- Khabarnya harga gas memasak telah dinaikkan gara-gara GST walaupun ia disahkan bebas cukai. Banyak lagi barangan keperluan harian `on standby’ untuk dinaikkan oleh peniaga nakal menerusi pakatan licik dan terancang.
- KPDNKK pasti dapat mengesan kegiatan itu kerana banyak aduan sudah dibuat terutama di selatan Semenanjung. Laman Twitter dan FB juga sudah dimaklumkan, hanya menunggu pihak berkuasa memburu peniaga terbabit.
- Entah bila golongan peniaga nakal ini akan dikenakan tindakan tak tahulah kerana 25,000 aduan diterima KPDNKK pada hari pertama pun belum banyak yang sempat ditinjau. Mungkin aduan awam pada hari kedua, ketiga dan seterusnya belum sempat dibuka untuk semakan.
- Jelasnya kebanyakan peniaga dilihat tidak peduli dengan GST. Bertindak seperti pasaran saham dan komoditi, mereka akan menaikkan harga berdasarkan pengumuman kerajaan, perubahan situasi ekonomi, mata wang dan spekulasi.
- Berbeza dengan bursa yang sentiasa mengalami turun naik harga, masyarakat peniaga mengamalkan dasar TIDAK BOLEH TURUN harga. Contohnya, pada tarikh kenaikan harga petrol, peniaga sudah siap menampal stiker harga baru barangan masing-masing.
- Namun apabila harga petrol turun mengikut pasaran global, selepas didesak kerajaan dan persatuan pengguna lebih dua bulan, tak sampai LIMA PERATUS daripada hampir SATU JUTA peniaga bertindak menurunkan harga barangan dan perkhidmatan masing-masing.
- Kini GST muncul dengan penuh bergaya pada 1 April 2015. Pada hari pertama saja lebih 25,000 aduan telah dibuat dan kelambatan menyelesaikannya telah mengakibatkan Timbalan Perdana Menteri menegur KPDNKK supaya mempercepatkannya.
- Maka KPDNKK dan Jabatan Kastam Diraja mula mencari helah untuk melepaskan diri daripada dibelasah orang ramai sambil memberi jaminan awam bahawa kekusutan GST akan diatasi dalam tempoh enam bulan.
- Aduhai, luluh hati rakyat apabila mendengar alasan menyiksakan itu tapi rakyat tetap rasional dan tabah meranduk kehidupan yang serba sulit dan maha kelam kabut.
- Peniaga ketawa besar dengan suasana kelam kabut sebegini. Lagi banyak mereka menekan harga. Ada yang mendakwa harga barangan tinggi sedikit kerana GST sudah diserapkan di dalamnya.
- Ada peniaga yang tidak daftar dengan Jabatan Kastam tetapi mahu kenakan GST juga. Ada juga peniaga yang mencatat GST dengan tulisan tangan pada resit yang dibeli di supermarket kerana kedainya tak ada komputer.
- Kalangan syarikat Telco pula mula `temberang’ dengan berkata harga akan kekal tinggi tetapi mereka akan memberi tambahan masa berbual, sms dan sebagainya yang sekadar dengan GST.
- Terbaru, harga gas masak pun dinaikkan di beberapa kawasan di seluruh Malaysia. Peniaga tidak peduli amaran KPDNKK dan aduan pengguna. Mereka kata kedai mereka kena bayar GST dan untuk itu harga gas masak mesti naik juga.
- Tinjauan persatuan pengguna mendapati, gas memasak dinaikkan kepada RM29 hingga RM31 berbanding harga sebelum ini iaitu RM26.60 satu tong.
- Peniaga kedai runcit lagi caca marba. Semua harga di dalam kedai mereka dinaikkan tanpa diketahui pengguna kerana urusan jual beli tidak mengunakan resit. Pengguna juga tidak larat bertanya harga bawang, sayur, tempe, ikan, pecal dan lain-lain setiap kali mereka membeli di kedai berkenaan atau setiap kali pekedai membuat timbangan.
- Akhirnya pengguna melenting dan menyalahkan kerajaan kerana melaksanakan dasar baru yang menyusahkan mereka, hingga ada yang sanggup memangkah parti DAP pada PRU14 semata-mata kerana GST.
Saturday, 4 April 2015
Harga gas masak naik, banyak lagi `on standby’
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment