- Minggu depan, kerajaan Selangor akan bentangkan maklumat berkaitan penyelesaian menyeluruh penstrukturan industri air di bawah Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006).
- Butiran itu akan didedahkan kepada umum berdasarkan perjumpaan MB Selangor dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).
- Dalam pertemuan itu mereka berdua membincangkan butiran terperinci bagaimana kerajaan persekutuan mengguna pakai Seksyen 114 WSIA 2006 dan seterusnya membolehkan kerajaan negeri ‘campur tangan’ dalam syarikat- syarikat konsesi air di Selangor. Mereka juga telah meneliti perjanjian utama yang melibatkan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2.
- MB Selangor sebelum itu berkata penguatkuasaan WSIA akan mengurangkan kos mengambil alih aset empat syarikat konsesi air sebanyak RM2 bilion kepada RM7.65 bilion. Empat syarikat konsesi itu ialah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash).
- Pada 26 Februari lepas, kerajaan Selangor dan Persekutuan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk penstrukturan semula industri air di negeri ini yang telah berlanjutan sejak 2008.
- Melalui MoU itu, kerajaan negeri Selangor akan mengeluarkan kebenaran untuk merancang pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2) berkuat kuasa 26 Februari lepas dan memastikan semua kebenaran berkaitan pembangunan projek LRAL2 diluluskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh MoU ditandatangani.
- Sebagai tambahan, kerajaan Persekutuan bersedia menyuntik dana untuk membantu kerajaan negeri mengambil alih syarikat-syarikat konsesi air dan seterusnya membenarkannya menguruskan perkhidmatan bekalan air di Selangor melalui sebuah syarikat milik kerajaan negeri.
- Dalam pada itu, MB Selangor mengesahkan pihaknya menerima surat daripada KeTTHA berkenaan pembayaran dana tambahan RM2 bilion daripada kerajaan pusat kepada kerajaan negeri serta penerangan terma dan syarat penggunaan dana itu.
- Orang ramai mungkin berpuashati dengan usaha itu bagi menamatkan kemelut air di Selangor yang dikatakan semakin meruncing sejak beberapa tahun lalu. Namun bagi syarikat konsesi air yang mengendalikan loji-loji rawatan di Selangor, Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan, apakah terma dan syarat mereka bakal dipenuhi?
- Apakah pembentangan minggu depan bakal mendebarkan mereka atau biasa-biasa saja kerana mereka sudah menjangkakan kerajaan Selangor tidak akan berganjak dari harga tawaran sebelum ini. Kini syarikat konsesi air sedang menunggu kebijaksanaan kerajaan Persekutuan menyelesaikan kemelut ini dalam tempoh terdekat.
- Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini telah mengeluarkan tawaran akhir untuk membeli empat syarikat konsesi air negeri itu pada jumlah RM9.65 bilion dalam satu surat tawaran yang dihantar kepada pengendali syarikat berkenaan.
- Pada masa yang sama kerajaan Selangor akan membayar pulangan 12 peratus kepada keempat-empat syarikat pengendali air yang dikira sehingga 31 Disember 2012, tidak dikompaun dan dengan potongan bagi mana-mana pembayaran dividen yang terdahulu.
- Tawaran itu juga menyatakan bahawa kerajaan Selangor melalui KDEB akan menyelesaikan semua hutang berkaitan air tertunggak oleh empat syarikat termasuk bon dan pinjaman komersial serta pinjaman kerajaan yang berkaitan.
- MB Selangor bagaimanapun sedar syarikat pengendali terbabit tidak selesa dengan tawaran itu sambil mengesyorkan mereka membawa perkara itu ke timbangtara antarabangsa jika mahu menuntut jumlah wang yang lebih banyak lagi.
- Seperti yang diduga, tiga syarikat konsesi air, Syabas, Puncak Niaga dan Splash menolak tawaran itu manakala ABASS menerima tawaran berkenaan. Puncak Niaga, mengulangi syarat-syaratnya termasuk pulangan terkompaun ekuiti sebanyak 15% setahun diambil sebagai pampasan kepada PNSB untuk kerugian pendapatan pada masa akan datang.
- Puncak Niaga juga menunggu bayaran yang belum dijelaskan Syabas kepada PNSB untuk dijelaskan kepada syarikat induk kerana jumlah itu bagi perkhidmatan itu telah pun diberikan.
- Di pihak Gamuda pula, syarikat itu mempunyai 40% kepentingan dalam Splash. Gamuda menjelaskan bahawa tawaran itu adalah lebih rendah daripada nilai aset bersih (NAB) dan “tidak munasabah untuk diterima oleh syarikat itu”.
- Tawaran bersih itu adalah RM250.6 juta untuk Splash berbanding NAB Splash sehingga RM2.54 bilion setakat 31 Disember 2013 yang akan memberikan kerugian penjualan besar RM920 juta kepada syarikat. Tawaran RM250.6 juta itu adalah di bawah 10% daripada NAB Splash. Oleh itu, tawaran berkenaan tidak munasabah untuk diterima oleh syarikat itu.
- Sementara itu, penganalisis kewangan berharap penstrukturan semula air di Selangor boleh diselesaikan pada kaedah “willing buy, willing sell” kerana ia merupakan pendekatan komersial yang praktikal dalam menyelesaikan masalah pengambilalihan.
- Kaedah terbaik ialah, kerajaan Persekutuan perlu menambah lagi suntikan sejumlah dana tertentu selepas syarikat konsesi terbabit menjelaskan mereka tidak dapat menerima RM9.65bil tawaran pengambilalihan oleh Selangor kerana ia adalah terlalu rendah.
- Bagi kerajaan Selangor, walaupun ada rizab kerajaan negeri yang agak besar, namun pada masa yang sama ia masih menanggung hutang kepada Syabas dengan jumlah berbilion ringgit juga kerana tunggakan bayaran air percuma yang belum dijelaskan.
- Ini bererti kerajaan negeri sebenarnya tidak mampu membayar lebih daripada apa yang sudah ditawarkan kepada syarikat pengendali air yang sedia ada. Jika mampu sekalipun, kerajaan terpaksa bersikap `kedekut' kerana itulah sikap itulah yang paling kukuh bagi pemimpin untuk terus disenangi rakyat.
- Penggunaan undang-undang WASIA untuk memaksa syarikat konsesi air menjual aset mereka dikhuatiri akan mengusir pelabur dari ketiga-tiga negeri terbabit. Mana-mana pengambilalihan secara paksa akan memberi implikasi terhadap pemegang kontrak konsesi.
- Selepas kebuntuan selama lima tahun yang mana enam tawaran ditolak, jika maklumat yang dibentangkan oleh kerajaan Selangor pada minggu depan masih tidak memuaskan, berkemungkinan Puncak Niaga Holdings Bhd dan Gamuda Bhd akan menyelesaikannya di peringkat timbang tara antarabangsa.
Friday, 21 March 2014
Petanda baru konflik air Selangor hampir selesai
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment