PUTRAJAYA, 2 April — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengadakan "Operasi 3B" minggu ini dan menahan 62 pegawai Kastam seluruh negara termasuk seorang pegawai kanan dari Pahang dan isterinya.
Operasi itu diadakan untuk mengesan kehilangan hasil negara dianggarkan RM3 bilion. Mereka ditangkap dalam operasi khas SPRM, Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Peguam Negara.
Mereka akan didakwa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Akta Kastam 1967 dan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan 2001.
Sebelum itu desas desus mengatakan ramai pegawai kastam di pelabuhan seluruh Malaysia menerima dan meminta rasuah daripada syarikat penghantaran dan ejen bagi mengurangkan duti kastam serta mempercepat prosesan borang pelepasan Kastam.
Operasi di Pelabuhan Klang, Kuantan, Pulau Pinang, Tg Pelepas dan Pasir Gudang menunjukkan ada pegawai terima antara RM100 hingga RM500 bagi setiap Borang K1 yang diproses.
SPRM menyita akaun dan merampas tunai berjuta ringgit daripada beberapa pegawai, malah ada pegawai juga memiliki dua unit pistol tiruan beserta 241 butir peluru.
Nota: Ia adalah tangkapan paling ramai dalam sejarah jenayah kolar putih Malaysia sekaligus tamparan terhebat kepada organisasi Jabatan Kastam.
Dianggarkan RM108 bilion yang sepatutnya menjadi pendapatan negara setiap tahun lesap manakala lebih RM10 bilion lagi dipindahkan secara haram ke luar negara.
ReplyDeleteKerugian itu dikesan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di seluruh negara.
Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, angka kerugian itu dianggarkan akibat aktiviti pemindahan wang secara haram melalui beberapa cara termasuk taksiran kurang, transaksi tanpa rekod serta penyeludupan wang.
"Akibat tindakan 'tangan-tangan kotor' ini, negara mengalami kerugian apabila hasil pendapatan lesap manakala wang rasuah yang diperolehi mereka dipindahkan secara haram ke luar negara.
"Berikutan itu, SPRM mengadakan 'Operasi 3b' iaitu sasaran kita mengembalikan semula RM3 bilion hasil pendapatan negara yang lesap," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mustafar berkata, hasil operasi itu, sebanyak 62 orang pegawai JKDM telah ditahan dan sejumlah RM602 juta wang dibekukan, selain RM382 juta disita manakala RM31.2 juta dilucut hak harta.
"Kita siasat semua kes dan tangkapan ini di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganas 2001 dan kes-kes yang telah dibawa ke mahkamah melibatkan wang berjumlah RM1.2 bilion," katanya - Utusan 2 April 2011