1. Ketua Pengarah Jakim, Datuk
Othman Mustapha menjelaskan pendirian jabatan mengenai Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian.
2. Jakim memandang
serius dalam isu yang dibangkitkan dalam Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu
Penilaian pada 15 dan 16 Februari 2014 anjuran Ahli Jawatankuasa Sahabat Pena
Pak Kassim di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Kenyataan-kenyataan daripada para pembentang kertas
kerja seminar khususnya berkaitan isu-isu agama adalah seperti yang berikut:
* Mempertikaikan dua kalimah syahadah dengan menganggap syahadah yang kedua
sebagai mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW.
* Mempertikaikan rambut sebagai aurat wanita dan memperlekeh wanita yang
berhijab.
Mempertikaikan kredibiliti ulama dan menyamakan ulama sebagai kasta paderi.
* Mempertikaikan hadith sebagai sumber hukum dan menuduh Imam Shafi’e yang
memulakan doktrin baru dengan menyatakan hadith sebagai satu sumber hukum sama
seperti al-Quran.
* Mentafsirkan
semula al-Quran berdasarkan logik semata-mata dan menolak tafsiran ulama
terdahulu
* Mengiktiraf
Kod 19 oleh Rashad Khalifa sebagai pentafsir al-Quran bagi menggantikan hadith
* Cadangan
membuat surat untuk memohon pihak KDN menarik semula pengharaman buku-buku
tulisan Kassim Ahmad.
3. Jakim juga
ingin menjelaskan bahawa pemikiran dan pandangan yang dikemukakan adalah
bercanggah dengan prinsip dan juga sumber hukum dalam ajaran Islam berdasarkan
Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi asas pegangan masyarakat Islam di Malaysia.
4. Ini adalah
berdasarkan kepada sebab-sebab yang berikut:
i) Mengucap Dua
kalimah Syahadah merupakan rukun Islam yang pertama bagi setiap Muslim yang
mengaku dirinya sebagai orang Islam. Mempertikaikan syahadah boleh menyebabkan
seseorang itu terkeluar daripada agama Islam. Justeru, orang yang berbuat
demikian wajiblah segera bertaubat.
ii) Ulama telah
bersepakat bahawa aurat wanita adalah keseluruhan badannya kecuali muka dan
kedua tapak tangannya. Mempertikaikan hukum yang telah disepakati boleh membawa
kepada kesesatan.
iii) Ulama adalah pewaris Nabi yang berperanan
menyampaikan ajaran Islam dari satu generasi ke satu generasi. Mempertikaikan
kredibiliti Ulama muktabar dalam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah suatu
yang bercanggah dengan disiplin ilmu yang diwarisi daripada Sahabat dan Salafus
Salih.
iv) Hadith adalah sumber kedua perundangan Islam dan
sebagai pentafsir kepada al-Qur’an berdasarkan ijma’ ulama.
v) Penafsiran semula al-Qur’an berdasarkan logik akal
tidak boleh diterima kerana pentafsiran al-Quran memerlukan disiplin ilmu agama
yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam.
vi) Teori “Kod 19” oleh Rashad Khalifa yang dipegang
oleh Kassim Ahmad mengandungi pelbagai penyelewengan akidah dan tidak wajar
digunakan untuk mentafsirkan al-Quran
vii) Tindakan untuk menarik semula pengharaman
buku-buku tulisan Kassim Ahmad ini adalah tidak wajar kerana ia telah jelas
menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar seperti yang telah difatwakan
oleh negeri-negeri.
5. Saya telah meminta pihak Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan (JAWI) untuk mengambil tindakan dengan pendekatan yang bersesuaian
dalam perkara ini.
6. Di samping itu, saya juga memohon kerjasama dari pihak
Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dapat memantau dan memberi perhatian terhadap
isu ini secara berkesan dan wajar dan mengambil tindakan berdasarkan
undang-undang sedia ada sekiranya bersesuaian.
7. Suka saya maklumkan bahawa pihak berkuasa agama negeri
telah mengambil tindakan penguatkuasaan dan pewartaan fatwa terhadap bahan-bahan
penerbitan yang mengandungi dan menyebarkan fahaman anti hadith yang jelas
menyeleweng dari ajaran Islam.
8. Apa-apa jua bentuk penerbitan dan atau publisiti yang
bertujuan untuk mengembangkan pemikiran atau fahaman anti hadith adalah
dilarang dan perlu disekat kerana ia menyalahi fatwa dan undang-undang lain
yang berkaitan.
9. Pihak Jakim dan Jawi juga berhasrat untuk menjemput Dr
Kassim Ahmad dan pihak penganjur sebagai satu usaha pihak kami memberikan
penjelasan terbaik terhadap dakwaan-dakwaan beliau yang dianggap boleh
menjejaskan aqidah umat Islam.
10. Jutseru itu, memandangkan pemikiran Dr Kassim Ahmad
ini boleh dikatakan sebagai pemikiran yang salah dan bertentangan dengan Ahli
Sunnah Wal Jamaah, maka adalah wajar umat Islam di Malaysia menjauhi aliran
pemikiran dan doktrin-doktrin palsu yang seumpama ini.
11. Ini adalah kerana perkara ini boleh memberi implikasi
besar kepada akidah umat Islam dan menggugat ketenteraman serta menimbulkan
keresahan awam.
12. Islam menyeru kepada umatnya agar bersatu padu dan
mencegah daripada berpecah belah kerana perpecahan dalam kalangan masyarakat
Islam boleh merugikan masyarakat Islam itu sendiri. Ini juga adalah demi untuk membangunkan modal insan
yang bertamadun tinggi. - JAKIM
No comments:
Post a Comment