Menghadapi anasir jahat di ambang 2014
|
most wanted criminals? |
- Di ambang rakyat membuat persiapan beralih dari tahun 2013
ke 2014, ada pula ura-ura anasir jahat akan cuba menimbulkan huru-hara kononnya
mahu mengguling kerajaan yang dipilih pada pilihan raya umum (PRU) pada Mei
lalu.
- Berselindung di sebalik sambutan malam tahun baharu pada 31
Disember ini, golongan itu didakwa mahu menyelit di sebalik kumpulan orang
ramai yang mahu meraikan ketibaan 2014 bagi menunjukkan ramai yang menyokong
usaha menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan.
- Walaupun umum tahu siapa dalang di sebalik rancangan
tersebut, pihak terbabit masih cuba menyembunyikan penglibatan mereka mungkin
bagi mengelakkan tindakan pihak berkuasa mahupun mengelak dipertanggungjawabkan
jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
- Setakat ini usaha mengajak pengikut mereka menyertai
rancangan tersebut banyak dilakukan melalui media sosial, risalah dan poster
tetapi dilihat belum mengumpul momentum yang diharapkan.
- Namun, perkara paling membimbangkan bukannya bilangan
peserta sebaliknya orang awam yang tidak terlibat sama mungkin akan
terperangkap bersama anggota kumpulan ini ketika agenda peribadi mereka
digerakkan.
- Lebih teruk jika kumpulan itu hilang kawalan dan orang awam
juga yang menjadi mangsa sama ada cedera dan hilang harta benda mahupun
pertumpahan darah jika berlaku pertembungan antara pihak berkuasa dan peserta
demonstrasi.
- Persoalannya, sampai bila golongan ini mahu dibiarkan
membuat onar atas dasar kebebasan hak asasi sehingga mengganggu perancangan
mahupun cara hidup harian orang ramai, semata-mata untuk laba politik individu
atau kumpulan tertentu?
- Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim melihat masalah
tersebut berterusan kerana wujudnya suasana 'majoriti senyap' iaitu kumpulan
besar tidak menunjukkan 'kuasa' dan tidak membalas perbuatan minoriti.
- "Majoriti senyap menyebabkan golongan minoriti ini rasa
besar diri, bukannya kerana mereka rasa kebal atau tidak takutkan pihak
berkuasa.
- "Majoriti tidak membalas sama ada dengan perkataan,
tulisan dan lain-lain cara sehinggakan minoriti merasakan apa yang mereka
lakukan itu 'dibenarkan'," katanya.
- Beliau berpendapat perbuatan menganjur perhimpunan haram dan
cubaan mengguling kerajaan berlaku bila hak asasi diagungkan melangkaui
undang-undang sesebuah negara.
- Beliau juga mempertikai apa keperluan kumpulan tersebut
mempunyai wakil rakyat di Parlimen jika mahu melangkaui undang-undang kerana
polisi sistem yang diamalkan negara hanya boleh diperjuangkan di Parlimen dan
bukannya di jalanan.
- "Masalah perhimpunan haram ini menunjukkan Ahli
Parlimen yang diberi mandat kumpulan tersebut gagal mewakili suara mereka di
Parlimen sehinggakan mereka terpaksa guna cara jalan raya secara meluas untuk
mencapai matlamat.
- "Walaupun tidak radikal, tidak menggunakan senjata
sekalipun, dalam mana-mana perhimpunan dinamik boleh berubah bila-bila masa
jika ada dalang yang menyebabkan niat asal mereka terpesong," ujarnya.
- Beliau merasakan tidak perlu ada senjata dalam perhimpunan
tersebut untuk menyebabkan peserta hilang kawalan daripada sebuah tunjuk
perasaan kepada vandalisme dan gangguan pasif terhadap kehidupan seharian orang
awam.
- Bagaimanapun, beliau yakin tujuan utama perhimpunan tersebut
bukannya untuk tunjuk perasaan tetapi untuk mengganggu sistem sosial dan
ekonomi orang ramai yang akan membawa limpahan kesan berangkai kepada pihak
berkuasa dan pemerintah.
- "Objektif utama bukannya tunjuk perasaan, bila jalan
sesak, polis dan pihak berkuasa juga dipersalahkan rakyat, akhirnya balik
kepada memburukkan nama kerajaan memerintah.
- "Malahan, sebelum berlakunya perhimpunan itu sudah ada
kesannya terhadap kehidupan orang ramai dengan wujudnya pelbagai prasangka
sementara tenaga penguatkuasa perlu ditumpu ke kawasan terbabit, melemahkan
kehadiran mereka di tempat lain," jelasnya.
- Kamal Affendi juga melihat taktik mengadakan perhimpunan di
ambang tahun baharu mungkin disebabkan jumlah peserta tidak ramai dan perlu
berselindung di sebalik tempat yang ramai orang; atau mungkin untuk mengelakkan
peserta dikesan dan ditangkap pihak berkuasa.
- Sementara itu, Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam),
Datuk Khairul Anwar Rahmat berpendapat penganjur dan peserta perhimpunan
tersebut sebenarnya boleh dilihat sebagai melancarkan perang ke atas Yang
di-Pertuan Agong yang membawa hukuman mati.
- "Undang-undang kita berpaksikan Demokrasi Berparlimen
dan pilihan raya yang menentukan kerajaan. Cubaan mengguling kerajaan melanggar
dua asas kenegaraan kita - mencabar institusi Yang di-Pertuan Agong dan
institusi Parlimen yang menjadi simbol pemerintahan negara.
- "Penganjur sengaja mengambil kesempatan membakar emosi
orang ramai tetapi cuba berselindung di sebalik peserta perhimpunan. Jika
mengaku, mudah pihak berkuasa bertindak ke atas pengajur tetapi dengan
berselindung akhirnya orang awam (peserta) yang dikenakan tindakan,"
katanya.
- Beliau menegaskan majoriti rakyat, termasuk mereka yang tidak
menyokong kerajaan, hanya mahu hidup aman damai dan pihak berkuasa tidak boleh
membiarkan minoriti kecil yang membuat kacau bilau menjejaskan majoriti yang
aman.
- Beliau merasakan tiada langkah penghalang dan pencegahan
yang benar-benar menghindar kejadian serupa berulang sedangkan negara maju
seperti Amerika Syarikat dan Singapura yang kononnya amalkan kebebasan juga
tidak akan melepaskan golongan tersebut.
- "Saya setuju jika dikatakan penguatkuasa multimedia
kita tidak bertaring, lemah dan kerap bertolak ansur dalam mengatasi masalah
seperti ini. Jika negara maju lain, sesiapa menyebar risalah berpotensi
memudaratkan ketenteraman awam, penguatkuasa akan terus 'ketuk pintu'.
- "Tindakan penguatkuasaan dan pencegahan bukannya
langkah ke belakang dalam demokrasi, ianya langkah ke depan yang diamalkan
semua negara maju untuk kekalkan keamanan. Penapisan multimedia perlu dilakukan
bila ia melibatkan keselamatan awam," tegasnya.
- Beliau berharap pihak berkuasa bersedia menggunakan apa jua
akta yang ada, baharu atau lama, kerana bukan Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA) sahaja yang boleh digunakan untuk menyekat perbuatan sedemikian.
- Tambahnya, jika terbukti individu atau kumpulan tersebut
berani menggadai keamanan negara demi kepentingan peribadi, maka tangkap
sahaja, dakwa dan kenakan hukuman paling berat supaya menjadi pengajaran kepada
yang lain kelak.
- "Pihak berkuasa perlu menyiasat penyebaran yang dibuat
melalui media sosial mahupun risalah ini, tangkap sebelum terjadi apa-apa.
'Rahsia umum' ini perlu diambil tindakan segera bagi mencegahnya daripada
melarat,"ujarnya -- anuar.kari@utusan.com.my
No comments:
Post a Comment