Tuesday, 18 February 2014

Perebutan kerusi MB Selangor - Episode 3

     
  1. Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah ada plot politik lengkap hingga akhir 2014 untuk memastikan rakyat akan terus mengingati beliau dan sentiasa berdebar ketika mengikuti episode kemahirannya berpolitik.
  2. Jika ada komplikasi berkaitan kes ulang bicara di mahkamah yang kini dihadapinya, sudah tentu kes itu ditenggelamkan oleh Pilihan Raya Kecil Kajang.
  3. Jika berlaku pula keputusan tidak diingininya seperti kemerosotan majoriti dalam pilihanraya Kajang dan kebarangkalian tewas sama sekali, skrip politiknya pun sudah siap.
  4. Anwar akan mengalihkan pandangan rakyat dengan kegamatan pemilihan dalam PKR bermula akhir Mac.
  5. Sebaliknya jika beliau menang selesa di Kajang dan menghadapi penentangan hebat sekutunya seperti PAS untuk menjadi Menteri Besar, pemilihan PKR sekali lagi boleh menjadi “tudung saji” menyorokkan masalah yang dihadapinya.
  6. Jika halangan itu dapat diatasi tetapi beliau dibatasi oleh perkenan pihak istana untuk menjadi ketua eksekutif Selangor Darul Ehsan, peluang akan terbuka baginya bagi menjadikan negeri itu pentas untuk mencetuskan krisis perlembagaan pula.
  7. Krisis sebegini memang kemahiran Anwar. Beliau yakin pidatonya dapat menggerakkan rakyat bangkit untuk memenuhi matlamat politiknya.
  8. Jika demikian pilihan yang tinggal, sudah tentu ia akan mengalihkan fokus seluruh negara kepada kepakaran dan kecekapannya mengendalikan krisis. Sekaligus ia akan mengkerdilkan saingannya, terutama Umno dan musuh ketatnya, Tun Dr Mahathir Mohamed.
  9. Kesimpulannya, kalendar politik Anwar untuk sepanjang tahun ini sudah penuh. Beliau akan terus jadi pemain politik utama dan akan mampu mempengaruhi aliran politik negara.
  10. Isu peribadi pasti akan dikesampingkan rakyat yang pasti teruja dengan arus politik yang dikocaknya.
  11. Anwar mahu segerakan PRU14? Lantas hadiah paling besar daripada “Gerak Kajang” yang dicetuskan partinya ialah menghamparkan keadaan politik kurang nyaman bagi rakyat hingga memaksa mereka bangkit mendesak pilihan raya umum ke-14 dilaksanakan segera.
  12. Meskipun mandat Barisan Nasional hanya luput pada 2018 tetapi mengambil kira faktor usia dan serangan-serangan baru yang bakal diatur oleh pihak saingan terhadapnya, Anwar percaya kesemua itu akan dapat dihindarinya jika rasa teruja rakyat terus dipanaskan oleh PRU baru.
  13. Gerak Kajang adalah kempen terancang Anwar untuk memaksa PRU ke-14 diadakan secepat mungkin. Ini bagi memenuhi beberapa keperluan politik peribadi Anwar.
  14. Jika PRU diadakan dalam jangka masa terdekat, Anwar boleh memanfaatkan momentum politik sedia ada untuk berkempen memburukkan pemerintah dan akhirnya menumbangkan kerajaan.
  15. Pengalaman PRU 13 menunjukkan jika diberi masa yang cukup Najib dan BN akan berkesempatan untuk mencergaskan dan menggilap semula imej dan integriti kerajaan pimpinannya.
  16. Maka jika diizinkan Najib masa yang panjang hingga 2018, sudah tentu Pakatan Rakyat yang dipimpinnya pula yang akan lelah.
  17. Justeru Anwar perlu melengkapkan kalendar politik untuk memenuhi agenda menekan kerajaan BN supaya memulangkan kembali mandat kepada rakyat. Jika ini berlaku Anwar mencongak bahawa peluang untuk menawan Putrajaya akan lebih besar.
  18. Justeru dengan plot politik yang berlapis-lapis ini Anwar bersedia membuka seberapa banyak kancah dan gelora politik baik dalam Pakatan Rakyat mahu partinya sendiri untuk memastikan kehadiran beliau dalam politik Malaysia sentiasa relevan.
  19. Pilihan raya kecil Kajang permainan politik Anwar. Plot Anwar ini memang amat menggiurkan rakyat yang diperkira mudah untuk diuja naluri politik mereka. Maknanya, kemelut yang berlaku dalam partinya, PKR, bukanlah didorong oleh dua tokoh sahaja iaitu Khalid Ibrahim dan Azmin Ali.
  20. Sebenarnya yang menghangatkan keadaan ialah Anwar sendiri. Masalah Khalid, di mata penyokong Azmin bukan baharu. Anwar sekadar melengah-lengahkan penyelesaian supaya dapat menudung gelagat politik peribadi beliau.
  21. Selagi ada persengketaan di kalangan pelbagai kepentingan dalam parti, selagi itu campurtangan dan sokongan Anwar diperlukan pelbagai sektor dalam parti. Bila keadaan ini wujud, penyokong parti tidak akan sedar bahawa parti itu sendiri sedang dipermainkan mengikut skrip Anwar.
  22. Begitu juga dengan Pakatan Rakyat. Anwar sedar bahawa PAS amat tidak berpuas hati dalam pembahagian dan pemilihan calon dalam PRU lalu. Ada golongan dalam PAS masih belum yakin sepenuhnya akan wibawa dan integriti Anwar sebagai pemimpin.
  23. Justeru “Gerak Kajang” yang dicetuskan Anwar seolah-olah akan memberi kata dua kepada PAS supaya memikirkan mahu menyokong untuk menobatkan dirinya sebagai Menteri Besar Selangor atau tidak.
  24. Ini kerana Anwar sudah dapat merasakan kegelisahan beberapa peringkat pimpinan PAS yang sudah agak bosan dengan sikap pimpinan parti Islam itu yang tidak konsisten dalam perjuangan.
  25. Pada ketika tertentu ia mahu berpegang kepada hukum syarie yang ketat tetapi ada kalanya mahu menunjukkan sikap pragmatik dalam berpolitik.
  26. PAS cuba halang rancangan. Anwar Ibrahim sudah dapat membuktikan bahawa dalam tempoh yang singkat pembebasannya dari penjara beliau berhasil menggerakkan PAS, DAP dan PKR menjadi entiti politik yang boleh “menggugat BN”. Bagaimanapun sikap teragak-agak PAS nampaknya menjadi penghalang kejayaan lebih besar.
  27. Jika PAS tidak terus turut “jalan politik yang ditunjuki Anwar” ada pemimpin PAS yang khuatir akan berlaku perpecahan dalam parti itu. Selagi tiada keselarasan pemikiran politik di kalangan PAS, Anwar tahu masih ada kalangan pemimpin PAS yang mahu merujuk kepada pimpinannya.
  28. DAP pula adalah parti pragmatik. Sejak 2008 Anwar telah banyak membantunya mengetuk dan membuka pintu kesedaran pengundi bukan Melayu betapa pentingnya undi mereka dipersatukan agar citra politik Melayu-Islam yang mendominasi BN dapat ditumbangkan.
  29. Awal-awal lagi DAP sudah menyatakan sokongan kepada pelan dan kalendar politik Anwar Ibrahim. Justeru pemimpin BN, khususnya Umno, tidak seharusnya gopoh dan masuk jerangkap Anwar supaya memilih pilihan raya umum sebagai jalan keluar memastikan Putrajaya terus ditadbir BN. Itu yang Anwar mahu. – Abdul Rahman Malik.
  30.  

No comments:

Post a Comment