- SELEPAS Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih menjadi calon PKR untuk Pilihan Raya Kecil DUN N25 Kajang, barulah difahami mengapa isu PKNS tercetus, mengapa Tan Sri Khalid Ibrahim diserang bertubi-tubi oleh partinya sendiri tanpa belas ihsan, kenapa kes cerai fasakh Nurul Izzah Anwar didedahkan, mengapa kerusi DUN Kajang dikosongkan tanpa sebab dan kenapa Umno/ BN didendangkan dengan Pelan Damai Nasional.
- Meninjau kembali kisah selepas PRU12 pada tahun 2008. Berlaku satu insiden yang sangat menakutkan Anwar. Pada 28 Jun, Saiful Bukhari Azlan, pembantu peribadi Anwar membuat lapuran polis dia diliwat oleh Anwar pada 26 Jun 2008.
- Ketakutan Anwar masa itu dikatakan luar biasa sehingga Anwar bersembunyi di rumah Duta Turki pada 29 Jun. Kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada masa itu ialah Anwar meminta perlindungan kerana ada 'cubaan mahu menembaknya’.
- Anwar sebelum itu menjalani hukuman 6 tahun penjara di Penjara Sg. Buloh setelah disabitkan pada 14 April 1999 dengan kesalahan menyalahgunakan kuasa sebagai TPM mengarahkan Cawangan Khas PDRM mendapatkan Akuan Bersumpah palsu daripada Umi Hafilda dan Azizan Abu Bakar (pemandunya) yang mendakwa diliwat oleh Anwar pada bulan Mac 1993 di Tivolli Villa.
- Anwar tahu kalau dia diheret ke mahkamah dan dikenakan pertuduhan dan disabitkan kesalahan meliwat Saiful, hukuman penjara melebihi 6 tahun menanti. Segala harapan dia nak menjadi PM akan hancur berkecai, malah pada umur senja, mungkin reput dalam penjara!
- Salah satu strategi yang dirangka pada masa itu ialah memastikan Anwar menjadi Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang dan dicanangkan kemungkinan menjadi PM melalui konspirasi 16 September 2008.
- Dengan 81 Ahli Parlimen dibelakang beliau, dengan jawatan sebagai Ketua Pembangkang, kemungkinan untuk Anwar disabitkan kesalahan meliwat Saiful agak tipis. Mana mungkin Anwar dihukum penjara. Satu dunia akan bising. Amerika akan bising. Turki akan bising. IPU akan bising.UNHRC akan bising. Amnesty International akan bising.
- Jadi perancangan untuk melaksanakan agenda itu dimulakan dengan mengenal pasti kerusi mana Anwar hendak bertanding. Kerusi Parlimen Kulim Bandar-Baharu kemudiannya telah ditawarkan. Namun petisyen pilihan raya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Alor Setar terhadap kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu menyebabkan kerusi itu tidak dapat dikosongkan mengikut perancangan.
- Lalu Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, isteri Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh terpaksa mengorbankan kerusinya demi 'kesejahteraan PKR'. Dan Anwar memenangi PRK P-044 Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008. Setelah mengangkat sumpah, beliau dilantik menjadi Ketua Pembangkang.
- Setelah melalui proses perbicaraan yang meleret-leret dengan jumlah penangguhan yang banyak, pada 10 Januari 2012, Mahkamah membebaskan Anwar daripada dakwaan meliwat Saiful! Sekarang Anwar berdepan dengan rayuan kes Saiful. Mahkamah Rayuan telah menetapkan tarikh perbicaraan dalam masa terdekat ini (iaitu 11, 12 & 13 Februari); dan sekali lagi Anwar berdepan dengan risiko hukuman penjara yang panjang jika Mahkamah menerima rayuan Pendakwaraya.
- Dan kali ini Pendakwaraya diwakili peguam veteran terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, seorang peguam no-nonsense yang diperakui kehebatan guamannya! Risiko dipenjarakan mungkin menjadi nyata, impian menjadi PM ke 7 mungkin hancur lebur, di kala umur 67 tahun Anwar tidak mungkin boleh menerima hukuman penjara yang panjang. Ianya mesti dipintas at all cost!
- Siapa yang berani mahu menghukum penjara seorang bakal menteri besar Selangor yang berpengaruh atas tuduhan meliwat? Siapa yang berani berdepan dengan masyarakat dunia liberal barat sebagai pemimpin negara yang menghukum MB Selangor dengan tuduhan meliwat?
- Siapa yang berani nak berdepan dengan kuasa besar Amerika Syarikat? Siapa mahu berdepan dengan Erdogan dan Turki? Siapa nak berdepan dengan Amnesty International, Human Rights Commission dan negara liberal Eropah yang lain - yang mengamalkan seks bebas terbuka termasuk membenarkan homoseksual!
- Matlamatnya - Anwar mesti jadi MB Selangor at all cost untuk memastikan Penjara Sg. Buloh bukan destinasi terakhir Anwar di muka bumi ini! Tapi Tan Sri Khalid masih ada di sana sebagai MB. Beliau mendapat sokongan penuh DAP; masyarakat peniaga dan korporat Cina dikatakan menyukai cara pentadbirannya yang dikatakan business-friendly, efficient & corrupt free Menteri Besar!
- Pas pula tidak senang dengan pendirian Anwar yang liberal, yang menyokong penggunaan kalimah ALLAH oleh kristian yang bercanggah dengan ketetapan Majlis Syura Pas. Dan Khalid bukan jenis yang akan tunduk kepada semua kehendak Anwar. Walaupun beliau diketepikan sebagai Ketua Perhubungan PKR Negeri Selangor, beliau masih lagi berpengaruh.
- Bila Anwar menghantar Saifudin Nasution sebagai Liason Director antara pejabat MB dengan PKR, Khalid memperlekehkan perlantikan tersebut dengan menyumbat Saifudin di Tingkat 5 - begitu Khalid memperlekeh duta Anwar ke pejabat MB. Khalid tahu kekuatannya terletak kepada perlindungan dan pengaruh Presiden, Datin Seri Wan Azizah.
- Selagi Wan Azizah menyokongnya, Anwar dan konco-konconya tidak akan berani melakukan sesuatu terhadap Khalid. Sebab itu Faekah Husin, panglima kanan Wan Azizah, wanita yang paling dibenci oleh kumpulan anti-Khalid di dalam PKR dilantik memegang beberapa portfolio berpengaruh dan berkuasa di dalam pejabat MB.
- Beliau bukan sahaja (bekas) Setiausaha Politik dan Pegawai Khas MB, beliau juga Pengerusi MBI, badan korporat paling berpengaruh dalam negeri Selangor dengan kekuatan dana yang besar! Beliau adik bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Zaki Hussin. Beliau jenis no-nonsense; dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba merampok khazanah Negeri Selangor. Dan Faekah ini jenis tidak gentar dengan sesiapa. Ini antara punca Faekah menjadi tidak popular, malah dibenci segelintir ahli PKR yang anti Khalid!
- Lalu bagaimana nak pastikan Wan Azizah dan Faekah, tidak lagi melindungi Khalid? Check-Mate terhadap Wan Azizah dan Nurul Izzah. Tiba-tiba terbongkar kisah cerai fasakh Nurul Izzah, anak sulung Wan Azizah dengan suaminya, Raja Ahmad Syahrir. Sebenarnya permohonan sudah difailkan lama, dan tiada sesiapa pun mengetahuinya kecuali peguam, mahkamah dan beberapa inner-circle dalam PKR.
- Tiba-tiba Ahad 26 Januari lepas, berita permohonan perceraian itu terbongkar. Ada sumber dalaman PKR telah mendedahkannya kepada para blogger dan media arus perdana. Malah ada yang menerima transkrip terperinci sebab-sebab permohonan perceraian itu dimohon oleh Nurul Izzah, termasuk gambar seorang jejaka yang agak 'jambu' turut disebarkan.
- Nurul Izzah adalah Naib Presiden PKR, Ahli Parlimen Lembah Pantai dan rising star di dalam PKR. Malah beliau pernah menyatakan hasrat menentang orang kanan Anwar untuk jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan lalu. Beliau penyokong kuat ibunya Wan Azizah dan Khalid Ibrahim.
- Sebarang sokongan terbuka daripada Nurul Izzah, disertai sokongan terbuka ibunya Wan Azizah terhadap kepimpinan Khalid sebagai MB akan menyukarkan sebarang cubaan untuk menjatuhkan Khalid. Jadi Wan Azizah dan Nurul Izzah harus dikekang! Pembongkaran kes cerai fasakh oleh Nurul Izzah dengan segala kisah sensasinya menjadi check-mate terhadap Wan Azizah dan Nurul Izzah.
- Bagaimana mungkin sekarang Wan Azizah dan Nurul Izzah mahu memberikan sokongan terbuka kepada Khalid - pasti mereka akan dicemuh supaya pergi urus hal rumahtangga sendiri.
- Lalu Khalid terkonteng-konteng keseorangan, tanpa sokongan Presiden dan Naib Presiden, tanpa sebarang jawatan dalam parti. Hanya tinggal DAP dan Pas menjadi sandaran akhir Khalid!
- Strategi menggusarkan DAP-Pas. Tiba-tiba muncul pula isu tuntutan untuk terus mengguna-pakai kalimah ALLAH dalam upacara keagamaan kristian di gereja-gereja mereka di Selangor. Pelik!
- Hanya di gereja-gereja di Selangor, tidak di Pulau Pinang! Dalam keadaan mereka sudah pasti tahu Selangor mempunyai Enakmen Pengawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 yang melarang penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam.
- Bila isu rampasan bible versi Bahasa Melayu yang menyalah-terjemahkan kalimah ALLAH tercetus dan Jais melaksanakan tugasnya mengikut undang-undang dan merampas bible-bible tersebut, ruang terbuka luas untuk Khalid diserang.
- Kesempatan ini diambil untuk menakutkan DAP. Sikap Khalid tiba-tiba membuat kenyataan menyokong titah Tuanku Sultan Selangor melarang penggunaan kalimah ALLAH dan akan terus akur dengan titah itu sudah pasti menggusarkan parti cauvinis DAP ini. Sikap ini sudah pasti akan mengendurkan sokongan DAP kepada Khalid. Di waktu yang sama, tindakan Khalid mengarahkan Jais mengembalikan bible yang dirampas menyebabkan ada penentangan daripada Pas.
- Kenyataan Exco Hal Ehwal Islam daripada Pas, YB Solehin Mukhyi dilihat tidak senada dengan kenyataan Khalid. Saya cukup pasti faktor ini akan digunakan sepenuhnya untuk menakutkan elemen-elemen di dalam Pas Selangor.
- Kononnya kalau dibiarkan Khalid terus menajdi MB, Pas akan hilang lebih banyak kerusi dalam PRU nanti, sebab orang Melayu benci! Ini akan pasti menyebabkan Pas berfikir dua tiga kali untuk terus menyokong Khalid!
- Akhirnya dengan strategi yang licik dan holistik, Khalid terkonteng-konteng keseorangan. Kali ini Khalid benar-benar terjebak. Dia sudah tidak boleh lari. Peletakkan jawatan YB Lee Chin Cheh dan pengosongan kerusi Dun Kajang sekadar pelengkap kepada konspirasi menjatuhkan Khalid dan menobatkan Anwar Ibrahim sebagai MB.
- Malah kemungkinan YB Chin Cheh sendiri tidak menyedari permainan politik puak-puak ini! 'Pelan Damai Nasional' memerangkap Umno’. Dan untuk memastikan semuanya berjalan lancar mengikut perancangan, maka ditawarkan kepada Umno dan Barisan Nasional 'Pelan Damai Nasional'!
- Bagaimana mungkin parti yang penuh dengan percakaran dalaman dengan begitu sardin mengemukakan 'Pelan Damai Nasional'. Jika Umno/BN menerima pelan ini, mungkin nanti akan timbul desakan supaya Umno/BN membuktikan keikhlasan dengan tidak meletakkan calon bagi PRK N25 DUN Kajang.
- Sekali gus memberikan Anwar laluan percuma untuk menjadi Adun Kajang dan bakal ditabalkan sebagai MB Selangor yang baru menggantikan Tan Sri Khalid. Kalau Umno/ BN termakan dengan taktik ini, tidak ada ayat lagi nak diberi kepada Umno/ BN selain daripada melafazkan innalillah hiwa inna ilai hiro ji'un kepada Umno/ BN. Nampak sangat Umno/ BN bekerja keras untuk menjadi pembangkang dalam PRU14 nanti.
- Dan jika ditakdirkan berlaku PRK N25 Kajang, Umno perlu meletakkan calon di situ. Dengan calon Umno yang berkaliber dan punya integriti dan kewibawaan, Umno punya peluang cerah memenangi kerusi Dun Kajang. Mengikut maklumat, jika semua perancangan ini gagal, atau pun jika rancangan ini memerlukan satu water-tight ending, maka sebuah videoklip yang diambil daripada sebuah sudut yang agak tinggi di sebuah kediaman akan disebarkan. Apa video itu, tunggu dan lihat!
- Rumusan dan opsyen buat Tan Sri Khalid. Persoalan sekarang ialah: adakah riwayat Khalid sudah berakhir! Belum. Jangan write-off Khalid cepat sangat. Beliau seorang tokoh korporat, beliau sudah biasa dengan taktik dan maneouvre seperti ini. Khalid sekarang ada beberapa opsyen:
- 1. Khalid boleh buat keras kepala dan terus kekal sebagai MB. Tiada sesiapa pun boleh menggugat kedudukannya. Kalau Khalid memilih opsyen ini, Anwar tidak ada pilihan selain meminta Dun Selangor memanggil sidang tergempar membuat usul undi tidak percaya kepada Khalid. Untuk itu Anwar memerlukan sokongan penuh Adun DAP dan Pas selain Adun PKR sendiri. Atau dalam keadaan ekstrim, Anwar boleh mengarahkan semua Adun PKR tidak menyokong Khalid. Ini akan menjadikan satu suasana Dun tergantung. Tetapi ini semua belum tentu berjaya; dan kalau berjaya pun Anwar akan dilihat sebagai aggressor yang tamak mahukan jawatan sehingga menganiaya dan mengkhianati MB sendiri!
- 2. Khalid boleh mempengaruhi kesemua Adun PKR, DAP dan Pas untuk terus menyokong beliau dengan mengadakan undi kepercayaan dalam Dewan. Tetapi ini juga mempunyai risiko kerana tidak mungkin Adun PKR akan menyebelahi beliau;
- 3. Khalid boleh membuat pakatan dengan Adun BN, dengan syarat dia boleh membawa jumlah Adun yang cukup menyokongnya untuk membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan, dan dia terus menjadi MB. Ini juga opsyen yang mempunyai risiko yang tinggi kerana Khalid akan sentiasa duduk di bawah ugutan dan tekanan Adun-Adun ini;
- 4. Atau Khalid boleh mengambil opsyen menelan sahaja apa yang berlaku. Terima sahaja takdir masanya dah berlalu, dah tak ada rezeki. Lantak pi lah siapa pun nak jadi MB. Elok pencen jaga cucu duduk kat masjid bilang buah tasbih; cari pahala sikit; atau
- 5. Opsyen terakhir dan paling realistik untuk Khalid sekarang ialah membubarkan Dun Selangor. Sebagai MB, hanya beliau, dan tidak ada orang lain dalam dunia ini, yang mempunyai hak legal dan politikal untuk menasihatkan Tuanku Sultan Selangor untuk membubarkan Dun Selangor.
- Beliau boleh menggunakan alasan bahawa hak demokrasi rakyat Selangor untuk menentukan kepimpinan Kerajaan Selangor yang baru harus dihormati. Sekiranya beliau digulingkan maka apa yang terjadi sebenarnya ialah hak demokrasi rakyat Selangor telah diliwat melalui kaedah politiking pintu belakang!
- Dan jika Tuanku Sultan Selangor memperkenankan sembahan beliau, Dun Selangor boleh dibubarkan dan Pilihan Raya Negeri Selangor wajib diadakan dalam tempoh 60 hari. Khalid boleh mengadakan kerjasama strategik dengan Umno-BN untuk menawan semula Selangor dengan syarat beliau kekal menjadi MB.
- Umno/BN perlu terbuka dalam menimbang kerjasama-strategik ini. Apa yang penting ialah hak demokrasi rakyat Selangor tidak dicabul sewenang-wenangnya oleh golongan yang tidak bertanggungjawab! Apa pun, hayat-politik Tan Sri Khalid sebagai MB Selangor sudah hampir ke penghujungnya. Tetapi Khalid boleh menukar destinasi politiknya jika bijak mengatur langkah.
- Nasihat kepada Tan Sri Khalid, baca dan perhalusi sejarah bagaimana Allahyarham Tun Gafar Baba jatuh terkangkang akibat mainan politik Anwar. Pisau ditangan Tan Sri, timun pun ditangan Tan Sri. Buat apa yang Tan Sri patut buat untuk memastikan hak demokrasi rakyat Selangor terus terpelihara, dan maruah Tan Sri dipertahankan! Wallahua'alam dan Wassalam. – Daripada Zulkifli Nordin.
Monday, 3 February 2014
MB Selangor perlu kerjasama dengan BN atau berisiko dilucut jawatan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment