Thursday, 30 July 2015

Kabinet Najib bergegar, Zahid menyinga, Bukit Aman terbakar

Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman terbakar

Kabinet baru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diharapkan mampu menerajui pentadbiran negara dengan lebih telus dan jujur kerana rakyat Malaysia sudah mula peduli.

Rakyat akan terus memerhati gerak laku pemimpin di peringkat nasional, negeri dan wilayah. Sementelahan pula media sosial berfungsi sebagai mata dan telinga mereka biarpun media arus perdana cuba menyembunyikannya.

Keutuhan kabinetnya juga dapat diukur melalui reaksi umum mengenai hal ehwal semasa yang berlaku di sekeliling bagi memudahkan rakyat membuat kesimpulan, telahan, ramalan, jangkaan dan tafsiran.

Samada kerajaan peduli atau tidak dengan reaksi rakyat, hanya pilihan raya umum saja yang akan menjadi penentu segalanya. Tatkala itu perayu undi akan melutut menjanjikan bulan dan bintang.

Maka reaksi awam selepas ini akan menjadi aras kemampuan Perdana Menteri dan `kabinetnya’ dalam mengekalkan kekuasaan kerajaan Melayu yang telah dipertahan dengan cemerlang sejak merdeka.

Timbalan Perdana Menteri `menyinga' soal judi

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memulakan hari pertamanya dengan mengarahkan Ketua-Ketua Polis Negeri di seluruh negara membanteras sepenuhnya kegiatan judi haram sehingga dihapuskan 100 peratus.

Arahan yang turut ditujukan kepada pegawai dan anggota polis di setiap peringkat itu perlu dipatuhi sepenuhnya kerana kegiatan judi haram membawa kemudaratan, merosakkan institusi keluarga dan pihak yang mendapat untung hanya tauke-tauke judi.

Hakikatnya sudah ada Ops Cantas Khas dan beberapa operasi lain tetapi malangnya kedai judi tumbuh semula.

Lalu TPM memberi amaran kepada pegawai atau individu atau NGO yang melindungi rumah judi. “Anda tidak akan terlepas daripada tindakan KDN (Kementerian Dalam Negeri).”

Garang juga langkah permulaan Ahmad Zahid yang berani berdepan dengan gangster Cina dan India yang berkeluyuran di seluruh Malaysia.

JSJ Bukit Aman terbakar

Malangnya, sebaik saja Ahmad Zahid melontarkan amaran kepada gangster judi dan polis yang bersuhabat, satu kebakaran berlaku di tingkat 10, Bukit Aman yang menempatkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Khabarnya tiada dokumen penting diletakkan di tingkat berkenaan dan punca kebakaran mungkin disebabkan `short circuit' atau litar pintas.

Namun apakah simbolik yang dapat dilihat daripada insiden yang berlaku di JSJ? Apakah ia merupakan amaran awal dari gangster judi kepada PDRM dan KDN? Atau ia ada kaitan dengan maklumat berkaitan siasatan 1MDB?

Ajaib bin hairan. Semuanya berlaku hanya beberapa jam selepas kabinet baru Najib mengangkat sumpah di Istana Negara.

Kita akan lihat apa lagi peristiwa hebat yang akan berlaku selepas ini dan yang paling penting apakah ia sekadar satu kebetulan atau direncanakan.

No comments:

Post a Comment