Wednesday, 13 May 2015

Bekas MB Terengganu serang Najib soal 1MDB


  1. PERANG TERBUKA di antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad makin hangat apabila bekas Menteri Besar Terengganu tampil membuat pendedahan mengenai konspirasi 1MDB.
  2. Dewan Undangan Negeri Terengganu dikejutkan dengan pendedahan Dato’ Seri Ahmad Said ketika menyampaikan ucapan menjunjung kasih titah Ucapan Perasmian Tuanku Sultan Terengganu.
  3. Paling mengejutkan ialah cubaan Najib mencagar hasil gas dan minyak Terengganu kepada 1MDB tetapi dibantah Ahmad sehingga menyebabkan dia “diturunkan” dari jawatannya sebagai Menteri Besar.
  4. Ahmad membuat pendedahan itu ketika menjawab pertanyaan ADUN Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkenaan kaitan 1MDB dengan kerajaan negeri Terengganu.
  5. Ahmad yang juga ADUN Kijal berkata, beliau akan mendedahkan lebih banyak konspirasi Perdana Menteri pada masa akan datang, tetapi buat masa ini cukup dengan mengakui kebenaran kaitan kerajaan Terengganu dan 1MDB.
  6. Mengulangi sejarah GLC kontroversi itu, Ahmad berkata 1MDB pada asalnya dikenali Terengganu Investment Authority (TIA) tetapi menarik diri apabila terjadi masalah yang tidak dapat beliau terima, iaitu cubaan mencagar hasil minyak dan gas di perairan Terengganu.
  7. “Saya memohon maaf, buat masa ni saya tidak dapat menjawabnya, tapi saya tunggu masa yang sesuai. Dan saya akui 1MDB asalnya TIA, bukan agensi yang modalnya berbayar, sebaliknya saya dan kerajaan negeri yang bayar.
  8. “Tetapi apabila kita dapati “hanky panky” (perkara tidak betul), ada masalah yang tak boleh kita terima, termasuk saya boleh sebut di sini buat permulaan ini dulu, mereka nak cagar minyak dan gas di laut Terengganu ketika itu.
  9. “Inilah satu sebab kenapa saya dimarah oleh Perdana Menteri, termasuk kes-kes yang lain, akhirnya kita menarik diri dan kerajaan negeri tidak rugi apa-apa, saya minta balik wang satu juta sebagai modal berbayar ketika itu.
  10. “Ini sebagai penjelasan permulaan, tidak ada yang tidak benar, melainkan yang benar belaka Yang DiPertua,” jelas beliau dengan panjang lebar yang mendapat tepukan dari wakil pembangkang.
  11. Sejak diturunkan dari jawatan Menteri Besar setahun yang lalu, inilah kali pertama Ahmad bangun menyertai perbahasan, namun kesempatan itu, beliau memilih menyerang kerajaan dengan pendedahannya itu.
  12. Kalangan pemerhati politik yakin serangan Ahmad terhadap kerajaan persekutuan dilakukan sebaik saja Perdana Menteri menyerang Tun Mahathir secara terbuka di Tawau, Sabah baru-baru ini.
  13. Ini sekaligus menyaksikan bahawa Ahmad merupakan tokoh politik yang berada di kem Mahathir yang mahu Najib segera letak jawatan demi menyelamatkan UMNO dan BN daripada kemusnahan pada PRU akan datang.
  14. Pada masa yang sama beberapa pemimpin pembangkang yang popular terus menghentam kerajaan dan Najib secara konsisten bagi memastikan lebih ramai rakyat menaruh kebencian dan dendam ke atas kerajaan.
  15. Jika misi ini berjaya, kebarangkalian untuk BN tewas pada PRU1 semakin besar walaupun strategi `pecah sempadan pilihan raya’ bakal dilakukan bagi mengurangkan kekuatan pembangkang. Tiada yang lebih berkesan selain membangkitkan wasangka terhadap pentadbiran kerajaan persekutuan.


No comments:

Post a Comment