Sunday, 22 December 2013

Letrik, tol naik untuk rakyat juga

Kenaikan tarif elektrik tidak boleh dielak kerana ia untuk kepentingan rakyat juga.

  • ENAM bulan lalu Indonesia seperti terbakar. Berminggu-minggu dipanaskan dengan debat tentang cadangan kerajaan untuk menaikkan secara mendadak harga bahan api termasuk petrol. Rakyat marah. Berhari-hari pula pihak polis terpaksa mengawal demonstrasi yang cepat bertukar ganas di seluruh republik itu.
  • Tetapi sekarang selepas tarikh 22 Jun itu, rakyat Indonesia sudah terbiasa dengan harga baharu bahan api. Kenderaan malah semakin bertambah. Jalan raya di mana-manapun kota di Indonesia bertambah sesak. Harga bahan api yang disifatkan mahal sebelum keputusan dibuat 22 Jun itu kini tidak lagi menjadi isu walaupun program mengawal kesan kenaikan yang dijanjikan tidak berjalan dengan lancar kerana masalah birokrasi.
  • Parti politik pembangkang seperti akur dengan keputusan tegas kerajaan. Tiada lagi yang mengungkit-ungkit hal kenaikan itu yang merupakan satu keputusan berat, tidak dapat dielakkan dan tidak popular. Kumpulan penunjuk perasaan yang bertembung fizikal dengan pihak polis juga seperti sudah melupakan episod itu.
  • Situasinya seperti menang-menang. Yang membantah sudah melakukan tanggungjawab masing-masing, begitu juga pihak kerajaan. Situasi akhirnya menggambarkan rakyat perlu hidup dengan realiti. Pihak yang membangkang tahu had-had untuk membantah. Kerajaan pula sedar tentang tanggungjawabnya menjaga kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
  • Kenaikan harga di mana-mana negara akan menyebabkan bantahan rakyat. Siapa yang suka kenaikan kecuali yang mempunyai kepentingan. Yang membezakannya ialah bagaimana kenaikan itu diurus terutama mengawal kesan negatif kepada masyarakat terbanyak.
  • Situasi inilah yang sedang dihadapi negara sekarang. Ini bukanlah kali pertama kerajaan berdepan dengan situasi berat dan penuh dilema sebegini. Cuma kali ini pengumuman satu kenaikan disusuli dengan satu cadangan kenaikan lain, seperti berangkai.
  • Selepas kenaikan minyak dan kemudian tarif elektrik, dicadangkan pula kenaikan tol mulai tahun depan. Masing-masing tidak boleh membayangkan kenaikan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung akibat kenaikan berangkai itu.
  • Ramai yang mula mencongak-congak dan menganggar-anggar. Sudahnya mereka hanya menggeleng-gelengkan kepala. Sebab itu kali ini bantahan lebih meluas termasuk oleh badan bukan kerajaan dan kumpulan penyokong kerajaan sendiri.
  • Walaupun menggunakan pendekatan dan bahasa yang berbeza, intinya mereka menolak kenaikan tersebut. Pada masa sama mereka memahami bahawa kenaikan seperti tarif elektrik dan tol tidak dapat dielakkan.
  • Beban. Hal ini kerana selain kerajaan terikat dengan perjanjian konsesi, kenaikan itu telah beberapa kali ditangguhkan. Jalan keluarnya sama ada tarif dinaikkan yang bermaksud kos bakal ditanggung oleh pengguna. Atau beban kenaikan itu terus ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan yang akan mengakibatkan peruntukan untuk perkara lain tidak dapat dilakukan.
  • Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, mereka pantas memberikan respons terhadap bantahan dan suara rakyat itu. Dalam keadaan sukar itu, jalan terbaik perlu dicari untuk membendung kesan kenaikan tersebut.
  • Salah satu elemen penting yang sedang dalam perhatian kerajaan ialah mengurangkan beban kenaikan kepada rakyat. Segala cara dan jalan yang praktikal dipertimbangkan. Contohnya dalam isu tol, rebat yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini sangat membantu pengguna lazim lebuh raya. Rebat seperti ini wajar diperluaskan selain pemberian diskaun berkategori untuk pengguna yang kerap menggunakan lebuh raya.
  • Walau bagaimanapun pada masa sama kerajaan tidak boleh dilihat lemah terhadap desakan syarikat pemegang konsesi terutama pemegang konsesi lebuh raya generasi awal yang perjanjiannya dinilai berat sebelah.
  • Semua orang faham pemegang konsesi perlu mendapatkan keuntungan setelah membuat pelaburan besar, tetapi bukanlah dalam jumlah yang melampau. Pertimbangkan beban pengguna, fikirkan perasaan mereka. Umum untung berbilion ringgit tapi masih nak tarif dinaikkan.
  • Begitu juga orang faham pemegang konsesi perlu melunaskan pinjaman dan membuat penyelenggaraan serta pelebaran lebuh raya yang memerlukan dana besar tetapi bukanlah dengan cara menaikkan tarif semata-mata. Ada cara lain mengaut keuntungan seperti mengembangkan papan iklan dan industri pelancongan di lebuh raya.
  • Mahu tidak mahu akhirnya kerajaan perlu membuat keputusan. Tarif elektrik telah diumumkan secara rasmi. Pengumuman kenaikan tol pula dengan mekanisme mengawal kesannya kepada rakyat dijangkakan dibuat pada awal tahun depan.
  • Kenaikan harga disusuli dengan kritikan, bantahan bahkan kecaman adalah lumrah. Hal seperti ini sukar dikawal. Yang penting, yang akan dinilai oleh rakyat kelak ialah sejauh mana kenaikan itu menjejaskan hidup mereka.
  • Jika ternyata kesannya masih boleh ditampung, kenaikan akan diterima sebagai satu realiti hidup. Jika ternyata kenaikan itu boleh diserap atau dikurangkan melalui mekanisme tertentu yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan, kemarahan yang tergambar pada hari ini akan pudar seperti angin lalu.
  • Tetapi jika tidak, kerajaan sekarang akan dihukum. Cuma jangan mudah terpancing dengan mainan politikus dan oportunis. Jangan mudah membakar kelambu kerana marahkan nyamuk. Memang dalam keadaan marah sekarang, banyak perkara buruk boleh dilakukan. Banyak pihak sedang menantikan peluang ini untuk menangguk di air keruh.
  • Bagi kerajaan pula apa juga keputusan yang bakal dibuat, lakukan dengan penuh keyakinan, kebijaksanaan dan keikhlasan. Yang akhirnya akan menentukan ialah waktu dan selama ini waktu tetap menyebelahi kerajaan yang ada sekarang. -- Oleh Zulkefli Hamzah

No comments:

Post a Comment