Thursday, 13 February 2014

Perebutan kerusi MB Selangor – Episode 1

  • RAMAI meramalkan kerusi MB Selangor semakin menghampiri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ada juga kata, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan terus kekal di situ. Tidak kurang juga melihat Mohamed Azmin Ali teringin menduduki kerusi empuk itu. Dan ada juga mengharapkan pemimpin PAS seperti Dr Abdul Rani Othman menjadi MB Selangor jika Abdul Khalid benar-benar ikhlas mahu lepaskan kerusi itu.
  • Apa yang pasti selepas pilihan raya kecil Kajang nanti, akan bermulalah lembaran perebutan kerusi MB Selangor, kerusi empuk yang paling mahal di Malaysia dan sentiasa panas dan bergelora sejak zaman purba lagi.
  • Ketika BN mentadbir Selangor, puak pembangkang sering mentertawakan kerajaan negeri kerana pemimpinnya sentiasa bertelagah sesama sendiri, bercakaran, berpuak-puak, dan cemuh mencemuh semata-mata kerana mahukan kerusi Menteri Besar dan lain-lain kerusi yang sewaktu dengannya.
  • Tamak, haloba, kronisma, politik cantas dan sebagainya sentiasa rempah ratus ketika berlangsungnya perebutan kerusi itu. Hari ini kisah yang sama berlaku dan kali ini puak pembangkang menerima tamparannya kerana mereka memerintah negeri Selangor Darul Ehsan.
  • Kini puak pembangkang tidak berani ketawa kerana mereka risau untuk ‘menepuk air di dulang, takut terpercik ke muka sendiri’. Lantaran itu, mereka menebalkan kulit daripada kritikan luar terutama dari BN. Alasan biasa akan diberi bila ditanya “mengapa kerusi MB direbut-rebut?” Mereka akan menjawab “Zaman dulu lagi teruk. Tak payah lah nak kecoh-kecoh pasal hari ini”
  • Rakyat Selangor pun akur dengan kenyataan itu dan terlupa harapan sebenar mereka pada PAS, PKR dan DAP ialah negeri itu dipimpin dengan baik tanpa ada sebarang perebutan kuasa dan projek.
  • Perebutan kerusi MB Selangor kian membara apabila Abdul Khalid didakwa pernah dipujuk oleh beberapa pemimpin PAS untuk menyertai parti itu sekali gus keluar daripada parti yang diwakilinya, iaitu PKR.
  • Sumber mengatakan perkara itu pernah dibangkitkan dalam satu pertemuan di antara pemimpin tertinggi PAS dengan Abdul Khalid sebelum ini susulan daripada kemelut dalaman PKR Selangor termasuk perebutan jawatan Menteri Besar.
  • "Memang ada pertemuan itu sebelum ini yang membincangkan kedudukan Abdul Khalid di Selangor ekoran daripada masalah politik yang dihadapi dalam pentadbiran pakatan pembangkang di Selangor.
  • "Bagaimanapun, Abdul Khalid tidak memberikan sebarang persetujuan mengenai perkara itu kerana dikatakan tidak mahu dianggap sebagai 'mengejar jawatan Menteri Besar' sekiranya bertindak keluar daripada PKR dan menjadi wakil rakyat Pas mahupun wakil rakyat bebas," kata sumber itu. Walau bagaimanapun, sumber berkenaan tidak menyatakan tarikh sebenar dan lokasi pertemuan tersebut diadakan.
  • Mungkinkah Abdul Khalid menyeberang ke PAS lantaran beliau kini didesak kuat daripada PKR sendiri yang mahu beliau berundur dan jawatan Menteri Besar digantikan dengan individu lain daripada kalangan pemimpin PKR.
  • Berdasarkan kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid pada 5 Februari lalu, Ahli Parlimen Kuala Langat itu sendiri mengakui PKR telah menetapkan pendirian supaya Abdul Khalid perlu meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar dan digantikan dengan pemimpin lain dalam kalangan parti berkenaan.
  • Soal Anwar nak jadi MB Selangor, beliau sudah pun memberi bayangan, walaupun jawapan itu mungkin boleh ditukar-tukar mengikut keperluan semasa dan kehendaknya. Buat masa ini Anwar menyebut soal strateginya untuk ke Putrajaya:
  • Anwar: Strategi ini dibuat bergantung kepada suasana dan keadaan semasa. Situasi sekarang ini berkaitan kemelut politik melibatkan kaum, agama yang sengaja didedahkan dan sasarannya adalah Selangor.
  • Setakat ini Tan Sri Khalid berjaya mengawal, terutamanya bidang ekonomi dan sudah sampai masanya untuk kita pertahankannya. Contohnya, jika kamu tanya apa yang saya akan lakukan, pertama saya kata untuk memberikan keyakinan kepada orang Islam dulu, Islam adalah agama rasmi.
  • Kegiatan masjid, surau diimarahkan, kefahaman anak muda tentang Islam kena tingkatkan. Ini adalah dengan penyebaran maklumat, jadi memerlukan suasana segar, ekonomi Melayu, mikro kredit, jadi kita kena yakinkan ini dulu.
  • Kemudian ini kita tunjukkan bahawa kuasa kita tidak menekan orang lain, Islam tidak ada dalam sejarah menekan rakyat, apatah lagi bukan Islam, dengan cara sombong, angkuh dan dan dangkal.
  • Islam itu berkembang, saya ada ceritakan dalam tazkirah bagaimana Wali Songo gunakan hikmah dan keadilan kembangkan Islam.
  • Saya sebut Islam itu bukan al-Qaeda sahaja, bukan Taliban sahaja. Tapi Islam yang 1,400 tahun dahulu yang sudah memberi mesej.
  • Kalau ini dilakukan sebagai ancaman, ingin saya cakapkan perlunya kita membetulkan akidah kita. Saya ingin memberi jaminan, pada tiap orang Kristian, Budhha, Hindu,  yang merasakan Islam itu menekan dan menghalang bahawa perkara tersebut tiada dalam ajaran Islam.
  • Soalan: Kalau itu fokusnya Datuk Seri, sebagai Ketua Umum, Datuk Seri boleh memainkan peranan itu dan tidak perlu bertanding di Kajang?
  • Anwar: Tapi dapatannya tidak sama, sebab kita kena ada dengan barisan pimpinan untuk memberikan impak yang betul-betul positif dan berkesan. Tapi saya Ketua Umum dan penasihat, saya bukan British Presiden yang ada kuasa. Saya hanya penasihat yang boleh memberikan pandangan.
  • Kalau saya bagi nasihat saya hanya di belakang, tetapi isunya Tan Sri Khalid memang berkeupayaan baik dalam segi ekonomi. Tetapi dalam pimpinan politik di Selangor, dia ada keterbatasan. Bukanlah bermakna saya ini baik sangat.
  • Soalan: Adakah jawatan Tan Sri Khalid akan kekal sebagai MB?
  • Anwar: Tidak, kita tidak akan beri jaminan itu, tidak. Itu kita akan bincang cari jalan yang terbaik.
  • Soalan: Ada kemungkinan orang lain akan ganti tempat Abdul Khalid?
  • Anwar: Ya, ia bukan tetap. Dalam politik malah dalam dunia sekalipun.
  • Soalan: Adakah pernah berlaku tawaran daripada orang tertentu untuk berbincang sesuatu jawatan dengan Datuk Seri?
  • Anwar: Saya usulkan konsensus nasional kerana saya fikir rakyat tidak harus dikorbankan dalam isu api perkauman, fanatik agama, yang bercakap soal agama, amalan mereka pun teruk. Anak muda sekarang walaupun nampak biasa, tapi mereka boleh berfikir.
  • Berbalik kepada konsensus nasional, saya nak ia melibatkan soal isu kaum dan agama, jenayah yang meningkat kerana hampir semua rumah orang terlibat, ekonomi melibatkan harga barang, apa yang (kerajaan) dia buat? pantau harga.
  • Kerja perdana menteri sekarang adalah pantau harga, lihat semula perjanjian yang monopolinya, tapi selagi itu tidak dirungkai, harga tidak akan turun. Keempat adalah rasuah, ini adalah empat perkara yang kita mahu bincang, soalan lain tiada.
  • Soalan: Pernahkah Datuk Seri ditawarkan kembali kepada BN dan memegang jawatan dalam kerajaan?
  • Anwar: Jika tawarkan jawatan kembali ke Umno, tidak ada. Jika ada secara serius, kita akan runding dalam PR. Tetapi setakat ini, tiada rundingan.
  • Soalan: Benarkah ada pakatan sulit Kajang seperti yang didakwa melibatkan Datuk Seri, Khalid dan juga Azmin?
  • Anwar: Strategi itu ada, tetapi mana ada pakatan sulit. Azmin ialah Timbalan Presiden PKR dan pengarah pilihan raya nasional. Sebelum ini, Khalid ada datang berjumpa saya. Beliau sendiri mahu bertanggungjawab menjadi pengarah PRK Dun Kajang setelah saya diumumkan sebagai calon.
  • Sesiapa saja yang sukarela mahu bekerja, saya OK. Kalau mahu kata ada pakatan sulit, saya sendiri pun tidak tahu.
  • Soalan: Bagaimana Datuk Seri melihat kenyataan pemimpin Pas yang tidak bersetuju perubahan jawatan Menteri Besar Selangor?
  • Pandangan saya selalunya perkara ini boleh dibincangkan. Saya tidak mahu ulas teguran atau kritikan mereka secara terbuka.
  • Semua perlu ikut proses kerana kita mahu kepimpinan yang efektif. Kita boleh tangani masalah ini. Cuma mudahnya, kalau saya ambil alih pun, saya ambil alih jawatan ini daripada Khalid. Itu jadi mudah sebab pengurusannya baik.
  • Adakah isu Konsensus Nasional perlu diterangkan segera kepada penduduk Kajang sebelum PRK berlangsung seperti yang pernah disuarakan oleh Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz?
  • Bagi saya kenyataan Nik Abduh itu lebih sopan. Dia cuma minta penjelasan kerana ada kekeliruan. Tetapi saya sudah beri penjelasan melalui Majlis Pimpinan PR putuskan pada Ogos 2013 dalam mesyuarat. Cuma istilah yang digunakan berlainan.
  • Mulanya saya gunakan istilah dialog tetapi saya lakarkan dengan bahasa yang lebih tersusun iaitu Konsensus Nasional. Mungkin Nik Abduh tidak dapat maklumat itu.Tetapi saya sudah menerangkan kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat akan keperluan untuk sedia berunding dalam isu-isu pokok.
  • Jika dibaca balik, kenyataan saya tidak menimbulkan kontroversi pun. Saya juga tidak menyebut rundingan antara Anwar dan Najib, tetapi pimpinan PR dengan kerajaan BN.

No comments:

Post a Comment