Monday, 27 January 2014

Cerita di hotel dan surau soal cuaca sejuk Malaysia

 
  • KETIKA sebahagian rakyat Malaysia sedang meranduk cuaca sejuk luar biasa sejak kebekalangan ini, kebanyakan umat Islam sudah siap sedia meramal petanda awal kehadiran kiamat.
  • Dari surau, masjid hingga ke kedai kopi, bual bicara pasti menyebut apakah cuaca buruk ini sekadar fenomena sains yang berlaku di muka bumi, atau peringatan terakhir yang ada kaitan dengan hadith Abu Hurairah: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga tanah Arab menjadi subur dan dialiri dengan sungai-sungai.”
  • Salji sudah pun di tanah Arab. Cuma tunggu ais mencair menjadi sungai, anak sungai, jeram, dan menyuburkan tanaman di kawasan yang sebelum ini tandus dan kering kontang. Sudah terang lagi bersuloh. Tanda kiamat sudah muncul.
  • Namun lain sekali cerita yang disebarkan oleh cendikiawan Islam yang bersantai di lobi-lobi hotel, mereka mengatakan bumi sedang menempuh fasa zaman ais akibat pergerakan bumi yang pantas.
  • Kata mereka, fasa ais biasanya mengambil masa ratusan ribu tahun, disusuli satu tempoh panas selama 10 hingga 20 ribu tahun. Corak perubahan ini telah berulang lebih 10 kali, sejak sejuta tahun lalu.
  • Pergerakan ais di bahagian utara semasa zaman-zaman ais memberi kesan kepada cuaca bumi, , peralihan lingkungan hujan di kawasan-kawasan selatan. Dengan demikian, semenanjung arab dan gurun sahara di utara Afrika menjadi sebahagian lingkungan hujan yang menerima angin yang bertiup di utara Eropah. Ini akan menyuburkan kawasan gurun, yang bakal dipenuhi lembah-lembah subur dengan sungai-sungai.
  • Dalam konteks Malaysia, apakah punca sebenar cuaca sejuk melampau sejak kebelakangan ini? Jabatan Meteorologi Malaysia menjelaskan cuaca dingin di beberapa kawasan di pantai timur dan utara Semenanjung pada pertengahan Januari 2014 adalah di sebabkan beberapa faktor tertentu.
  • Tiga faktor utama ialah tiupan Angin Musim Sejuk dari tanah besar China, litupan awan yang kurang di Semenanjung Malaysia, dan bulan Januari dan Februari merupakan tempoh suhu minimum di Malaysia.
  • Berdasarkan kajian juga, cuaca dingin yang luar biasa dan tiupan angin akan berterusan sehingga awal Februari 2014. Selepas itu keadaan akan kembali normal.
  • Persoalannya yang sering dibincangkan di lobi-lobi hotel ialah bagaimana jika cuaca sejuk itu berterusan selepas Februari, Mac dan bulan-bulan selanjutnya. Bualan mereka menjadikan lobi hotel sentiasa penuh bagaikan mereka sedang merayakan Tahun Melawat Malaysia.
  • Apa yang pasti, cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini mencatatkan rekod suhu terendah iaitu 19 darjah Celsius di sekitar Besut, manakala di Temerloh pula dikatakan mencecah paras 14 darjah Celsius.
  • Jabatan Meteorologi Malaysia menjelaskan, Kuala Krai, Kelantan, merekodkan suhu sejuk terendah sehingga 17 darjah Celcius, semalam, sekali gus mencatatkan rekod pertama di Pantai Timur.
  • Penurunan suhu itu amat berbeza dengan suhu biasa yang dicatatkan pada kadar paling minimum sebelum ini iaitu 23 darjah Celcius di dua kawasan itu. Sementara di Jertih, perubahan cuaca mendadak membuatkan beberapa penduduk di sini terpaksa memakai pakaian tebal.
  • Penurunan suhu dan udara sejuk dialami beberapa daerah di pantai timur merupakan satu rekod baharu. Selain itu, beberapa kawasan lain juga terjejas seperti Pasir Putih, Kota Bharu dan Gong Kedak.
  • Jelasnya di antara punca utama penurunan suhu itu ialah tekanan suhu sejuk di tanah besar China yang memasuki Laut China Selatan selain daripada keadaan musim tengkujuh yang melanda kawasan Pantai Timur yang masih belum tamat.
  • Fenomena tekanan suhu dari China itu terjadi semasa monsun timur laut dan tiupan angin kencang tersebut berlaku apabila kurangnya awan terbentuk pada waktu malam di kawasan Pantai Timur Semenanjung.
  • Disebabkan penurunan itu penduduk di kawasan berhampiran pantai terutamanya akan mengalami suhu sejuk yang terlampau berbeza dengan keadaan biasa. Dalam masa yang sama, amaran ketiga angin kencang dan laut bergelora dikeluarkan pihak Meteorologi kepada nelayan dan orang awam bagi mengurangkan sebarang aktiviti pantai.
  • Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kilometer sejam dengan ketinggian ombak melebihi 5.5 meter berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sabah Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak.
  • Untuk rekod, suhu di tanah tinggi Cameron Highland purata sekitar 12 hingga 26 darjah Celsius manakala 13 -16 darjah Celsius pada waktu pagi.
  • Sementara itu, tinjauan di pantai timur mendapati keadaan cuaca sepanjang hari redup dan sejuk. Orang ramai dan murid-murid sekolah yang mengenakan baju sejuk di luar bangunan walaupun pada tengahari.

No comments:

Post a Comment