai lebih banyak mendiamkan diri.
  • Sehinggalah isu 1MDB semakin panas dan kemudian dikaitkan pula dengan laporan The Wall Street Journal bahawa kira-kira RM2.6 bilion masuk ke akaun peribadi Najib, serta laporan mengatakan RM2 juta masuk ke akaun peribadi isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Muhyiddin mula memberi nasihat kepada Perdana Menteri, namun tidak dipedulikan.
  • Akhirnya, Muhyiddin mula meluahkan rasa tidak puas hati terhadap 1MDB secara umum dalam perjumpaan dengan ahli Umno sama ada secara tertutup atau terbuka dan dalam Kabinet. Kita yakin beliau tidak membuat kritikan dan menyerang secara terus Perdana Menteri atau keluarganya.
  • Kita menganggap tidaklah berat sangat kritikan Muhyiddin terhadap 1MDB dan nasihat kepada Najib sehingga Perdana Menteri begitu kejam ‘mematikan’ karier politik orang yang selalu membelanya. Akibat serangan terhadap 1MDB, Muhyiddin akhirnya ‘diberhentikan’ oleh Najib.
2. Penamatan khidmat Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara (Siasatan terhadap 1MDB)
  • Alasan yang diberi ialah kerana Gani menghadapi masalah kesihatan. Tidak dinafikan Gani mempunyai masalah kesihatan, namun rata-rata orang ramai melihat tindakan itu ada kaitan dengan siasatan Pasukan Petugas Khas ke atas 1MDB, yang dipercayai memperoleh banyak maklumat mengelirukan mengenai berbilion-bilion wang yang dipinjam daripada bank tempatan dan luar.
  • Apa yang memeranjatkan ialah pendedahan oleh The Wall Street Journal yang memetik laporan Pasukan Penyiasat Khas itu mendedahkan berlaku aliran wang tunai ke dalam akaun Najib berjumlah RM2.6 bilion. Najib walaupun sudah mengarahkan peguamnya mengambil tindakan, namun masih tidak menjawab sama ada betul atau tidak wang berkenaan berada di dalam akaun beliau. Ya atau tidak!
  • Malah, ada dakwaan bahawa Gani sudah mempunyai maklumat lengkap dan bercadang mengenakan tuduhan terhadap Najib. Pasukan Penyiasat Khas itu turut dianggotai SPRM, Gabenor Bank Negara, dan PDRM dan kerap menyiarkan kenyataan mengenai siasatan mereka.
  • Khidmat Gani akhirnya ditamatkan. Adakah Pasukan Penyiasat Khas juga terpaksa menghentikan siasatan mereka atau menyerahkan semua dokumen siasatan kepada Najib?
3. PMSP lapor SPRM mengenai 1BestariNet (Pembabitan Muhyiddin sebagai Menteri Pelajaran)
  • Secara tiba-tiba sahaja, PMSP hari ini membuat aduan kepada SPRM supaya menyiasat kegagalan projek runding terus 1BestariNet yang bernilai RM663 juta yang diluluskan Muhyiddin selaku Menteri Pendidikan.
  • Dalam kenyataan kepada media selepas mengemukakan laporan itu, Penasihat Ekonomi PMSP, Suud Ridzuan dilaporkan meminta Muhyiddin mengambil cuti rehat sehingga siasatan SPRM ke atas projek itu selesai.
  • “Kami amat prihatin bahawa RM663 juta sudah dibelanjakan adalah wang rakyat. Ini adalah satu jumlah yang sangat besar,” kata Suud. Mungkin, Suud tidak mengetahui bahawa RM42 bilion yang dipinjam oleh 1MDB adalah wang rakyat dan jumlahnya lebih besar daripada RM663 juta.
  • Namun, kita hairan kenapa pertubuhan yang mempunyai minda prihatin itu tidak membuat aduan terhadap Najib selepas dakwaan mengatakan RM2.4 bilion wang 1MDB yang juga wang rakyat masuk ke akaun peribadi Najib.
  • Jika PMSP menggesa Muhyiddin berehat kerana kata mereka kes itu melibatkan wang rakyat yang jumlahnya sangat besar, wajar juga mereka menggesa Najib supaya berehat kerana wang yang dikawal oleh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan dan ‘pengawal’ 1MDB adalah berkali-kali ganda besarnya – bukan juta tapi bilion.
  • HARI INI, apabila Muhyiddin sudah menjadi rakyat biasa (kecuali masih memegang jawatan Timbalan Presiden Umno dan Ahli Parlimen), mudahlah siasatan dijalankan ke atas beliau.
4. Pelantikan Pengerusi PAC sebagai timbalan menteri (Siasatan terhadap 1MDB)
  • Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed adalah Pengerusi PAC yang kini sedang menyiasat dakwaan penyalahgunaan wang oleh 1MDB yang dikawal oleh Najib.
  • Adakah, pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri (satu portfolio penting) adalah usaha untuk memperlahankan siasatan PAC ke atas 1MDB? Ini kerana pelantikan anggota PAC perlu dibuat di Parlimen sedangkan sidang Dewan Rakyat sesi akan datang masih lambat lagi.
  • Sudah diketahui ramai bahawa 1MDB membuat hutang daripada bank tempatan dan luar negara paling besar dalam sejarah Malaysia iaitu kira-kira RM42 bilion. Wang yang dipinjam itu pula kini dikatakan tidak dapat dikesan.
  • HARI INI, pastinya siasatan PAC terhadap 1MDB tergendala apabila Nur Jazlan berkata beliau akan meletak jawatan sebagai Pengerusi PAC selepas dilantik sebagai timbalan menteri. Siapa yang akan meneruskan siasatan apabila ‘kepala’ PAC dan Pasukan Penyiasat Khas (Gani) tiada?
5. Pelantikan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman yang baru
  • Apa pula kaitan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman dalam hal siasatan terhadap 1MDB atau Najib? Memang agak sukar untuk dikaitkannya, namun perlu diingat bahawa peranan SB dalam sebarang siasatan kes tidak boleh diketepikan apa lagi dalam isu-isu yang besar dan mengancam keamanan negara.
  • Namun, mungkinkah hanya kebetulan Kementerian Dalam Negeri yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri baharu yang akan memulakan tugas rasminya esok, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan pelantikan Mohamad Fuzi Harun sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman menggantikan Datuk Seri Akhil Bulat yang bersara?


Tuesday, 28 July 2015

Sayu membalut rombakan kabinet 2015

Muhyiddin sayu dipecat jawatan Timbalan Perdana Menteri
  • Rombakan kabinet 2015 yang menyaksikan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri kanan, menyulam Aidilfitri dengan suasana sedih dan sayu di kalangan majoriti rakyat Malaysia.
  • Pada masa yang sama ramai juga yang marah dan tidak puashati dengan pemecatan timbalan perdana menteri sebagai mengulangi sejarah silam yang dialami oleh Anwar Ibrahim, Tun Musa Hitam dan Tun Ghafar Baba.
  • Namun Perdana Menteri mempunyai sebab tersendiri mengapa beliau melakukan rombakan sedemikian rupa.
Datuk Seri Najib Tun Razak
  • Rombakan Kabinet hari ini dibuat bagi tujuan memperkukuhkan lagi barisan Jemaah Menteri dalam kita menghadapi cabaran menguruskan negara sebelum Pilihanraya Umum yang ke-14.
  • Keputusan saya menggantikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, menggugurkan empat orang Menteri dan seorang Timbalan Menteri serta perubahan portfolio,dibuat setelah mengambil kira pertimbangan politik dan kepentingan pentabiran.
  • Bagi tujuan ini, Jemaah Menteri perlu bertindak sebagai satu pasukan yang jitu dalam apa jua keadaan, melangsungkan agenda pembangunan Negara serta menguruskan isu-isu Negara yang berbangkit agar dapat bertindak dengan berkesan.
Tan Sri Muhyiddin Yassin
  • Saya menerima keputusan YAB Perdana Menteri untuk menggugurkan saya daripada kabinet dengan hati yang terbuka. Saya menghormati kuasa prerogatif YAB Perdana Menteri untuk melantik dan menggugurkan mana-mana anggota kabinet.
  • Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya telah terlibat secara langsung dalam pembuatan dasar-dasar kerajaan dan melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada saya dengan penuh amanah. Selama saya berkhidmat, saya sentiasa mendokong semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan YAB Perdana Menteri.
  • Kecuali dalam isu 1MDB, saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara. Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada kabinet maka saya redha.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
  • Timbalan Perdana Menteri yang baru itu berjanji untuk memberikan perkhidmatan terbaik bagi membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mengurus dan mentadbir negara.
  • Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menyifatkan pelantikannya itu sebagai satu tanggungjawab besar yang diamanahkan oleh Perdana Menteri kepadanya.
  • Ahmad Zahid turut meminta semua Menteri Kabinet dan pemimpin UMNO memberi sokongan padu kepadanya dan seluruh barisan Kabinet baharu.
Datuk Seri Shapie Apdal
  • "Pandangan yang saya berikan adalah demi untuk menguatkan Umno dan niat ini bertujuan untuk meletakkan negara di landasan yang sepatutnya,” katanya.
  • Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hak untuk merombak kabinet sekiranya perjuangannya tidak selari dengan pendirian pemimpin negara ini.
  • “Selama ini saya telah memperjuangkan kepentingan rakyat dan sentimen akar umbi. Sekiranya ia dianggap tidak selari dengan pendirian, maka itu adalah hak beliau sebagai perdana menteri untuk membuat rombakan,” katanya.
Tengku Adnan Tengku Mansor
  • Saya meminta semua barisan kepimpinan UMNO di peringkat Negeri, Bahagian dan Cawangan serta ahli-ahli UMNO di akar umbi untuk bertenang dan memberi sepenuh kepercayaan kepada Presiden parti, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak berkaitan keputusan beliau melakukan rombakan kabinet hari ini.
  • Sewajarnya, keputusan YAB Presiden melakukan rombakan kabinet tidak perlu dipersoalkan sebagaimana hak beliau yang memegang amanah bagi memastikan barisan Jemaah Menteri kukuh dalam menghadapi cabaran mengurus tadbir negara.
Tan Sri Gani Patail
  • Katanya, beliau tidak mengetahui mengenai keputusan yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Tan Sri Ali Hamsa pagi ini.) “I don’t know, OK? I don’t want to say a word right now,” (Saya tidak tahu, OK? Saya tidak mahu berkata apa-apa sekarang).
Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein
  • Beliau mengingatkan semua pihak supaya akur dengan keputusan yang dibuat Perdana Menteri. Dalam lanskap politik hari ini semua pihak perlu bersikap rasional dalam menerima apa juga keputusan yang dibuat perdana menteri.
  • "Kita jangan melatah, ini hak Perdana Menteri, beliau telah buat keputusan, maka kita perlu rapatkan barisan kita dan patuh apa yang diputuskan.
  • "Ini realiti, apa juga keputusan tidak berkisar kepada individu dan kita akan selamat dan lanskap politik tidak terjejas," katanya.

Monday, 27 July 2015

Adilkah Muhyiddin digelar pengkhianat bangsa?

  • Tak semena-mena Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dituduh sebagai pengkhianat bangsa dan negara kerana mempersoal isu 1MDB secara terbuka di hadapan ahli UMNO Cheras.
  • Ia mengingatkan kita kepada ucapan tertutup beliau di Janda Baik sebelum ini yang dibocorkan kepada umum hingga mencetus reaksi negatif dan diputar belit oleh pihak yang mahu meruntuhkan kerajaan Melayu.
  • Pelbagai persepsi tercetus daripada kedua-dua ucapan itu yang mana Muhyiddin dikatakan sedang berkomplot untuk menggulingkan Perdana Menteri.
  • Lantas beberapa blogger upahan mula menyerang Muhyiddin secara `sakarstik' di media sosial yang mana ia dapat dilihat dengan jelas dalam tulisan pojok beberapa blog popular antaranya Unspinners dan juga MyKmu.
  • Kali ini timbalan perdana menteri telah digelar sebagai pengkhianat bangsa dan negara kerana mengulangi tindakan membangkitkan isu 1MDB sedangkan siasatan mengenai aktiviti syarikat pelaburan itu masih belum selesai.
  • Bagaimana Muhyiddin mampu berdiam diri mengenai isu 1MDB yang membabitkan sejumlah wang berbilion ringgit. Ke mana beliau pergi semua orang bertanyakan kepadanya mengenai persoalan yang sama. Ternyata rakyat semakin marah dan meminta penjelasan yang lebih meyakinkan.
  • Malangnya penjelasan yang diberikan oleh beberapa wakil kerajaan setakat ini terlalu lemah dan beliau sendiri sebagai timbalan perdana menteri tidak mampu membalas pelbagai soalan susulan yang dibangkitkan oleh orang awam yang mendapat maklumat dari sumber tertentu.
  • Dalam kemelut isu itu orang ramai juga bertanya apakah Muhyiddin tidak membantu atau menasihati Perdana Menteri dalam menangani isu 1MDB? Wallahi Muhyiddin menyebut beliau telah banyak kali berusaha untuk membantu Najib.
  • Pada ceramah di UMNO Cheras, Muhyiddin menjelaskan kepada rakyat bahawa beliau ada menasihati Najib antaranya meminta Perdana Menteri `keluar’ dari lembaga penasihat 1MDB dan jangan menduduki kerusi pengerusi.
  • Langkah itu perlu kerana dibimbangi Perdana Menteri akan terpalit dan bertanggungjawab atas apa yang dilakukan oleh penggerak 1MDB khususnya apabila berlaku situasi buruk seperti yang sudah berlaku baru-baru ini.
  • Ahli UMNO Cheras dan seluruh masyarakat Malaysia terkejut dengan ucapan terbuka Muhyiddin itu yang mengatakan Najib tidak endahkan pandangannya.
  • Dan apabila berlaku krisis dalam 1MDB, Najib menjadi bahan kritikan bukan saja di kalangan rakyat Malaysia malahan juga seluruh dunia memandang rendah terhadap kepimpinan negara pada masa sekarang ini.
  • Orang ramai juga tertanya-tanya mengapa Muhyidin terus mengalunkan isu 1MDB tatkala negara sedang dikeroyok pembangkang.
  • Beliau menjawab, perkara itu perlu segera diselesaikan kerana sokongan rakyat terhadap kerajaan dan parti UMNO semakin merosot dan `hampir kosong’.
  • Berdasarkan keputusan PRU13 sokongan BN jelas sekali merudum. Untuk itu UMNO perlu mencari `wow factor’ untuk mengembalikan sokongan rakyat.
  • Ketika UMNO sedang mencari `wow factor’ itu, isu 1MDB pula timbul sehingga keadaan semakin kusut.
  • Pada beberapa siri mesyuarat kabinet yang lalu, Muhyiddin telah menyuarakan pandangan mengenai 1MDB tetapi nasihatnya tidak diterima pakai. Apakah Muhyiddin perlu berdiam diri lagi?
  • Sebelum itu Tun Dr Mahathir Mohamed juga telah menasihati Najib secara tertutup dan keputusannya tetap sama. Lalu bekas perdana menteri itu terpaksa mengkritik dari luar kerajaan.
  • Dek kerana marah Najib telah melancarkan serangan balas dengan setiap hari memburuk-burukan Tun Mahathir menerusi TV3.
  • Muhyiddin menjelaskan kepada UMNO Cheras bahawa lagi kuat Najib menyerang Tun Mahathir di kaca televisyen, semakin tinggi rating bekas perdana menteri itu dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan semakin jatuh.
  • Jangan dikacau Tun Mahathir. Biarlah dia menasihati dengan caranya sendiri. Muhyidin pun mengakui beliau pernah beberapa kali bertemu bekas perdana menteri mengenai 1MDB dan beberapa isu lain yang mungkin boleh menjejaskan sokongan UMNO pada PRU14.
  • Menyedari sokongan UMNO semakin lemah, Muhyiddin cuba mententeramkan ahli berkaitan isu 1MDB seperti apa yang dilakukannya di Janda Baik dan juga di Cheras.
  • Malangnya niat baik Muhyidin sudah disalah erti. Kesannya blogger-blogger upahan pihak tertentu telah menyerang beliau dengan menggelarkan beliau sebagai pengkhianat bangsa dan negara.
  • Mereka melemparkan pelbagai tuduh terhadap Muhyiddin, antaranya beliau cuba menentang arus kepimpinan UMNO dan kerajaan serta mengambil kesempatan untuk menjatuhkan Najib dengan menggunakan isu 1MDB.
  • Di kalangan blogger bebas pula, mereka tidak percaya ada pergeseran antara Najib dan Muhyiddin, sebaliknya kedua-dua pemimpin itu dikatakan sedang bermain silap mata (magic show).
  • Memetik coretan blogger Rocky Bru yang berkata silap mata telah beberapa kali berlaku sejak Tunku Abdul Rahman dipelawa letak jawatan Perdana Menteri oleh Tun Razak, manakala di zaman Tun Mahathir pula, Ghafar Baba didesak turun oleh Anwar Ibrahim.
  • Katanya, semuanya merupakan wayang kulit di antara Anwar dan Mahathir, Mahathir dan Musa, Ghafar dan Mahahtir, Musa dan Ku Li, Najib dan Pak Lah. Kini Najib dan Muyhiddin.
  • Penyudahnya rakyat pening kepala dengan viral blogger yang pelik-pelik wal hal jika diteliti ucapan penuh Muhyiddin di Cheras, mesej yang mahu disampaikan sangat jelas dan tidak berbelit-belit. Maka nyatalah bahawa semua media pro pembangkang sebenarnya telah menyelewengkan tajuk dan cerita di Cheras.
  • Sila ikuti ucapan penuh Muhyiddin seperti berikut untuk mendapat gambaran yang paling jelas dan tepat mengenai siapakah sebenarnya pengkhianat negara. Ternyata blogger-blogger upahan itulah sebenarnya yang dimahkotakan dengan gelaran itu.

Sunday, 26 July 2015

Padahnya berbai'ah mentalakkan isteri



  • SEJAK kebelakangan ini isu sumpah bai’ah yang mentalakkan isteri kembali menjadi buah mulut di kalangan umat Islam di Malaysia.
  • Ramai yang menyokong dan ramai juga mencemuh. Kalangan cendikiawan dan professional Islam saling berbalas fakta dan fitnah mengenai bai’ah. Pelbagai hadis diketengah dan tidak kurang juga menggunakan hukum logik sebagai  sandaran hujah.
  • Lebih menyedihkan lagi apabila kalangan mufti juga turut bertelagah pandangan dan fatwa. Ada yang mengatakan bai’ah Pas mentalakkan isteri sebagai sah dan ada pula yang mengatakan tidak sah.
  • Lalu umat Islam yang mengikuti siatuasi itu semakin terkeliru dan dikelirukan dengan pelbagai hujah yang semakin berbelit dan mengelirukan.
  • Di laman sosial, fitnah semakin berganda viralnya. Semua hujah para ilmuan Islam ditokok tambah dengan fitnah sehingga ada yang tidak segan-segan berusaha memesongkan akidah sesame umat Islam semata-mata mahu menjadi juara `spin’ dalam isu bai’ah mentalakkan isteri dengan talak tiga.
  • Lalu isu bai’ah menjadi bahan bualan yang semakin berbelit dan berselirat. Lihatlah bagaimana para ilmuan Islam berbicara mengenainya.
Pandangan Mufti Perlis
  • Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata beliau sedih dengan tindakan Pas menjadikan sumpah talak isteri sebagai cagaran sekali gus tidak mengharmonikan masyarakat dan mampu meruntuhkan rumah tangga.
  • Katanya, politik begitu berada di tahap negatif apabila agama dijadikan alat menguatkan parti. Beliau juga bersetuju bahawa bai’ah mentalakkan isteri itu tidak sah.
  • "Seperti pendapat Ibnu Taimiyah menyatakan jika seseorang menyebut sesuatu akibat contoh 'jika saya ambil duit awak lagi, maka awak tertalak' kerana tujuannya tidak mahu hidup dengan isteri, oleh itu talaknya berlaku.
  • “Tetapi jika dia tidak bermaksud talak dan sekadar mahu takutkan diri dia sahaja supaya tidak melakukan perkara itu maka Ibnu Taimiyah berpendapat talak tidak terjadi dan individu itu perlu  membayar kifarah sumpah itu dengan berpuasa tiga hari serta bertaubat,” katanya.
  • Mohd Asri menjelaskan sumpah bai’ah dilafazkan ahli Pas dengan tertalaknya isteri dengan talak tiga jika keluar parti atau melompat ke parti lain tidak wajar berlaku kerana mempertaruhkan isteri demi kepentingan politik.
Pandangan Mufti Pulau Pinang
  • Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, sumpah bai’ah talak tiga oleh semua wakil rakyat Pas sama sekali tidak sah.
  • "Janganlah memandang ringan dan memudah-mudahkan terhadap lafaz talak semata-mata untuk mencapai kepentingan diri atau kumpulan sendiri, sedangkan talak atau perceraian antara pasangan suami isteri adalah perkara yang paling dibenci Allah.
  • “Talak tidak sah kecuali dengan niat dan keazaman yang ikhlas oleh si suami untuk menceraikan isterinya, bukan dengan tujuan-tujuan yang lain seperti untuk mencegah dirinya daripada melakukan sesuatu atau untuk mengukuhkan tekadnya bagi mencapai sesuatu matlamat yang diingini.
  • "Saya nasihatkan kepada setiap orang yang telah melafazkan sumpah tersebut supaya menebus sumpah itu dengan cara memberi makanan atau pakaian kepada 10 orang fakir miskin atau, jika tidak mampu, hendaklah berpuasa selama tiga hari sebagaimana yang diperintahkan di dalam al-Qur'an, surah al-Maidah 89.
  • "Difahamkan daripada ayat ini bahawa sumpah yang dipaksa ke atas seseorang melafazkannya boleh dikategorikan sebagai sumpah yang lagha atau tidak dilakukan dengan niat yang sebenar," ujarnya.
Pandangan bekas Timbalan Presiden Pas
  • Mohamad Sabu menyatakan pendiriannya sama dengan  Mufti Pulau Pinang berhubung isu bai'ah. Beliau bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berhubung isu itu tempoh hari.
  • “Isu ini saya tidak mahu mengulas lanjut. Saya berpegang kepada kenyataan Mufti Pulau Pinang tempoh hari. Apa yang dikeluarkan mufti (negeri), itulah yang saya pegang,” katanya.
  • Pandangan Pas Terengganu
  • Pas Terengganu hanya melafazkan bai’ah atau sumpah taat setia terhadap perjuangan parti tanpa sebarang penambahan lafaz taklik talak tiga sebagaimana yang dikatakan berlaku di negeri lain.
  • Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat yang juga Adun Paka berkata, bai’ah dilakukan oleh semua calon Pas Terengganu sama ada menang atau kalah pada pilihan raya lalu.
  • “Kita berbai’ah di hadapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas pelantikan calon di Rusila, Marang. Semua berbai'ah sama ada menang atau tidak, tapi kita tak ada tambahan lafaz cerai talak tiga seperti negeri lain.
  • “Bai’ah yang kita lafaz antaranya tak boleh khianat, tak boleh lari daripada perjuangan sama ada menang atau kalah,” katanya ketika mengulas isu bai’ah dalam Pas yang dikatakan mengandungi lafaz taklik talak tiga jika mereka yang dipilih sebagai wakil rakyat meninggalkan parti.
  • Satiful berkata, pihaknya tidak mengetahui alasan negeri lain seperti Kelantan dan Selangor menambah lafaz taklik tersebut namun bersetuju dengan pandangan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Kelantan, Datuk Daud Mohamad bahawa talak dilafaz secara bersumpah, bergurau atau berikrar sah dan hakiki serta tidak boleh dielakkan sekalipun dengan kafarah atau bayar denda sumpah.
Pandangan Mursidul Am Pas
  • Datuk Dr Haron Din berkata wakil rakyat PAS yang mendukung perjuangan Gerakan Harapan Baru (GHB) haram menikmati gaji dan elaun mereka kerana kerusi yang dimenangi adalah berdasarkan tiket parti Islam itu.
  • Ini kerana semua wakil rakyat dan calon yang dipilih bertanding dalam pilihan raya sudah berikrar untuk setia dalam perjuangan dan tidak khianat kepada parti.
  • "Saya menasihatkan pihak yang berbaiah supaya merenung sedalam-dalamnya kehendak baiah itu kerana mereka berbaiah dengan Allah.
  • "Jika berlaku khianat, mereka khianat dengan Allah. Lebih-lebih lagi dalam baiah yang menyebut soal elaun dan gaji kerana ia haram dimakan jika berlaku pelanggaran baiah," katanya.
Pandangan  Timbalan Mursyidul Am Pas
  • Datuk Ahmad Yakob mengesahkan adanya sumpah bai’ah talak tiga yang perlu dilafazkan wakil rakyat Pas Kelantan sekiranya meninggalkan parti itu untuk menyertai parti lain.
  • Menurutnya, akuan sumpah itu diguna pakai sejak  2004 lagi kepada mana-mana wakil rakyat Pas Kelantan yang mahu meninggalkan parti tersebut.
Pandangan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Kelantan
  • Datuk Daud Muhammad berkata mana-mana individu yang melafazkan sumpah dan melanggar sumpah, dengan menyertai parti lain, perlu membuat pengesahan di Mahkamah Syariah kerana lafaz talak yang diikrarkan itu adalah sah.
  • Talak yang dilafaz secara bersumpah, bergurau atau berikrar adalah sah dan hakiki. Mana-mana individu tidak boleh sewenang-wenang mempermainkan lafaz talak atau cerai atas apa alasan sekalipun.
  • Tegas Daud, taklik talak dengan bersumpah itu tidak boleh dielakkan dengan kafarah atau bayar denda sumpah.
  • Beliau menasihatkan individu yang terlibat melafaz bai'ah talak tiga dan bertindak keluar parti untuk menyertai parti lain, merujuk pengesahan cerai di Mahkamah Syariah. Jika tidak dirujuk ke Mahkamah Syariah, mereka boleh dianggap bersekedudukan secara haram.
Pandangan Majlis Syura Pas
  • Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh mengingatkan Adun dan Ahli Parlimen daripada parti itu, agar tidak melanggar bai’ah yang pernah dibuat mereka semasa bersama Pas.
  • Muhammad Zawawi berkata, apabila wakil rakyat melafazkan bai’ah mereka berjanji dengan nama ALLAH. Justeru katanya, jika pelanggaran dibuat maka padah yang diterima amat besar.
  • “Kepada sesiapa yang hendak bertanding atas nama Pas dia mesti berjanji di hadapan saf kepimpinan.
  • “….Mereka berbai’ah  janji dengan ALLAH jadi jangan sesekali mereka ini langgar bai’ah (perjanjian) ini kerana besar padahnya, dalam sejarah Islam ini tiada siapa yang selamat (orang yang melanggar bai’ah ini ).
  • "Dia kena ingat, dia berbai’ah berjanji itu terikat hukum dengan ALLAH kalau dia mengkhianati apa semua sekali dia akan dilaknat oleh ALLAH, malaikat sekalian… orang beriman,” katanya.
  • Muhammad Zawawi berkata, mana-mana wakil rakyat Pas yang mendukung perjuangan parti lain adalah haram bagi mereka menikmati gaji dan elaun mereka kerana kerusi yang dimenangi adalah berdasarkan tiket Pas.
  • Ini kerana katanya, semua wakil rakyat dan calon yang dipilih bertanding dalam pilihan raya sudah berikrar untuk setia dalam perjuangan dan tidak khianat kepada parti.
  • “Hasil kewangan yang mereka peroleh daripada tiket Pas adalah haram bagi dia, dan ahli Pas tidak akan reda sama sekali dia makan walau lima sen daripada harta yang dia peroleh dari atas nama Pas,” katanya.
Pandangan penganalisa politik
  • Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, sudah tiba masanya mufti menetapkan satu garis panduan berkaitan bai’ah supaya tidak mencampur aduk politik dengan peribadi.
  • “Saya tidak nafikan dalam Islam ada menyatakan tentang sumpah setia tetapi mengenai bai’ah talak tiga yang mencagarkan keluarga sebagai syarat, saya tidak pernah dengar,” katanya.
  • Jelasnya, kedudukan organisasi keluarga lebih tinggi jika dibandingkan dengan parti politik. “Parti politik bukan sebuah organisasi yang suci dan terhindar daripada dosa. Perkahwinan itu diibaratkan sebagai membina sebuah masjid dan ia sepatutnya dipelihara.
  • "Perceraian adalah yang dibenarkan dalam Islam tetapi dibenci oleh ALLAH, ia tidak wajar dimasukkan dalam kesetiaan politik” katanya.
  • Beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai bai’ah talak tiga kerana ia seolah-olah mencagarkan masa hadapan institusi keluarga.
Pandangan pakar perundangan
  • Dekan Pembangunan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Dr Mohammad Fuad Othman berkata, bai’ah yang diguna pakai Pas merupakan mekanisme mengelakkan wakil rakyatnya lompat parti.
  • “Saya pasti setiap wakil rakyat yang melafazkan bai’ah merelakan hati mereka dan ikhlas untuk setia dengan parti.
  • “Tetapi apa yang menjadi persoalan sekarang adalah syarat-syarat dalam bai’ah itu sendiri terlalu berat untuk diterima,” katanya.
  • Tegasnya, Pas perlu adil terhadap wakil rakyat dan ahlinya bebas bersuara serta berpolitik. “Bila meletakkan syarat yang berat had kepada wakil rakyat, bermakna mereka dalam keadaan tidak bebas.
  • “Begitu juga dengan pendekatan kesederhanaan dianjurkan oleh Islam itu sendiri. Di mana kita letakkan hak kebebasan?" soalnya.

Sunday, 5 July 2015

Negara Melayu dilanda fitnah maya


  1. Berhati-hatilah kita semua dengan fitnah alam maya yang sedang dilakukan terhadap kepimpinan negara.
  2. Setiap hari ada saja pelbagai cerita yang dijaja tentan pemimpin dan parti UMNO yang bertujuan untuk membentuk persepsi buruk di kalangan rakyat terutama sekali anak muda yang majoriti pembaca dan pelayar alam maya.
  3. Pecah dan perintah itulah strategi yang sedang dibuat oleh pembangkang dan mereka disokong oleh grup, blog dan macam-macam lagi.
  4. Kalau tiada apa-apa niat dan tujuan, buat apa Wall Steet Journal dan Sarawak Report buat tuduhan yang tidak berbukti.
  5. Sudah tentu ada pihak yang mempunyai kepentingan dan untuk menjatuhkan kerajaan. Dalam negara kita hanya pembangkang sajalah yang memang mahu melihat kerajaan BN tumbang.
  6. Kita sekarang dikerah mempercayai bahawa Pakatan Rakyat (PR) sudah pecah seperti apa yang berlaku dalam Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif sebelum ini tetapi hakikatnya PR belum pecah. Yang berpecahhanyalah orang Melayu.
  7. Kini sebuah lagi pertubuhan politik Melayu akan muncul iaitu PASMA hasil strategi pecah dan perintah DAP terhadap PAS.
  8. DAP khuatir yang orang Melayu PAS dan UMNO akan bersatu dan kalau itu terjadi maka musnah dan kempunanlah bangsa Cina untuk memerintah negara.
  9. Strategi yang sama digunakan oleh DAP dan kumpulan yang menyokong mereka untuk memecah belahkan Melayu dalam UMNO dengan membuat fitnah alam maya agar kita mula berbelah bagi dan mencurigai kepimpinan kita.
  10. Mereka percaya jika setiap hari fitnah disogokkan ke kepala orang Melayu, pasti satu hari nanti akan terciptalah pelbagai persepsi di kalangan ahli UMNO dan tidak mustahil apa yang berlaku terhadap PAS akan berlaku terhadap UMNO.
  11. UMNO sudah ada sejarah berpecah sebelum ini apabila terbentuknya Semangat 46. Dan kalau itu berlaku lagi, Melayu dalam UMNO akan berpecah dan mereka yang berada di kalangan `atas pagar’ akan lari dari menyokong.
  12. Jika ini berlaku maka akan terjadi `tsunami politik’ negara yang terbesar dalam sejarah negara menjelang PRU14 nanti.
  13. Ia akan merupakan satu sejarah hitam kepada politik orang Melayu kerana kita akan kehilangan kuasa politik dan tak mungkin dapat berkuasa semula,.
  14. Ini semua disebabkan kita silap buat percaturan dan gagal membaca strategi politik halus yang sedang `dijarumkan’ oleh puak pembangkang.
  15. Sekarang ini Melayu ada di dalam parti UMNO, PAS, PKR, DAP dan PASMA. Jika strategi pembangkang `mengena’ maka akan berpecah lagi Melayu di kalangan ahli UMNO dan bertambahlah parti Melayu.
  16. Untuk itu kita perlu segera dewasa dan mematangkan diri dalam politik sebab bangsa Melayu akan hilang di dunia sebab kita tak bersatu dalam membentuk `saf’ yang kuat untuk mendepani cabaran politik alaf baru.
  17. Kita perlu jadi macam orang Cina, walaupun mereka mempunyai beberapa parti politik dan berbeza ideologi politik seperti DAP, MCA dan Gerakan, tetapi itu tidak menghalang mereka bersatu apabila ada perkara-pekara yang menyentuh dan melibatkan kepentingan bangsa dan agama mereka.
  18. Sejarah telah membuktikannya. Mereka bangsa yang jauh lebih lama bertamadun dari kita tetapi itu bukan satu halangan untuk kita mengekalkan kuasa politik Melayu.
  19. Kita mesti bersatu demi Agama dan Bangsa. Setiap individu Melayu perlu memainkan peranan untuk menerangkan perkara ini kepada orang kita.
  20. Kita mulakan dengan keluarga kita, kawan-kawan dan seterusnya terhadap masyarakat Melayu. Kita perlu terangkan apa akibatnya kau kita jatuhkah parti dan kita tak sepatutnya terikut-ikut dengan rentak tarian yang sedang didendangkan oleh pembangkang.
  21. Jangan bila kita susah sedikit maka terfikirlah kita utk menjatuhkan parti tetapi fikirlah yang lebih jauh lagi iaitu bangsa Melayu akan hilang segala-galanya kalau kita jatuhkan parti kita.
  22. Jatuhkan pemimpin boleh tetapi biarlah ikut peraturannya serta berhemah. Kita perlu ada sikap yang lebih patriotik serta bangga terhadap bangsa sendiri.
  23. Belajarlah daripada sejarah sebab bangsa yang gagal mengambil iktibar daripada sejarah, dikhuatiri akan mengulangi sejarah itu sendiri. Dan bangsa Melayu punya sejarah malang sebelum ini. – Oleh Naim Ahmat