- Tak semena-mena Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dituduh sebagai pengkhianat bangsa dan negara kerana mempersoal isu 1MDB secara terbuka di hadapan ahli UMNO Cheras.
- Ia mengingatkan kita kepada ucapan tertutup beliau di Janda Baik sebelum ini yang dibocorkan kepada umum hingga mencetus reaksi negatif dan diputar belit oleh pihak yang mahu meruntuhkan kerajaan Melayu.
- Pelbagai persepsi tercetus daripada kedua-dua ucapan itu yang mana Muhyiddin dikatakan sedang berkomplot untuk menggulingkan Perdana Menteri.
- Lantas beberapa blogger upahan mula menyerang Muhyiddin secara `sakarstik' di media sosial yang mana ia dapat dilihat dengan jelas dalam tulisan pojok beberapa blog popular antaranya Unspinners dan juga MyKmu.
- Kali ini timbalan perdana menteri telah digelar sebagai pengkhianat bangsa dan negara kerana mengulangi tindakan membangkitkan isu 1MDB sedangkan siasatan mengenai aktiviti syarikat pelaburan itu masih belum selesai.
- Bagaimana Muhyiddin mampu berdiam diri mengenai isu 1MDB yang membabitkan sejumlah wang berbilion ringgit. Ke mana beliau pergi semua orang bertanyakan kepadanya mengenai persoalan yang sama. Ternyata rakyat semakin marah dan meminta penjelasan yang lebih meyakinkan.
- Malangnya penjelasan yang diberikan oleh beberapa wakil kerajaan setakat ini terlalu lemah dan beliau sendiri sebagai timbalan perdana menteri tidak mampu membalas pelbagai soalan susulan yang dibangkitkan oleh orang awam yang mendapat maklumat dari sumber tertentu.
- Dalam kemelut isu itu orang ramai juga bertanya apakah Muhyiddin tidak membantu atau menasihati Perdana Menteri dalam menangani isu 1MDB? Wallahi Muhyiddin menyebut beliau telah banyak kali berusaha untuk membantu Najib.
- Pada ceramah di UMNO Cheras, Muhyiddin menjelaskan kepada rakyat bahawa beliau ada menasihati Najib antaranya meminta Perdana Menteri `keluar’ dari lembaga penasihat 1MDB dan jangan menduduki kerusi pengerusi.
- Langkah itu perlu kerana dibimbangi Perdana Menteri akan terpalit dan bertanggungjawab atas apa yang dilakukan oleh penggerak 1MDB khususnya apabila berlaku situasi buruk seperti yang sudah berlaku baru-baru ini.
- Ahli UMNO Cheras dan seluruh masyarakat Malaysia terkejut dengan ucapan terbuka Muhyiddin itu yang mengatakan Najib tidak endahkan pandangannya.
- Dan apabila berlaku krisis dalam 1MDB, Najib menjadi bahan kritikan bukan saja di kalangan rakyat Malaysia malahan juga seluruh dunia memandang rendah terhadap kepimpinan negara pada masa sekarang ini.
- Orang ramai juga tertanya-tanya mengapa Muhyidin terus mengalunkan isu 1MDB tatkala negara sedang dikeroyok pembangkang.
- Beliau menjawab, perkara itu perlu segera diselesaikan kerana sokongan rakyat terhadap kerajaan dan parti UMNO semakin merosot dan `hampir kosong’.
- Berdasarkan keputusan PRU13 sokongan BN jelas sekali merudum. Untuk itu UMNO perlu mencari `wow factor’ untuk mengembalikan sokongan rakyat.
- Ketika UMNO sedang mencari `wow factor’ itu, isu 1MDB pula timbul sehingga keadaan semakin kusut.
- Pada beberapa siri mesyuarat kabinet yang lalu, Muhyiddin telah menyuarakan pandangan mengenai 1MDB tetapi nasihatnya tidak diterima pakai. Apakah Muhyiddin perlu berdiam diri lagi?
- Sebelum itu Tun Dr Mahathir Mohamed juga telah menasihati Najib secara tertutup dan keputusannya tetap sama. Lalu bekas perdana menteri itu terpaksa mengkritik dari luar kerajaan.
- Dek kerana marah Najib telah melancarkan serangan balas dengan setiap hari memburuk-burukan Tun Mahathir menerusi TV3.
- Muhyiddin menjelaskan kepada UMNO Cheras bahawa lagi kuat Najib menyerang Tun Mahathir di kaca televisyen, semakin tinggi rating bekas perdana menteri itu dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan semakin jatuh.
- Jangan dikacau Tun Mahathir. Biarlah dia menasihati dengan caranya sendiri. Muhyidin pun mengakui beliau pernah beberapa kali bertemu bekas perdana menteri mengenai 1MDB dan beberapa isu lain yang mungkin boleh menjejaskan sokongan UMNO pada PRU14.
- Menyedari sokongan UMNO semakin lemah, Muhyiddin cuba mententeramkan ahli berkaitan isu 1MDB seperti apa yang dilakukannya di Janda Baik dan juga di Cheras.
- Malangnya niat baik Muhyidin sudah disalah erti. Kesannya blogger-blogger upahan pihak tertentu telah menyerang beliau dengan menggelarkan beliau sebagai pengkhianat bangsa dan negara.
- Mereka melemparkan pelbagai tuduh terhadap Muhyiddin, antaranya beliau cuba menentang arus kepimpinan UMNO dan kerajaan serta mengambil kesempatan untuk menjatuhkan Najib dengan menggunakan isu 1MDB.
- Di kalangan blogger bebas pula, mereka tidak percaya ada pergeseran antara Najib dan Muhyiddin, sebaliknya kedua-dua pemimpin itu dikatakan sedang bermain silap mata (magic show).
- Memetik coretan blogger Rocky Bru yang berkata silap mata telah beberapa kali berlaku sejak Tunku Abdul Rahman dipelawa letak jawatan Perdana Menteri oleh Tun Razak, manakala di zaman Tun Mahathir pula, Ghafar Baba didesak turun oleh Anwar Ibrahim.
- Katanya, semuanya merupakan wayang kulit di antara Anwar dan Mahathir, Mahathir dan Musa, Ghafar dan Mahahtir, Musa dan Ku Li, Najib dan Pak Lah. Kini Najib dan Muyhiddin.
- Penyudahnya rakyat pening kepala dengan viral blogger yang pelik-pelik wal hal jika diteliti ucapan penuh Muhyiddin di Cheras, mesej yang mahu disampaikan sangat jelas dan tidak berbelit-belit. Maka nyatalah bahawa semua media pro pembangkang sebenarnya telah menyelewengkan tajuk dan cerita di Cheras.
- Sila ikuti ucapan penuh Muhyiddin seperti berikut untuk mendapat gambaran yang paling jelas dan tepat mengenai siapakah sebenarnya pengkhianat negara. Ternyata blogger-blogger upahan itulah sebenarnya yang dimahkotakan dengan gelaran itu.
Monday, 27 July 2015
Adilkah Muhyiddin digelar pengkhianat bangsa?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment