Monday, 10 March 2014

Di mana kau MH370?

     
  1. Admiral Laut Vietnam, Ngo Van Phat meramalkan pesawat MH370 mungkin jatuh di kawasan 153 batu nautika berhampiran Pulau Tho Chu, berdasarkan kelajuan dan lokasi terakhir radar Vietnam mengesan pesawat itu. Bagaimanapun dia enggan mengesahkan pesawat itu sudah terhempas. Ertinya MH370 masih belum disahkan terhempas. Mungkin juga pesawat itu TIDAK terhempas. Itulah misterinya.
  2. Teori pesawat MH370 meletup di udara sudah ditolak selepas akhbar The New York Times memetik pegawai kerajaan Amerika Syarikat (AS) sebagai berkata  data pemantauan awal yang diperiksa Pentagon mencadangkan MH370 tidak meletup di Laut China Selatan berdasarkan sistem pemantauannya di seluruh dunia.
  3. Bahan serpihan yang dikesan pasukan mencari Singapura kira-kira 100km di barat daya pulau Tho Chu, Vietnam, tiada kaitan dengan pesawat MH370 yang hilang. Walaupun tompokan minyak juga dijumpai, tetapi belum ada pengesahan mengenainya.
  4. Ini bererti MH370 belum lagi disahkan terhempas. Kini mata seluruh dunia kini bertumpu di Vietnam dan China. Pelbagai spekulasi ditabur dalam media sosial, ada yang mengaitkan kehilangan pesawat ini dengan serangan pengganas.
  5. Sebelum ini, beberapa blog melaporkan pesawat MH370 telah mendarat di bandar Nanning di China. Ia dikaitkan dengan sebab mengapa radar menunjukkan pesawat itu didapati berpatah balik sebalum transpondernya dimatikan. Tetapi kerajaan itu menafikannya, manakala MAS juga menafikannya selepas berhubung dengan kerajaan China.
  6. Apa pun pakar penerbangan tempatan dan luar negara terkejut dengan cara kehilangan MH370 yang dikatakan hampir tidak pernah berlaku dalam sejarah penerbangan dunia. Ternyata kehilangan MH370 kekal misteri, dan jawapannya kini mungkin berada di Vietnam atau di China.
  7. Mengapa dan bagaimana situasi sebegini berlaku terus menjadi misteri dan persoalan. Blog tempatan dan luar negara setakat ini hanya membuat spekulasi samada ia terhempas, meletup atau mendarat.
  8. Belum ada lagi blog yang berani mengupas kehilangan MH370 dikaitkan dengan keganasan, khianat dan sebagainya. Mungkin jika MH370 disahkan tidak terhempas di laut mahupun di darat, barulah blogger-blogger akan membuat spekulasi soal anarki.
  9. Di lihat kepada senarai penumpang MH370 itu, tiada VVIP, menteri, mahupun tokoh perniagaan bertaraf 5 bintang. Ini bererti jika ada pihak mahu sabotaj pesawat itu juga hampir tidak lojik kerana tiada motif yang kukuh. Tiada siapa yang mahu tawan pesawat tanpa ada motif bernilai berjuta dollar.
  10. Ada juga blogger yang membuat spekulasi mengaitkan juruterbang MH370 yang menyokong parti pembangkang dan mengambil tindakan bunuh diri dengan menjunamkan pesawat itu ke dasar laut, semata-mata untuk mengalihkan perhatian kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhi hukuman 5 tahun penjara. Spekulasi ini lagi tidak lojik.
  11. Ada juga pihak mengaitkan pesawat itu ditawan dua lelaki yang menggunakan pasport palsu dari Itali. Samada pesawat itu dijunamkan ke lautan atau dibawa ke kawasan yang tersembunyi, ia masih dianggap misteri. Tetapi berbalik soal tebusan, tiada siapa di dalam pesawat tu boleh ditebus dengan nilai jutaan dollar.
  12. Manakala, bagi blogger mistik, mereka lebih gemar mengaitkan kehilangan pesawat MH370 dengan Asia Dragon Triangle, iaitu satu kawasan kehilangan pesawat dan kapal laut secara misteri, menyerupai Bermuda.
  13. Malah, beberapa majalah mistik Jepun, Taiwan, Korea dan China turut mengakui wujudnya Dragon Triangle itu sejak ribuan tahun lalu sebagai kawasan jajahan naga yang hidup di bawah laut.
  14. Tidak kurang juga, beberapa blog cuba mengaitkan dengan Naga yang masih hidup di China dan pernah dirakamkan melalui pesawat beberapa tahun lalu sebagai modal untuk menjangkakan MH370 ditelan naga itu. Blog sebegini kelihatan seperti berjenaka ketika bercerita tetapi mengetengahkan unsur-unsur mistik sehingga menjadikan kehilangan pesawat MH370 agenda terpenting seluruh dunia setakat ini.
  15. Dalam kesibukan bloger membuat spekulasi di sana sini, PDRM juga memberi amaran kepada semua blogger supaya tidak mengulas insiden itu secara melampau. Jika berdegil juga, kerajaan akan mengambil tindakan terhadap blogger, iaitu lokap, bicara dan penjara.
  16. Sebenarnya amaran itu ditujukan khusus kepada blogger yang berpolitik dengan menggunakan pesawat MH370. Mereka mengaitkan isu itu untuk menghentam kerajaan BN dan Najib. Ada juga blog yang menghentam PR dengan mengaitkan juruterbang sebagai penyokong dan pendokong PKR. Macam-macam lagi dikaitkan dengan insiden MH370 sehinggakan pesawat itu semakin bermisteri.

No comments:

Post a Comment