Thursday, 20 February 2014

Antara sedekah dan kemewahan Azhar Wahab

  1. Pusat Tahfiz Amal di Km 17, Jalan Kuala Kedah-Yan telah diarah tutup oleh Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) pada 10 Februari lalu. Sekolah itu juga dipantau bagi memastikan ia mematuhi arahan notis mengikut Seksyen 12(1) Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Negeri Kedah Tahun 1988.
  2. Notis itu dikeluarkan sebagai susulan kepada notis 1 Januari 2007, selepas JAIK mendapati pusat tahfiz itu masih menjalankan operasi sebagai sekolah Islam tanpa didaftarkan.
  3. Sebelum ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan pusat tahfiz itu bernaung di bawah ajaran Azhar Wahab atau ajaran Al-Mansur yang difatwakan sesat. Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 memutuskan ajaran Azhar Wahab bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng daripada Islam.
  4. Isu mengenai pusat itu yang memperalatkan pelajar mengutip derma menjadi tumpuan apabila beberapa laman sosial mendedahkan beberapa keping gambar individu yang didakwa sebagai pengetuanya sedang berhibur dan hidup mewah hasil kutipan derma yang dilakukan para pelajar.
  5. Azhar Wahab, Pengasas Pengetua Pusat Tahfiz Amal sesat itu dikatakan mengarahkan anak yatim di situ mengutip derma di setesen minyak, restoran dan tempat-tempat awam. Blogger laman sosial mengecam beliau dengan dakwaan memperhambakan anak yatim bagi memuaskan misi mengaut kemewahan dengan cara mudah.
  6. Ada juga yang mempersoal, setiap hari anak-anak yatim dikatakan keluar meminta derma sehari suntuk, jadi bila masa mereka ke sekolah dan belajar? Bila masa mereka mengaji dan menghafaz al Quran? Pernah juga seorang hamba Allah menyoal mereka dengan memberi ayat lazim yang mudah, itu pun pun mereka tak hafal.
  7. Blogger juga mendakwa, ketika anak-anak yatim bersusah payah meminta derma, Azhar dikatakan berhibur di pantai sambil bermain jetski dan juga bernyanyi di pentas umum dengan berpakaian kot mewah bergemerlapan.
  8. Memang tak salah beliau berjetski di pantai kerana itu mungkin untuk menghiburkan keluarga. Tetapi bagaimana jika beliau berhibur dengan menggunakan wang hasil kutipan derma yang dilakukan oleh anak-anak yatim?
  9. Setakat ini blogger-blogger hanya melemparkan tuduhan tanpa bukti. Tuduhan berasaskan lima keping gambar. Jika kita tidak pasti sumber kewangan yang digunakan untuk beliau berhibur, maka ia disifatkan sebagai fitnah.
  10. Namun secara lojik, sebagai pengetua dan pengasas pusat tahfiz, apakah penampilan berpakaian kot dan bernyanyi di pentas bagaikan John Travolta mencerminkan perwatakan murni seorang peneraju pusat tahfiz?
  11. Kesan pendedahan itu menyebabkan orang ramai mula sangsi untuk menderma kepada pengemis dan anak yatim di tepi jalan, kedai makan, stesen minyak dan sebagainya. Ini semuanya gara-gara gambar yang disebarkan oleh blogger mengenai Azhar.
  12. Kasihan kepada pengembara yang meminta derma bagi pembinaan masjid dan surau. Ada yang datang dari Yala, Narathiwat, Patani dan juga dari Myanmar. Mereka juga sering disangsikan sepertimana kumpulan Azhar Wahab. Persoalannya, perlukah kita rosakkan susu sebelanga hanya kerana kelakuan nila yang setitik itu?
  13. Ada juga orang ramai yang mencadangkan sedekah makanan saja. Persoalannya apakah wajar kita bersedekah makanan kepada pengembara yang meminta derma untuk membina masjid dan surau?
  14. Lebih parah lagi, belum pun bersedekah kita sudah mula menganggap peminta sedekah itu palsu dan sebagainya. Lalu apakah yang perlu kita buat ketika bertemu dengan peminta sedekah, sedangkan dalam hati masih perasaan tidak tenteram?
  15. Orang paling hebat dan paling kuat adalah orang yang bersedekah dengan hati yang bersih, tulus dan ikhlas. Sesungguhnya sedekah adalah penolak bala, penyubur pahala dan melipatgandakan rezeki. Sebutir benih menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai itu terjurai seratus biji. Ertinya, Allah yang Maha Kaya akan membalas setiap sedekah itu hingga tujuh ratus kali ganda.
  16. Daripada Abu Dzar, Nabi SAW bersabda: “Setiap orang mempunyai sumber sedekah. Tiap-tiap tasbih, tahmid, tahlil dan takbir adalah sedekah. Amar makruf adalah sedekah, nahi mungkar adalah sedekah. Dan semuanya itu sama nilainya dengan dua rakaat solat Dhuha.” (Riwayat Muslim)
  17. Di samping itu, amalan bersedekah juga mampu menghindarkan kita dari kematian dalam keadaan tidak beriman. “Sesungguhnya sedekah itu akan memadamkan amarah Allah dan menghindarkan diri dari kematian yang buruk.”
  18. Sedekah mampu menghindarkan bala. Memulakan hari kita dengan bersedekah akan menghindarkan kejadian buruk dan tidak diingini. Jika kita tidak mempunyai harta, doa untuk kebahagiaan peminta sedekah juga dikira.
  19. Sedekah adalah pembuka amalan yang suci sepanjang hari. Hati orang yang bersedekah akan tenang dan aman. Selain itu jiwanya akan damai, bersih dan terhindar dari perasaan yang negatif. Semua hartanya juga akan diberkati Allah SWT.
  20. Sekiranya datang seorang peminta sedekah kepada kita, jangan dimarahi dan ditengking golongan itu. Jangan berkelakuan jahat dengannya kerana dosa menengking dan menyakiti hatinya adalah lebih besar daripada pahala jika bersedekah dengan separuh harta yang dimiliki.
  21. Jangan pula kita menolak orang yang mula-mula mendatangi kita, kerana kadang-kadang mereka itu bukan manusia. Mereka mungkin jin yang diamanahkan Allah untuk datang dan menguji kita dengan harta yang kita miliki. Jika kita menengking, kelak kita akan ditengking oleh Malaikat semasa hari Qiamat.
  22. Percayakah anda bahawa sedekah akan memanjangkan umur kita? Kerana Allah telah melanjutkan usia kerana amalan sedekah yang sering kita lakukan itu. Allah sendiri telah mengatakan kepada Rasulullah bahawa sedekah memang akan memanjangkan umur dan juga mampu menunda kematian seseorang. Untuk itu marilah kita bersedekah dengan ikhlas.
  23.  

No comments:

Post a Comment