- SEJUK sedikit hati golongan miskin bandar apabila Kerajaan Persekutuan akan melancarkan Program MyHome (Rumah Saya) pada April ini bagi membolehkan pembeli rumah yang layak diberikan subsidi maksimum sehingga RM30,000.
- Ini bererti kumpulan sasar yang kebanyakannya menghuni bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Kelang, Putrajaya, Seremban, Melaka, Batu Pahat, Johor Baru, Pulau Pinang, Seberang Perai, Kuantan dan sebagainya dapat membeli rumah terpilih pada harga kos rendah.
- Keputusan itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas dipersetujui dalam mesyuarat pertama Majlis Perumahan Negara, yang dipengerusikan beliau sendiri. Mesyuarat juga bersetuju memperuntukkan RM300 juta tahun ini bagi menjayakan program berkenaan, yang disasar untuk melibatkan 10,000 unit rumah.
- Menerusi program itu, subsidi akan diberikan kepada pemohon yang layak untuk membeli pada harga rumah kos rendah mengikut definisi yang ditetapkan kerajaan negeri.
- Misalnya kalau kerajaan negeri menetapkan rumah kos rendah pada harga RM40,000, sedangkan pemaju terpaksa menjual rumah pada harga RM70,000, maka kalau pemaju dan pembeli berkenaan layak untuk mengambil bahagian dalam skim ini, maka rumah RM70,000 akan dijual pada harga RM40,000, dan baki RM30,000 dibayar kerajaan.
- Ini bermakna pembeli hanya perlu membayar rumah itu mengikut harga rumah kos rendah di negeri berkenaan, iaitu RM40,000, manakala baki RM30,00 akan dibayar oleh kerajaan.
- Majlis Perumahan Negara diumumkan penubuhannya pada pembentangan Bajet 2014 bagi tujuan memantau, menyelaras dan merumus pelbagai inisiatif untuk memastikan hasrat kerajaan membina satu juta rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun tercapai.
- Antara syarat yang ditetapkan peserta program ini ialah pembeli perlu memperoleh berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan dan mereka tidak boleh menjual rumah itu dalam tempoh 10 tahun.
- Untuk makluman, penduduk Malaysia yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dianggarkan seramai 10 juta orang (laporan CEUPACS). Ini bererti Program MyHome dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 20 tahun untuk disempurnakan.
- Apa pun bagi pemaju perumahan pula, mereka boleh memohon untuk dipertimbangkan ke program ini oleh sebuah jawatankuasa di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan nanti, dan apabila diluluskan barulah mereka boleh iklankan unit-unit yang layak diberi subsidi berkenaan, manakala dari segi pembayaran, kerajaan akan membayar terus kepada pemaju.
- Ini supaya pembeli dapat manfaat daripada skim ini, dan ia memudahkan lagi bagi mereka mendapat pinjaman bank, sebab mereka sudah layak untuk dipertimbangkan.
- Sementara itu, mesyuarat itu juga memutuskan untuk membangunkan pangkalan data secara menyeluruh berhubung sektor perumahan, yang dinamakan 'MyHome Exchange'.
- Pangkalan data itu amat berguna kepada kerajaan, bagi membolehkan Majlis Perumahan Negara mendapat maklumat tepat dalam menentukan halatuju dan perkembangan industri perumahan, di samping maklumat lebih lengkap berkaitan aspek permintaan dan penawaran unit rumah.
- Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan 'MyHome Exchange' akan dilancarkan dalam masa tiga atau empat bulan. Ia merupakan pusat sehenti dalam mendapatkan maklumat tentang sesebuah projek perumahan.
- Ia berbeza jika dibandingkan dengan laman web yang ada sekarang seperti iproperty.com, kerana MyHome Exchange ini akan mempunyai sebuah pangkalan data yang lengkap termasuk status terkini sebuah projek perumahan baharu...contohnya projek perumahan berkenaan telah siap mungkin 30 peratus atau 50 peratus.
- MyHome Exchange akan mempunyai pangkalan data dan butiran lengkap tentang pemaju perumahan swasta dan projek perumahan kerajaan seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia, Syarikat Perumahan Negara Berhad, 1Malaysia Development Berhad dan Jabatan Perumahan Negara.
Friday, 14 February 2014
Bantuan RM30,000 MyHome untuk rakyat miskin bandar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment