Sunday, 5 April 2015

Benarkah helikopter bawa JJ dan pegawai kanan PM disabotaj

Helikopter AS3655NA Dauphin meletup dan terhempas di Semenyih
  • Helikopter yang membawa enam VVIP termasuk Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan dua pegawai kanan PM disyakki disabotaj pihak tertentu sehingga mengakibatkan ia terhempas di sekitar Semenyih.
  • Elemen sabotaj dikatakan dikesan apabila helikopter itu dikatakan `rosak' secara tiba-tiba sebelum terhempas, walhal pemeriksaan yang dilakukan sebelum berlepas dari Pekan, Pahang mendapati ia berada dalam keadaan baik.
  • Seorang juruterbang helikopter yang mahu dikenali sebagai Kapten Lee memberitahu media bahawa dia telah menyaksikan dengan jelas nahas udara itu ketika dia sedang terbang dari Johor ke Subang.
  • "Ketika itu, kami terbang dari Johor menuju ke Subang dan pada masa yang sama ada satu helikopter lagi yang difahamkan terbang dari Kuantan ke Subang. Apabila sampai di Kajang, saya nampak helikopter IGB dari Kuala Kelawang ke Kajang sedang turun.
  • “Cuaca cerah tetapi ada hujan, maknanya hujan panas dan bukannya ribut. Jadi, pada pandangan saya helikopter jatuh bukan disebabkan cuaca dan terpulang kepada siasatan nanti,” katanya seperti dipetik dalam laporan Astro Awani.
  • Mengulas lanjut, Lee berkata, beliau menolak kemungkinan helikopter terbabit terbakar di udara kerana tidak kelihatan asap kebakaran sebelum pesawat itu terhempas.
  • “Saya nampak helikopter itu sudah menjunam apabila muncungnya ke bawah, dan saya perhati sampai helikopter itu jatuh ke tanah barulah asap keluar. Bagaimanapun, semasa di udara tak ada nampak api atau asap keluar,” jelasnya.
  • Bagaimanapun, seorang penganalisis TUDM memberi pandangan yang berbeza dengan Kapten Lee. Dia menjangkakan helikopter AS3655NA Dauphin itu mungkin terlanggar kabel pencawang elektrik sewaktu terbang rendah sebelum terhempas.
  • Kapten (B) Rahmat Omar berkata, helikopter itu mungkin terpaksa terbang rendah akibat cuaca buruk.
  • “Saya tidak pasti bagaimana cuaca ketika itu, kalau cuaca buruk, ada kemungkinan juruterbang akan terbang dengan lebih rendah, daripada gambar yang tersiar di laman sosial, kita tidak dapat pastikan helikopter jatuh terkena pokok dan terhempas ke tanah ataupun terhempas di udara lagi.
  • "Ruang udara helikopter tersebut terjatuh merupakan tempat latihan TUDM Sungai Besi dan juga dipanggil (simpang), ia merupakan laluan biasa untuk pesawat ringan seperti helikopter. Laluan selatan iaitu di sempadan Banting sahaja merupakan kawasan tanah tinggi dan tempat helikopter tersebut terhempas merupakan kawasan yang tidak begitu tanah tinggi,” katanya.
  • Sementara itu, lain pula cerita mengenai insiden trajis itu daripada penduduk kampung di kawasan lokasi nahas.
  • Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang, seorang saksi Roslan Harun, 53, yang berada berhampiran lokasi kejadian melihat api marak di kawasan kebun kelapa sawit.
  • Menurutnya, dia tidak dapat menghampiri lokasi kejadian dan berada kira-kira 200 meter dari serpihan badan utama helikopter berkenaan.
  • "Ketika kejadian hujan lebat dan saya terus menghubungi bomba memaklumkan kejadian itu. "Saya kemudian keluar dari lokasi nahas untuk menunjukkan jalan kepada pihak berkuasa untuk masuk ke sini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian nahas.
  • Sementara itu, siasatan awal Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hari ini menolak kemungkinan nahas helikopter yang dinaiki Tan Sri Jamaludin bersama-sama lima mangsa lain di Semenyih semalam adalah akibat melanggar kabel pencawang elektrik sewaktu terbang rendah sebelum terhempas.
  • Pengarah Operasi Penerbangan DCA, Datuk Yahya Abdul Rahman berkata, hasil pemerhatian beliau dari udara hari ini mendapati tiada pencawang elektrik berhampiran lokasi nahas itu.
  • Malah menurut beliau, helikopter jenis AS3655N2 Dauphin (9M-1GB) terbang tinggi iaitu pada aras 1,500 meter ketika nahas itu berlaku.
  • Ekoran perbezaan cerita yang diterima, pihak polis memberi jaminan sedang menyiasat punca nahas helikopter itu secara terperinci meliputi pelbagai elemen termasuk kemalangan, jenayah dan kecuaian.
  • Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya telah membuka siasatan dan kini sedang menunggu laporan bedah siasat kesemua mangsa, di samping mengumpul bahan bukti yang terdapat di lokasi kejadian.
  • “Siasatan sudah dimulakan selepas nahas berlaku dan untuk permulaan kita membuka kertas siasatan di bawah kematian mengejut (SDR). Kita masih meneruskan penyiasatan di tempat kejadian termasuk punca kematian dengan pihak forensik,“ katanya.
  • Menurut Noor Rashid, siasatan dari segi teknikal akan dilakukan oleh pihak Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
  • “Lokasi nahas juga telah ditutup dan dikawal daripada dimasuki oleh orang awam dan kini sedang mencari saksi di tempat kejadian untuk ditemubual. “Setakat ini kita telah merakam percakapan daripada tiga saksi,“ katanya.
  • Berikutan insiden itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bergegas ke lokasi semalam telah mengarahkan semua pihak yang berkaitan supaya segera menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca tragedi itu.
  • PM dan kabinetnya juga menziarah keluarga semua mangsa nahas helikopter itu pada majlis pengkebumian yang diadakan secara berasing di kawasan masing-masing sambil menyifatkan tragedi Semenyih sebagai kehilangan beberapa tokoh politik dan ahli perniagaan tersohor negara.
  • Enam penumpang dalam nahas helikopter jenis AS365 Dauphin yang terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih berjaya ditemui oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Selangor. Lima penumpang dijumpai dalam satu kumpulan manakala seorang lagi ditemui terhempap di bawah rangka helikopter. Kesemua mayat yang dijumpai dalam keadaan sempurna tetapi terbakar.
  • Helikopter tersebut dalam perjalanan dari Pekan, Pahang menuju ke Subang, melalui kawasan Semenyih sebelum terputus hubungan. Ia dipercayai meletup di udara dan punca sedang dikenal pasti. Kesemua mayat mangsa nahas dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.
  • Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam satu kenyataan mengesahkan enam identiti mangsa nahas helikopter adalah seperti berikut: Kapten Clifford William Fournier (juruterbang), Aidana Baizieva (pembantu juruterbang), Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis (Ahli Parlimen Rompin), Razakan Seran (pengiring Tan Sri Jamaluddin), Datuk Sri Azlin Alias (Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri) dan Datuk Tan Huat Seang.

No comments:

Post a Comment