- Sebuah bot membawa kira-kira 500 pelarian Rohingya ditemui di perairan barat Pulau Pinang. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkannya.
- Khabarnya bot itu pernah menuju ke Indonesia untuk `meminta nyawa’, malangnya dihalau ke arah Selat Melaka oleh pihak berkuasa Indonesia.
- Alhamdulillah pihak berkuasa Indonesia membekalkan makanan, air dan ubat kepada 500 pelarian itu sebelum menghalau mereka ke Selat Melaka dan menuju ke Malaysia.
- Ya Allah. Kau bukalah hati pemimpin Islam di negara ini supaya menerima pelarian Islam Rohingya yang malang ini biarpun ramai mencemuh penyelamatan ini.
- Duhai pemimpin Islam Malaysia. Terimalah dan lindungilah seberapa ramai umat Islam Rohingya yang datang ke negara ini untuk merayu perlindungan kerana itu adalah sebahagian daripada jihad.
- Janganlah kau halau umat Islam Rohingya itu kembali ke laut lepas semata-mata kerana tidak mahu melihat kebanjiran lebih ramai umat Islam miskin, kebuluran dan teraniaya datang ke negara Malaysia yang aman dan makmur atas kurniaan Allah.
- Memang benar, ramai rakyat Malaysia sendiri mengkritik tindakan kerajaan yang tidak tegas dalam soal menangani masalah pendatang asing tanpa izin.
- Sebaliknya mereka memuji kerajaan Thailand dan Indonesia yang kononnya bijak mengurus masalah pendatang iaitu menghalau mereka keluar, bukannya memberi perlindungan.
- Bercakap dengan hati yang buta dan gelap, mereka mengatakan Malaysia akan jadi huru-hara nanti jika menerima kebanjiran Rohingya. Dengan lambakan rakyat Indonesia, Kemboja, Myanmar, Siam, Afrika, Vietnam, Filipina, semuanya dibenarkan masuk, nanti rakyat Malaysia sendiri yang kena halau.
- Benar, menolong insan lemah adalah satu perbuatan mulia. Tetapi jika rakyat sendiri menderita di tempat tanahair sendiri, tiada gunanya hendak membantu rakyat negara lain, begitulah keluhan masyarakat Malaysia yang gelap hati.
- Pembunuhan umat Islam Rohingya bukan pekara baru. Ketika isu itu sedang hangat dibicarakan, kitalah (Malaysia) yang paling lantang sekali bersuara.
- Ketika semua orang bising dan menuntut agar tindakan yang segera diambil, kita juga turut terjun ke dalam gerabak keretapi yang sama. Nah, sekarang ke mana semua itu?
- Oleh itu, marilah kita kembali melihat nasib umat Islam Rohingya yang diperlakukan dengan begitu jijik sekali oleh etnik Rakhine yang rata-ratanya beragama Buddha.
- Semoga perkongsian ini akan menjadi pencetus untuk kita lebih cakna dengan isu ummah di masa-masa hadapan dan tidaklah berbasa-basi dan acuh tak acuh sahaja. Semoga selepas ini kita lebih konsisten dan persisten dalam memperjuangkan nasib saudara-saudara seaqidah kita.
- Secara ringkasnya, etnik Rohingya sudah lama teraniaya dan hidup dalam penderitaan. Tragedi kemanusiaan yang dialami oleh umat Islam Rohingya berlaku sejak 1938 apabila dilaporkan seramai 30,000 orang Muslim telah dibunuh pada 26 Julai 1938. Tragedi yang sama juga berulang pada tahun 1942, 1968, 1992, 2012 dan seterusnya hingga ke hari ini.
- Ribuan umat Islam Rohingya telah disembelih oleh puak Rakhine, polis, tentera dan golongan Buddha. Mereka menembak penduduk kampung dengan begitu bersahaja tanpa rasa bersalah. Wanita Islam tidak dibenarkan memakai hijab dan ramai di antara mereka dirogol dan sebagainya. Bukan itu sahaja, masyarakat Islam di sana turut dinafikan hak dari segi perubatan samada di hospital mahupun di klinik-klinik dan mereka dipaksa membayar dengan harga yang terlampau tinggi.
- Ada apa dengan Rohingya? Sejarahnya panjang tetapi ceritanya bertebaran di dalam internet untuk tatapan umum.
- Apa yang jelas, menurut PBB, etnik Islam Rohingya adalah salah puak atau bangsa minoriti yang teraniaya sekali di dunia ini. Mereka tidak ada negara dan tiada negara yang mahukan mereka.
- Malah di Myanmar sendiri, mereka perlu meminta izin setiap kali mahu berkahwin atau keluar daripada kampung halaman mereka! Kehidupan mereka sehari-hari amat sinonim dengan kedhaifan, penderitaan dan kesengsaraan.
- Apabila sesuatu tragedi melibatkan umat Islam, pasti reaksi masyarakat antarabangsa lembab dan berkelajuan kura-kura.
- Paling jauh, pemimpin Islam mengeluarkan kutukan, kecaman dan amaran. Itu saja. Bagaimana dengan penyelamatan?
- Bangladesh sendiri selaku jiran terdekat telah menolak Rohingya yang mahu menyelamatkan diri mereka dan berlindung di negara mereka.
- Malah mereka tidak mengaku etnik Rohingya ada pertalian dengan mereka. Sheikh Hasina, Perdana Menteri Bangladesh ketika diwawancara oleh Al-Jazeera berkaitan isu pelarian Rohingya ini dengan bersahaja menyatakan bahawa membantu krisis Rohingya bukan tanggungjawabnya.
- Apa alasan yang mahu kita beri nanti kepada Allah ketika menghadap-Nya di mahkamah agung Mahsyar nanti?
- Aung San Suu Kyii pula yang selama ini dilihat sebagai jaguh demokrasi dan pencinta keamanan turut diam membisu dalam isu ini.
- Apabila diasak tentang isu Rohingya dan ditanya apakah wajar mereka ini diberi taraf kerakyatan, hanya mampu untuk menyatakan, “Saya tidak bertanggungjawab.”
- Di sebalik reaksi dunia Islam yang amat mengaibkan, tiba-tiba muncul Turki menyediakan pelan perlindungan umat Islam Rohingya. Selain itu ramai pemimpin tertinggi Turki mengadakan lawatan ke Myanmar, bersama-sama dengan bantuan kemanusiaan dan kebajikan untuk menyelamatkan umat Islam Rohingya.
- Ya, negara-negara lain seperti Arab Saudi, Indonesia malah Malaysia sendiri telah menyatakan pendirian tegas mereka terhadap isu Rohingya. Pelbagai jenis tabung kemanusiaan juga dilancarkan oleh pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan kebajikan.
- Dalam konteks Malaysia, ramai orang Islam etnik Rohingya yang sudah menetap dan bekerja di Malaysia. Sekiranya anda berpeluang berjumpa dengan mereka, santunilah mereka.
- Berborak mesra dengan mereka dan tunjukkan kepada mereka, sebagai saudara seaqidah sedarah agama dengan mereka ini, anda sebenarnya cakna dan peduli dengan nasib umat Islam Rohingya di Myanmar yang sedang menderita.
- Berdoa. Jangan sombong dan malas untuk kirim doa bukan sahaja untuk umat Islam Rohingya, tetapi juga saudara-saudara kita di Palestin, Syria, Somalia, Sudan, Afghanistan, Chechnya, Kashmir, Libya, Bahrain dan seluruh dunia. Doa adalah senjata orang-orang Mukmin. Yakinlah padaNya, Insha-Allah suatu hari nanti pasti nasib umat Islam seantero dunia akan terbela juga.
Thursday, 14 May 2015
Kasihan dan terimalah pelarian Islam Rohingya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment