- POLITIK dan kerajaan tidak boleh dipisahkan. Sekian lama gelombang politik di Malaysia diwarnai hitam putih perbalahan politik Melayu. Realitinya wujud perbezaan persepsi dan perspektif Melayu dalam banyak perkara. Salah satu isu yang besar adalah tanggapan tentang Islam dan nasionalisme.
- Di tanah air kita, makna kebangsaan yang merujuk kepada kewatanan dan kenegaraan itu dilihat bagaikan terpisah daripada Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama negara. Falsafah nasionalisme dilihat dalam erti kebangsaan yang sempit bukannya kenegaraan atau kewatanan dan peranan Islam dalam pengukuhannya.
- Politik Melayu di Malaysia adalah antara UMNO dengan Pas. Sekarang muncul Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau parti-parti lain yang tidak semestinya seratus peratus Melayu. Ada campuran. Kalau ditanyakan benarkah Parti Islam Se-Malaysia (Pas) memperjuangkan Islam? Ya, betul. Betulkah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) membangun dan menegakkan Islam? Ya, betul. Jadi kenapakah kedua-dua parti umat Islam pimpinan Melayu yang seiman dan sedarah ini tidak boleh duduk semeja berunding mengenai persoalan hal ehwal kemajuan Islam?
- Orang Melayu perlu menilai, gunakan rasionalisme dan fikiran terbuka. Manakah parti yang berjaya menegak dan mempertahankan Islam di Malaysia? Parti yang mana mengotakan kata? Yang mana pula lebih banyak omongan kosong? Kadang-kadang orang lebih terpukau dengan lidah pemimpin yang pidatonya berapi-api.
- Benar, Melayu mudah lupa dan tidak mahu mengingati sejarah bangsa mereka sendiri. Benar, rasionalisme dan intelektualisme Melayu itu kian hilang. Apabila bersekongkol dengan parti politik kaum lain, Melayu tidak belajar akan sikap dan tabiat politik orang lain itu. Hatta lebih mempercayai orang lain yang terang-terangan menolak gagasan negara Islam, tidak menerima hudud dan hukum-hakam Islam yang diperjuangkan. Parti ini tetap menagih simpati dan menaruh keyakinan. Cita-cita bersama pakatan pembangkang asalkan dapat menumbangkan kerajaan.
- Bukti-bukti daripada senario mutakhir menunjukkan realiti politik Melayu sudah dinodai kebencian sesama sendiri. Pada PRU-12 (2008) dan PRU-13 (2013), undi Melayu kepada pembangkang kian membesar. Melayu merelakan diri menyebelahi pembangkang yang didukung parti perkauman dan anti-Islam. Hal begitu terjadi disebabkan nafsu kerakusan kuasa kian merasuk. Cetusan sikap berpautkan keganasan seperti cara Arab Springs atau seperti terjadi di beberapa negara lain mula dijadikan anutan baharu.
- Melayu bukan tidak tahu, cara itu bukannya cara Melayu, jauh daripada prinsip demokrasi. Ada rancangan yang boleh menyebabkan huru-hara terjadi, keselamatan tidak terjamin. Siapakah yang mengancam keamanan dan keselamatan negara? Apa tidaknya, demonstrasi jalanan, kempen-kempen fitnah, hasutan, lontaran idea jahat, hentaman dan kenyataan bohong di laman sosial tidak pun pernah terhenti. Apa jua dasar dan program kerajaan diperlekehkan.
- Apakah mungkin kuman psikologi penolakan sedang membiak di jiwa Melayu. Kalau Melayu tidak mahu atau gagal bermuhasabah, kembali ke pangkal jalan, maka kuman itu boleh merebak menjadi barah kepada semangat pemberontakan. Sikap dan tabiat psikologi penolakan itu amat dirasakan semasa PRU-13. Di Kelantan beberapa hari sebelum hari pembuangan undi 5 Mei 2013, tersebar satu sakla atau pekeliling yang terang-terang menolak, menuduh, memfitnah. Sakla itu membuat segala macam tuduhan kepada kepimpinan, kerajaan dan ulama UMNO. Apakah itu gambaran realiti baharu politik bangsa Melayu.
- Sakla itu lebih menuding jari bahawa faktor-faktor yang menjadikan seseorang Muslim itu sesat, antaranya terlalu patuh kepada pemimpin yang menolak ajaran Rasulullah SAW; kemegahan, sombong, takbur, berlagak bijak dalam agama; merampas hak rakyat, menolak kebenaran memilih jalan kebatilan; mereka cipta, membuat fitnah tanpa rasa bersalah; dan beranggapan taat kepada agama tidak akan membawa kemajuan. Kesemua tohmahan itu ditujukan kepada UMNO. Sakla itu juga menyebut bahawa ulama UMNO dan pemimpin-pemimpin UMNO telah membawa orang Melayu dan umat Islam ke jalan kesesatan dunia dan akhirat.
- Apakah penulis sakla itu tidak pernah membuka mata melihat daya usaha kerajaan dalam membangun dan menegakkan syiar Islam? Kalau kalimah Allah pun boleh dibiarkan mereka, maka mereka tidak akan mampu lagi menghormati usaha-usaha pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), penyelarasan hukum, peranan Mahkamah Syariah, pembinaan masjid-masjid, pengurusan Baitulmal, program Islam di media elektronik, sistem perbankan Islam, ar-Rahn dan sebagainya yang dikagumi kejayaannya oleh negara-negara Islam yang lain.
- Kaedah kempen parti Melayu pembangkang melalui pelbagai strategi lain oleh mereka agak menggerunkan. Strategi kebencian sesama sendiri diatur rapi. Itulah realiti politik Melayu. Orang Melayu bukan tidak tahu akan adanya gerakan politik yang terus merasuk sifat-sifat perkauman, anti Islam dan anti kepemimpinan Melayu. Mereka bercakap lain, berbuat lain. Mereka menuntut hak kebebasan asasi di luar batas fitrah kejadian manusia. Ada janji berbeza apabila berdepan dengan satu-satu kaum yang berlainan. Apakah mereka yang menabur fitnah itu sedar bahawa mereka sedang menepuk air di dulang sendiri atau mengata dulang paku serpih.
- Realiti politik Melayu hari ini ialah mereka sudah berpecah tiga. Perpecahan Melayu itu menjadikan mereka bersifat minoriti dan sangat merugikan Malaysia. Tanda-tanda Melayu kehilangan kuasa sudah terjadi di bandar-bandar yang selama ini dibangunkan kerajaan, lengkap dengan infrastruktur, kemudahan kesihatan, pendidikan, kesejahteraan sosial dan gaya hidup moden.
- Aura kerajaan yang memuncak sebelum PRU-13 dengan sambutan luar biasa rakyat dan orang Melayu kepada pucuk pimpinan sendiri bagaikan gurauan yang tidak menentukan hala tuju pengukuhan kuasa Melayu. Apakah maknanya realiti tanpa perubahan baharu sedemikian itu?
- Melayu juga telah lupa akan pesan nenek moyang mereka sendiri, jangan jadi Pak Kaduk atau Lebai Malang. Rupa-rupanya strategi udang di sebalik batu ciptaan pembangkang berjaya menyalakan api semangat orang Melayu agar benci-membenci sesama bangsa sendiri, bangga mengusung slogan mari tumbangkan BN dan rampas Putrajaya. Apakah Melayu sendiri mahu biarkan Melayu dan bumiputera berpecah belah?
- Apakah Melayu mahu melihat Si Luncai terjun dengan labu-labunya! Ya, Melayu tidak akan hilang di dunia tetapi belum tentu Melayu tidak akan hilang kuasa. -- Datuk A Aziz Deraman.
Tuesday, 18 February 2014
Hakikat perjuangan politik Melayu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment