- Fitnah dan adu domba adalah virus yang amat bahaya jika dibiar membarah dalam masyarakat. Jika tidak dikekang, budaya ini boleh menjadi wabak pembunuh utama dalam masyarakat hingga mampu menghancurkan keamanan dan meleburkan keharmonian negara.
- Jika ditelusuri sejarah silam, fenomena fitnahlah penyebab utama berlaku peristiwa pemberontakan terbesar dalam sejarah awal Islam khususnya selepas kewafatan Rasulullah SAW. Pemberontakan yang membawa kepada peristiwa pembunuhan Khalifah ketiga Saiyyidina Uthman ‘Affan adalah detik paling tragis dalam sejarah umat Islam hingga melarat kepada pertelingkahan hebat dalam kalangan sahabat.
- Cetus keraguan. “Firman Allah SW; "Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang ke sana kemari menghambur fitnah". (Al-Qalam : 10-11)
- Mengikut riwayat yang dikemukakan Saif Umar di dalam buku Tarikh al-Tabariy, fitnah terbesar itu berlaku akibat kegagalan mengekang usaha pengadu domba diketuai Abdullah bin Saba’ berketurunan Yahudi. Dia dan pengikutnya bergerak dari satu tempat ke tempat termasuk Kufah, Basra hingga ke Mesir untuk menyesat dan mencetuskan keraguan terhadap kepemimpinan dan keIslaman Uthman berpusat di Madinah.
- Jika diperhatikan segala pertuduhan tuduhan terhadap Uthman termasuk menyentuh keperibadian beliau, tiada satu pun yang masuk akal. Sebagai contoh, tuduhan mengatakan Uthman tidak lagi mengamalkan sunah Nabi SAW sedangkan beliau antara sahabat paling rapat dengan Baginda.
- Namun, hebatnya kesan gerakan penabur fitnah ini berjaya menimbulkan kesangsian dan keraguan sehinggakan gabenor yang dilantik Khalifah juga tidak mampu menangani fenomena penyimpangan persepsi yang terbiak.
- Lebih menyedihkan apabila gerakan adu domba ini berupaya membiakkan kelompok pelampau yang akhirnya membunuh Saiyyidina Uthman dengan cara yang tidak berperikemanusian.
- Pada hari Khalifah Uthman dibunuh, 3,000 pemberontak mengepung rumahnya ketika ramai sahabat menunaikan haji di Makkah. Uthman bukan sahaja dipukul dengan besi, bahkan mashaf al-Quran dibaca ketika itu dipijak hingga darah beliau terpercik ke mashaf isteri yang turut dipotong jarinya.
- Demikianlah hakikat fitnah yang bukan saja menumpahkan darah pemimpin agung umat bahkan berupaya menghancurkan keharmonian dan meleburkan kestabilan agama serta negara.
- Hari ini, fitnah dan adu domba tidak sepayah dulu. Malah, pendekatan adu domba dan fitnah pada zaman ini hanya menggunakan jari jemari yang tidak memerlukan banyak tenaga.
- Salah guna media sosial. Papan kekunci komputer, laptop, Ipad mahupun telefon bimbit dengan pelbagai perisian canggih masa kini seperti Whatsapp, Facebook, Twitter, Instagram, blog dan instrumen lain sering disalah guna bagi merangsang dan menyuburkan budaya negatif ini.
- Sebab itu, sesuatu cerita amat mudah direka dan disensasikan dalam pelbagai bentuk dengan hanya menekan butang tanpa batasan. Berita yang belum dipastikan kesahihannya sering dihidangkan kepada masyarakat tanpa batasan.
- Rakyat marhain pula seolah-olah dipaksa menelan bulat-bulat segala cerita berbaur fitnah. Budaya sebegini juga seolah-olah menjadi mazhab baru yang menjadi pegangan dan mainan bagi mereka yang begitu haus dan rakus untuk berkuasa.
- Lebih menyedihkan apabila setiap warga yang terbabit seperti tiada langsung rasa bersalah atau takutkan Tuhan apabila mensensasikan isu yang belum dipastikan benar. Malah, ada juga yang menjustifikasikan perbuatan fitnah dengan menganggap usaha menjatuhkan pihak lawan yang didakwanya zalim adalah lebih utama.
- Sebab itulah Islam keras mencela pencacai dan pengadu domba kerana menyalakan obor kebencian dan membakar api permusuhan hingga terlerai ikatan ukhuwah umat. Amaran keras Allah jelas dalam al-Quran: “Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang ke sana kemari menghambur fitnah”. (Al-Qalam : 10-11).
- Al-Quran turut memberi peringatan keras terhadap mereka yang mendengar dan menyebar fitnah dan tuduhan palsu, tanpa sikap berbaik sangka atau memastikan kebenaran fakta terlebih dahulu. Peringatan ini disampaikan dalam konteks kisah ‘al-Ifk’ iaitu peristiwa isteri Nabi SAW sendiri, Sayidatina Aisyah yang turut menjadi mangsa fitnah (Lihat an-Nur: 16-17).
- Fitnah dan adu domba moden dengan bantuan teknologi jika tidak dibendung pasti menghancurkan bangsa dan memporak-porandakan negara. Moga-moga api fitnah yang menyemarak kini berjaya kita padamkan demi kepentingan bangsa dan negara. -- Dr Asyraf Wajdi Dusuki (YADIM)
Monday, 3 February 2014
Cepat padamkan api fitnah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment