Friday, 14 March 2014

Ada insiden dalam kokpit MH370

     
  1. Apa sebenarnya berlaku terhadap pesawat MAS MH370 yang hilang terus menjadi misteri kepada dunia. Pelbagai andaian dikemukakan sehingga ada yang mengatakan pesawat Boeing 777-200 itu dirampas, disabotaj atau pun meletup di udara.
  2. Penganalisis pertahanan, Muhammad Fuad Mohd Noor berpendapat, sesuatu mungkin berlaku di dalam kokpit pesawat sehingga sebarang komunikasi atau isyarat kecemasan tidak boleh dihantar ke menara kawalan.
  3. "Mungkin berlaku letupan kecil dalam kokpit sehingga menyebabkan semua sistem terpadam selain juruterbang dan pembantunya tidak sedarkan diri, jika tidak masakan isyaratnya boleh hilang begitu sahaja.
  4. "Saya berpendapat mustahil berlaku letupan besar di udara, kerana sekiranya ia berlaku sudah pastinya pasukan penyelamat sudah menemui serpihan pesawat itu bertaburan, tetapi apa yang berlaku usaha mencari MH370 masih lagi tidak menemui sebarang bukti atau petunjuk di mana ia berada," katanya kepada Sinar Harian semalam.
  5. Beliau berkata, kebarangkalian pesawat itu terjunam ke dalam laut dan tersekat di dasar laut adalah tidak mustahil berdasarkan kepada beberapa insiden kemalangan pesawat udara seperti mana yang berlaku terhadap pesawat Air France 447 yang jatuh ke dalam Lautan Atlantik pada 1 Jun 2009.
  6. "Jika pesawat itu (MH370) masih belum ditemui, ia mungkin mengambil masa yang agak lama untuk ia 'membebaskan diri' bergantung kepada kadar pereputan badan pesawat dan juga arus di dasar laut," katanya.
  7. Muhammad Fuad juga berkata, kebarangkalian pesawat itu dirampas adalah mustahil memandangkan tiada isyarat kecemasan dihantar oleh pesawat itu kepada menara kawalan udara.
  8. Menurutnya, untuk melakukan rampasan pesawat di udara, si perampas terlebih dahulu terpaksa memecahkan pintu kokpit dari dalam pesawat dan pada ketika itu, juruterbang masih sempat untuk menghantarkan isyarat kecemasan ke menara kawalan.
  9. "Isyarat MH370 tiba-tiba lenyap begitu sahaja, mustahil ia boleh dirampas tanpa juruterbang menghantar isyarat kecemasan. Kita juga sudah sedia maklum bahawa juruterbang pesawat itu Kapten Zaharie Ahmad Shah merupakan juruterbang yang berpengalaman dan tahu bagaimana berdepan jika situasi seperti itu berlaku," katanya.
  10. Katanya, sekiranya benar pesawat itu dirampas dan sistem transponder pesawat dimatikan dengan sengaja ia tidak mustahil boleh hilang dikesan radar pesawat komersial. Bagaimanapun pesawat itu tidak boleh lari daripada dikesan radar pertahanan udara.
  11. Menurutnya, ada laporan kononnya radar pertahanan udara berjaya mengesan pesawat misteri yang merentasi Semenanjung Malaysia dari arah Laut China Selatan menuju ke Selat Melaka.
  12. Muhammad Fuad bagaimanapun mempersoalkan sekiranya pesawat misteri itu dikesan mengapa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak menghantar pesawat tempurnya untuk memintas dan menyuruh pesawat misteri itu mendarat.
  13. "Selain radar pertahanan udara TUDM, Thailand juga mempunyai sistem radar pertahanan udara mereka yang diletakkan di Phuket dan mereka juga menafikan wujud pesawat misteri yang dikatakan MH370 pada pagi ia hilang di udara.
  14.  

No comments:

Post a Comment