Tuesday, 11 March 2014

Dua wanita berentap di Kajang


  1. Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara dua wanita yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
  2. Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman mengumumkan bahawa Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai calon BN manakala Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mewakili parti itu.
  3. Pengumuman itu dibuat pada 10.10 pagi ini selepas proses penamaan calon tamat di pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi.
  4. Chew, 50, yang merupakan bekas timbalan menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat pada 2009 menyerahkan kertas penamaan pada jam 9.07 pagi, manakala Wan Azizah, 61, berbuat demikian pada 9.10 pagi.
  5. PRK Kajang diadakan susulan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh, daripada PKR pada 27 Jan. Pengunduran Lee, membuka jalan pada mulanya bagi Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding bagi pilihan raya kecil ini, dengan PKR mengumumkan keesokan harinya untuk meletakkan Anwar sebagai calon parti itu.
  6. Anwar bagaimanapun terpaksa membatalkan rancangannya berikutan keputusan Mahkamah Rayuan Jumaat lepas yang menjatuhkan hukuman lima tahun penjara terhadapnya kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan kira-kira enam tahun lepas.
  7. Pada Pilihan Raya Umum ke-13 5 Mei tahun lalu, Lee memperoleh majoriti 6,824 undi pada pertandingan enam penjuru di Kajang melibatkan calon BN, Berjasa dan tiga calon bebas.
  8. Terdapat 39,278 pemilih berdaftar yang layak mengundi pada pilihan raya kecil DUN Kajang, termasuk 1,197 pengundi awal dan 26 pengundi dalam kategori tidak hadir atau berada di luar negara.
  9. Jumlah keseluruhan pengundi itu terdiri daripada Melayu (48 peratus), Cina (40 peratus) dan India (10 peratus). Lima puluh peratus daripada jumlah pengundi adalah wanita. Sebanyak 18 pusat mengundi akan dibuka, iaitu tiga pusat mengundi bagi undi awal pada 19 Mac ini, manakala 15 lagi pusat mengundi pada hari pengundian biasa iaitu 23 Mac.
  10. PERBALAHAN PAKATAN JADI KELEBIHAN BN DI PRK KAJANG
  11. Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perbalahan besar dalam pakatan pembangkang yang cuba disembunyi daripada pengetahuan rakyat memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) bagi membuat kejutan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, 23 Mac ini.
  12. Timbalan perdana menteri berkata sehubungan itu kempen BN akan turut menonjolkan kemelut yang dihadapi pembangkang itu. “Pakatan pembangkang fikir mereka gabungan yang mantap sedangkan jelas berlaku perbalahan besar, sama ada dari segi dasar mahupun antara kepimpinan.
  13. "Jadi ini peluang besar untuk kita laksanakan gerakan lebih ofensif bagi menjelaskan perkara yang dibangkitkan lawan mengenai BN, selain isu yang membelenggu pakatan itu," katanya kepada pemberita selepas selesai penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Kajang di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang di Bandar Baru Bangi hari ini.
  14. Muhyiddin juga yakin kelebihan dari segi integriti dan pengalaman yang dimiliki calon BN itu sama ada di peringkat parti mahupun kerajaan mampu menarik perhatian pengundi bagi memilih Chew kelak.
  15. "Saya percaya pemilihan Chew adalah satu keputusan tepat kerana beliau seorang yang ada kredibiliti, integriti dan pengalaman yang cukup luas. Kerana itu saya yakin beliau perlu dan boleh diundi sebagai individu yang akan mewakili penduduk di Kajang," katanya.
  16. Ditanya sama ada bentuk kempen BN bakal diubah selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak jadi bertanding, Muhyiddin berkata sedikit perubahan perlu dilakukan bagi disesuaikan dengan lawan yang bakal dihadapi, namun itu bukanlah satu halangan yang besar.
  17. Mengenai persediaan BN bagi menghadapi kemungkinan PKR mengeksploitasi keputusan mahkamah yang dikenakan ke atas Anwar sebagai bahan kempen, timbalan perdana menteri berkata beliau yakin rakyat faham mengenai peranan dan ketelusan mahkamah.
  18. Malah masyarakat juga tahu kes itu telah lama berlarutan, dan tentunya tidak ada kaitan dengan pilihan raya kecil ini, katanya.
  19. Beliau juga menolak dakwaan persidangan Parlimen yang sedang berlangsung ketika ini boleh mengganggu kelancaran kempen kedua-dua parti bertanding.
  20. "Parlimen tetap akan berlangsung seperti biasa, malah kempen pilihan raya yang diadakan ketika Parlimen bersidang juga bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana perkara sama pernah berlaku sebelum ini," katanya. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment