Thursday, 2 April 2015

GST jadi `satey' puak haluan kiri

  • Perlaksanaan GST pada peringkat awal dilihat sedikit kelam kabut ramai peniaga mengenakan GST kepada pengguna bagi barangan yang dikecualikan cukai dengan alasan tidak faham dengan sistem itu.
  • Rangkaian kedai runcit 7 Eleven sudah minta maaf atas kesilapan sistem mesin jualan yang mengenakan GST kepada beberapa barangan termasuk nilai tambah (topup) prabayar dan surat khabar.
  • Bagi Mydin pula, walaupun ada tertulis GST di atas resit pembayaran, kadarnya sudah diserap dalam diskaun barangan. GST tidak boleh dipadam daripada resit kerana ia merupakan Standard Operating Prosedur (SOP) syarikat yang berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
  • Lain-lain peniaga mengatakan mereka masih tidak faham GST. Ada juga peniaga yang tidak berdaftar tetapi mengenakan GST sesuka hati kepada pengguna. Kes sebegini cukup lucu, mereka beri alasan satu masa nanti kedai mereka akan dikenakan cukai, jadi mereka perlu kutip GST dahulu untuk buat modal bayar cukai kerajaan.
  • Walaupun KPDNKK hanya menerima 419 aduan pada hari pertama, ia tidak bermakna jumlah itu sedikit. Ia merupakan `tips of iceberg' situasi yang berlaku di semua rangkaian kedai, mini market, pasaraya dan hypermarket di seluruh Malaysia.
  • Malahan ia berlaku di kedai runcit, pasar basah dan pasar borong membabitkan pelbagai jenis barangan antaranya sotong, ikan, air mineral dan gula. Di pasaraya dan stesen petrol dilihat GST dikenakan ke atas kad nilai prabayar dan surat khabar.
  • Daripada jumlah itu, sebanyak 118 aduan dilihat mempunyai elemen menunjukkan peniaga cuba mengambil keuntungan berlebihan yang boleh disabitkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
  • Sementara itu, di portal dan media sosial pula, aktivis dan tokoh politik haluan kiri tidak kenal penat menuduh kerajaan cuai kerana melaksanakan GST sehingga menyusahkan peniaga dan pengguna.
  • Lebih lucu lagi mereka mendakwa insiden kelam kabut yang berlaku pada hari pertama perlaksanaan GST adalah disebabkan sistem pentadbiran kerajaan tidak betul, malah dikatakan mengenakan cukai itu kerana kerajaan sudah bengkrap.
  • Lalu kisah jet peribadi Perdana Menteri dan projek mega 1MDB muncul dan diikat selonggok bersama-sama GST untuk memastikan semua rakyat percaya dengan cerita mereka. Sudah tentu penghujungnya mereka meminta rakyat menumbangkan kerajaan sedia ada dan memilih parti mereka sebagai pentadbir yang kononnya jauh lebih baik.
  • Wal hal dalam kes GST, beberapa kesilapan dilakukan oleh peniaga itu sendiri yang cuai dalam melaksanakan sistem itu samada secara sengaja atau ada masalah teknikal. Ia tidak ada kena mengena dengan projek 1MDB dan jet peribadi.
  • Tak cukup dengan itu isu GST menjadi `satey’ yang dibakar politik apabila dipertikai halal haramnya. Video klip bertaburan di laman sosial mendakwa GST merupakan satu bentuk percukaian haram di sisi Islam.  
  • Lalu Perdana Menteri terpaksa muncul untuk menangkis tohmahan itu dengan berkata perlaksanaan GST di negara ini adalah halal, mengikut fatwa dan dibuat berdasarkan kajian menyeluruh lebih 35 tahun.
  • Kata Perdana Menteri, GST Malaysia berbeza dengan negara lain, di sini kerajaan mengecualikan cukai bagi banyak barangan dan perkhidmatan seperti air dan barangan asas makanan, semuanya ada dalam senarai.
  • Kepada mereka yang bencikan kerajaan dan GSTnya, silalah semak antara 40 negara di dunia yang tidak mengenakan GST, kemungkinan boleh berpindah ke sana pada masa depan. Untuk penjelasan lanjut sila tanya blogger tersohor Rocky Bru (Dato Ahiruddin Atan)
  • Bagi yang rajin, cuba semak 160 negara yang berjaya melaksanakan GST dalam struktur baru percukaian. Jika sistem itu tidak baik atau gagal, mengapa lebih 80 peratus negara di dunia melaksanakan GST?
  • Persoalan ini perlu difikirkan secara matang oleh rakyat dengan melihat sejauhmana fakta GST yang dibawa oleh puak penentang kerajaan.
  • Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan dapat menjatuhkan kerajaan walaupun terpaksa menghasut dan menipu rakyat.
  • Penulis suka memetik blog Rocky Bru yang menjelaskan, “dalam apa keadaan pun jika anda memilih untuk mempercayai ahli politik pembangkang, ini adalah berita baik untuk anda. Ada 40 negara lagi yang belum melaksanakan GST.
  • “Di Asia Tenggara hanya tinggal Brunei dan Myanmar. Lebih jauh sedikit ialah Korea Utara. Banyak negara Afrika belum lagi melaksanakan GST, Angola, Eritrea, Somalia dan sebagainya, mungkin membuatkan anda sukar memilih.
  • “Jadi, jika anda benar-benar yakin bahawa GST merupakan pengakhiran bagi semua kebaikkan dan kesenangan hidup anda di Malaysia, semak negara yang tidak mengenakan GST kemungkinan anda boleh berpindah ke sana pada masa depan.”
  • Penulis membuat kesimpulan di sini bahawa rakyat perlu bijak bertindak bagi menangani kegiatan penipuan yang dilakukan oleh segelinir peniaga berkaitan perlaksanaan GST.
  • Jika ada peniaga menipu, segera laporkan kepada pihak berkaitan atau sekurang-kurangnya jangan beli barangan di situ. Waktu inilah kita perlu menggunakan kuasa beli pengguna secara bijak.
  • Selagi banyak alasan kita untuk tidak memboikot mereka, selagi itulah mereka (peniaga tidak beretika) akan terus menipu kita. `Jangan kerana nyamuk, kelambu dibakar’. Jangan manjakan diri dengan menyalahkan kerajaan sedangkan peniaga sudah terang-terang menipu kita samada dalam keadaan sedar (perasan) atau sebaliknya.


No comments:

Post a Comment