- Pergolakan UMNO semakin panas apabila ura-ura mengatakan rombakan kabinet akan dilakukan dalam masa terdekat dengan penyingkiran Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
- Lawatan Presiden UMNO ke Arab Saudi sambil menunaikan umrah bersama dua Naib Presidennya telah menimbulkan spekulasi bahawa kepulangan mereka akan disusuli dengan rombakan kabinet.
- Naib Presiden yang mengiringi Datuk Seri Najib Tun Razak ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
- Ramai berkata amat janggal bagi Perdana Menteri membawa dua orang Naib Presiden UMNO untuk mengiringinya menunaikan umrah, kecuali ada perbincangan yang perlu disepakati di tanah suci itu.
- Oleh kerana bangsa Melayu begitu suka bergosip, maka pemergian beberapa pemimpin negara ke tanah suci Mekah dikatakan ada hubung kait dengan suasana politik yang sedang melanda negara.
- Seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal yang diketahui mempunyai pendirian berbeza dengan Najib sejak kebelakangan ini terutama berhubung isu 1MDB, tidak ikut serta atau barangkali juga tidak dipelawa menunaikan umrah. Difahamkan beliau berada di Russia atas urusan rasmi kementeriannya.
- Dengan Najib membawa Zahid dan Hishamuddin ke Mekah, cakap-cakap paling sensasi ialah kemungkinan Muhyiddin akan digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
- Ini kerana kedudukannya dalam kabinet dianggap sebagai ancaman serta "duri dalam daging" kepada masa depan Perdana Menteri.
- Najib dikatakan sudah tidak tahan dengan karenah Muhyiddin yang kononnya tidak cukup setia terutama sejak isu 1MDB meletus.
- Tempat Muhyiddin akan diambil alih oleh Zahid manakala Hishammuddin yang merupakan sepupu Najib akan diberi portfolio Kementerian Kewangan sebagai persediaan menjadi calon Perdana Menteri masa depan.
- Shafie pula akan dipindahkan di kementerian lain yang kurang penting bagi mengekang pengaruh serta pergerakannya daripada terus memberi kesan negatif kepada Najib.
- Sebuah agensi kerajaan yang berkaitan dengan perang saraf dikatakan telah menemui Najib beberapa minggu lalu dan mengemukakan cadangan yang antaranya mencadangkan penyingkiran Muhyiddin.
- Agensi itu mencadangkan Najib menamatkan `masa bertahan’ dan memulakan `serangan’ jika mahu terus kekal memimpin parti dan negara.
- Selain itu, beberapa menteri juga difahamkan bakal digugurkan dalam rombakan yang akan dilakukan.
- Ini kerana Najib menyedari mereka hanya "bermain selamat" dan tidak membantunya menghadapi serangan, baik daripada Tun Mahathir atau pembangkang.
- Bagi mengisi kekosongan kabinet, Pengerusi BNBBC Tan Sri Shahrir Samad akan diserapkan semula kerana beliau sejak kebelakangan ini paling lantang mempertahankan Najib daripada serangan Tun Mahathir.
- Najib dikatakan berpuas hati dengan pendekatan Ahli Parlimen Johor Bahru itu ketika membalas serangan Tun Mahathir.
- Nama lain yang disebut akan kembali ke dalam kabinet ialah Tan Sri Annuar Musa yang juga Ahli Parlimen Ketereh.
- Ini kerana Najib ingin memanfaatkan keberanian dan kepetahan bekas menteri itu sebagai perisai barunya.
- Dalam menghadapi kritikan Tun Mahathir yang dijangka lebih panas selepas ini, Najib tiada pilihan selain melantik Timbalan Perdana Menteri baru, menyusun semula kabinet dan meletakkan pemimpin senior yang berani seperti Shahrir dan Annuar untuk membenteng kedudukannya.
- Ini sekaligus menunjukkan bahawa pahlawan Bugis itu (Najib) sudah sedia berentap sehingga "bumi berkeping dua" sebagaimana madah yang selalu diucapkannya sebelum ini.
- Persoalannya jika Muhyiddin disingkirkan, apakah beliau akan berdiam diri dan reda dengan apa yang berlaku, atau bangkit menentang Najib dalam bentuk dan gaya yang sukar dibaca umum.
Tuesday, 9 June 2015
Muhyiddin bakal disingkir pada rombakan kabinet
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment