- Tongkang haram Pakatan Rakyat bakal berkecai dan tenggelam sedikit masa lagi berikutan keputusan sidang DUN Kelantan yang sebulat suara meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015.
- Semua 44 ADUN termasuk 12 dari Umno dan seorang dari PKR telah menyokong penuh pindaan undang-undang jenayah syariah hudud, qisas dan takzir tersebut.
- Ekoran kelulusan perundangan hudud itu semua komponen Pakatan Rakyat terutama DAP dan PKR `naik angin’ dan menyerang PAS serta bersiap sedia untuk membubarkan pakatan haram itu.
- Paling melalut ialah Naib Pengerusi DAP Sabah yang meminta Kelantan keluar dari Malaysia dan meminta Speaker Dewan Rakyat tidak membenarkan hudud Kelantan dibincangkan di Parlimen sambil mendakwa wujudnya `pakatan sulit’ antara Kelantan dan Kerajaan Persekutuan yang kononnya akan melebarkan kuasa Kelantan dengan melindungi sistem keadilan jenayah di bawah Perkara 76A.
- DAP Sabah juga mendakwa `pakatan sulit’ itu telah menafikan kuasa 57 Ahli Parlimen dari Sabah (termasuk Labuan) dan Sarawak dan gabenor di Sabah dan Sarawak daripada mempunyai kuasa berkata apa-apa dalam membuat keputusan mengenainya.
- Lebih `tongong' lagi DAP memberi surat terbuka kepada Speaker Tan Sri Pandikar Amin Hj Mulia bahawa `pakatan sulit' itu merupakan satu rampasan kuasa perlembagaan terhadap Sabah dan Sarawak.
- Pada masa yang sama kekalutan juga berlaku di Pulau Pinang apabila DAP meminta semua komponen Pakatan Rakyat memutuskan semua kerjasama melibatkan Pas memandangkan parti itu disifatkan sebagai pengkhianat apabila membawa usul berkenaan hudud ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.
- DAP Jelutong berkata kerjasama itu boleh dihentikan di negeri ini terlebih dahulu sebelum dipanjangkan ke negeri-negeri lain termasuk di peringkat Pusat.
- “Kerajaan negeri Pulau Pinang harus membakar semua jambatan yang menghubungkan Pas dengan mereka dan kita tidak boleh percaya dengan Pas lagi,” katanya kepada pemberita.
- Kenyataan bangang itu dibalas semula oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang yang menyifatkan DAP tidak mengenang budi walhal DAP memerintah negeri ini sejak 2008 bukan disebabkan kekuatan parti itu semata- mata tetapi dengan bantuan Pas.
- Sementara itu di Kuala Lumpur, DAP turut kecoh dan menuduh Pas sebagai `musuh dalam selimut’ kerana cuba ‘menikam dari belakang’ dan tidak hirau amaran DAP mengenai perundangan hudud.
- Tindakan kerajaan Pas Kelantan meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di DUN Kelantan adalah satu keputusan yang melanggari dasar bersama pakatan pembangkang dan mengkhianati konsensus majlis pimpinan pakatan pembangkang.
- Untuk itu DAP juga akan mengadakan mesyuarat tertinggi pada 23 Mac ini bagi memutuskan hala tuju parti itu dalam pakatan pembangkang.
- Dalam perkembangan yang sama PKR juga membelasah PAS kerana tidak menghormati muafakat PR. Kritikan itu disampaikan sendiri oleh Presiden PKR yang sudah tinggal nyawa-nyawa ikan itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
- PKR mendakwa Pas memaklumkan kepada mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada 8 Februari lalu mengenai rang undang-undang yang bakal dibentangkan hanyalah pindaan empat perkara ke atas enakmen yang telah diluluskan dalam tahun 1993.
- Namun, draf pindaan itu sehingga minggu lalu tidak diterima PKR, malah draf yang dibentangkan itu bukanlah pindaan empat (4) perkara seperti yang dimaklumkan tetapi merupakan pembentangan keseluruhan enakmen.
- PKR juga dijangka akan mengambil tindakan tata tertib ke atas ADUNnya di Kelantan yang menyokong enakmen hudud.
- ADUN Guchil dari PKR, Roslan Puteh pula menyerahkan kepada orang ramai bagi menilai sokongannya terhadap pelaksanaan hudud di Kelantan. Beliau akui PKR telah mengarahkan beliau untuk tidak mengeluarkan sebarang komen.
- Sementara itu PasMa yang dikatakan `duri dalam daging’ Pas juga bimbang dengan pindaan hudud itu yang akan memecahkan Pakatan Rakyat.
- Presidennya berkata, jurang di antara PAS dan rakan komponen DAP adalah terlalu besar ketika ini dan pada masa ini beliau hanya nampak berlakunya perpecahan.
- Nampaknya sikap opportunis PasMa terserlah apabila masih belum mahu menyatakan pendirian terhadap pindaan hudud itu dengan alasan pihaknya akan tentukan apabila tiba masanya.
- “Kami di PasMa menyokong Pakatan Rakyat dan berharap mereka menyelesaikan isu ini kerana jika tidak Barisan Nasional menjadi terlalu kuat,” kata presiden NGO itu. Desas desus mengatakan NGO itu tidak mahu komen panjang soal pindaan hudud kerana bimbang kehilangan sumbangan DAP sebanyak setengah juta ringgit setiap tiga bulan bagi pengurusan operasi PasMa.
- Apapun yang berlaku di antara DAP, Pas dan PKR, ternyata tongkang haram yang mereka naiki bersama itu bakal pecah dan berkecai sedikit masa lagi. Besar kemungkinan MCA dan Gerakan akan mengisi tempat yang akan dikosongkan oleh Pas. – Oleh Lani Ahmad.
Thursday, 19 March 2015
Kelantan lulus hudud, Pakatan Rakyat mula berkecai
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment