- Penduduk bumi hari ini dikira bernasib baik kerana masih belum mengalami sebarang bencana besar nuklear sejak ledakan bom atom meranapkan bandar Hiroshima dan Nagasaki di Jepun pada tahun 1945. Lebih 200,000 nyawa terkorban dalam bencana yang amat dahsyat itu.
- Namun, hakikatnya ancaman bencana nuklear terhadap manusia dilihat semakin besar hari ini berbanding apa yang berlaku semasa Perang Dunia Kedua memandangkan kemajuan pesat teknologi nuklear serta jumlah senjata itu yang ada begitu tinggi.
- Ketika ini terdapat kira-kira 16,300 senjata nuklear di seluruh dunia yang mana daripada jumlah itu, 7,300 milik Amerika Syarikat (AS), Rusia (8,000), China (240), Perancis (300), United Kingdom (225), Israel (80), India (80-100), Pakistan (90-110) dan Korea Utara (1).
- Kira-kira 4,400 daripada senjata itu diletakkan dalam keadaan berwaspada dan bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa sahaja.
- "Mungkin memerlukan hanya empat hingga lapan minit untuk mana-mana jeneral atau presiden memutuskan sama ada mahu melancarkan senjata itu atau tidak", kata Profesor Gareth Evans dalam forum anjuran Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) di Wisma Putra baru-baru ini.
- Bagaimanapun, Evans yang juga mantan Menteri Luar Australia menyatakan perang nuklear mungkin berlaku bukan kerana tindakan kejam seorang 'penyangak' tetapi lebih kepada kesilapan sistem atau manusia akibat salah jangkaan atau salah anggapan.
- "Jadi jika setakat ini masih belum ada bom nuklear yang meletup dan meragut nyawa kita, ia bukan kerana pengurusan atau pentadbiran yang tegas tetapi lebih kepada nasib semata-mata", kata Evans.
- Beliau turut menyatakan bahawa dunia sejagat termasuk Malaysia boleh terjejas teruk walaupun perang nuklear yang meletus itu hanya melibatkan kawasan kecil dunia.
- Buku "Nuclear Weapons: The State of Play" menyatakan bahawa risiko perang nuklear semakin meningkat di sebalik jumlah senjata nuklear yang lebih kecil berbanding sewaktu Perang Dingin.
- Ini memandangkan lebih banyak negara di rantau yang semakin tidak stabil di samping jumlah kumpulan pengganas yang kian meningkat berterusan mencari untuk memiliki senjata nuklear.
- Sementara itu, Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Hussein Haniff berkata pada majlis yang sama, amat menyedihkan bahawa usaha pelucutan senjata yang menjadi keutamaan tertinggi masyarakat antarabangsa masih jauh daripada sasarannya.
- "Kurang kesungguhan politik akan terus menjejaskan usaha mencapai permuafakatan di samping menjadikan usaha pelbagai jentera ke arah pelucutan kurang berhasil", katanya ketika Perhimpunan Agung PBB di New York bulan Oktober lepas.
- Sementara itu, Evans menjelaskan bahawa semua negara yang mempunyai senjata nuklear termasuk China, Perancis, United Kingdom, Rusia dan AS yang kelima-limanya ahli Perjanjian Pengawalan Senjata sepatutnya komited kepada pelucutan senjata itu tetapi setakat ini tidak melakukan apa-apa ke arah matlamat itu.
- Katanya, tidak ada satu negara yang mempunyai senjata nuklear memberi komitmen kepada sebarang jadual untuk mengurangkan stok simpanan itu, apa lagi untuk menghapuskannya.
- Tambah beliau, stok simpanan nuklear kian meningkat terutama di Korea Utara dan sebagai tambahan kepada itu, program nuklear Iran.
- "Apa yang berlaku sekarang sememangnya mudah untuk menjadikan kita pesimis dan melupakan sahaja usaha pelucutan senjata tetapi itu menunjukkan kita sudah berputus asa", kata Evans.
- Bagaimanapun, Evans tetap optimis dan menggesa generasi muda mengambil giliran untuk bertindak. Antara langkah penting yang boleh dilaksanakan dalam tempoh yang panjang ini ke arah dunia bebas senjata nukleaer adalah untuk berhujah secara berterusan untuk menghapuskan senjata nuclear.
- Contohnya, untuk menghapuskan kepercayaan senjata nuklear sebenarnya penstabil keamanan dalam kalangan kuasa besar. Ini perlu dilakukan secara berterusan menerusi ucapan dan penulisan bagi memastikan mesej itu dihayati pembuat dasar.
- Beliau juga menekankan fokus juga perlu diberi kepada mengurangkan proses senjata nuklear sebelum membuat jadual untuk pelucutan senjata itu sepenuhnya.
- "Secara jujur kita perlu akur kita tak akan berjaya mencapai pelucutan senjata 100 peratus dan pastinya juga kita tak akan dapat mencapainya, katakan menjelang 2030. Perlu ada dua peringkat penting, pertama, meminimumkan dan kemudian menghapuskan. Mungkin proses ini tidak akan selancar yang diharapkan.
- "Apabila kita bergerak daripada angka yang rendah kepada sifar, bukan sahaja ada sekatan psikologi dan geopolitik tetapi juga halangan teknikal yang serius di samping, pengesahan dan penguatkuasaan", katanya. - BERNAMA
Wednesday, 5 November 2014
Dunia miliki 16,300 senjata nuklear
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment