- Ramai di kalangan ahli dan penyokong Umno kebingungan dengan serangan bertali arus ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa terlalu banyak skandal.
- Ada juga yang kecewa dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad membidas Najib bagaikan kena `histeria’. Lebih kecewa lagi apabila Najib dilihat `membisu seribu bahasa’, melainkan sesekali membuat penjelasan pendek untuk menjaring kesamaran.
- Datuk Mustapha Yaakub dari Veteran Umno cuba membawa sekelumit kegelisahan orang ramai mengenai serangan Tun M yang bertali arus itu.
- Katanya, walaupun Dr M ada alasan mengkritik tetapi serangannya lebih berupa serangan peribadi yang bermotif untuk mendesak Najib berundur dari jawatan PM.
- Mustapa melihat Tun M seperti diserang histeria dan hilang kewarasan sebagai seorang negarawan yang disegani dan disanjung. Sedangkan beliau boleh melakukannya dengan penuh berhemah dan berhikmah.
- Sambil itu Mustapha menyindr Dr M dengan berkata jika Najib perlu dijatuhkan sekalipun, Dr M perlu menggunakan 'saluran' yang betul iaitu membawa persoalan itu melalui pemilihan Umno.
- Sesiapa saja boleh menawar diri untuk bertanding jawatan Presiden, termasuk Tun M. Najib hanya alat Umno. Najib boleh diganti, tetapi Umno sebagai satu institusi mesti dipertahankan oleh setiap ahli.
- Bagi menenangkan keadaan Mustapha merayu Dr M supaya menghentikan serangan kerana natijahnya akan menghancurkan Umno dan merugikan Melayu.
- Sebelum nasi menjadi bubur, sebaiknya Dr M bertindak sebagai negarawan yang rasional kerana bagi memastikan bekas Perdana Menteri itu dikenang sebagai tokoh kebanggaan Melayu sepanjang zaman.
- Kegelisahan Umno semakin terasa apabila Dr M semakin kerap menyerang Najib melalui tulisannya di blogchedet.cc, menyentuh mengenai kes Altantuya, 1MDB dan ‘Nasib BN’ di bawah Najib menjelang PRU14.
- Namun ramai juga pemimpin dan ahli Umno menyifatkan kritikan Dr M adalah untuk kepentingan masa depan Umno.
- Bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat tindakan Dr M yang lantang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri adalah demi menyelamatkan Umno.
- Katanya, Dr M mahu Najib memberi jawapan terhadap setiap dakwaan terhadapnya yang dibuat pemimpin pembangkang dalam beberapa isu.
- Antara isu tersebut adalah kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang belum terungkai, projek mega 1MDB dan pembelian pesawat peribadi yang telah menjejaskan sokongan dan kepercayaan rakyat kepada BN.
- Jawapan itu bukan untuk Dr M sendiri tetapi Tengku Razaleigh atau lebih mesra dipanggil `Ku Li’ mahu setiap tuduhan yang dibuat dijawab oleh Najib kepada rakyat.
- Ku Li, Dr M serta lain-lain pemimpin dan ahli Umno mahu ketelusan dan kebenaran dalam isu yang menyelubungi Najib. Sudah tiba masanya jawapan sebenar diberikan dan kebenaran dibongkar.
- “Saya yakin Dr M pasti mempunyai alasan kukuh untuk mempersoal perkara demikian. Dr M merupakan bekas pemimpin yang berpengalaman baik dari segi parti mahu pun pentadbiran negara,” kata Ku Li.
- Dr M sentiasa mengikuti perkembangan semasa Umno serta BN. Dia mengetahui keadaan semasa politik BN menjelang PRU14 dan risau dengan keadaan semasa yang ada sekarang.
- Sekiranya segala persoalan yang dibangkitkan tidak dijawab, keadaan akan bertambah sukar terhadap pemimpin BN untuk meraih sokongan rakyat dan tidak mampu memerintah negara lagi.
- Sementara itu, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (KuNan) mengadakan pertemuan dengan Dr M bagi melegakan perasaan marah Ku Nan itu.
- Dr M membawa isu yang perlu dilerai bagi kepentingan Umno dan BN tetapi Ku Nan pula membidas secara membuta tuli dengan berkata era pemerintahan Dr M sudah berlalu dan jangan ganggu era Najib pula.
- Kenyataan itu mengingatkan kita kepada keceluparan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (KJ) ketika berkuasa di tingkat 4 Putrajaya suatu ketika dahulu yang mana anak hingusan itu pernah menyifatkan Dr M sebagai `beruk’ kerana mengkritik bapa mertuanya Tun Abdullah Ahmad Badawi..
- Dr M tak kisah dengan cemuhan KJ dan kroni ketika itu sebaliknya terus mengkritik sehingga bapa mertua KJ turun daripada kerusi PM.
- Kini Dr M juga tidak akan jemu mengkritik Najib walaupun sudah menjangkakan akan dicemuh lagi oleh konco-konco Najib pula.
- Setakat ini Perdana Menteri masih belum mahu memberi respon berkaitan pelbagai isu yang diwar-warkan oleh pembangkang setiap hari terutama `salesmen’ pakatan haram seperti Rafizi Ramli, Tony Phua, Mahfuz Omar dan banyak lagi.
- PM juga memilih untuk tidak menjawab hal yang sama dibangkitkan oleh Dr M secara bertali arus itu. Najib tidak mahu memberitahu rakyat mengapa beliau bersikap demikian.
- Namun beliau memberi bayangan kepada semua umat Melayu dalam Umno bahawa parti terunggul itu mungkin tidak akan berjaya pada pilihan raya umum akan datang jika bersengketa dan berpecah-belah.
- Sebaliknya beliau mengajak semua Melayu Umno mengamalkan solidariti, persepakatan dan bekerjasama sesama mereka.
- Untuk itu Umno perlu mengurangkan permasalahan dalaman dan cantas-mencantas antara satu sama lain selain mengelakkan daripada mewujudkan dua pasukan dalam bahagian parti itu.
- "Sentiasa pastikan kita tidak lupa tugas utama kita, iaitu pastikan Umno terus berkuasa memimpin dan memperjuangkan hak rakyat yang sentiasa dekat di hati," katanya dalam tulisan menerusi blognya NajibRazak.com.
- Kata-kata itu sudah jelas menjawab semua persoalan yang dibangkitkan oleh Dr M, Ku Li dan rakan-rakan seperjuangan yang lain dalam kelompok Umno.
- Najib tidak perlu membazir waktu menjawab isu yang dibangkitkan oleh pembangkang kerana setiap apa yang dijawab pasti ada serangan susulan yang tidak aka nada penyudahnya. Najib mahu Melayu Baru menyambut tangannya dan Umno dalam semua bidang terutama perniagaan, sosial dan usaha memupuk semangat kemelayuan itu sendiri. Namun berapa ramaikah umat Umno menyedarinya. Entahlah.
Sunday, 5 April 2015
Tun M serang bertali arus, memadailah Najib bagi kiasan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment