Friday, 20 December 2013

Rasionalisasi Apam!

Kenaikan caj kemudahan awam disifatkan sebagai rasionalisasi apam!
 
  • MEMANG betul sesetengah orang kita – termasuk para pemimpin – pandai bermain kata, bijak memilih istilah. Dulu, kini dan selamanya kita selalu menggunakan bahasa beralas @ cakap berlapik.
  • Contoh: Apabila ada rombongan lelaki masuk meminang, keluarga gadis akan berkata: “Anak kami masih kecil, belum pandai menanak nasi.” Mereka berkias sebab tidak tergamak cakap terus-terang: “Pinangan kamu ditolak!”
  • Kita menggunakan kata-kata ‘kurang bijak’, ‘tidak cerdik’ atau ‘tidak pandai’ untuk menggambarkan seseorang. Padahal istilah-istilah tersebut, membawa erti yang sama, iaitu ‘bodoh’. Kita tidak kata ‘kedekut’, sebaliknya ‘tangkai jering’.
  • Tujuan cakap berlapik ialah supaya perasaan tidak tersinggung. Tetapi, apabila difahami maksud sebenar, pihak berkenaan tetap berasa hati. Malah, kesannya boleh mewujudkan dendam kesumat yang berpanjangan.
  • Dalam konteks ekonomi dan urus tadbir mutakhir, ada banyak istilah sengaja digunakan untuk tidak terlalu memarahkan rakyat. Akhir-akhir ini istilah paling kerap kita dengar daripada pemimpin ialah ‘rasionalisasi’, ‘penyelarasan’ dan ‘penilaian semula’. Maknanya sama sahaja, ‘naik’.
  • Apabila orang ramai dipaksa membayar lebih untuk bahan api dan gula, pakar ekonomi kita – juga menteri – menggunakan istilah rasionalisasi harga atau penyelarasan harga. Kedengaran sedap, tetapi makna sebenar tidak sedap. Baik rasionalisasi, penyelarasan dan penilaian semula, kita kena bayar lebih.
  • Nampaknya memasuki fajar 2014, banyak lagi rasionalisasi dan penyelarasan akan kita hadapi. Paling jelas, dan bagaikan tidak boleh ditahan-tahan, tarif elektrik akan dirasionalisasi.
  • Seperti yang telah diumumkan, berkuat kuasa 1 Januari kadar purata tarif elektrik di Semenanjung akan diselaraskan 4.99 sen/kWj, peningkatan sebanyak 14.89 peratus, daripada kadar purata semasa 33.54 sen/kWj kepada 38.53 sen/kWj.
  • Tambah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili, bagi negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, kadar purata tarif elektrik akan menjadi 5.00 sen kWj, peningkatan sebanyak 16.9 peratus, daripada 29.52 sen/kWj kepada 34.52 sen.
  • Bukan saja elektrik, tambang teksi, bas dan pengangkutan awam lain pun akan diselaraskan. Khusus untuk pemilik hartanah di KL, penilaian semula cukai pintu pun akan dilaksanakan mulai tahun baharu. Ramai yang mengeluh, tetapi menyedari ini era penilaian semula, serba-serbi hendak diselaras dan dirasionalisasi. Apa boleh buat.
  • Paling ditakuti dan baharu sehari dua diberitahu ialah rasionalisasi tol. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Wahid Omar, kerajaan tidak ada pilihan dan terpaksa melaksanakan penyelarasan, jika tidak terpaksa membayar RM400 juta pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya.
  • Belum diumumkan lagi perincian mengenai penyelarasan harga sebenar, tetapi laporan media memetik kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof sebagai berkata, kadar tol baharu mungkin antara 50 sen hingga RM2. Pada kadar sekarang pun pengguna sudah terasa perit setiap kali melalui mana-mana 13 lebuh raya seluruh negara.
  • Mudah sahaja menteri berkata, sekiranya tidak mampu pengguna boleh memilih laluan alternatif tidak bertol. Tetapi ada sekian banyak laluan untuk urusan harian yang mahu tidak mahu terpaksa melintasi tol, kecuali sekiranya pengguna menaiki kapal selam, helikopter atau jet eksekutif.
  • Setakat semalam, banyak pihak – termasuk pemimpin kerajaan, Pemuda Gerakan, Pemuda Umno – meminta supaya harga tol sedia ada dikekalkan. Pasca PRU13 menyaksikan orang ramai banyak dibebankan dengan beraneka penyelarasan dan rasionalisasi. Harap-harap ada simpati kerajaan, dan tol tidak menambahkan lagi beban pengguna. Sekurang-kurangnya menepati sedikit slogan ‘Rakyat Didahulukan’.
  • Tetapi, ada satu kenyataan klise kerajaan setiap kali penyelarasan dan rasionalisasi, termasuk kadar baharu tarif elektrik ialah: “Usah bimbang, rakyat biasa tidak akan terjejas.” Hakikatnya tidak begitu. Apabila elektrik naik, minyak naik, gula naik, peniaga pun akan sewenang-wenangnya menaikkan harga produk.
  • Kalau pun harga tidak naik, pasti ada perubahan lain. Contoh: Restoran dan gerai mengecilkan saiz roti canai, karipap, apam. Seketul ikan sudah bertukar menjadi secubit ikan. Hatta bungkus nasi lemak pun semakin mengecil. Memang, tidak ada rasionalisasi harga, tetapi peniaga menguatkuasakan ‘rasionalisasi bentuk’. Siapa tahu, di tempat mengundi pada PRU14 nanti, pengundi akan menguatkuasakan ‘rasionalisasi pangkah’. – Dato Abdul Jalil Ali

No comments:

Post a Comment