- SEJARAH pembentukan dan kemerdekaan sesebuah negara sangat penting diketahui dan fahami oleh rakyatnya terutama kalangan generasi muda. Fakta sejarah membuktikan bahawa negara yang bebas merdeka dan berdaulat akan menjadikan sesebuah negara itu aman, maju dan makmur.
- Semangat cintakan negara dengan semangat patriotisme mendorong sambutan hari kebangsaan tahun ini iaitu 57 tahun negara merdeka dan 51 tahun penubuhan Malaysia bertemakan, 'Malaysia...Di sini lahirnya sebuah cinta.' Tema ini membawa maksud mendalam tentang kelahiran cinta yang agung kepada sebuah negara bernama Malaysia.
- Memerdekakan sebuah negara memerlukan pengorbanan dan idea yang jelas serta wawasan yang bijaksana daripada seorang pemimpin. Matlamat pembentukan Malaysia untuk mewujudkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan keharmonian sosial.
- Pembentukan Persekutuan Malaysia pada mulanya terdapat pelbagai reaksi yang pro dan kontra, tetapi dapat diatasi melalui Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan rakyat Sabah dan Sarawak bersetuju untuk menyertai Malaysia.
- Sebagai rakyat negara ini, kita mesti memahami dan mengetahui bahawa Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu dan pada 16 September 1963 dikenali Malaysia.
- Justeru, setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara sampai bila-bila.
- Tarikh 31 Ogos 1957 pula penting dan bermakna kepada semua rakyat Malaysia kerana detik ini menandakan negara kita mula bebas daripada penjajahan British.
- Persekutuan Tanah Melayu - menyambut baik gagasan Malaysia. Namun, terdapat perbezaan pendapat tentang cara pelaksanaannya.
- Sejarah telah membuktikan bahawa bagi Singapura, sebelum keluar dari Malaysia, mengalu-alukan gagasan Persekutuan Malaysia. Sabah dan Sarawak menyokong gagasan Malaysia. Brunei pula menarik diri daripada menyertai Persekutuan Malaysia.
- Idea dan cadangan Gagasan Persekutuan Malaysia adalah untuk menggabungkan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Sabah dan Brunei dalam sebuah kerajaan persekutuan yang dinamakan Persekutuan Malaysia. Tetapi akhirnya Singapura keluar dari Malaysia dan Brunei mengundur diri daripada menyertai Malaysia untuk menentukan masa depan negara sendiri.
- Jika diteliti idea pembentukan Persekutuan Malaysia bukanlah suatu yang baharu. Ura-ura untuk menggabungkan Tanah Melayu dengan wilayah British yang lain telah kedengaran sejak akhir kurun ke-19 lagi.
- Mengikut catatan sejarah, gagasan tersebut telah dikemukakan dalam suatu majlis makan tengah hari Persatuan Wartawan Luar Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961.
- Dalam Majlis itu Tunku Abdul Rahman menyatakan: "Lambat laun Tanah Melayu harus bersefahaman dengan Britain dan rakyat-rakyat Singapura, Borneo Utara, Brunei, dan Sarawak. Adalah agak terlalu awal untuk saya menyebutkan cara bagaimana persefahaman itu dapat dicapai, namun tidak dapat dielakkan bagaimana kita perlu mencapai objektif ini dan memikirkan satu rancangan bagaimana wilayah-wilayah ini dapat dibawa kepada satu kerjasama politik dan ekonomi yang rapat."
- Akhirnya, kira-kira dua tahun kemudiannya, gagasan Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman ini telah dapat direalisasikan apabila Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963 walaupun terdapat reaksi kurang senang Indonesia dan Filipina terhadap gagasan Malaysia.
- Sejarah membuktikan bahawa pada 16 September terbentuk Malaysia dengan penggabungan Sabah, Sarawak dan Singapura. Apabila nama Malaysia diberikan secara tidak langsung, nama Melayu pada Persekutuan Tanah Melayu hilang dan secara beransur-ansur nama Melayu semakin hilang.
- Justeru, Hari Malaysia pada 16 September mestilah disambut oleh semua rakyat dan kaum di negara ini bagi menyatakan rasa syukur atas kemerdekaan, keamanan dan kesejahteraan yang kita nikmati selama ini. Idea daripada kepimpinan yang berwibawa, bijaksana dan berpandangan jauh ini telah menjadikan Malaysia terkenal di mata dunia.
- Perlu diingatkan kejayaan Tunku Abdul Rahman menggabungkan beberapa buah negeri dalam sebuah persekutuan dengan kaedah diplomasi sukar dilakukan oleh pemimpin negara lain di dunia. Malah idea-idea penggabungan oleh pegawai tinggi British sebelumnya menemui kegagalan.
- Pembentukan Persekutuan Malaysia telah mewujudkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, keseimbangan serta perpaduan kaum di samping keharmonian sosial dan juga keselamatan dalam kalangan penduduk di negeri-negeri di bawah Malaysia.
- Selain itu, Persekutuan Malaysia terbukti telah memajukan sosioekonomi negeri-negeri yang menganggotainya. Kawasan pasaran ekonomi yang luas telah dapat diwujudkan di samping sumber tenaga manusia serta sumber asli dalam kalangan negeri anggota dapat disatukan.
- Pembentukan Persekutuan Malaysia dapat menghapuskan sekatan cukai dalam kalangan negeri anggota dan memudahkan usaha untuk menarik pemodal dari luar.
- Semua ini telah menjadi elemen penting memajukan taraf hidup rakyat khususnya di Sarawak dan Sabah.
- Selain itu, pengaruh komunis di Sarawak yang boleh membahayakan kehidupan rakyat dapat dihapuskan. Persekutuan Tanah Melayu mempunyai banyak pengalaman dalam membanteras pengaruh komunis semasa zaman darurat dan akhirnya dapat menjamin keselamatan dan kestabilan dalam kalangan negeri anggota.
- Lantaran itu, bukti sejarah ini sangat penting dan harus difahami serta dimanfaatkan oleh kalangan generasi muda terutama mereka yang lahir selepas merdeka dan selepas Hari Malaysia pada 16 September 1963 bagi mengisi dan membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, aman, makmur dan stabil dari segi ekonomi dan keselamatan.
- Di sinilah akan lahirnya cinta kepada negara Malaysia, tanah tumpah darah dan terus berusaha memupuk semangat perpaduan, menyatupadukan pelbagai kaum, memperkukuhkan kerjasama sosial dan ekonomi dalam sebuah negara yang merdeka. - Oleh Dr. Aminudin Mansor
Tuesday, 16 September 2014
Hari Malaysia: Di sini lahirlah sebuah cinta
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment