Wednesday, 22 April 2015

Gambar palsu Najib mati menguji benteng Akta Hasutan


  1. Lagi penghinaan dilakukan terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak. Terkini, seorang wanita dikenali Connie Chong memuat naik gambar palsu upacara kematian Perdana Menteri di laman Facebook.
  2. Pada laman sosial itu, kelihatan potret Najib dikelilingi beberapa sami buddha yang menjalankan upacara menyempurnakan kematian mengikut adat kaum Cina.
  3. Sehingga laporan ini dibuat, lebih 14,000 pengguna FB sudah melayari laman itu. Susulan itu seorang pengguna FB Pulau Pinang telah membuat laporan polis berhubung perbuatan biadap itu.
  4. Beliau menyifatkan perbuatan Connie sebagai kurang ajar dan menjurus kepada tindakan provokasi perpecahan kaum.
  5. Tindakan Connie itu juga mendapat kecaman pengguna facebook yang menyifatkan perbuatan beliau sebagai cukup kurang ajar dan mahu beliau ditangkap serta dipenjarakan.
  6. Ada juga yang melahirkan kekecewaan kerana perbuatan sedemikian sudah berlaku beberapa kali dan mahu pihak polis bertindak tegas terhadap pelaku perbuatan terbabit.
  7. Tentunya, rakyat mahu pelaku tidak beradab ini ditangkap dan dikenakan tindakan keras malah rakyat tentu juga mahu bentuk hukuman terhadap beliau diwar-warkan sebagai langkah pencegahan dari berulang. Sampai bila kita mahu pemimpin kita dihina sebegini?
  8. Jawapannya mudah. Rakyat tak perlu melatah. Rujuk kembali kepada Akta Hasutan (Pindaan) 2015 yang baru saja diluluskan di Parlimen baru-baru ini.
  9. Pada akta baru itu sesiapa saja termasuk pembangkang, aktivis, ekstrimis dan kumpulan anti-establishment di Malaysia dibenar mengkritik kerajaan pada tahap maksima.
  10. Lebih tepat lagi perbuatan menghasut sehingga mendatangkan kebencian, penghinaan atau membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan tidak akan menjadi kesalahan di bawah akta berkenaan.
  11. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membawa pindaan itu di Dewan Rakyat selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadi lebih terbuka kepada rakyat.
  12. Dengan itu membolehkan orang awam bebas untuk memberikan maklum balas atau kritikan terhadap kerajaan agar dapat mewujudkan suatu pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab di Malaysia.
  13. Ini bererti perbuatan mengembangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia juga tidak lagi dianggap sebagai perbuatan menghasut, dan dengan itu tidak akan ditangani sebagai suatu kesalahan di bawah akta itu.
  14. Bagaimanapun, bagi melindungi kesucian agama yang dianuti masyarakat berbilang kaum di negara ini, kerajaan mencadangkan mana-mana individu yang mengembangkan perasaan jahat, permusuhan atau kebencian antara mana-mana orang atau kumpulan atas alasan agama, dianggap melakukan kesalahan di bawah akta itu.
  15. Bagi mengelak kekeliruan, berhubung dengan agama Islam, agama merujuk kepada Hukum Syarak sebagaimana yang termaktub di bawah mana-mana undang-undang bertulis dan tidaklah termasuk apa-apa ajaran sesat.
  16. Jadi kesimpulannya, orang ramai tidak lagi boleh melatah apabila pemimpin mereka dihina dan dicemuh di khalayak ramai termasuk dalam internet. Akta sudah dibuat sedemikian. Salah siapa, tepuklah dada tanya otak.


No comments:

Post a Comment