DEWASA ini kebebasan bersuara
hangat dibincang dalam kalangan ahli politik dan generasi muda hingga ada suara
sumbang kedengaran di sana-sini mendakwa kononnya kerajaan menggunakan Akta
Hasutan 1948 untuk mendiamkan atau melenyapkan suara rakyat yang dianggap tidak
selaras dengan pemikiran politik pemerintah atau kerajaan.
Malah, pihak yang mengaku dirinya
sebagai badan bertauliah dan arif dalam bidang perundangan juga berlumba-lumba
mempertahankan individu atau kumpulan yang didakwa di mahkamah kerana gagal
menghormati undang-undang negara iaitu undang-undang yang disediakan untuk
menjamin keamanan dan keselamatan rakyat berbilang kaum dan agama.
Persoalannya, apakah kumpulan
yang mendakwa kerajaan mengehadkan kebebasan rakyat bersuara benar-benar ikhlas
dalam mengetengahkan pendirian mereka atau menggunakan sesuatu institusi
ikhtisas untuk memperjuangkan agenda politik kumpulan atau parti politik
tertentu?
Sebelum mencari jawapannya,
adalah wajar kita meneliti matlamat dan kepentingan Akta Hasutan 1948 yang
dikuatkuasakan di Malaysia dan langkah yang telah diambil oleh kerajaan
pimpinan Datuk Seri Najib Razak, dalam meluaskan skop kebebasan rakyat bersuara
agar demokrasi matang dapat dipelihara dan disuburkan di Malaysia.
Kebebasan bersuara, berkumpul dan
menyatakan pendapat dalam bentuk lisan dan cetak adalah hak asas seseorang
individu dalam sistem politik demokrasi tulen. Menyedari kebenaran ini,
kerajaan umumkan Program Transformasi Politik (PTP) pada 16 September 2011 yang
membabitkan penggubalan, pindaan dan pemansuhan.
Malah pembatalan beberapa
undang-undang yang dianggap tidak relevan dengan peredaran zaman atau dianggap
songsang oleh ahli politik, terutama masyarakat sivil yang mengharapkan
pembaharuan dalam bidang perundangan agar suara rakyat dapat diluaskan.
Sehubungan itu Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA) yang kian dicemuh oleh kumpulan yang memperjuangkan hak
asasi manusia dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.
Selain itu, beberapa
undang-undang seperti Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri juga
dibatalkan. Akta untuk membenarkan dan memudahkan orang ramai berkumpul untuk
menyatakan sesuatu pandangan atau hasrat kepada kerajaan juga digubal dan
diluluskan.
Kebebasan untuk mencetak dan
menerbit bahan-bahan cetak dalam menyebarkan fahaman sesuatu ideologi atau
pendapat diperluaskan dengan membuat pindaan dalam Akta Mesin Cetak dan
Penerbitan.
Akta Universiti dan Kolej
Universiti yang didakwa mengongkong kebebasan pelajar universiti dan kolej dipinda
dalam menjamin kebebasan kepada pelajar bergerak, menyertai politik di dalam
dan luar kampus.
Perlu ditegaskan bahawa Program
Transformasi politik dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan ruang
demokratik diperluaskan untuk melayan dan menampung perbezaan pendapat serta
persaingan idea dalam era globalisasi yang kian menuntut kebebasan individu ke
tahap yang lebih tinggi.
Pelaksanaan program itu jelas menunjukkan kerajaan
berhasrat mencipta sebuah negara yang mana prinsip hak asasi manusia dijunjung
sambil kepentingan individu dan komuniti diimbangi.
Kepemimpinan kerajaan berasakan
Malaysia memasuki era demokrasi lebih matang dengan peranan kerajaan berubah
daripada menjadi penentu dan pengukur tahap kematangan rakyat kepada pelindung
kebebasan agar rakyat dapat menikmati hak asasi yang sepatutnya.
Walaupun ISA banyak membantu
memastikan demokrasi dan hak asasi manusia dilindungi, kerajaan berpendapat
masanya telah tiba untuk beralih kepada satu perundangan lebih progresif dan
keselamatan negara adalah terletak atas kematangan politik rakyat.
Berteraskan fahaman ini, kerajaan
menggubal undang-undang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012
untuk terus menjamin keselamatan dan keamanan rakyat Malaysia. Kerajaan tidak
menggubal undang-undang itu dengan sewenang-wenangnya, tetapi berlandaskan
kepada kuasa yang ditetapkan Perlembagaan Malaysia.
Perkara 149 (1) Perlembagaan
Persekutuan memberi kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang bagi
menangani ancaman oleh individu atau sesuatu kumpulan seperti berikut:
(a) Menyebabkan kekerasan yang
dirancang terhadap orang atau harta, atau menyebabkan sebilangan besar
warganegara takut akan kekerasan itu;
(b) Membangkitkan perasaan tidak
suka terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana kerajaan dalam Persekutuan;
(c) Mengembangkan perasaan jahat
atau permusuhan antara beberapa kaum atau penduduk ;
(d) Mengubah dengan apa-apa cara
lain daripada cara yang sah, apa-apa jua yang tertubuh menurut undang-undang;
(e) Mendatangkan mudarat kepada
penyelenggaraan atau perjalanan apa-apa bekalan atau perkhidmatan kepada orang
ramai atau mana-mana orang dalam Persekutuan;
(f) Mendatangkan mudarat kepada
ketenteraman awam dalam atau keselamatan Persekutuan atau mana-mana
bahagiannya.
Namun, ada pihak yang
mengelirukan rakyat, malah mengeluh bahawa Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) 2012 bertentangan dengan hal yang berkaitan dengan
kebebasan seorang individu seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sebenarnya, Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 tidak bercanggah dengan kebebasan
seseorang individu seperti termaktub dalam Perlembagaan terutama dalam Perkara
5 (kebebasan diri) Perkara 9 (kebebasan bergerak), Perkara 10 (Kebebasan
bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan) dan Perkara 13 (Hak terhadap harta).
Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) 2012 memperluaskan lagi kebebasan seseorang individu
kerana tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan semata-mata atas
kepercayaan atau aktiviti politik. Kuasa Menteri Dalam Negeri untuk menahan
tanpa perbicaraan mana-mana individu yang terkandung dalam ISA dimansuhkan.
Polis pula hanya diberi kuasa
menahan seseorang tidak melebihi daripada 28 hari untuk maksud penyiasatan.
Selain itu, akta itu juga membenarkan orang yang ditangkap bebas untuk membuat
permohonan habeas corpus di mahkamah dan boleh mencabar alasan penahanan dan
tatacara penahanan. Perkara yang terkandung dalam SOSMA jelas memperluaskan hak
kebebasan bersuara dan berpolitik di Malaysia.
Kebanyakan negara di dunia yang
dianggap sebagai peneraju dan pelindung demokrasi berparlimen dewasa ini juga
memperketatkan undang-undang dalaman untuk menjamin keselamatan. Sebagai
contoh, Amerika Syarikat melaksanakan Patriot Act 2001 dan Homeland Security
Act 2002; Australia melaksanakan Terrorism Act 2005; Singapura yang selalui
dicontohi oleh setengah pihak sebagai negara mengamal kebebasan rakyat bersuara
melaksana Internal Security Act; United Kingdom melaksana Terrorism Act 2000;
Sri Lanka melaksana Prevention of Terrorism Act 1982; Ghana melaksanakan
Preventive Detention Act 1958 dan Brunei melaksanakan Internal Security Act.
Walaupun kerajaan melaksanakan
pelbagai pembaharuan dalam bidang undang-undang untuk meluaskan kebebasan
rakyat bersuara, ada pula pihak yang mendakwa kerajaan kini menggunakan Akta
Hasutan 1948 dalam melenyapkan suara yang menentang kerajaan. Ada akhbar
tempatan yang menyiar berita bahawa Perdana Menteri berasa gentar menghadapi
kritikan rakyat dan dengan itu cuba menggunakan akta itu untuk senyapkan suara
yang mengkritik kerajaan pimpinan beliau.
Apakah kumpulan yang menuduh
kononnya Najib tidak berani bersemuka dengan pengkritik kepemimpinan beliau
menghidap penyakit myopic atau rabun jauh? Apakah mereka tidak melihat betapa
berani dan hebatnya Najib berunding secara terus menerus dengan ketua kumpulan
pemberontak Ukraine dalam isu MH17, Alexander Borodai untuk mendapat kerjasama
beliau agar pasukan penyelamat dan penyiasat Malaysia dan antarabangsa mendapat
akses ke lokasi nahas, membawa balik jenazah kru dan penumpang yang menjadi
mangsa dalam tragedi MH17, malah berjaya memujuk pemberontak menyerahkan kotak
hitam MH17 kepada Malaysia untuk membantu dalam siasatan punca nahas MH17.
Tidak dapat dinafikan sistem politik
demokrasi memberi hak kepada rakyat bersuara. Kesuburan sistem demokrasi
memerlukan penyertaan rakyat dalam memilih pemimpin atau wakil mereka melalui
proses pilihan raya.
Rakyat bukan sahaja berhak
menyuarakan pendapat, malah menyatakan pendirian secara terbuka terhadap
sesuatu dasar yang diumumkan kerajaan atau sebelum sesuatu dasar diumumkan.
Rakyat juga diberi kebebasan memberi pandangan semasa sesuatu dasar berada
dalam peringkat penggubalan.
Perbincangan dan perdebatan
mengenai sesuatu dasar kerajaan sebelum dilaksanakan atau dikuatkuasakan adalah
asas atau sine qua non perjalanan sistem politik yang berlandaskan falsafah
demokrasi.
Rakyat dibenarkan menyuarakan
pendapat dalam mencari kebenaran. Terdapat juga kumpulan dan golongan yang
sering menyalahgunakan hak atau kebebasan yang dinobatkan kepada rakyat oleh
Perlembagaan sesebuah negara.
Menyedari lumrah manusia untuk
menyalahgunakan kelonggaran yang terdapat dalam undang-undang yang disediakan
untuk mengawal tingkah laku warga sesebuah negara, kerajaan yang mementingkan
keamanan, keselamatan, moral dan hubungan antara rakyat secara amnya dan
hubungan antara berbilang kaum dan agama, menyediakan undang-undang khusus
untuk mengehadkan kebebasan secara yang boleh menimbulkan keresahan, permusuhan
malah anarki.
Di Malaysia, rakyat diberi
peluang yang luas untuk bersuara atau mengeluarkan pendapat mereka dengan bebas
berasaskan kepada kebebasan dan sikap bertanggungjawab. Malaysia lebih
mementingkan keharmonian antara kaum berteraskan sejarah politik negara. Rakyat
Malaysia yang berbilang kaum dan agama diharapkan menghormati perkara-perkara
yang telah dipersetujui bersama.
Sebahagian besar rakyat Malaysia
percaya dan yakin demokrasi tulen memerlukan amalan budaya rakyat memahami dan
bergerak dalam ruang sempadan kebebasan yang digariskan oleh Perlembagaan
Malaysia dan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Parlimen berkuasa
menentukan kebebasan seseorang demi kepentingan rakyat umum.
Akta Hasutan 1948 dikuatkuasakan
bukan untuk merencatkan kebebasan bersuara, tetapi untuk menjamin tidak sesiapa
menyentuh perkara yang sensitif yang boleh menimbulkan ketegangan dan
permusuhan antara kaum di Malaysia.
Baru-baru ini rakyat Malaysia
menyaksikan ada pihak yang melanggar Akta Hasutan 1948 terutama Seksyen (4)
(1)(b) and Seksyen 4(1)c), Akta Hasutan 1948. Ada pihak yang menyoal institusi
Raja-Raja dan adapula pihak yang mengeluarkan kenyataan yang boleh menyemai
benih pemikiran dalam kalangan rakyat Sabah untuk memisah daripada Malaysia.
Sehubungan ini, rakyat Malaysia
perlu sedar apakah maksud dan tafsiran 'hasutan' yang disebut dalam Akta
Hasutan 1948 agar tidak ada pihak yang cuba mengelirukan rakyat yang kurang
arif dalam hal perundangan?
Menurut Seksyen 3(1) (a) hingga
Seksyen 3 (1) (f) Akta Hasutan 1948, hasutan adalah dirujuk kepada
'kecenderungan' menghasut meliputi pelbagai keadaan termasuk membangkitkan
perasaan benci terhadap mana-mana raja atau kerajaan, pentadbiran keadilan,
menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat dan membangkitkan
permusuhan antara kaum. Seksyen 4 (1) (c) pula
memperuntukkan kesalahan mencetak, menjual, mengedar, atau mengeluar ulang
apa-apa penerbitan mengandungi bahan berunsur hasutan.
Namun, ada pihak yang menuduh
Akta Hasutan 1948 merencatkan hak bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan,
malah bertentangan dengan semangat dan roh Perlembagaan Persekutuan.
Perlembagaan Persekutuan dikatakan memberi kebebasan kepada rakyat Malaysia
mengeluarkan pendapat atau fikiran.
Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan
Persekutuan memperuntukkan kebebasan bersuara. Namun Perkara 10 (1) (a),
hendaklah ditafsir bersamaan dengan lain-lain perkara dalam Perlembagaan yang
mengehadkan kebebasan itu.
Perkara 10 (2) (a) Perlembagaan
Persekutuan memperuntukkan Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan had
atau sekatan ke atas kebebasan bersuara jika ia diperlukan atau mustahak untuk
melindungi tujuh perkara seperti berikut:
1. Kepentingan keselamatan
negara;
2. Perhubungan kerajaan dengan
negara-negara lain;
3. Ketenteraman awam;
4. Melindungi keistimewaan
Parlimen/Dewan Undangan Negeri;
5. Penghinaan terhadap mahkamah;
6. Fitnah;
7. Perbuatan mengapi-apikan
supaya melakukan kesalahan
Dengan ini jelas bahawa kebebasan
bersuara bukanlah satu hak atau kebebasan yang mutlak. Lebih-lebih lagi,
Malaysia selaku sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum, agama dan budaya
tidak mampu membenarkan sesiapa mengeluarkan kenyataan, pendapat, pandangan
atau fikiran dengan mutlak kerana bimbang elemen menghasut yang boleh
menimbulkan permusuhan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa hingga
menggugat keamanan negara yang terbina sejak negara mencapai merdeka.
Kesimpulannya, rakyat Malaysia
bebas untuk bergerak, berkumpul dan bersuara dengan bertanggungjawab. Rakyat
Malaysia harus elak suara yang bersifat kekerasan, ekstrem dan berat sebelah.
Disebaliknya, lebih utamakan suara yang bersifat jalan tengah, keseimbangan dan
kebijaksanaan.
Rakyat yang menyokong suara
sederhana perlu bangkit untuk menenggelamkam suara lantang yang dibangkitkan
sesuatu kumpulan kecil dalam masyarakat yang cuba membelakangkan kepentingan
majoriti rakyat Malaysia. Perlu ditegaskan bahawa kebebasan bersuara bukan
bermakna seseorang warga berhak menghina dan membangkit perkara yang boleh
memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum.
Undang-undang perlu
dikuatkuasakan dalam menjamin keseimbangan terbaik antara kebebasan bersuara
selaras dengan peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan
kompleksiti kemajmukan rakyat Malaysia agar perpaduan antara kaum, harmoni
antara berbilang dan stabiliti politik sentiasa terjamin. - Oleh: JASA.
No comments:
Post a Comment