Wednesday, 12 March 2014

Misteri hilangnya pesawat MH370



  1. Isu kehilangan pesawat MH370 semakin misteri apabila maklumat berkaitan radar TUDM tidak konsisten. Pada awalnya dikatakan radar TUDM ada merekodkan pesawat itu berpatah balik dan kali terakhir dikesan di Selat Melaka (sekitar perairan Pulau Perak), selepas hilang daripada radar pada jam 2.40 pagi. Pesawat itu dikatakan terbang rendah sekitar 25,000 kaki atas permukaan laut sekurang-kurang untuk masa 1 jam 10 minit dan menempuh jarak 350 km ke arah barat Semenanjung, ertinya melepasi Selat Melaka.
  2. Namun Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Rodzali Daud tiba-tiba menafikan beliau pernah menyatakan MH370 dikesan kali terakhir di Selat Melaka oleh pihak tentera. "Apa yang berlaku ialah wartawan bertanya kepada saya sama ada insiden tersebut berlaku seperti yang diperinci dalam laporan mereka. Bagaimanapun saya tidak memberi sebarang jawapan kepada soalan itu," katanya.
  3. Dalam tempoh 24 jam kemudian, beliau menukar kenyataan lagi, dengan berkata: "Radar utama TUDM mengesan pesawat tidak dikenali di lokasi terakhir kira-kira 200 batu nautika di barat laut Pulau Pinang pada jam 2.15 pagi. Walaupun tidak disahkan, ia mungkin pesawat MH370 yang melakukan air turn back atau berpatah balik selepas memasuki ruang udara Laut China Selatan sejurus berlepas dari KLIA.
  4. “Saya tidak katakan ini MH370, ini adalah plot yang tidak dikenal pasti oleh radar. Kita kini sedang menganalisis kemungkinan ini dengan memeriksa data radar tentera dan penerbangan awam menerusi kerjasama dengan FAA serta NTSB. Sebab itu kita perluaskan carian merangkumi Selat Melaka,” katanya.
  5. Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Vietnam, Pham Quy Tieu yang dipetik agensi berita antarabangsa, berkata pihaknya mengesan pesawat MH370 berpatah balik ke arah barat. Beliau berkata, ada bertanya dua kali kepada pihak Malaysia tetapi tidak dijawab.
  6. Dalam perkembangan yang sama, radar unit udara Singapura turut mendapati MH370 telah berpatah balik. Keadaan itu disokong dengan laporan polis yang dibuat beberapa penduduk di pantai timur yang mendakwa mereka terlihat cahaya besar dan pesawat pada paras 1,000 meter dari aras laut di Kota Baru, Kelantan.
  7. Indikasi yang menunjukkan MH370 mungkin berpatah balik mendorong operasi SAR diperluas ke Selat Melaka dan Laut Andaman. Operasi mencari pesawat hilang itu membabitkan pasukan tentera dan pihak berkuasa dari Australia, China, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina dan Amerika Syarikat selain Malaysia. Terbaru, India dan Berunai menyerti misi itu.
  8. Kini orang ramai tertanya-tanya, mengapa MH370 berpatah balik? Lebih penting lagi ialah apakah MH370 terhempas atau mendarat di lapangan tertentu? Hanya individu yang pakar berkaitan peralatan pesawat sahaja yang mampu berbuat demikian. Dalam pesawat itu, hanya juruterbang atau jurutera sahaja yang mengetahui selok belok peralatan pesawat.
  9. Pakar penerbangan sehingga kini buntu, berkaitan kehilangan pesawat B777-200ER MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk 12 krew yang berlepas pada 12.41 pagi Sabtu 8 Mac dan sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama, namun tidak pernah mendarat.
  10. FBI, interpol, menafikan bahawa pesawat diambil alih pengganas, demikian juga Pentagon, menafikan bahawa letupan menyebabkan pesawat hilang misteri, atas sebab tiada apa-apa imej satellite yang menunjukkan ke arah itu.
  11. Jika teori berlakunya peruraian di udara (mid air disintegration) pasti kini sudah ditemukan kepingan pesawat. Pasukan mencari dan menyelamat telah menggunakan peralatan canggih termasuk bantuan satellite dan pesawat yang mengunakan peralatan canggih untuk mengesan; kapal laut canggih untuk mengesan kepingan atau bangkai pesawat, namun sehingga kini, belum ada tanda-tanda berkaitan pesawat MH370.
  12. Kalau pesawat terhempas, setidak-tidaknya ada petanda. Kotak hitam (black box) akan memberi signal dan dapat dikesan sejauh 10 km. Namun sehingga kini tiada signal daripada black box MH370.
  13. Berpatah balik? Lapangan terbang terdekat adalah di Sumatera atau wilayah Mnymar. Satu persoalan besar, mengapa berpatah balik? Pesawat tidak berdepan kecemasan, atas sebab tiada panggilan mayday atau kod rahsia, bahawa pesawat dalam kecemasan, seperti berlaku pada pesawat yang sedang dikuasai perampas. Krew pesawat terlatih menghantar mayday, bukan sahaja pilot atau co-pilot boleh memberi isyarat mayday, akan tetapi krew juga.
  14. MH370 yang hilang memeningkan semua pakar penerbangan serta pakar keganasan kerana tiada sebarang petunjuk yang boleh disandarkan dengan kehilangan pesawat malang itu. Orang ramai tertanya-tanya, apakah pesawat dicuri?
  15. Susulan persoalan itu, timbul lagi satu persoalan berkaitan dua penumpang yang menggunakan passport curi serta lima penumpangyang tidak dibenarkan menaiki pesawat ke Beijing. Ia bagaimanapun sudahpun diketepikan berikutan ada dakwaan kemungkinan ia berkaitan tindakan pengganas.
  16. Kini perhatian ditumpukan kepada 20 penumpang MH370 yang merupakan kakitangan syarikat semi-konduktor Freescale yang berpusat di Austin, Texas. Mereka terdiri daripada 'jurutera dan pakar dalam fasiliti semi-konduktor moden bagi memasang dan menguji mikropemproses, pemproses isyarat digital dan litar bersepadu frekuensi radio. Freescale beroperasi di lebih 20 negara meliputi 18,000 kakitangan antaranya di Malaysia, Brazil, Kanada, Denmark, Perancis, Israel dan Russia.
  17. Ia juga memiliki Freescale RF yang terlibat menyediakan penyelesaian terhadap keperluan Aeroangkasa dan Pertahanan dan ini dijelaskan melalui www.freescale.com/RFmilitary.
  18. Produk komersil Freescale RF memenuhi keperluan aplikasi seperti: Komunikasi medan perang; Avionik; Radar HF melalui Band L dan S; Pemandu Misil (Missile Guidance); Peperangan Elektronik (Electronic Warfare); Pengenalan, sekutu atau musuh (IFF).
  19. Apakah ia berkaitan dengan kehadiran penumpang dari Freescale ini? Ini hanyalah satu teori namun sebagaimana dinyatakan pihak berkuasa, mereka turut melihat profil kesemua 239 penumpang dan krew yang menaiki pesawat malang ini.
  20. Seramai 20 kakitangan Freescale dalam pesawat tersebut terdiri daripada 12 kakitangan Freescale di China yang datang ke Kuala Lumpur bersama 8 kakitangan dari cawangan di Petaling Jaya. Menurut sumber, semua kakitangan terbang ke Beijing untuk menerima latihan satu sistem baru untuk pembangunan semi-konduktor.
  21. Apakah mereka menjadi punca MH370 hilang dengan penuh misteri? Persoalan itu bakal diketahui menerusi siasatan yang dijangka mengambil masa bertahun-tahun. Apa pun yang penting setakat ini ialah misi mencari dan menyelamat penumpang pesawat MH370.

No comments:

Post a Comment