- Benarkah rundingan air Selangor sengaja digagalkan hingga 2020 bagi membolehkan Pakatan Rakyat (PR) mengambil semula 31 loji rawatan air (LRA) yang diswastakan, termasuk 29 loji milik Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) tanpa perlu membayar satu sen pun.
- Ini kerana hampir semua LRA kendalian PNSB akan tamat tempoh pada 2020. Syarikat milik Tan Sri Rozali Ismail itu memegang lima konsesi air dengan kerajaan Selangor, mengurus dan mengendalikan 29 LRA dengan kapasiti penghasilan air bersih sebanyak 1,930 juta liter sehari.
- Penganalisa ekonomi melihat jika perjanjian air yang dimeterai pada September 2014 ditunaikan, kerajaan Selangor terpaksa berbelanja RM9.65 bilion ringgit untuk membayar imbuhan kepada PNSB, Splash dan Konsortium Abbas.
- Lalu bagaimanakah cara untuk tidak membayar satu sen pun kepada mereka? Beberapa penganalisa ekonomi berpendapat MB Selangor, Mohamed Azmin Ali dikatakan sengaja menangguh perlaksanaan perjanjian itu dengan memberi tujuh alasan teknikal yang telah disepakati oleh pemimpin tertinggi PR.
- Ini penting kerana jika perjanjian itu tertangguh sehingga 2020, hampir semua loji rawatan air di seluruh Selangor dapat diambil balik secara PERCUMA kerana loji-loji itu sudah tamat tempoh konsesi. Mudahkan?
- Dalam situasi lain, jika rundingan itu terus ditangguh seberapa lama yang boleh, nilai belian pasti menurun dari semasa ke semasa.
- Sebaik saja Azmin menjadi MB, dia telah menggunakan kuasanya untuk membatalkan perjanjian itu. Tak sampai 24 jam kemudian dia memperbetulkan kenyataan dengan memberitahu bahawa kerajaan negeri akan meneruskan rundingan.
- Namun keadaan semakin terbelit, dan menyedari kekusutan itu Sultan Selangor bertitah agar isu penstrukturan air MESTI segera dimuktamadkan.
- Namun Azmin tetap berdegil dan rundingan baru selalu ditangguh dengan pelbagai alasan termasuk beliau sibuk berbahas di sidang DUN.
- Pada masa yang sama jentera dan tentera berbayar PR berhujah dengan melontar pelbagai alasan di dalam media sosial bagi menutup keseriusan krisis air di Selangor akibat kecuaian pemimpin mereka melewatkan usaha penambahbaikan kemudahan perbekalan air.
- Maka orang ramai semakin percaya bahawa kerajaan PR mahu menghalau semua syarikat konsesi air di Selangor tanpa mahu membayar satu sen pun kepada mereka? Kesannya, krisis air meruncing dan rakyat tersiksa dengan peperangan korporat di Selangor.
- Krisis air Selangor bukan isu baru. Ramalan mengenai krisis air sudah dibuat sejak 2006 lagi dan ketika itu BN telah mengadakan pelan penyelesaian menyeluruh mengelakkan krisis ini.
- Apabila PR mentadbir kerajaan negeri pada 2008 mereka mengetahui bahawa industri air di Lembah Klang dalam proses penstrukturan semula.
- Dua agenda penting dalam penyelesaian ini ialah bekalan air mentah dari Pahang dan penstrukturan semula industri air di Lembah Klang di bawah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).
- Ketika itu Tan Sri Khalid Ibrahim tidak mahu melaksanakan segera kerana beliau mahu menggunakan isu ini untuk meraih keuntungan politik.
- Lalu kerajaan PR Selangor memutuskan tidak memberi kebenaran merancang dan membina Loji Langat 2. Loji itu penting dalam memastikan kemapanan industri air di Selangor. Air mentah yang disalurkan dari Pahang akan diproses di loji ini. Tanpa loji ini, bekalan air mentah dari Pahang tidak berguna. Malangnya, Khalid tidak peduli semua itu.
- Beliau telah melengahkan projek ini bagi meningkatkan kos pengurusan air dan memburukkan BN. Khalid secara terbuka beberapa kali menolak kajian yang menyatakan bahawa Lembah Klang akan berhadapan krisis air pada 2014. Beliau mengatakan Loji ini bukan keperluan segera. Paling awal krisis air akan berlaku ialah pada 2019.
- Jadi apa yang Pakatan dakwa sebagai bencana alam kemarau yang menyebabkan krisis air ini hanyalah satu tindakan menyalahkan takdir bagi menyembunyikan kesalahan mereka.
- Agenda kedua ialah penstrukturan semula industri Air Selangor melalui penggabungan syarikat-syarikat yang terbabit dalam industri ini. Khalid melenga-lengahkan kerana mahu menggunakan perjanjian air yang lama antara Syabas dan kerajaan negeri dan persekutuan bagi mendapat keuntungan politik.
- Khalid tahu bahawa melengahkan isu penggabungan ini akan membolehkan Syabas melaksanakan perjanjian kenaikan tarif air. Ini akan membolehkan beliau menyalahkan Syabas dan BN sebagai penindas rakyat yang mahu menaikkan tarif air, manakala beliau akan menjadi hero sebagai orang yang menghalang kenaikan tarif.
- Lantaran tindakan tidak cermat Khalid itu akhirnya krisis air menjadi kenyataan. Selangor terpaksa mencatu air, manakala kerajaan Persekutuan terpaksa membantu rakyat Selangor dengan membelanja berjuta ringgit membuat pembenihan awan.
- Menyedari kemarahan rakyat akan memuncak, Khalid bersetuju dengan pembinaan loji langat 2 dengan syarat kerajaan Persekutuan menyuntik RM2 bilion dalam menampung kos penstrukturan semula “pemain industri air Selangor”.
- Kerajaan Persekutuan sedar masalah krisis air ini perlu diselesaikan kerana ia boleh menjejas ekonomi negara. Banyak industri akan terhenti jika krisis bekalan air berterusan dari semasa ke semasa tanpa penyelesaian yang tuntas.
- Malangnya kerajaan PR Selangor enggan membantu menyelesaikan krisis itu sebaliknya sibuk memberitahu rakyat bahawa kerajaan Persekutuan yang kononya hampir bengkrap, mahu merampas tanah kerajaan negeri.
- Sambil itu Azmin `melalut’ dengan mendakwa disebabkan hutang 1MDB yang kononnya mencecah RM45 bilion, Putrajaya kini tidak ada wang untuk menyelesaikan perjanjian dan mahu aset tanah Selangor dijadikan sumber kewangan mereka.
- Nasib baik, BN Permatang sempat menjelaskan kepada rakyat bahawa Azmin menganggap Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Nanas dan LRA Semenyih adalah milik Selangor walhal kedua-duanya terletak di atas tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
- LRA Bukit Nanas dan LRA Semenyih itu hak Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP). Mengikut undang-undang siapa punya tanah maka aset yang ada padanya adalah miliknya. Sebab itu diminta dua aset ini dikeluarkan daripada senarai aset yang dikatakan hak kerajaan Selangor.
- Apapun alasan Azmin, pemerhati ekonomi melihat penangguhan perjanjian air Selangor 2014 itu dikatakan ada kaitan dengan elemen `sabotaj’ yang sengaja dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat.
Saturday, 4 April 2015
Rundingan air Selangor dijangka gagal hingga 2020
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment